Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Pada bulan Julai yang lalu, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan penyelewengan besar-besaran dalam dana 1MDB yang melibatkan ‘Pegawai Rasmi Malaysia No. 1’ dan beberapa ahli perniagaan seperti Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Najib Razak, ahli perniagaan Jho Low, serta pegawai kerajaan Abu Dhabi.

DOJ mendakwa berbilion-bilion ringgit daripada dana IMDB yang sepatutnya diperuntukkan untuk pembangunan kemudahan dan taraf hidup rakyat Malaysia telah dipergunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan dan kemewahan peribadi ahli-ahli politik dan perniagaan. DOJ juga telah menyaman untuk merampas sebanyak 17 aset yang dibeli mempergunakan dana 1MDB di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan United Kingdom. Di antara penyelewengan tersebut adalah pembelian banglo mewah di AS dan jet peribadi, membeli karya seni bernilai hampir RM 800 juta, pelaburan dalam projek utama pembangunan hartanah di New York, membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas dan menanggung kos produksi filem Hollywood.

Melalui pendedahan tersebut, ramai yang menjangkakan ‘Pegawai Rasmi Malaysia No. 1’ yang dirujuk dalam DOJ adalah Najib, di mana DOJ juga mendakwa hampir RM 3 bilion telah masuk ke akaun peribadi ‘Pegawai Rasmi Malaysia No. 1’.

Skandal 1MDB telah ‘membuka pekung di dada’ sistem dan politik kapitalisme yang mengurus negara dan ekonomi untuk kepentingan kroni dan elit politik. Korupsi adalah seperti ‘isi dan kuku’ bagi kroni kapitalisme, dan rakyat terus diperkudakan untuk mencapai cita-cita peribadi ahli politik dan perniagaan. Selagi dana seperti 1MDB tidak diurus, dirancang dan dikawal secara demokratik dan telus berlandaskan penglibatan rakyat biasa untuk menentukan kepentingan dan keperluan mereka, agenda peribadi segelintir elit politik dan kapitalis akan terus dijunjung.

Pada masa yang sama, DOJ yang mempunyai kepentingan kelas pemerintah Amerika Syarikat akan melakukan tindakan berdasarkan matlamat dan agenda politik dan ekonomi Amerika Syarikat terhadap Malaysia. Jika, agenda kerajaan Najib terus memanfaatkan keperluan kapitalis AS, walaupun korup, akan didukung oleh pemerintah AS. Selama ini pemerintah AS dengan kuasa tentera dan ekonomi telah meranapkan demokrasi, ekonomi dan sosial di negara-negara miskin dan membangun seperti Iraq, Afghanistan, semata-mata kerana negara-negara ini tidak tunduk dengan kehendak kapitalis AS.

Justeru itu, kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa tidak harus percaya dengan ‘air mata buaya’ pemerintah AS, dan sebagai ganti harus mendapatkan sokongan dan solidariti daripada kelas pekerja dan anak muda di AS yang juga ditindas oleh elit politik dan kapitalis negara mereka.

Baru-baru ini segolongan pelajar telah melancarkan ‘Tangkap Pegawai Rasmi Malaysia No. 1’ untuk menentang penyelewengan dalam 1MDB. Solidariti Pekerja memberikan sokongan kepada hak demokrasi dan kebebasan untuk membuat bantahan. Pada masa yang sama, sokongan daripada kelas pekerja, anak muda dan golongan tertindas yang lain juga perlu untuk membuat satu perubahaan berlandaskan kepada keperluan dan hak demokrasi rakyat biasa. Alternatif kepada kapitalisme juga perlu dibina untuk membawa agenda kelas pekerja dan anak muda. Melalui langkah sebegini satu gerakan massa yang bebas daripada cengkaman politik kapitalisme mampu dibina.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *