Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Pada 4 Mac yang lalu, Mahathir bersama pemimpin parti-parti pembangkang, beberapa NGO dan individu-individu tertentu mengumumkan ‘Deklarasi Rakyat’ untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Matlamat utama mereka seperti diketahui umum adalah untuk mendesak Najib yang semakin autokratik dengan skandal 1MDB dan derma 2.6 billion untuk meletakkan jawatan. Mengembalikan hak demokrasi dan kebebasan bersuara yang semakin dikongkong dengan akta hasutan dan undang-undang lain juga dikatakan akan menjadi agenda gabungan ini. Manakala keadaan ekonomi negara yang semakin rapuh, dan tekanan sosial yang semakin meningkat ke atas rakyat biasa juga dijustifikasi sebagai alasan.

Kepincangan dalam UMNO

Najib walaupun telah memperkukuhkan cengkaman kuasa dalam UMNO, kepopularan di kalangan rakyat biasa semakin jatuh. Tindakan Mahathir untuk berkerjasama dengan pembangkang dijangka boleh mencetuskan konflik dalaman yang baru untuk menyelamatkan UMNO daripada kehilangan lebih banyak sokongan terutamanya di kawasan luar bandar. Dalam keadaan ini Najib boleh mempergunakan akta hasutan dan undang-undang tertentu untuk mendiamkan tentangan-tentangan yang wujud.

Tetapi, realitinya, Mahathir adalah pencetus kepada rejim autokratik yang sedang diamalkan oleh Najib. Isu-isu korupsi, konflik dalaman UMNO, masalah sosial dan kepincangan ekonomi yang diketengahkan dalam Deklarasi Rakyat telah wujud semenjak era pemerintahan Mahathir. Segolongan anak muda dan rakyat biasa melihat gabungan pembangkang dan NGO dengan Mahathir ini sebagai satu penderhakaan kepada harapan rakyat yang dilaung-laungkan oleh pemimpin pembangkang dan NGO sebelum ini. Ini kerana Mahathir adalah sebahagian daripada masalah yang wujud pada masa kini, dan langkah ‘Deklarasi Rakyat’ adalah semata-mata untuk kepentingan kuasa elit yang telah diasingkan oleh Najib daripada kepimpinan UMNO. Langkah-langkah tidak demokratik yang sama pernah dipraktikkan oleh Mahathir ketika konflik dalam UMNO dengan Tengku Razaleigh pada 1987 dan dengan Anwar Ibrahim pada 1997 untuk mengukuhkan kuasa dalam UMNO.

anwarmaha
Gambar diambil pada tahun 1997, Anwar Ibrahim merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia masa itu

Hipokrasi Pembangkang dan NGO

‘Kuasa Rakyat Kuasa Keramat’, ‘Biar putih tulang jangan putih mata’ yang pernah dilaung-laungkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Mat Sabu, Tian Chua dan lain-lain kini ternyata satu hipokrasi, dan terbukti hanya retorik politik untuk mengaburi mata rakyat. Pemimpin-pemimpin PKR, DAP, PAN dan PAS yang selama ini mengutuk tindakan-tindakan kejam dan anti-demokratik Mahathir dalam ceramah-ceramah politik mereka kini seolah-olah lupa akan 22 tahun kezaliman dalam pemerintahan Mahathir yang telah meranapkan demokrasi dan melacurkan ekonomi negara kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan untuk mereka mengaut keuntungan maksimum dengan sewenang-wenangnya. Agenda neo-liberalisme Mahathir seperti penswastaan, serangan ke atas hak pekerja dan kesatuan, dan lain-lain telah membebankan kehidupan rakyat biasa dan juga melebarkan jurang kekayaan di mana kurang satu peratus golongan terkaya kini sedang menggondol lebih 70 peratus kekayaan negara.

Anwar Ibrahim yang dihina dengan tuduhan liwat dan dipenjarakan oleh Mahathir dengan mempergunakan jentera-jentera kerajaan seperti polis, kehakiman, peguam akibat konflik dalaman UMNO 20 tahun lalu, kini bersedia untuk bersekutu dengan Mahathir..

Manakala individu seperti Ambiga dan Maria Chin yang pernah memimpin BERSIH atas tuntutan demokrasi dan perubahan pula kini membelakangkan ‘kuasa rakyat’ sambil mengharapkan kerjasama dengan Mahathir untuk perubahan. Manakala Hishammudin Rais yang dianggap berhaluan kiri juga sujud kepada agenda Mahathir dengan mengatakan inisiatif tersebut adalah pendekatan United Front (Barisan Bersatu) untuk menjatuhkan Najib. Ini sama sekali tidak benar di mana pendekatan kiri dalam United Front bertujuan membawa bersama kumpulan-kumpulan kiri dan kesatuan sekerja untuk melawan agenda kapitalisme. Tetapi di sini Hisham dan golongan ‘masyarakat sivil’ sebenarnya berkomplot dengan golongan pro-kapitalis untuk kepentingan elit politik kanan dengan agenda populis untuk mengaburi rakyat.

Pendekatan ‘Asalkan Bukan Najib’ (ABUN) ini adalah bermatlamatkan kelangsungan (survival) politik elit dan untuk menyelamatkan sistem pasaran bebas kapitalisme yang telah didukung oleh parti pemerintah dan pembangkang. Parti pemerintah dan pembangkang akan saling mempergunakan ketidakpopularan dan kelemahan pemerintahan Najib untuk memperkukuhkan kuasa politik mereka. Tetapi ini tidak bermakna mereka akan berkerjasama tanpa konflik dalam mengejar kuasa masing-masing. Kumpulan NGO dengan ‘masyarakat sivil’ hanya membantu merealisasikan kuasa elit-elit politik daripada memperkasakan kuasa rakyat.

Pakatan_Rakyat-Lim_guan_Eng-Anwar_Ibrahim-Mat_SAbu-170814-TMI-AFIF
Anwar Ibrahim bersama kepimpinan lain dari bekas Pakatan Rakyat, Mat Sabu dan Lim Guan Eng. ( Pakatan Harapan )

Kelemahan Pembangkang

Politik parti-parti pembangkang hilang hala tuju dengan perpecahan Pakatan Rakyat, dan pemenjaraan Anwar Ibrahim. Penggantungan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO, dan keluarnya Mahathir sekali lagi daripada UMNO telah meningkatkan konflik dalaman UMNO yang memberikan harapan baru kepada pembangkang. Gabungan pembangkang dengan Mahathir untuk menjatuhkan Najib dan BN mencerminkan bahawa dalam politik oportunis dan pro-kapitalisme, kawan boleh jadi musuh, musuh boleh jadi kawan semata-mata untuk mengilhamkan harapan untuk mendapatkan kuasa.

Mahathir yang dikecam habis-habisan dengan nama diktator, firaun, korup, gila kuasa dan sebagainya akan menjadi kawan sejagat kepada pembangkang untuk menawan Putrajaya seperti mana Anwar Ibrahim dipergunakan oleh PAS dan DAP selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Begitu juga, Mahathir yang diasingkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, kini cuba memperkudakan pembangkang untuk lawan Najib seperti mana Anwar memperkudakan pembangkang untuk lawan Mahathir. Lim Kit Siang pula berkata gabungan anti-Najib perlu meskipun dengan Mahathir untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Langkah mereka adalah semata-mata untuk menyelamatkan sistem pasaran bebas kapitalisme yang semakin rapuh dengan ketidakstabilan politik dan kemelesetan ekonomi. Agenda ‘Selamatkan Malaysia’ mereka sama sekali tidak akan selamatkan rakyat biasa daripada tekanan sosial dan ekonomi yang sedang diharungi akibat polisi-polisi pasaran bebas kapitalisme.

Dengan kemarahan rakyat ke atas UMNO/BN akibat skandal dan korupsi, dan juga tekanan sosial dan ekonomi, tambahan pula dengan konflik dan kelemahan pembangkang, inisiatif Mahathir mungkin boleh mengisi vakum politik yang wujud untuk menyelamatkan sistem politik elit buat sementara waktu, tetapi ini tidak akan memenuhi aspirasi dan keperluan anak muda dan rakyat biasa.

Anak Muda dan rakyat biasa

Ketika Asalkan Bukan UMNO (ABU) dipergunakan oleh beberapa kumpulan kiri seperti PSM, PRM dan beberapa kumpulan liberal beberapa tahun lalu untuk menjatuhkan BN dalam pilihan raya umum, Sosialis Alternatif mengecam tindakan tersebut yang hanya memanfaatkan kehendak elit politik pembangkang daripada mengukuhkan perubahan sosial dan ekonomi tulen yang dikehendaki oleh rakyat biasa. Kini, gabungan Asalkan Bukan Najib (ABUN) atas nama ‘Deklarasi Rakyat’ pula dijangka akan mempergunakan pendekatan yang seakan sama, dan rakyat akan menjadi kuda tunggangan untuk merealisasikan cita-cita mereka.

Sosialis Alternatif secara konsisten telah berpendirian bahawa parti-parti pembangkang dan NGO dengan agenda liberalisme berlandaskan kepada pasaran bebas kapitalisme akan memperjudikan rakyat untuk mencapai kuasa dan agenda politik elit, dan tidak harus dipercayai kerana mereka tidak akan mewakili aspirasi, keperluan dan perubahan yang diimpikan oleh rakyat biasa dan anak muda.

Anak muda dan kelas pekerja yang semakin tidak puas hati dengan politik parti-parti kerajaan dan juga parti-parti pembangkang, perlu membina politik alternatif yang memihak kepada hak dan keperluan mereka. Sebuah kerajaan yang memihak untuk rakyat biasa dan bukan untuk elit-elit politik dan kapitalis harus di bentuk bersama. Hanya melalui gerakan rakyat biasa dengan kepimpinan yang sanggup berpihak kepada aspirasi rakyat dan berlandaskan kepada idea-idea sosialis sebagai alternatif kepada kapitalisme, satu perubahan tulen mampu dicapai.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *