Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Ketika tahun 2020 berakhir, kekecohan dan kucar-kacir yang telah menggegarkan kapitalisme global sedang terus berlanjutan. Tahun ini menjadi titik perubahan dalam sejarah yang mempengaruhi setiap aspek masyarakat. Pengulas dan sejarahwan masa hadapan akan merujuk tahun 2020 dan 2021 sebagai ‘pra-COVID’ dan ‘pasca-COVID’. Pandemik COVID 19, yang telah membawa penderitaan dan kesengsaraan kepada jutaan orang di seluruh dunia telah mendedahkan sifat kapitalisme yang rakus. Pandemik ini hanya bertindak sebagai pemacu utama bagi semua krisis ekonomi, politik dan sosial yang sudah wujud malah sebelum munculnya penyakit ini.

Menghadapi prospek ledakan ekonomi dunia ketika wabak ini melanda, kelas kapitalis telah bertungkus lumus untuk menopang sistem kapitalisme bagi mengelakkan sebuah keruntuhan total. Pada bulan Mac lalu, dengan sekelip mata, kelas pemerintah meninggalkan pegangan neo-liberal mereka dan telah campur tangan dalam urusan ekonomi dan memperkenalkan pakej rangsangan besar-besaran di semua ekonomi kapitalis utama. Akibatnya, hutang global kini sudah mencecah AS $ 277 trilion. Di negara-negara maju, hutang keseluruhan telah melonjak ke 432% daripada KDNK pada suku ketiga tahun lepas dan kemungkinan akan meningkat lebih jauh. Tetapi, perkembangan hutang ini bukan hanya disebabkan oleh wabak COVID. Krisis yang sedang dihadapi oleh kapitalisme telah mengakibatkan jumlah hutang dunia meningkat lebih AS $ 52 trilion sejak 2016.

Namun, di sebalik pakej rangsangan gergasi yang telah diperkenalkan, kapitalisme hanya berjaya mengelakkan sebuah keruntuhan ekonomi yang teruk setakat ini. Walaupun pemulihan ekonomi boleh dirasai untuk sementara waktu, ia akan disusuli oleh kemelesetan ekonomi yang terburuk sejak tahun 1930-an dan akan menghancurkan kehidupan jutaan orang.

Kemelesetan dan kemurungan ekonomi sedang melanda kebanyakan negara dunia, dengan tsunami pengangguran yang tidak terkawal. Dekad baharu ini akan melihat krisis demi krisis yang akan menimpa populasi dunia. Di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, rakyat sedang diserang dengan mimpi-mimpi ngeri yang tiada kesudahan. Di India, pada tahun 2019, 100,000 petani miskin telah membunuh diri akibat keadaan ekonomi yang terdesak. Kemiskinan dan kekurangan pada skala yang tidak dialami selama beberapa generasi juga melanda negara-negara kapitalis yang maju dari segi perindustrian. Sehingga 50 juta rakyat AS mengalami kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mencukupi. Sehingga 30 juta orang menghadapi prospek diusir dari rumah mereka. Di negara-negara seperti Britain, kemiskinan dan kelaparan sedang mengancam kehidupan jutaan rakyat.

Keuntungan kepada si kaya dan penderitaan kepada semua yang lain

Ketika jutaan orang menderita akibat krisis pandemik dan ekonomi, para oligarki kapitalisme moden yang kaya raya telah berjaya mengumpul kekayaan yang amat besar, terutamanya di sektor teknologi yang membawa keuntungan yang lumayan. Kapitalis terkaya di dunia dan pengasas syarikat Amazon Jeff Bezos, kini mempunyai kekayaan bersih sebanyak AS $ 186 bilion. Bezos berjaya meningkatkan kekayaan dia dengan AS $ 149,353 setiap minit! Bezos yang mempunyai aset yang lebih besar berbanding banyak negara miskin, melambangkan kapitalisme abad ke-21. Seperti gurita raksasa, tentakel Amazon melilit planet ini, menyerang kebanyakan aspek kehidupan manusia, dan mengeksploitasi keadaan pekerja yang miskin di seluruh dunia. Kapitalis terkaya kedua di dunia, Elon Musk, telah menyaksikan kekayaannya meningkat sebanyak AS $ 100 bilion pada tahun 2020 kepada AS $ 128 bilion. Antara bulan Mac dan September tahun ini, kekayaan 643 jutawan di AS meningkat sebanyak AS $ 845 bilion. Dalam tempoh yang sama di AS, gaji untuk hampir 80% tenaga kerja jatuh sebanyak 4%. Bahkan sebelum wabak ini melanda, pada tahun 2017, lapan orang terkaya di dunia mempunyai kekayaan yang sama dengan kekayaan pukal separuh daripada populasi dunia. Kemarahan yang dirasai oleh jutaan orang mengenai ketidakadilan yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah kapitalisme akan menjadi faktor penting dalam membentuk ledakan perjuangan yang akan berlaku pada tahun 2021.

Pandemik, kemiskinan dan ketidaksamaan ini wujud berdampingan dengan perkembangan sains dan teknik yang menggambarkan potensi besar yang ada untuk umat manusia pada abad ke-21. Perkembangan vaksin Covid yang telah terhasil dalam hanya jangka masa satu tahun ini menggambarkan potensi kemajuan saintifik yang ada. Perkembangan lain dalam sains, seperti ujian untuk diagnosis awal kanser atau prospek kemajuan komputer kuantum, sememangnya berpotensi untuk mengubah masyarakat. Walau bagaimanapun, kapitalisme tidak dapat menerapkannya teknologi sains atau kekuatan produktif ini dengan cara yang akan menguntungkan umat manusia. Kapitalisme kini berada dalam jalan buntu dan merupakan halangan utama yang sedang menghambat kemajuan manusia. 

Jurang kaya miskin vaksin

Jurang kaya miskin yang besar di antara kelas dan di antara negara-negara dunia juga akan tercermin dengan pengagihan vaksin. Kira-kira 90% penduduk di tujuh puluh negara termiskin dunia tidak akan mendapat vaksin pada tahun 2021. Pada masa yang sama, negara-negara kaya telah membeli vaksin Covid yang cukup untuk tiga kali ganda populasi mereka untuk tahun 2021. Walaupun dalam negara-negara kaya, peruntukan vaksin akan menjadi sebuah tanda tanya dan akan dipergunakan untuk meningkatkan keuntungan para kapitalis farmaseutikal. 

Pergolakan politik yang menggegarkan dunia pada tahun 2020 telah berkembang dengan laju. Polarisasi, dengan unsur-unsur perang saudara di Amerika Syarikat (AS), yang berkembang semasa pilihan raya Presiden AS merupakan cerminan kepada krisis yang sedang mencengkam imperialisme AS pada waktu ini. Polarisasi kelas dalam masyarakat AS kini harus menjadi tujuan utama untuk membangun sebuah parti massa untuk kelas pekerja. Walaupun Biden berjaya mengalahkan Trump, parti Demokrat korporat pro-kapitalis yang diwakilinya tidak akan menawarkan jalan keluar daripada krisis kapitalisme AS atau mengakhiri penderitaan yang sedang dihadapi oleh jutaan pekerja Amerika. Perjuangan-perjuangan baru akan pasti meletus di AS di bawah Presiden Biden. Oleh itu, usaha untuk membangun parti baru untuk kelas pekerja bagi mempertahankan hak mereka merupakan tugasan utama yang menghadapi rakyat AS pada waktu ini.

Peningkatan penindasan 

Kelas pemerintah telah menggunakan krisis COVID untuk memperkenalkan kaedah-kaedah yang lebih autoritarian. CWI menyokong semua langkah untuk mempertahankan kesihatan dan melindungi semua pekerja dan penduduk secara keseluruhan. Namun, pemerintah kapitalis telah memperkenalkan langkah-langkah penindasan untuk menyerang hak-hak pekerja dan mencuba untuk mencegah demonstrasi dan perjuangan massa daripada berlaku. Menurut laporan V-Dem Institute, pada tahun 2020, sebanyak 92 negara yang merangkumi sebanyak 54% penduduk dunia kini diperintah oleh bentuk kerajaan yang “autokratik”. Perjuangan untuk mempertahankan hak demokratik rakyat biasa kini menjadi isu penting bagi kelas pekerja sedunia. Penindasan keji yang dilakukan oleh rejim yang autokratik di India, Sri Lanka, Chile, dan negara-negara lain adalah sangat kejam. Percubaan kerajaan Macron di Peranchis  untuk memperkenalkan undang-undang yang tidak demokratik telah menarik ratusan ribuan rakyat biasa ke jalan raya dalam satu protes besar-besaran. 

2020 menyaksikan ancaman yang semakin meningkat di beberapa negara yang diperintah oleh populis sayap kanan dan peningkatan kekuatan fasis yang menimbulkan ancaman serius. Pemerintah sayap kanan, seperti Modi di India dan Bolsonaro di Brazil, telah mempergunakan pandemik ini sebagai alasan untuk memperkenalkan serangan yang kejam terhadap hak pekerja dan penindasan yang tidak demokratik. Sebelum bermulanya wabak Covid pada November 2019, kuasa sayap kanan di Bolivia telah melakukan kudeta terhadap pemerintah Morales dan berusaha untuk memperkenalkan polisi-polisi penindasan dan serangan terhadap hak kelas pekerja dan masyarakat pribumi.

Amerika Latin dilanda dengan gerakan massa dan pergolakan, terutamanya bagi melawan pemerintah-pemerintah populis sayap kanan. Sebuah tunjuk perasaan besar-besaran di Peru berjaya menjatuhkan tiga presiden dalam seminggu. Colombia telah menyaksikan mogok umum dan mogok di kalangan pekerja lombong. Pemerintah Guatemala terpaksa menarik balik perancangan untuk melaksanakan pakej penjimatannya berikutan protes besar-besaran dari rakyat. Pilihan raya di Bolivia, berikutan mogok besar-besaran, telah menyaksikan parti MAS dan Evo Morales kembali berkuasa dan mengalahkan parti-parti sayap kanan. Bolsonaro mengalami kekalahan hebat dalam pilihan raya tempatan Brazil baru-baru ini. Walaupun parti kapitalis tradisional telah kembali, parti sosialis radikal PSOL telah memperoleh sokongan kuat di kawasan bandar-bandar besar. Mereka menduduki tempat kedua di negeri terbesar Sao Paulo misalnya. Perkembangan ini membuka lembaran baru dalam perjuangan kelas pekerja untuk membina alternatif sosialis untuk memerangi rejim Bolsonaro di Brazil.

Pilihan raya di Venezuela juga menyaksikan kekalahan untuk kuasa sayap kanan dan imperialisme. Imperialis AS juga gagal untuk menyingkirkan rejim Maduro walaupun dalam keadaan kejatuhan ekonomi, korupsi dan birokrasi yang mencekik rakyat. Imperialisme AS sebahagiannya menanggung kerugian akibat langkah presiden Trump. Sokongan Trump terhadap pembangkang sayap kanan dan ancaman campur tangan AS untuk menggulingkan Maduro menimbulkan reaksi besar di kalangan rakyat jelata dan memainkan peranan penting yang membolehkan Maduro terus berkuasa. Ini terjadi selepas Maduro juga telah menindas pekerja yang telah berjuang melawan pemerintahannya dan mencabar parti pemerintah (PSUV).

Di India, rejim nasionalis Hindu yang ganas di bawah Modi kini sedang menghadapi penentangan balas. Mogok besar pada bulan Disember yang melibatkan lebih 250 juta pekerja, diikuti oleh tunjuk perasaan dari jutaan petani miskin yang sedang menghadapi situasi terdesak. Mereka hanya mempunyai pilihan untuk melawan atau menghadapi kemiskinan yang membunuh. Gerakan massa ini juga membuka lembaran baru dalam perjuangan menentang rejim Modi.

Rejim Erdogan di Turki, walaupun menggunakan campur tangan ketenteraannya yang semakin meningkat untuk memperluas pengaruhnya dan meningkatkan nasionalisme, juga menghadapi tekanan dan penentangan. Mogok dan tunjuk perasaan oleh para pekerja, termasuk perarakan oleh pelombong dan pekerja logam di ibu kota Ankara, telah memaksa pihak pemerintah untuk berundur dari melakukan pemotongan dana kebajikan bagi rakyat umum. Gerakan-gerakan ini dan yang lain, seperti mogok umum di Indonesia menjelang akhir tahun 2020, sedang terjadi pada saat pemberontakan massa yang sedang melanda Nigeria, Lebanon, Iraq, Belarus, Thailand, dan negara-negara lain. Gerakan Black Lives Matter di AS, Britain dan di banyak negara lain adalah juga merupakan sebahagian daripada gerakan sosial ini.

Keperluan untuk alternatif sosialis

Krisis ekonomi global yang dihadapi kapitalisme pada tahun 2020 tidak akan dapat diatasi pada tahun 2021. Akibatnya, ia akan memberi kesan yang besar kepada kehidupan jutaan penghuni dunia pada tahun ini dan di tahun-tahun yang akan datang. Kengerian perang dan kemiskinan akan meningkat pada tahun 2021. Begitu juga dengan kekacauan sosial dan politik. Kapitalisme telah memasuki era krisis baru yang belum pernah terjadi sebelumnya. Era baru ini akan dipenuhi dengan ketidakpastian politik, sosial, ekonomi dan hubungan geopolitik. Namun, krisis kapitalisme global pada abad ke-21 ini juga memerlukan sebuah penyelesaian global. Dunia harus memutuskan hubungannya dengan kapitalisme, dengan objektif untuk mewujudkan ekonomi terancang sosialis yang demokratik di peringkat antarabangsa.

CWI telah menganalisa krisis yang berlaku pada tahun 2020 dan telah menggariskan beberapa kemungkinan yang boleh berlaku. Pada masa yang sama, analisis CWI juga berjalan berdampingan keterlibatan anggota kami secara aktif dalam perjuangan harian rakyat biasa dan kelas pekerja. Di London, anggota Parti Sosialis mempelopori perjuangan untuk memperkenalkan langkah-langkah keselamatan untuk melindungi pemandu bas dari COVID dan untuk pekerja kesihatan dan pekerja lain di barisan hadapan. Di Ireland, mogok-mogok yang berlaku pada tahun 2020 telah menyaksikan anggota CWI terlibat secara aktif dan mengangkat perjuangan para pekerja. Tunjuk perasaan dan gerakan massa yang berlaku di Nigeria, India, Chile, Afrika Selatan dan tempat lain, telah menyaksikan penyertaan oleh anggota dan penyokong CWI, yang membawa seruan demi membina sebuah gerakan massa untuk memperjuangkan nasib rakyat dan untuk melawan serangan daripada kuasa-kuasa sayap kanan. Di AS, penyokong CWI memperjuangkan dasar sosialis dan menyokong kempen pilihan raya presiden Howie Hawkins. Di Jerman dan Perancis, anggota CWI telah menjadi peserta aktif dalam tunjuk perasaan dan perjuangan pekerja dalam menentang kerajaan yang kejam. 

2021 akan membawa peluang baru. Lapisan daripada pekerja dan belia yang lebih militan akan mencari alternatif dan berjuang untuk mencari jalan untuk melepaskan diri dari sistem kapitalis yang sedia ada. CWI juga mempunyai tugas pada tahun 2021 untuk memberikan analisis mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku dan untuk turut serta di dalam perjuangan untuk membawa sosialisme. Analisa dan kerja kami adalah senjata yang sangat diperlukan untuk membantu para pekerja dan anak muda untuk membuat kesimpulan yang diperlukan mengenai cara untuk mengakhiri dunia kapitalisme dan menggantinya dengan alternatif sosialis. Ini merupakan satu-satunya peluang bagi umat manusia untuk membebaskan diri daripada cengkaman para kapitalis minoriti dan untuk membina sebuah masa depan yang sejahtera bagi semua. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *