ADAKAH EKONOMI MALAYSIA SEMAKIN KUKUH SELEPAS 20 TAHUN KRISIS KEWANGAN ASIA?
20 tahun yang lalu, krisis kewangan Asia yang bermula di Thailand pada 2 Julai 1997, merebak ke kebanyakan negara-negara di Asia termasuk Malaysia. Akibat krisis ini, ribuan pekerja kehilangan pendapatan apabila syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan gulung tikar, sekaligus meranapkan kehidupan rakyat biasa. Seramai 10400 orang di Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan bunuh diri disebabkan tekanan hidup akibat krisis ini.
Krisis ini telah membuktikan bahawa, walaupun negara-negara membangun seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand digambarkan sebagai ‘ekonomi harimau’ akibat kepesatan ekonomi pada era 1990an, ternyata masih tidak selamat dan amat terdedah kepada percaturan ekonomi yang dikongkong oleh kapitalisme global. Krisis ini sebenarnya dicetuskan oleh pemodal dan pelabur antarabangsa yang berniat semata-mata untuk mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi pertumbuhan ekonomi yang pesat di Malaysia dan di negara-negara lain di rantau ini.
Polisi-polisi kerajaan di bawah Mahathir pada 1980an dan 1990an membenarkan kapitalis antarabangsa memperjudikan modal mereka di Malaysia dengan harapan melipatgandakan keuntungan. Kapitalis antrabangsa terutama di Amerika dan Eropah membawa masuk kredit murah yang diperolehi di negara mereka untuk melabur di Malaysia termasuk dalam saham. Anwar dan Najib yang berada dalam kerajaan Mahathir telah bersama-sama mempertahankan agenda dan polisi yang digariskan oleh kerajaan Mahathir.
Mahathir juga memberikan harapan bahawa dengan pertumbuhan ekonomi iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam 7 peratus, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020. Tetapi, selepas krisis 1997 sehingga sekarang, Malaysia tidak mampu mencapai pertumbuhan 7 peratus seperti yang dikehendaki untuk mencapai wawasan 2020. Kini Najib yang mempergunakan kaedah Mahathir pula membawa Transformasi Nasional 2050 dengan harapan ‘melakar wajah baru Malaysia 30 tahun lagi’ sepertimana Mahathir dengan wawasan 2020 menjanjikan satu negara maju. Krisis kewangan 1997 menjelaskan bahawa polisi-polisi seperti wawasan 2020 mahupun TN2050 hanyalah retorik politik yang dipermainkan oleh kerajaan pemerintah untuk memperkukuhkan agenda kapitalisme tanpa menyelesaikan konflik dan percanggahan yang wujud dalam sistem ini.
Pada era ‘ekonomi harimau’, matawang ringgit juga telah menjadi alat spekulasi kapitalis antarabangsa di mana mereka membeli ringgit dengan banyak dengan harapan untuk mengaut keuntungan apabila nilai ringgit semakin kukuh. Pada 1997, apabila produksi bahan mentah dan barangan buatan berlebihan berbanding dengan permintaan daripada luar negara, yang mana menandakan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, nilai matawang juga merosot. Untuk mengelakkan kerugian, keadaan ini dipergunakan oleh kapitalis matawang antarabangsa untuk menjual matawang secara besar-besaran. Ini telah menyebabkan nilai matawang rantau ini termasuk ringgit jatuh dengan teruk. Keadaan ini juga dijadikan alasan oleh syarikat-syarikat antrabangsa di negara ini untuk melarikan modal mereka ke luar negara. Ini yang menjadi landasan kepada Krisis kewangan 1997.
Persoalannnya mampukah ekonomi Malaysia yang bergantung kepada pelaburan dan ekspot terus pesat tanpa sebarang gangguan ? Realitinya, seperti pada masa kini, ketika krisis tersebut juga kebanyakan pelaburan yang dijana oleh kerajaan adalah daripada kapitalis-kapitalis antarabangsa, dan kebanyakan barangan keluaran negara pula perlu dijual ke negara-negara lain untuk memastikan ekonomi negara terus bertahan. Ini bermakna, prestasi ekonomi negara adalah di bawah kawalan kapitalis-kapitalis antarabangsa serta negara-negara yang mengongkong ekonomi dunia seperti Amerika dan Eropah, dan kini China. Apabila modal yang di bawa masuk ke negara ini tidak menjanakan keuntungan yang dikehendaki, maka mereka akan membawa keluar untuk melabur ke negara yang lebih menguntungkan.
Satu demi satu kerajaan dijatuhkan melalui pemberontakan rakyat akibat kesan ekonomi dan sosial yang teruk akibat krisis tersebut. Krisis ini juga telah mencetuskan pertaruhan kuasa di antara Mahathir dan Anwar. Anwar melancarkan gerakan reformasi apabila Mahathir memecatnya daripada kerajaan dengan tuduhan rasuah dan seksual. Gerakan reformasi yang mendapat sokongan daripada masyarakat kelas menengah dan anak muda tidak dapat menjatuhkan Mahathir sepertimana di negara-negara lain seperti Indonesia yang mampu menjatuhkan kerajaan diktator Suharto dengan penglibatan rakyat yang lebih menyeluruh termasuk kelas pekerja.
Salah satu percanggahan yang wujud di antara Mahathir dengan Anwar pada ketika itu adalah pendekatan yang perlu untuk menanggani krisis kewangan tersebut. Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu mengesyorkan perkhidmatan IMF (Badan Kewangan Antarabangsa) untuk menanggani krisis ekonomi di Malaysia sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia dan Thailand. Dengan campurtangan IMF di negara-negara seperti Indonesia dan Thailand, keadaan ekonomi dan kehidupan rakyat bertambah teruk dengan agenda penswastaaan dan liberalisasi yang lebih luas yang dilaksanakan oleh IMF. Walaupun pendekatan Mahathir dengan kawalan modal dan dengan menetapkan nilai ringgit telah mengelakkan krisis yang lebih teruk, struktur ekonomi Malaysia masih terdedah kepada perubahan dalam ekonomi global.
Ironinya, kini Anwar dan Mahathir berganding bahu untuk menjatuhkan Najib pula dalam PRU14 dengan nama untuk menyelamatkan Malaysia. Tetapi sebenarnya , agenda pasaran bebas kapitalisme yang telah didukong oleh Mahathir dan Anwar pada era 1990an, telah diteruskan oleh Najib. Anwar dan Mahathir kini hanya berniat untuk menyelematkan kapitalisme dengan nama reformasi, tetapi ini tidak akan menyelesaikan keperluan dan hasrat rakyat biasa. Krisis kewangan 1997 telah menjadi asas kepada ketidakstabilan politik, jurang kaya-miskin yang semakin melebar dan hutang isirumah yang semakin meningkat pada masa kini. Sepertimana 1997, ekonomi Malaysia yang masih berlandaskan kepada pelaburan dan ekspot, masih terdedah kepada kepincangan yang wujud dalam ekonomi global. Ekonomi Malaysia pada ketika ini yang sangat bergantung kepada China untuk pelaburan dan perdagangan juga boleh tergugat dengan teruk jika krisis tercetus di China.
Sosialis Alternatif percaya bahawa hanya dengan perancangan ekonomi secara demokratik yang dikawal oleh rakyat dengan kerajaan yang berhasratkan keperluan dan hak rakyat berlandaskan sosialisme sahajalah satu perubahan tulen mampu dibentuk. Kerajaan sebegini hanya boleh dibina dengan kepimpinan politik yang berlandaskan kepada kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa.