Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Satu perarakan Hari Mei diadakan di Kuala Lumpur, di mana Sosialis Alternatif dengan membawa slogan “Mantapkan Perjuangan…Kukuhkan Kesatuan, Lawan Kapitalisme…Bina Alternatif” juga telah melibatkan diri dalam perarakan tersebut yang diorganisasi di bawah Jawatankuasa Satu Mei dengan tuntutan ‘Laksanakan Tabung Pemberhentian Pekerja’. Di kebanyakan negara, perarakan-perarakan sebegini dengan penglibatan pekerja yang lebih ramai akan dipelopori dan dipimpin oleh kesatuan-kesatuan sekerja, dengan desakan dan tuntutan terhadap kerajaan pemerintah. Ini juga adalah tradisi kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini untuk sekian lama sebelum dikuburkan oleh kepimpinan yang lebih bertolenrasi kepada kehendak kerajaan dan majikan.

Manakala, BN dan Najib yang ingin mempergunakan peluang Hari Buruh ini untuk mempengaruhi undi pekerja dalam PRU14, menaburkan beberapa janji-janji manis di dalam satu perhimpunan di Putrajaya. Najib berucap “Apa yang menarik di Malaysia berbanding di negara-negara lain ialah Hari Buruh diraikan dengan harmoni dan aman, tidak dengan kontroversi, konfrontasi atau sekalipun dengan pergolakan “. Harapan kerajaan amat jelas dan amat suka dengan keadaan gerakan pekerja yang lemah, dan sikap kesatuan sekerja di negara ini yang tidak mampu mempertahankan dan memantapkan hak pekerja, walaupun berbagai agenda untuk menghakis hak pekerja telah dibawa oleh kerajaan. Harapan kerajaan sehaluan dengan harapan kapitalis nasional dan internasional yang ingin memerah tenaga buruh untuk memaksimumkan keuntungan.

Pakatan Harapan juga tidak ketinggalan dalam mempergunakan peluang Hari Buruh dengan mengeluarkan kenyataan ‘populis’ untuk memberikan harapan kepada 14 juta pekerja di negara ini bahawa dengan pemerintahan PH, masa depan pekerja akan cerah. Mereka meletakkan slogan seperti ‘mansuhkan GST’, ‘mansuhkan kroni kapitalisme’ dan sebagainya semata-mata untuk menawan Putrajaya. Dengan krisis kapitalisme yang sedang berlanjutan pada masa kini, program ekonomi dan sosial yang berlandaskan hak dan keperluan rakyat hanya boleh dilaksanakan dengan agenda alternatif kepada sistem pasaran bebas yang telah menjadi ‘isi dan kuku’ dengan kroni kapitalisme. Ini bukan agenda PH yang ingin terus mempergunakan agenda ‘populis’ sepertimana dalam PRU12 dan PRU13, tetapi tidak mampu dikotakan janji sekalipun di negeri-negeri pemerintahannya seperti Selangor dan Pulau Pinang.

BN dan PH secara jelas mengetahui kuasa undi pekerja, dan akan terus mempergunakan isu-isu pekerja untuk agenda politik mereka semata-mata untuk memperbodohkan pekerja untuk matlamat kuasa pemerintahan mereka. Selagi tiada alternatif kepada kelas pekerja dan rakyat biasa, mereka akan menjadi alat permainan politik kepada parti-parti kapitalis. Sebab itu kami telah berhujah bahawa politik alternatif yang bebas dan berlandaskan hak dan keperluan pekerja perlu dibina oleh kesatuan sekerja bersama anak muda dan masyarakat tertindas yang lain, selain memperjuangkan hak-hak ekonomi dan sosial pekerja.

Di mana MTUC yang mewakili 800,000 pekerja dan hampir 400 kesatuan sekerja di negara ini dalam Hari Mei Satu tahun ini ? Adakah kepimpinan baru yang dianggap lebih ‘mantap’ lupa sejarah Hari Mei atau seperti keinginan kerajaan MTUC juga ingin melihat gerakan pekerja dan kesatuan sekerja terus lemah di negara ini? Sepertimana yang diketahui, MTUC telah memperjuangkan hak perlunya cuti umum pada 1 Mei untuk memperingati perjuangan pekerja, yang mana hanya ditunaikan oleh kerajaan pada 1972 selepas desakan demi desakan. Dengan matlamat murni tersebut, seharusnya MTUC mempergunakan 1 Mei untuk meletakkan tuntutan pekerja serta langkah-langkah konkrit untuk membina kesatuan sekerja dan gerakan pekerja di negara ini. Tetapi, malangnya tiada perarakan dan perhimpunan yang pernah menjadi tradisi kesatuan sekerja di negara ini, dijadikan sebagai satu platform penting untuk membina solidariti serta memantapkan perjuangan pekerja.

Ini menunjukkan hanya dengan menukar satu kepimpinan lama kepada satu kepimpinan yang baru sahaja tidak mencukupi untuk membawa kesatuan mara ke hadapan. Perlu satu kepimpinan yang sanggup berjuang serta meletakkan agenda pekerja di hadapan yang mampu membina gerakan pekerja serta kesatuan yang lebih mantap untuk melawan agenda kapitalisme yang di bawa oleh kerajaan.

Akhbar Solidariti Pekerja : Satu-satunya akhbar pekerja di Malaysia yang memberikan analisa ekonomi, sosial dan politik dari perspektif kelas pekerja. Dapatkan senaskah di kempen-kempen solidariti pekerja yang dianjurkan oleh kami. Klik gambar untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai akhbar ini di laman FB Solidariti Pekerja.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *