Isu pelatih industri yang tidak dibayar gaji atau dibayar rendah di Malaysia bukan sekadar kegagalan etika; ia merupakan masalah sistemik yang mendedahkan kezaliman eksploitasi sistem kapitalisme. Pelatih industri adalah pekerja — sama seperti pekerja sepenuh masa di dalam syarikat, pelatih industri juga tertakluk di bawah ketetapan polisi dan undang-undang syarikat seperti jam bekerja dan skop pekerjaan syarikat. Oleh itu, mereka berhak menerima gaji dan perlindungan yang setimpal seperti pekerja sepenuh masa yang lain. Namun, ketiadaan perlindungan undang-undang bagi pelatih industri di Malaysia mencerminkan operasi pasaran buruh yang menganggap pekerja boleh ‘dipakai-buang’, sambil mengekalkan kitaran eksploitasi terhadap pelatih industri di bawah topeng ‘peluang’ dan ‘latihan’. Kitaran ini amat menguntungkan syarikat terutama CEO dan pihak majikan.
Gaji Minimum untuk Semua Pekerja, dan Pelatih Industri (Intern) Juga Pekerja!
Pelajar bernama Rashifa memuat naik gambar bersama bersama sepanduknya – mencadangkan pelatih interndibayar gaji minima RM 1500 (2023)
I
su pelatih industri yang tidak dibayar gaji atau dibayar rendah di Malaysia bukan sekadar kegagalan etika; ia merupakan masalah sistemik yang mendedahkan kezaliman eksploitasi sistem kapitalisme. Pelatih industri adalah pekerja — sama seperti pekerja sepenuh masa di dalam syarikat, pelatih industri juga tertakluk di bawah ketetapan polisi dan undang-undang syarikat seperti jam bekerja dan skop pekerjaan syarikat. Oleh itu, mereka berhak menerima gaji dan perlindungan yang setimpal seperti pekerja sepenuh masa yang lain. Namun, ketiadaan perlindungan undang-undang bagi pelatih industri di Malaysia mencerminkan operasi pasaran buruh yang menganggap pekerja boleh ‘dipakai-buang’, sambil mengekalkan kitaran eksploitasi terhadap pelatih industri di bawah topeng ‘peluang’ dan ‘latihan’. Kitaran ini amat menguntungkan syarikat terutama CEO dan pihak majikan.
Kami berhujah bahawa perjuangan gaji minimum bagi pelatih industri tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan melawan eksploitasi kapitalisme secara menyeluruh. Meskipun kami amat mengalu-alukan sebarang reform untuk membela hak pelatih-pelatih industri, namun kami juga sedar bahawa reform yang digerakkan oleh kelas kapitalis pasti tidak akan membawa sebarang jaminan yang kukuh. Terutama apabila krisis ekonomi, reform ini boleh ditarik balik melalui pelbagai cara. Seperti menambah syarat dan terma untuk melayakkan individu mendapat hak selayaknya sebagai pekerja. Isu gaji bagi pelatih industri bukan saja harus diperjuangkan oleh graduan dan anak muda, tetapi semua pekerja.
Realiti eksploitasi pelatih industri di Malaysia
Pelatih industri di Malaysia merangkumi hampir 5% tenaga buruh di dalam negara. Namun mereka berada dalam kedudukan yang rapuh kerana tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. Ini menjadikan mereka tidak berhak secara sah terhadap gaji minimum atau perlindungan yang tertakluk di dalam akta sebagai pekerja. Ini bermakna situasi mereka bergantung sepenuhnya kepada budi bicara majikan, dan menyebabkan ramai di antara majikan yang mengambil kesempatan daripada kekosongan undang-undang ini untuk memaksimumkan keuntungan.
Pada tahun 2019, kerajaan menetapkan elaun minimum sebanyak RM900 untuk pelatih industri di jabatan kerajaan persekutuan. Namun nasib ini tidak sama bagi pelatih industri di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta yang mengambil majoriti daripada kumpulan pelatih industri ini. Masing-masing hanya digalakkan oleh kerajaan untuk membayar sekurang-kurangnya RM800 elaun bulanan. Dan pematuhan sektor swasta adalah secara sukarela. Meskipun Institut Khazanah telah mengeluarkan kajian bahawa pada tahun 2019, sebanyak 68.6% daripada pelatih industri menerima elaun bulanan berbanding pada tahun 2010 iaitu 56.2%. Tetapi disebabkan kedudukan mereka yang tidak dianggap sebagai pekerja yang sah, mereka menerima elaun hanya sekitar RM 300 ke RM 900 sahaja. Situasi ini memerangkap para pelatih industri dalam situasi yang daif kerana realiti alam pekerjaan walaupun berstatus pelatih industri dan terikat dibawah kontrak syarikat, mereka perlu menempuhi pekerjaan itu sama seperti pekerja yang lain.
Mereka pekerja perlu berbelanja untuk pengangkutan ke tempat kerja, mendapatkan pakaian yang sesuai di tempat kerja, dan pelbagai lagi keperluan untuk menempuhi alam pekerjaan. Situasi ini mungkin berbeza bagi pelatih industri kelas menengah yang mempunyai sokongan ekonomi terutama daripada ahli keluarga terdekat. Misalnya dari segi perbelanjaan rumah sewa dan pengangkutan ke tempat kerja. Namun bagi situasi pelatih industri dari keluarga kelas pekerja dan miskin yang mempunyai kekangan ekonomi, situasi untuk menempuhi latihan industri adalah lebih sukar. Pada tahap ini, ada yang berhujah bahawa inilah pengorbanan mahasiswa sebelum mendapat segulung ijazah demi mendapatkan pekerjaan yang baik atau masa depan yang lebih cerah. Tetapi realitinya, 56% pekerja menerima gaji di bawah gaji kehidupan wajar iaitu RM3,047 sebulan, manakala 47% menerima gaji di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan iaitu RM2,589 sebulan.
Tambahan lagi, laporan Statistik Siswazah pada tahun 2022 menunjukkan purata gaji graduan yang baru memasuki pasaran buruh, telah berkurang daripada RM2,066 sebulan pada tahun 2019 kepada RM1,624 pada tahun 2022. Jadi ini bukan soal pengorbanan bagi pelatih industri, tetapi eksploitasi terhadap gaji yang sistemik terhadap kelas pekerja melalui pelbagai syarat dan regulasi yang hanya menguntungkan kelas pemodal dan majikan. Ditambah lagi dengan beban membayar hutang pendidikan seperti PTPTN. Logik pasaran buruh dalam sistem kapitalisme yang mencanang idea bahawa tahap pendidikan dan pengalaman kerja akan dapat memastikan pekerjaan yang lebih baik telah dipergunakan oleh kelas kapitalis untuk menjerat anak muda kedalam hutang pendidikan. Lantaran bebanan ini, ramai anak muda yang terpaksa memilih untuk bekerja dua kerja dalam satu masa untuk menanggung beban ekonomi seperti dalam sektor gig penghantaran makanan atau servis pengangkutan.
Isu gaji bagi kelas pekerja samaada muda atau berpengalaman amat berkait dengan campur tangan kerajaan dalam menetapkan dan meregulasi gaji bagi pekerja. Berkait rapat dengan isu ini juga adalah persoalan jam bekerja dan inflasi harga barangan keperluan termasuk harga rumah, kos kesihatan, serta pengangkutan jalan bagi kelas pekerja. Tetapi kerajaan, seperti yang dijelaskan oleh Karl Marx, tokoh bersejarah sains sosial dalam kritikannya terhadap sistem ekonomi kapitalisme menjelaskan bahawa kerajaan merupakan alat kelas pemerintah, terhasil dalam masyarakat kelas dan berfungsi untuk mengukuhkan struktur kelas sedia ada. Ini bermakna kelas kapitalis sebagai kelas yang mempunyai kuasa dalam sistem ekonomi kapitalisme dari segi pemilikan kilang, bahan mentah dan sebagainya untuk menetapkan hala tuju kerajaan dari semua aspek. Misalnya dalam peningkatan gaji minimum RM 1700 pada Februari 2025, meskipun ini satu berita baik bagi kelas pekerja, tapi realitinya ia tidak sepadan dengan keperluan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama bagi anak muda.
Seperti kos harga rumah, jika dibandingkan purata harga rumah kos rendah pada tahun 2013 yang purata berharga RM 45 000, kini berharga RM 300 000. Peningkatan sebanyak 365% sementara gaji minima pertama pada tahun 2013 iaitu RM 900 bagi semenanjung dan RM 800 bagi Sabah dan Sarawak kini selaras pada tahun 2025 ke RM 1700, peningkatan adalah sekitar 88% sahaja. Begitu juga dengan kos kesihatan awam yang sedang melalui krisis yang semakin mendalam. Meskipun caj seringgit masih diteruskan sehingga kini, tetapi servis kesihatan, infrastruktur dan ubat-ubatan tidak setaraf dengan perkembangan populasi dan kepakaran sehingga menyebabkan rakyat terpaksa bergantung dengan servis kesihatan swasta yang lebih mahal. Situasi ini menjerat anak muda lepasan pendidikan tinggi atau latihan kemahiran ke dalam kitaran yang eksploitatif dan penindasan sistemik terhadap kelas pekerja.
Perjuangan gaji untuk pelatih industri sebagai perjuangan kelas pekerja
Mencabar logika sistem ekonomi kapitalisme yang berasaskan eksploitasi untuk mengekstrak nilai buruh sambil meminimumkan kos untuk memaksima keuntungan kelas kapitalis harus dicabar dengan sebuah perjuangan politik yang berasaskan solidariti kelas pekerja, dan berjuang untuk memastikan politik kelas pekerja sebagai kuasa yang dapat mempertahan peningkatan-peningkatan progresif dalam kerajaan. Dan status pelatih industri harus dianggap sebagai sebahagian dari kelas pekerja kerana penindasan gaji terhadap golongan ini merupakan taktik kelas kapitalis untuk memecahkan kelas pekerja agar dapat menekan gaji demi keuntungan kelas kapitalis. Oleh itu, adalah wajar bagi gerakan mahasiswa dan kesatuan sekerja bersama-sama mengangkat perjuangan ini untuk menuntut gaji yang lebih adil dan setaraf dengan keadaan inflasi semasa.
Kongsi artikel ini
Berita & Analisa Berkaitan