KEMPEN GAJI

MINIMUM

Gerakan pekerja dan anak muda untuk gaji minimum RM20 sejam @RM3,600 sebulan!

Dikemaskini // Disember 2024

Ketidaksamaan sosial dan ekonomi di Malaysia sudah mencapai kadar yang membimbangkan. Berikutan kemelesetan ekonomi global pada 2008, golongan kapitalis meneruskan kehidupan mewah mereka manakala majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa masih bergelut dengan kemiskinan.

Laporan terbaru dari Institut Kajian Khazanah menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan kemiskinan mutlak meningkat sebanyak 4.5% pada 2022, iaitu sebanyak 1.3% daripada 2019. Ini mendedahkan ketidakmampuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat dan menyebabkan sebahagian besar rakyat miskin terus terperangkap ke dalam jurang kemiskinan. Diterukkan lagi, pengeluaran skin KWSP telah mengakibatkan sebahagian besar kelas pekerja tidak mempunyai simpanan yang cukup buat hari tua mereka dan meletakkan kelas pekerja di dalam situasi masa depan yang berisiko dan tidak stabil.

Laporan daripada badan kerajaan sendiri seperti Khazanah telah menunjukkan bahawa peningkatan gaji di Malaysia tidak setara dengan pertumbuhan produktiviti negara. Dari 2015 hingga ke 2022, peruntukan yang diagihkan untuk gaji pekerja telah menurun sebanyak 3% manakala untuk keuntungan korporat pula telah meningkat sebanyak 7%. Walaupun golongan pemodal atau kapitalis dilihat membuat untung berbillion-billion ringgit, rakyat biasa terus dibebankan dengan kenaikan harga barang dan pembekuan gaji.

Secara purata, setiap isi rumah kelas pekerja terpaksa membelanjakan kira-kira 44% daripada gaji mereka untuk membayar hutang. Pada tahun 2023, hutang isi rumah telah meningkat sebanyak RM1.53 trillion — bersamaan 84.2% nisbah hutang dengan KDNK. Dengan beban hutang yang tinggi, rakyat Malaysia juga terpaksa menanggung kos pendidikan dan kesihatan yang semakin meningkat. Peningkatan kos perubatan Malaysia sebanyak 14% tahun ini telah mengatasi kadar purata Asia iaitu sebanyak 11.4%.

Selain itu, ketidaksetaraan ekonomi semakin ketara dengan jurang kaya-miskin yang semakin melebar. Pada tahun 2022, 10% daripada penduduk terkaya di Malaysia menguasai lebih daripada 40% daripada kekayaan negara, sementara 40% penduduk paling miskin hanya menguasai sekitar 14% daripada kekayaan tersebut. Ketidakseimbangan ini memperlihatkan ketidakadilan sistem kapitalis yang memusatkan kekayaan di tangan segelintir elit. Sementara rakyat biasa semakin dihimpit, golongan kaya terus menerima faedah melalui pengurangan cukai korporat dan dasar-dasar ekonomi yang berpihak kepada mereka.

Walaupun rakyat Malaysia dengan jelas sedang bergelut dengan kenaikan kos hidup, kerajaan Malaysia, pihak pembangkang dan kapitalis-kapitalis korporat langsung tidak pedulikan nasib mereka. Tidak ada pihak yang berusaha memberikan penyelesaian ataupun jalan keluar bagi permasalahan yang sedang dihadapi. Golongan korporat dilihat menimbun keuntungan manakala kelas pekerja dan rakyat biasa sedang membanting tulang membaiki kehidupan mereka.

Keadaan ini jelas menunjukkan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar, di mana golongan kaya terus memperkukuh kekayaan mereka di atas penderitaan kelas pekerja. Dengan pemimpin politik dan kapitalis lebih mementingkan keuntungan daripada keperluan rakyat, hanya perjuangan kolektif dari kelas pekerja yang mampu menuntut perubahan yang adil dan menjamin kehidupan yang lebih baik untuk semua.

Kami menuntut keadilan sosial dan kehidupan yang bermaruah untuk warga pekerja dan anak muda!

Gaji minimum yang ditetapkan pada masa ini iaitu RM1,700 sebulan (setakat Bajet 2025) adalah tuntutan yang sudah ketinggalan zaman. Malah jumlah ini adalah jumlah yang jauh lebih rendah berbanding jumlah saranan yang telah diberikan oleh Bank Negara Malaysia iaitu sebanyak RM2,700 pada tahun 2018. Malah pada bulan September 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM3,000 untuk semua pekerja di bawah Khazanah Nasional Berhad dan menyatakan harapan agar syarikat-syarikat swasta akan mencontohi tindakan syarikat pelaburan negara tersebut.

Walaupun pihak kerajaan sedang merancang dalam melaksanakan dasar gaji progresif — namun ini tidak akan memberi jaminan bahawa nasib kelas pekerja tidak akan ditindas oleh kelas kapitalis. Kerajaan kononnya ingin memainkan peranan selaku “orang tengah” di antara kelas kapitalis dan juga kelas pekerja — namun realitinya, yang kekal diutamakan tetaplah keuntungan kelas kapitalis itu sendiri. Kerajaan telah memilih untuk mendengar hujah Persatuan Majikan Malaysia yang telah mendesak pihak berkuasa untuk mengurangkan kenaikan kadar gaji minimum dalam tekanan ekonomi dan sosial bagi majoriti isi rumah di Malaysia.

Manakala pihak pembangkang yang masih mendapat habuan elaun dan gaji yang selesa tidak pula merasakan keperluan untuk menuntut kenaikan gaji minimum yang adil bagi rakyat biasa. Kelas pekerja dan rakyat biasa harus sedar bahawa wakil-wakil parlimen tak kira dari PH atau PN hanya mementingkan kuasa dan kebergantungan kepada kepentingan kapitalis-kapitalis korporat.

Perjuangan kelas untuk perubahan ekonomi dan sosial!

Gerakan gaji minimum yang adil adalah untuk menjamin sebuah kehidupan yang bermaruah untuk kelas pekerja. Kempen ini merupakan perjuangan bagi mengangkat hak pekerja yang merupakan tulang belakang kepada pembangunan ekonomi dan sosial untuk negara. Gerakan untuk menuntut gaji minimum perlu mencerminkan masalah-masalah rakyat yang berpunca akibat pembekuan gaji pekerja manakala harga barang dan perkhidmatan asas semakin meningkat.

Selepas mengambil kira pandangan pekerja dan anak muda dari pelbagai sektor dan latar belakang, kami menuntut gaji minimum yang dikuatkuasakan sekarang harus digandakan supaya setara dengan kenaikan harga barang. Berlandaskan kepada maklum balas pekerja dan tekanan sosial dan ekonomi, gaji minimum haruslah sekurang-kurangnya RM3,600 sebulan ataupun RM20 sejam bagi semua pekerja tanpa mengira status, sama ada pekerja tetap atau separuh masa atau pekerja migran. Kami ingin menuntut RM20 sejam bagi semua pekerja tanpa diskriminasi kaum atau jantina supaya pekerja boleh menikmati hidup yang bermaruah.

Ke arah gaji sara hidup yang adil!

Walau bagaimanapun, tuntutan atau kempen RM20 sejam @RM3,600 sebulan hanya merupakan langkah pertama dalam perjuangan ke arah gaji yang lebih setara dengan kerja yang dilakukan. Kadar gaji minimum tersebut juga harus berkembang mengikut kadar inflasi pada masa-masa tertentu. Setiap pekerja layak mendapat gaji sara hidup.

Perjuangan untuk gaji minimum RM20 sejam @RM3,600 sebulan merupakan langkah pertama untuk mengenalpasti masalah kelas pekerja serta anak muda, dan mendorong mereka untuk membebaskan diri dari beban ekonomi.

Pada masa yang sama, banyak daripada pekerjaan bergaji rendah bukan saja menghadapi situasi pekerjaan yang tidak stabil dengan kontrak jam sifar di mana pekerja berisiko untuk dihentikan bila-bila masa, mereka juga dibayar mengikut kadar jam berbanding kadar bulanan yang dianggap lebih tetap, dan disertakan dengan faedah-faedah pekerja. Pekerjaan ini kebanyakannya dilakukan oleh golongan minoriti, pekerja migran dan wanita. Maka perjuangan untuk RM20 sejam @RM3,600 sebulan adalah juga sebuah perjuangan bagi menuntu kesaksamaan sosial.

Sebuah gerakan pekerja dan anak muda harus dibina untuk mencapai tuntutan gaji minimum yang lebih adil. Gerakan ini adalah untuk memperkasakan kelas pekerja dan anak muda serta melibatkan mereka dalam sebuah perjuangan menuntut perubahan.

Rangkaian aktivis dan organisasi progresif yang mempunyai hasrat yang sama harus bergabung untuk melebarkan perjuangan bersama. Anak muda, mahasiswa, pekerja profesional, kelas menengah dan golongan intelektual yang juga tertindas di bawah sistem kapitalisme harus bergabung tenaga dengan kelas pekerja dalam pembinaan gerakan ini.

Kami menuntut:

Pendidikan

Pekerjaan & Kebajikan

Hak & Demokrasi

Solidariti Antarabangsa & Demokratik Sosialisme