PRK Tanjung Piai: BN atau PH, kedua-dua tiada penyelesaian untuk masalah rakyat

PRK Tanjung Piai: BN atau PH, kedua-dua tiada penyelesaian untuk masalah rakyat

Posted by

Pembinaan parti massa berlandaskan hasrat dan keperluan rakyat biasa perlu dimulakan

Pilihanraya Kecil (PRU) kawasan Parlimen Tanjung Piai yang bakal berlangsung pada 16 November ini sedang menjadi medan pertarungan utama di antara parti pemerintah PH dan pembangkang BN yang masing-masing sedang cuba untuk mengukuhkan sokongan daripada rakyat. Parti MCA dan calonnya Wee Jeck Seng yang telah kalah dengan majoriti yang tipis (524 undi) kepada calon parti Bersatu dan PH, pada pilihanraya lepas menaruh harapan untuk merampas kembali kerusi tersebut. PH pula meletakkan calon Karmaine Sardini yang telah bertanding di kerusi parlimen Pontian pada PRU lepas dan kalah dengan majoriti tipis sebanyak 833 undi kepada calon BN.

Kerajaan dan parti pemerintah PH yang telah kalah pada 3 PRK sebelum ini (Cameron Highland, Semenyih dan Rantau) sangat terdesak untuk memenangi PRK ini bagi membuktikan bahawa mereka masih mempunyai sokongan daripada rakyat walaupun telah mengalami beberapa kekalahan sebelum ini. Pada masa yang sama, parti pembangkang BN ingin mempergunakan momentum ini dan kejatuhan sokongan kepada PH untuk mengukuhkan kembali koalisi mereka bagi menghadapi PRU ke 15. Kegagalan PH untuk menunaikan janji-janji PRU lepas menjadi salah satu senjata utama yang sedang dipergunakan oleh pihak BN untuk menampilkan diri sebagai pilihan yang lebih memanfaatkan rakyat. Pada masa yang sama, PH mempergunakan posisi mereka sebagai kerajaan persekutuan bagi menaburkan janji kepada rakyat tempatan Tg Piai bagi menambat sokongan mereka.

Rakyat biasa yang telah marah dengan pemerintahan BN sebelum ini telah berpakat dan memenangkan PH yang telah menaburkan pelbagai janji-janji untuk memperbaiki keadaan sosial dan ekonomi negara yang semakin merosot. Tetapi, sama seperti kepimpinan BN sebelum ini, kebanyakan rakyat miskin dan terpinggir masih belum melihat sebarang perubahan yang nyata dalam kehidupan harian mereka. Rakyat miskin dan kelas pekerja sedang menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat dan seringkali mendapati bahawa kebajikan mereka tidak terbela oleh mana-mana parti yang menonjolkan diri sebagai kononnya ‘pejuang sebenar rakyat’.

Keadaan ini sedang mewujudkan kekecewaan dan ketidakpercayaan kepada mana-mana pertubuhan politik arus perdana yang hanya menaburkan janji-janji kosong dan gagal untuk memberi sebarang kesan positif kepada jutaan rakyat biasa. Dalam situasi ini, kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang dilihat sebagai tidak mewakili aspirasi sebenar rakyat biasa dan hanya mengharapkan sokongan daripada rakyat bagi memperkukuhkan posisi politik dan agenda masing-masing yang tidak menyebelahi kelas pekerja dan rakyat tertindas.

Kekecewaan terhadap kedua-dua parti utama yang mendominasi naratif politik tempatan sedang membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mempermainkan sentimen perkauman dan keagamaan bagi memecahkan perpaduan di kalangan rakyat dan bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah asas harian yang sedang dihadapi. Perkara ini juga sedang mewujudkan situasi di mana hubungan di kalangan rakyat yang berbeza kaum dan agama sedang menjadi semakin dingin dan penuh dengan kesangsian terhadap satu sama lain. Ahli-ahli politik pula mempergunakan peluang ini untuk cuba menyeru kepada rakyat biasa dengan mempergunakan hujah-hujah berbentuk perkauman dan tidak membincangkan isu-isu sosial dan ekonomi yang menyentuh setiap rakyat miskin tanpa batasan kaum atau agama.

Pembangkang UMNO yang sedang menjalinkan hubungan dengan PAS telah menggunakan pelbagai hujah perkauman kebelakangan ini dalam satu usaha untuk membentuk Kemuafakatan Nasional yang menonjolkan perjuangan yang ditumpu kepada satu kaum sahaja. Walaupun begitu, mereka juga sedar bahawa bagi menjamin kemenangan di PRU seterusnya dan untuk mengalahkan pihak PH, mereka terpaksa mendapat sokongan dari kaum-kaum lain bagi meraih undi yang secukupnya untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil. Oleh itu, walaupun terdapat sedikit pertelingkahan di antara UMNO dan MCA pada awal untuk memilih calon bagi PRK Tanjung Piai, akhirnya pihak UMNO mengambil keputusan untuk memberikan laluan kepada Wee Jeck Seng yang pernah menyandang kerusi tersebut untuk dua penggal sebelum tumpas kepada calon PH pada PRU lalu.

Presiden Pas Hadi Abdul Awang yang telah memberikan sokongan kepada calon MCA pada PRK Tg Piai berhujah bahawa calon MCA merupakan calon bukan Islam yang tidak ekstrem berbanding parti-parti lain seperti DAP yang dianggap sebagai ekstrem dan memudaratkan kehidupan rakyat beragama Islam di negara ini. Tetapi, pada kempen PRK Teluk Intan tahun 2014, ketika PAS Bersama DAP dalam Pakatan Rakyat, Hadi Awang pernah berkata, “Hanya DAP yang mempertahankan kita apabila kerajaan Kelantan jatuh pada tahun 1978, dan kami berterima kasih kepada mereka. Kami mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka kembali… Walaupun ada perbezaan antara kami, kami mempunyai sesuatu yang sama, iatu menentang rasuah, ketidakadilan dan berjuang untuk keadilan untuk semua”. Pada PRK Tg Piai kali ini pula, walaupun menghulurkan sokongan kepada calon bukan Melayu yang dipilih oleh BN, presiden PAS sempat menyelitkan hujah-hujah berbentuk perkauman yang jelas mendedahkan agenda sebenar dia di sebaliknya.

Keputusan PRK Tg Piai akan menjadi kayu pengukur kerajaan PH jika mereka masih mampu mengekalkan sokongan mereka seperti di PRU lepas. Perpecahan dalaman yang dialami oleh PH dan kekurangan sokongan yang dilihat dalam kempen-kempen PRK yang tidak berjaya menarik bilangan rakyat yang ramai berbanding kempen parti pembangkang sedang menimbulkan persoalan mengenai prospek sebenar dan kekuatan mereka. Walaupun dengan menabur janji-janji pembangunan yang memakan jutaan ringgit di Tg Piai, ianya tidak jelas jika rakyat biasa masih akan menaruh kepercayaan kepada calon PH akibat kegagalan mereka untuk menunaikan janji-janji PRU sebelum ini yang telah meraih kekecewaan rakyat.

Dalam salah satu ceramah, calon PH berhujah bahawa RM270 se tan bagi harga sawit itu sudah tinggi bagi menampung kehidupan pekebun kecil kelapa sawit di Tanjung Piai dan mereka patut berasa bersyukur. Kenyataan ini telah menaikkan kemarahan kebanyakan pekebun-pekebun kecil yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos operasi ladang dan kejatuhan harga sawit.

Rakyat biasa yang terasa tertipu dengan kepimpinan PH yang tidak berjaya menyelesaikan masalah mereka boleh mengambil kesempatan ini untuk menghukum kerajaan pemerintah dengan membuang undi mereka ke arah pihak pembangkang sepertimana yang dilakukan oleh mereka pada PRU lepas bagi menghukum kerajaan BN sebelum ini. Walaupun begitu, ini tidak akan membawa makna bahawa masalah rakyat akan selesai di bawah kepimpinan pihak pembangkang BN yang juga tidak boleh dipercayai di mata mereka. Skandal-skandal rasuah BN sebelum ini dan penindasan yang dilakukan oleh bekas kerajaan itu tidak mudah dilupakan dan masih lagi segar dalam ingatan rakyat biasa.

Sama seperti di pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, rakyat tidak mempunyai satu pilihan yang benar-benar akan mewakili aspirasi mereka yang mengidamkan sebuah kepimpinan yang akan memperjuangkan kebajikan mereka dengan ikhlas. Isu-isu sosio-ekonomi seperti masalah pengangguran, kekurangan gaji minimum, peningkatan kos perumahan, kekurangan dana kebajikan kesihatan dan pendidikan dan kemerosotan alam sekitar sedang menjadi masalah utama bagi majoriti daripada pengundi dan orang ramai. Malangnya, tidak ada satu pun parti, termasuk parti Gerakan dan Berjasa yang juga bertanding mampu membawa program yang merujuk kepada isu-isu penting tersebut. Masing-masing hanya mempergunakan agenda perkauman atau isu-isu yang berlandaskan sentimen bagi memperkukuhkan posisi politik masing-masing.

Pada masa yang sama, ahli-ahli korporat dan pemodal kaya di Malaysia sedang terus mencatatkan keuntungan yang berlimpah-limpah hasil tenaga kerja rakyat biasa. Kelas pekerja, para nelayan dan petani yang bertungkus lumus mewujudkan segala keuntungan bagi kelas majikan kaya pula dipinggirkan tanpa sebarang suara. Tidak ada sebarang usaha untuk memperjuangkan hak rakyat tertindas dari mana-mana pertubuhan politik yang bertanding. Ini mencerminkan realiti kehidupan bagi jutaan rakyat tertindas, tidak kira di bawah kepimpinan pihak pembangkang BN ataupun kerajaan PH yang kedua-duanya menyebelahi kepentingan kelas pemodal kaya.

Bagi mendapat sebuah penyelesaian yang berkesan untuk masalah rakyat biasa dan untuk mencantas agenda perkauman yang sedang berkembang, rakyat memerlukan sebuah parti perjuangan massa yang disertai dan dipimpin oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Ahli-ahli politik yang terasing daripada perjuangan rakyat tidak boleh dipercayai untuk membawa aspirasi rakyat biasa ke dalam arena politik. Sebuah parti massa yang bersifat demokratik dan dibina melalui program-program sosialis yang mengangkat tuntutan sosial dan ekonomi rakyat adalah satu-satunya kuasa politik yang bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah harian rakyat, malah dapat mengatur langkah kea rah meningkatkan taraf kehidupan bagi semua. Hanya melalui pembinaan sebuah parti yang mempunyai ciri-ciri tersebut, kekuasaan dan agenda pihak pemodal kaya akan dapat dikalahkan dan aspirasi jutaan rakyat tertindas boleh di bawa kehadapan dengan nyata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*