Isnin 24 Mei lepas, kemalangan ngeri 2 tren LRT yang bertembung dengan satu sama lain telah mengejutkan rakyat, terutamanya dari kalangan yang bergantung dengan tren LRT untuk ulang alik dari kerja setiap hari. Kejadian yang berlaku di dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC telah mengakibatkan seramai 64 orang penumpang cedera parah dan dimasukkan ke hospital, termasuk 3 orang yang ditempatkan di dalam unit rawatan rapi. Seramai 149 penumpang lain juga dilaporkan mengalami cedera ringan.

Sekadar kecuaian pemandu?

Peristiwa ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai sistem keselamatan tren LRT yang sedang beroperasi selama lebih 25 tahun di Kuala Lumpur. Kejadian seperti ini b

ukan sekadar mengancam nyawa para pekerja dan staf LRT, malah juga membahayakan para penumpang yang terdiri daripada orang awam. 

Mengikut syarikat Prasarana, kemalangan ini berlaku akibat kecuaian pemandu tren yang mengemudi tren ke arah yang salah dan bertentangan. Ini adalah berikutan kerosakan tren yang telah memaksa pemandu untuk mengendalikan tren tersebut secara manual. Berikutan kemalangan ini, pihak pengurusan dengan cepat mengalihkan segala kesalahan ke atas pemandu tren dan menggantung kerja pemandu tersebut dengan serta-merta. Selain itu, pihak Prasarana belum lagi memberikan sebarang butiran terperinci mengenai bagaimana kemalangan ini boleh berlaku dan mengapa tidak ada sistem keselamatan yang secukupnya untuk mengelakkan kecuaian sebegini yang berpotensi untuk meragut ratusan nyawa. 

Kegagalan pihak Prasarana untuk memberikan penjelasan yang munasabah dan sifat acuh tak acuh Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah meningkatkan lagi persoalan mengenai pengurusan LRT dan keselamatan rakyat biasa. Pemandu tren tersebut seolah-olah dijadikan kambing hitam supaya pihak pengurusan tidak perlu menjawab sebarang persoalan yang serius berkaitan dengan kegagalan sistem keselamatan bagi perkhidmatan mereka. 

Tren LRT yang bergerak secara otomatis tanpa pemandu merupakan sebuah teknologi yang canggih dan di guna pakai di serata dunia. Ianya agak sukar untuk membayangkan bahawa sistem kawalan tren dengan perisian komputer yang canggih tidak mempunyai sebarang cara untuk mengesan situasi berbahaya di mana 2 buah tren boleh bertembung. Ataupun adakah pihak Prasarana ingin menutup kegagalan sistem keselamatan tren yang mendedahkan kecuaian daripada pihak pengurusan itu sendiri dan mewujudkan persoalan yang lebih besar?

 Adakah sistem keselamatan tren LRT dikemaskini dengan sewajarnya dan diselenggara dengan secukupnya? Adakah dana yang secukupnya di salurkan kepada penyelenggaraan tren dan bukan ke dalam kocek pihak pengurusan yang kaya raya? Adakah pihak pekerja yang melakukan kerja harian di lapangan di berikan ruang untuk mengemukakan pendapat mereka mengenai kelemahan sistem kawalan dan keselamatan tren? Adakah staf LRT diberikan gaji dan kebajikan yang secukupnya supaya mereka boleh menumpukan perhatian di dalam tugasan harian mereka tanpa rungutan? Ini, dan banyak lagi persoalan sedang timbul yang mewujudkan rasa curiga terhadap syarikat Prasarana yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia.  

Tetapi malangnya, kita sebagai rakyat biasa tidak akan mendapat jawapan yang ikhlas kepada semua persoalan ini. Ini adalah kerana, pihak pengurusan dan majikan Prasarana itu sendiri yang akan mengendalikan penyiasatan terhadap kemalangan ini dan mempunyai kebebasan untuk membentuk sebarang keputusan yang boleh menutup segala kesalahan dari pihak mereka. Seringkali, para pekerja yang bergaji rendah akan dijadikan mangsa dan semua kesalahan akan diletakkan ke atas bahu mereka. 

Kegagalan pengurusan syarikat Prasarana

Tambahan pula, sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak daripada pengurusan Prasarana yang meminta maaf dengan ikhlas dan menawarkan pampasan yang wajar kepada semua mangsa berserta dengan jaminan untuk meningkatkan sistem keselamatan tren mereka. Sebaliknya, Prasarana dengan angkuh hanya menawarkan RM1000 seorang sebagai ganti rugi kepada kejadian malang yang dihadapi oleh lebih 200 penumpang. 

Sekali lagi, syarikat Prasarana mendedahkan kerakusan mereka yang tidak prihatin dengan kerisauan rakyat biasa dan hanya mementingkan keuntungan mereka. Ini bukanlah persoalan duit ataupun pampasan semata-mata. Ia adalah amat penting bagi rakyat untuk mendengar secara jujur mengenai kesilapan yang berlaku dan mendapat jaminan mengenai keselamatan mereka di masa hadapan. Setakat ini, pihak pengurusan Prasarana berkelakuan seperti kanak-kanak yang tidak matang dan enggan untuk memberikan sebuah kepimpinan yang meyakinkan.   

Kapitalis membuat keuntungan daripada aset-aset awam

Kelas pekerja dan rakyat biasa yang bergantung dengan perkhidmatan LRT setiap hari tidak boleh berdiam diri dengan ancaman terhadap keselamatan kita dan keluarga kita. Kita harus menekan syarikat Prasarana yang merupakan sebuah syarikat milik kerajaan untuk mendedahkan semua butiran mengenai kemalangan yang berlaku. Pada masa yang sama, sebuah badan independen yang terdiri daripada rakyat biasa yang bebas daripada pengaruh pihak syarikat haruslah di amanahkan untuk melakukan penyiasatan terperinci berkenaan kemalangan ini dan melaporkan hasilnya terus kepada rakyat. 

Antara isu utama yang menyebabkan kejadian-kejadian kemalangan seperti ini berlaku adalah kerana jurang di antara pihak pengurusan yang tidak mempunyai kepakaran tertentu dan kelas pekerja yang berada di lapangan setiap hari dan menghadapi pelbagai cabaran. Pengurusan syarikat yang disusun mengikut model syarikat-syarikat swasta yang lebih tertumpu untuk menjana keuntungan daripada menjamin perkhidmatan yang selesa dan selamat kepada para penumpang tidak akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat biasa. Pihak pengurusan Prasarana hanya akan terdorong untuk mengelakkan kemalangan sepertimana yang berlaku pada Isnin lalu semata-mata untuk menjamin keuntungan peribadi mereka. Mereka khuatir bahawa kemalangan seperti ini akan mengurangkan pelanggan dan jualan tiket yang akan memberi kesan kepada keuntungan mereka. 

Syarikat-syarikat milik kerajaan, terutamanya yang merangkumi sektor perkhidmatan awam seperti pengangkutan LRT, tidak sepatutnya diuruskan mengikut motif keuntungan segelintir jutawan dan orang kaya. Syarikat-syarikat ini diwujudkan dengan menggunakan dana awam bagi kegunaan orang ramai. Jutaan pekerja biasa telah berkorban dan bertungkus lumus demi mendirikan infrastruktur awam seperti ini. Jutaan pekerja lain pula bergantung dengan perkhidmatan ini untuk menunaikan tanggungjawab seharian mereka untuk kemajuan negara. Tetapi, akhirnya, syarikat-syarikat ini hanya digunakan untuk meningkatkan kekayaan beberapa orang ternama dan meletakkan beban ke atas pengguna yang datang dari khalayak umum. Walaupun harga tiket perkhidmatan LRT terus meningkat seiring dengan kekayaan barisan pengurusan syarikat, mereka masih gagal untuk memberi jaminan keselamatan kepada jutaan pengguna LRT yang bergantung dengan khidmat ini setiap hari. 

Peranan Kelas Pekerja dalam perkhidmatan awam

Pada masa yang sama, kita juga harus menyedari akan peranan yang boleh dimainkan oleh pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja di dalam menguruskan syarikat-syarikat perkhidmatan awam bagi mengelakkan tragedi-tragedi seperti ini daripada berulang. Kelas pekerja yang menghadapi pelbagai cabaran dalam proses melaksanakan tugasan harian mereka akan mempunyai lebih banyak ilmu, kepakaran dan pemahaman berkenaan dengan operasi harian sesuatu perkhidmatan. Oleh itu, wakil-wakil pekerja daripada jabatan berbeza haruslah disertakan di dalam segala proses mengambil keputusan syarikat mengikut struktur yang demokratik. 

Pada waktu ini, pihak majikan syarikat hanya melihat pekerja di bawah mereka sebagai hamba yang boleh dipulas untuk menjana keuntungan. Walaupun operasi harian adalah dikendalikan sepenuhnya oleh kelas pekerja tanpa sebarang campur tangan daripada pihak majikan, masih lagi para pekerja tidak diberikan penilaian yang sewajarnya dan sering mendapat layanan yang buruk. Pihak majikan kaya pula duduk di dalam bilik berhawa dingin sambil membuat keputusan-keputusan yang berdasarkan kepada keuntungan syarikat dan seringkali tidak mengambil kira keadaan dan keperluan di lapangan kerja. 

Situasi ini harus berubah dan kelas pekerja harus membina sebuah kesepakatan antara satu sama lain untuk menuntut perubahan dalam pengurusan syarikat-syarikat perkhidmatan awam seperti Prasarana. Wakil-wakil kelas pekerja perlu melibatkan diri dalam badan-badan tertinggi syarikat dan memastikan untuk sentiasa mementingkan keselamatan rakyat biasa dan kebajikan para pekerja. Semua bonus-bonus lumayan yang sedang dinikmati oleh para pengurus syarikat pada masa ini haruslah disalurkan kepada kebajikan rakyat dalam usaha untuk meningkatkan kemudahan di samping mengurangkan kos tambang bagi penumpang.

Ini hanya boleh menjadi kenyataan jika kelas pekerja berjaya menyatukan suara mereka dan membentuk sebuah kepimpinan yang kukuh. Bersama dengan sokongan rakyat biasa dan kelas pekerja daripada industri-industri lain, ini boleh menjadi kenyataan. Terutamanya dengan situasi kecemasan kesihatan dan krisis ekonomi, peranan kelas pekerja dalam menguruskan hal ehwal masyarakat sedang semakin terserlah dan peranan kelas majikan yang hanya mengejar keuntungan peribadi sedang semakin terdedah. Ini memberikan ruang kepada kelas pekerja untuk bukan sahaja meningkatkan kesedaran mereka untuk menyedari kerakusan dunia kapitalisme, tetapi juga untuk membina sebuah perjuangan untuk menentang sistem ini, supaya sebuah aturan sosial yang lebih adil dapat dibina.