Krisis pendemik Covid 19 yang sedang menggegarkan dunia juga sedang menjadi pencetus kepada sebuah krisis ekonomi yang dahsyat dan belum pernah dialami dalam sejarah ekonomi kapitalis. Walaupun sebelum ketibaan pendemik ini, para penganalisa ekonomi dan syarikat-syarikat sekuriti saham sudahpun meramalkan bahawa ekonomi dunia sedang menuju ke arah sebuah krisis yang sangat merbahaya. Negara-negara pengekspot besar seperti German dan Jepun sudahpun mula merasai kelesuan perdagangan, Amerika dan China terlibat dalam perang dagang yang berpanjangan dan harga komoditi termasuk harga petrol juga sedang menjunam jatuh. Pandemik Covid19 telah hanya mempercepatkan ketibaan krisis yang sememangnya tidak boleh dielakkan dari awal lagi.

Kelemahan ekonomi dunia adalah diketahui umum dengan kadar hutang global yang sudah berkembang menjadi lebih tiga kali ganda kadar pengeluaran dunia pada tahun lepas. Kini, apabila terpaksa berhadapan dengan krisis kesihatan akibat Coronavirus, didapati bahawa kebanyakkan daripada negara-negara dunia tidak bersedia dan tidak mampu untuk menampung krisis ini. Beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan negara-negara di benua Eropah sudahpun mula merasai keruntuhan ekonomi dan peningkatan kadar pengangguran yang mendadak. China yang merupakan pengekspot terbesar dunia sendiri sedang melaporkan kejatuhan kadar perkembangan ekonomi sehingga 6% pada tahun ini.

Berbeza dengan krisis kewangan yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah pada tahun 2008, di mana Malaysia tidak merasai kesan krisis tersebut di sebabkan oleh pertumbuhan yang berlaku di China, krisis kali ini akan memberikan kesan yang besar kepada Malaysia dan negara-negara lain yang bergantung dengan ekonomi China. Kejatuhan harga komoditi mentah akibat kekurangan produksi di China dan kekurangan permintaan global akan mengheret ekonomi Malaysia ke arah penyusutan yang besar. Tambahan pula dengan kejatuhan harga minyak global akibat persaingan dan spekulasi harga, negara pengekspot minyak seperti Malaysia akan mendapat kesan yang buruk.

Bank negara dan beberapa bank utama sedang menganggarkan bahawa KDNK Malaysia untuk tahun 2020 boleh mencapai negatif 2 atau 3 peratus. Ini merupakan pengurangan sebanyak lebih 6% daripada ramalan-ramalan yang dibuat pada awal tahun ini apabila berita penularan Covid19 mula didengari di negara ini. Perindustrian pelancongan dan perhotelan sudahpun menjadi mangsa kegawatan ekonomi dan sedang dalam proses menggulung tikar. Begitu juga dengan sektor ekonomi domestik yang sudahpun mula merosot sejak tahun lalu lagi. Berikutan, sektor-sektor pembuatan, perladangan dan penggalian minyak dan sebagainya akan mengalami kelesuan akibat kekurangan permintaan global disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia.

Sejurus selepas pandemik Corvid19 menjadi ancaman di seluruh dunia, Persatuan Buruh-buruh Dunia (ILO) telah mengeluarkan sebuah laporan yang menjangkakan bahawa jutaan pekerja akan kehilangan pekerjaan dan kadar pengangguran dunia akan meningkat mendadak. Pertubuhan Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini memberikan amaran bahawa sebanyak 2 juta pekerjaan boleh hilang pada tahun ini akibat kesan penularan wabak Covid19 dan resesi ekonomi yang bakal melanda. Ini adalah dalam keadaan di mana sudah ada lebih 600 ribu pekerja di Malaysia yang sedang menganggur sebelum bulan Mac tahun ini dan angka ini dijangka meningkat mendadak sejak pengumuman perintah kawalan pergerakkan oleh kerajaan.

Tambahan pula, majoriti daripada pekerja di Malaysia sudahpun berada di dalam keadaan yang sangat miskin dan hidup berhutang. Sebuah kajian telah mendedahkan bahawa sebanyak 60% daripada pekerja di Malaysia tidak akan dapat menampung kehidupan lebih daripada seminggu tanpa gaji bulanan mereka. Ini adalah disebabkan oleh sebilangan besar daripada pekerja Malaysia sedang menerima gaji bulanan yang tidak cukup untuk menanggung kos kehidupan yang sedang meningkat setiap tahun. Ini tidak termasuk jutaan pekerja lain yang tidak mempunyai pekerjaan tetap seperti pekerja informal dan pekerja ekonomi gig seperti pemandu Grabcar atau Foodpanda.

Walaupun dalam situasi yang sangat genting bagi jutaan rakyat, pihak kerajaan didapati hanya tertumpu untuk cuba menyelamatkan pihak majikan kaya yang tidak berupaya untuk menjana keuntungan dalam situasi krisis ini. Sebahagian besar daripada dana kecemasan sebanyak Rm250 bilion telah disalurkan terus kepada syarikat-syarikat besar bagi membantu perniagaan mereka. Manakala rakyat biasa hanya menerima sekadar cebisan daripada jumlah tersebut dan ianya terbukti tidak mencukupi untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Apa yang pasti, pandemik Covid19 telah menjadi pencetus kepada sebuah krisis ekonomi yang akan mengancam kedudukan ekonomi dan sosial bagi jutaan rakyat biasa di seluruh dunia. Dunia tidak akan kembali pulih kepada keadaan sedia kala dan akan mengalami pelbagai krisis yang akan tercetus di merata-rata. Sistem ekonomi kapitalisme yang berdasarkan kepada pasaran bebas dan berteraskan kepada elemen persaingan dan keuntungan sudah terbukti tidak berupaya untuk membawa jalan penyelesaian kepada jutaan rakyat miskin yang sedang tersepit dengan beban ekonomi. Malah, sistem ini akan meningkatkan beban tersebut dengan meletakkan semua kos pemulihan ekonomi dan kos pembasmian pandemik Covid19 ke atas bahu para pekerja miskin.

Dalam situasi ini, tindakan dan reaksi jutaan rakyat miskin yang sedang teraniaya akan menentukan hala tuju dunia untuk masa yang akan datang. Kelas pekerja dan rakyat tertindas sudahpun membuktikan bahawa mereka merupakan nadi utama bagi setiap masyarakat. Pada masa pandemik ini, seluruh masyarakat telah bergantung dengan pengorbanan para pekerja yang mengambil risiko bagi menunaikan tanggung jawab mereka untuk menguruskan keperluan rakyat. Pada masa yang sama, para kelas majikan kaya dan CEO-CEO syarikat besar didapati hanya mempergunakan pekerja ini untuk meningkatkan keuntungan peribadi mereka. Sambil menerima pelbagai subsidi dan peruntukkan daripada kerajaan, kelas majikan terus memangsakan kelas pekerja dengan memotong gaji dan tenaga kerja mereka semata-mata untuk memelihara keuntungan mereka.    

Kelas majikan kaya ini juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap kerajaan negara, tidak kira ahli politik mana yang menduduki takhta pemerintahan. Kedua-dua Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan merupakan perwakilan kelas kapitalis kaya dan tidak bersedia untuk berjuang demi kepentingan rakyat biasa. Perkara ini jelas terbukti di dalam langkah-langkah semua kerajaan yang pernah memerintah negara ini yang sering berpihak kepada kehendak kelas kapitalis dan memangsakan rakyat biasa. Walaupun kelas kapitalis telah berjaya mewujudkan pelbagai parti politik yang berbeza untuk mewakili kepentingan kelas mereka, kelas pekerja belum mempunyai sebuah perwakilan politik yang mampu membawa aspirasi rakyat massa yang tertindas ke arena politik.

Oleh itu, kesatuan atau organisasi-organisasi pekerja, pertubuhan akar umbi rakyat dan anak muda dari pelbagai latar belakang perjuangan harus menggabungkan tenaga untuk mewujudkan sebuah kepimpinan politik yang demokratik dan mampu membawa suara masyarakat tertindas ke hadapan. Kepimpinan politik ini haruslah dibina dengan demokratik, terbuka kepada penyertaan daripada rakyat massa, berdasarkan kepada program dan gerakan rakyat dan dilengkapi dengan kepimpinan yang mempunyai perspektif dan hala tuju yang jelas. Sebuah organisasi massa tanpa perspektif yang jelas tidak akan menjamin sebuah perubahan yang akan membuahkan hasil untuk rakyat biasa. Tetapi dengan kejelasan perspektif untuk menggantikan sistem ekonomi kapitalisme dengan sistem sosialisme yang berfungsi demi kepentingan kelas pekerja dan rakyat majoriti, sebuah jalan keluar kepada semua krisis yang dihadapi oleh manusia boleh dicapai.