Menteri Perumahan Zuraida Kamaruddin bergambar selepas Majlis Pelancaran Program "Property Hot Seat"

Menteri Perumahan Zuraida Kamaruddin bergambar selepas Majlis Pelancaran Program "Property Hot Seat"

HAK PERUMAHAN RAKYAT DIPINGGIRKAN, KEUNTUNGAN PEMAJU DAN PELABUR DIUTAMAKAN

Posted by

Pada pembentangan bajet 2020 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, penurunan had harga rumah untuk pembeli dan pelabur asing yang di turunkan dari 1 juta ringgit ke 600 ribu ringgit telah mewujudkan pelbagai persoalan berkenaan dengan keadaan pasaran hartanah tempatan yang semakin kritikal. Pelbagai pihak termasuk rakyat umum sangat tidak berpuas hati dengan polisi ini yang akan membolehkan pihak pengusaha untuk terus menjual rumah kepada pelabur asing yang kaya walaupun rakyat tempatan tidak mampu untuk memiliki rumah disebabkan oleh harga yang tinggi. Para pemaju hartanah akan teruskan pembinaan rumah-rumah mewah dengan kos yang tinggi dengan harapan untuk menjualnya kepada pembeli dan pelabur asing yang lebih kaya tanpa mengendahkan nasib rakyat miskin yang terpaksa meneruskan kehidupan dengan menanggung kos perumahan yang mahal dan tanpa sebarang prospek untuk memiliki rumah sendiri.

Pada masa yang sama, lambakan rumah yang tidak terjual sedang meningkat setiap tahun pada kadar yang membimbangkan. Jumlah nilai stok rumah yang tidak terjual telah meningkat sebanyak 600% sejak tahun 2014 dan kini bernilai lebih RM 38 billion. Lebih dari 81 ribu buah hartanah dari seluruh negara dikatakan belum terjual dan pelbagai kempen dan usaha dari kerajaan untuk menjual hartanah tersebut masih tidak berjaya memulihkan keadaan ini. Walaupun begitu, tidak ada sebarang usaha daripada pihak pemaju untuk mengurangkan harga jualan rumah yang sedang meningkat secara mendadak supaya rakyat berpendapatan rendah boleh memiliki rumah-rumah tersebut. Dalam 5 tahun ini, cuma 20% daripada rumah yang dibina adalah berharga kurang daripada 200 ribu ringgit. Kebanyakan rumah yang dibina adalah rumah-rumah berharga tinggi dan disasarkan kepada pembeli yang kaya yang sebahagian besar sudahpun memiliki rumah kediaman. Ramai di antara pembeli ini hanya membeli rumah sebagai alat pelaburan dan bukanlah untuk didiami oleh mereka atau keluarga mereka.

Daripada kajian-kajian yang dilakukan, didapati bahawa kebanyakan daripada rumah yang tidak terjual ini (sebanyak 62%) adalah rumah berharga kurang daripada RM300 ribu. Ini bermakna masih ramai rakyat yang masih tidak mampu membeli rumah walaupun ianya digelar ‘rumah mampu milik’ dengan harga kurang daripada RM300 ribu. Rumah-rumah mewah yang membawa harga lebih daripada 750 ribu ringgit masih berjaya dijual dan syarikat-syarikat pemaju besar masih mampu membuat keuntungan yang lumayan. Syarikat-syarikat hartanah gergasi seperti SP Setia, Eco World, Mah Sing, IOI Properties dan sebagainya sedang terus mencatatkan keuntungan bernilai ratusan jutaan ringgit setiap tahun.

Ini bermakna bahawa walaupun rakyat kaya mempunyai wang yang cukup untuk membeli 2 atau 3 biji rumah, rakyat miskin yang merupakan majoriti daripada penduduk di Malaysia tidak mampu membeli rumah yang sesuai dengan pendapatan mereka. Malah ramai di antara mereka tidak mempunyai pendapatan bulanan yang cukup untuk mendapat kelulusan daripada pihak bank untuk membuat sebarang pinjaman perumahan. Dengan 50% daripada pekerja di Malaysia masih menerima gaji kurang daripada RM1700 sebulan, kebanyakan daripada rumah yang sedang di bina berada di luar kemampuan mereka. Jurang kekayaan yang semakin melebar di kalangan segelintir yang kaya dan majoriti rakyat miskin merupakan punca utama kepada kewujudan krisis perumahan yang sedang di alami.

Tambahan pula, harga yang diletakkan oleh pihak pemaju ke atas hartanah ini adalah harga spekulasi yang tidak mencerminkan nilai sebenar dan tidak sesuai dengan keperluan majoriti daripada rakyat. Pihak kerajaan yang seharusnya memastikan keperluan rakyat dipenuhi pula langsung tidak mengambil sebarang langkah untuk meletakkan regulasi ke atas syarikat pemaju ini untuk mengawal harga rumah. Kerajaan juga tidak berusaha untuk mewujudkan perumahan yang benar-benar ‘mampu milik’ dan mengetepikan rakyat miskin bagi melindungi kepentingan dan keuntungan syarikat-syarikat pemaju dan pelabur. Projek-projek pembinaan rumah oleh kerajaan juga semakin kurang, mengikut harga spekulasi hartanah yang tinggi dan seringkali dibina di tempat-tempat yang jauh daripada pusat industri yang merupakan tempat kerja pekerja miskin. Oleh itu, kebanyakan daripada rakyat miskin tidak mempunyai cara lain selain untuk menyewa rumah di tempat-tempat yang berdekatan dengan tempat kerja mereka dan menjadi mangsa kepada harga sewa yang juga sedang melambung tinggi setiap tahun.

Akibat kos perumahan yang tinggi, semakin ramai daripada para pekerja sedang terpaksa melupakan impian mereka untuk memiliki rumah sendiri. Tambahan pula dengan harga sewa yang melampau, semakin ramai rakyat kini hanya menyewa bilik dan terpaksa berkongsi rumah dengan para pekerja lain yang juga berpendapatan rendah. Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru hari ini, semakin ramai keluarga sedang berpindah ke bilik-bilik kecil akibat kenaikan harga sewa. Kebanyakan daripada pemilik rumah yang membeli rumah bagi tujuan pelaburan lebih gemar membahagikan rumah dan menyewa bilik secara berasingan bagi memaksimumkan keuntungan mereka kerana lebih ramai daripada rakyat sudah tidak mampu membayar sewa yang dikenakan yang kononnya mengikut harga pasaran.

Pada waktu ini, rakyat Malaysia belum nampak sebarang usaha daripada pihak kerajaan untuk menangani masalah perumahan yang dihadapi oleh sebahagian besar daripada rakyat, terutamanya dari kalangan anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan dan mula mendirikan rumah tangga. Pengurangan had pembelian harga rumah bagi warga asing dengan jelas mendedahkan motif utama pihak kerajaan yang ingin membantu pihak pemaju kaya untuk teruskan penjualan rumah dengan harga yang tinggi. Berikutan ketepuan pasaran hartanah yang wujud akibat pembangunan projek-projek perumahan yang tidak terkawal, kerajaan ingin memastikan bahawa semua rumah yang dibina dapat di jual dan para pengusaha kaya tidak perlu menurunkan harga bagi menjual rumah-rumah tersebut. Polisi ini akan hanya menggalakkan para pengusaha untuk meneruskan amalan mereka untuk membina lebih banyak rumah dan meletakkan harga yang tinggi walaupun ianya berada diluar kemampuan pembeli tempatan yang kebanyakannya bergaji rendah.

Kerajaan PH yang menggantikan pemerintahan BN sebelum ini juga telah membuktikan bahawa mereka juga tidak mampu menangani masalah-masalah asas yang wujud di Malaysia seperti masalah perumahan. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia sedang semakin dihimpit dengan kekangan ekonomi seperti kekurangan gaji, peningkatan kos kehidupan dan kekurangan sokongan sosial bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka. Kerajaan PH yang mendokong sistem pasaran bebas kapitalisme sama seperti kerajaan BN sebelum ini hanya mementingkan kebajikan para kapitalis dan pemodal kaya yang minoriti disamping meminggirkan aspirasi jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin. Jika di biarkan begitu sahaja dan tidak dicabar, kerajaan akan teruskan agenda mereka untuk mengukuhkan dominasi golongan kapitalis disamping menindas rakyat biasa.

Apabila kerajaan menari berdasarkan rentak kehendak pemaju dan pelabur berlandaskan kuasa persaingan dan keuntungan pasaran bebas kapitalisme, maka hak asasi seperti perumahaan tidak mampu dicapai. Ini kerana pemaju dan pelabur kaya yang akan menetapkan harga dan jenis rumah yang perlu dibina, bukanya rakyat biasa yang memerlukan kemudahan perumahaan. Bagi menangani masalah-masalah harian rakyat seperti masalah perumahan dan sebagainya, rakyat biasa memerlukan sebuah kepimpinan yang membawa sebuah sistem alternatif bagi menggantikan sistem kapitalisme. Sosialisme yang merupakan sistem ekonomi yang berpaksikan kepada keperluan dan kebajikan rakyat terbanyak merupakan satu-satunya penawar bagi mengatasi masalah yang di hadapi dan untuk membawa kebahagian kepada jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa. Berdasarkan program sosialisme, hak perumahaan yang saksama dan adil terutamanya untuk majoriti rakyat boleh menjadi kenyataan sekiranya projek-projek pembangunan perumahaan dimiliknegarakan dan diuruskan secara demokratik dengan penglibatan kelas pekerja dan rakyat biasa berdasarkan keperluan dan aspirasi rakyat.

Untuk mencapai matlamat ini, sebuah parti massa yang berteraskan kepada kelas pekerja, rakyat biasa dan anak muda harus dibina berdasarkan sebuah program sosialis yang mengangkat aspirasi rakyat ke arah menubuhkan sebuah kerajaan yang benar-benar berjuang demi kebajikan rakyat dan mampu membawa masa depan yang lebih cerah bagi semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*