Hari pekerja wanita sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun merupakan hari untuk memperingati perjuangan, kemenangan, kepimpinan wanita dan para syuhada yang mengorbankan diri mereka demi membela nasib wanita dalam masyarakat. Secara tradisi, para aktivis sosialis, organisasi revolusioner dan pejuang kelas mengambil peluang pada Hari Wanita untuk memberi penghargaan kepada revolusioner yang hebat seperti Eleanor Marx, Rosa Luxembourg, Clara Zetkin dan Alexandra Kollantai. Kami juga menjunjung ribuan pemimpin wanita yang tidak dikenali dari seluruh dunia yang telah mengangkat perjuangan-perjuangan wanita.
Pada hari ini juga kami ingin mengingati jutaan wanita dunia yang sedang mengalami kesengsaraan yang melampau akibat peperangan, kemiskinan, penindasan sosial dan krisis ekonomi. Tambahan pula dengan golongan wanita yang terperangkap di bawah aturan sosial dan penindasan di bawah ekonomi kapitalisme yang menafikan hak untuk mempertahankan diri mereka. Ini menjadi asas kepada kewujudan organisasi sosialis seperti kami yang ingin memperjuangkan aturan sosial dan ekonomi yang lebih adil dan mampan bagi rakyat.
8 Mac merupakan hari yang meraikan perpaduan kelas pekerja wanita seluruh dunia. Oleh itu kami ingin memberi penghargaan kepada para wanita tidak kira dimana mereka bekerja dan di mana sahaja mereka berjuang – di kilang, kedai, pasar, pejabat, hospital, sekolah, di sektor pengangkutan, perlombongan, pertanian dan sebagainya. Wanita adalah pekerja dan manusia, bukannya hamba atau objek seks. Kami menggesa kepada golongan wanita di setiap pelosok dunia untuk mencabar setiap prasangka dan stereotaip yang menghina mereka dan bangkit untuk mempertahankan hak mereka.
Baru-baru ini, perjuangan wanita di Iran yang menentang penindasan institusi agama di bawah kerajaan yang tidak demokratik, protes massa wanita di Assam India yang menolak amalan perkahwinan bawah umur dan gerakan-gerakan wanita lain sedang memberi inspirasi kepada rakyat tertindas untuk mengangkat sepanduk perjuangan.
Perjuangan wanita belum selesai
Walaupun hak dan kebajikan bagi pihak wanita telah berkembangan secara purata di seluruh dunia, wujud lagi tempat-tempat di mana golongan wanita masih dilayan seperti hamba dan ditindas dengan teruk. Amalan-amalan feudal yang lapuk masih menjadi alat penindasan bagi pihak berkuasa yang memangsakan golongan wanita.
Di Malaysia juga para wanita, terutamanya dari lapisan masyarakat yang miskin sering menjadi mangsa penindasan. Amalan perkahwinan bawah umur, poligami yang tidak adil, hak perceraian yang berat sebelah, kawalan ke atas pemakaian dan seksualiti wanita dan banyak lagi bentuk penindasan masih berleluasa. Wanita di Malaysia tidak mempunyai hak ke atas sistem reproduksi mereka sendiri. Walaupun wanita keluar bekerja dan menyumbang kepada ekonomi negara dan rumah tangga, mereka masih terpaksa menanggung majoriti daripada beban kerja domestik seperti menjaga anak, membersih rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.
Selain itu, para wanita juga sering menjadi mangsa gangguan dan serangan seksual di institut pengajian, tempat kerja dan di tempat-tempat yang tidak mempunyai persekitaran yang selamat bagi wanita. Terdapat ketidakseimbangan yang ketara diantara perwakilan politik di kalangan jantina dengan pihak lelaki mendominasi arena politik global. Walaupun wanita sering mempunyai rekod pendidikan yang lebih tinggi berbanding lelaki di universiti, mereka masih lagi tidak mendapat peluang untuk menduduki jawatan-jawatan yang tinggi di masyarakat berbanding lelaki.
Walaupun di negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat, golongan wanita mendapat gaji yang lebih rendah berbanding lelaki bagi pekerjaan yang sama. Apatah lagi di negara-negara neo-kolonial seperti di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin yang ketinggalan dari segi ekonomi. Tanpa kemudahan awam yang mencukupi, dan tanpa kemewahan perkakas rumah moden seperti mesin basuh dan sebagainya, para wanita dari negara-negara kurang maju terpaksa menanggung beban kerja yang melampau.
Wanita juga terpaksa berkorban untuk melahirkan dan membesarkan generasi kelas pekerja yang baru untuk menggantikan mereka yang sudah uzur. Sistem kapitalisme yang bergantung dengan titik peluh dan tenaga kerja para pekerja perlu memberi pampasan kepada setiap ibu dan wanita yang sedang bertungkus lumus untuk memastikan kesinambungan sistem ekonomi ini.
Walaupun hak bagi para wanita sudah berkembang berbanding kurun-kurun sebelum ini, tetapi ia masih mempunyai perjalanan yang jauh sebelum dapat mencapai kesaksamaan. Penindasan terhadap wanita berlaku dalam bentuk dan skala yang berbeza mengikut negara ataupun rantau tertentu yang mempunyai sejarah masing-masing. Tetapi secara umum, penindasan terhadap wanita masih berleluasa dan golongan wanita, terutamanya dari kalangan miskin, dilihat sebagai mempunyai status yang rendah di dalam masyarakat.
Sistem kapitalisme gagal
Sistem kapitalisme yang membawa harapan palsu untuk meningkatkan hak wanita telah gagal dan sebaliknya sedang mewujudkan krisis-krisis ekonomi yang sedang menghumban majoriti daripada wanita kelas pekerja dan miskin ke dalam krisis yang parah. Pemotongan dana kebajikan, pengangguran, kenaikan kos kehidupan dan sebagainya akan memberi kesan yang paling buruk kepada masyarakat wanita. Tambahan pula dengan krisis-krisis sosial seperti rompakan, penculikan dan kes-kes keganasan seksual yang meningkat pada waktu-waktu krisis ekonomi.
Pandemik Covid-19 dan kawalan pergerakkan yang dikenakan ke atas rakyat telah mendedahkan kerakusan sistem ekonomi dan sosial dengan jelas. Kes dera kanak-kanak, keganasan domestik dan keganasan seks telah meningkat berlipat kali ganda. Malah sebahagian besar daripada kes kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan seks adalah akibat kelakuan saudara mara yang diamanahkan untuk menjaga kanak-kanak tersebut.
Apabila masyarakat menghadapi tekanan, golongan wanita yang seringkali menjadi mangsa yang paling teruk ditindas.
Sistem ekonomi kapitalisme sudah lama mewujudkan kemiskinan kepada jutaan wanita yang memaksa mereka hidup di persekitaran yang kurang selamat. Ribuan isteri yang didera oleh suami mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan bahaya kerana tidak mempunyai kebebasan ekonomi. Begitu juga dengan wanita yang terpaksa ulang alik dari kerja syif malam yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan, keselamatan dan sebagainya. Mereka terpaksa mengharungi situasi genting hampir setiap hari. Sistem ekonomi kapitalisme yang hanya mementingkan golongan kaya telah mengabaikan kebajikan dan keperluan kelas pekerja, terutamanya dari kalangan wanita yang menjadi tulang belakang kepada mana-mana masyarakat.
Pada waktu ini, unjuran ekonomi dunia yang meramalkan satu resesi global dalam tahun ini bakal membawa padah kepada majoriti daripada penghuni dunia. Hanya segelintir daripada rakyat yang kaya akan berjaya mengekalkan kekayaan mereka manakala kelas pekerja dan rakyat biasa akan menghadapi beban ekonomi yang melampau. Kos sara hidup yang sedang meningkat sudahpun mewujudkan situasi kecemasan untuk banyak keluarga dan dijangka akan menjadi semakin parah. Pada masa yang sama, kelas majikan kaya juga tidak berganjak daripada tumpuan mereka untuk terus menjana keuntungan dengan mengeksploitasi tenaga kerja rakyat secara tidak adil.
Kelas kapitalis sedang menguasai semua institusi awam masyarakat termasuk kerajaan yang dikemudi untuk memenuhi kehendak mereka. Oleh kerana itu, walaupun sosok kerajaan silih berganti dari satu parti ke parti yang lain, masih lagi polisi-polisi ekonomi dan sosial adalah selalunya berteraskan kepada kepentingan kelas kapitalis. Walaupun dengan jelas sistem ekonomi kapitalisme sedang mengalami krisis yang parah dan akan mengakibatkan kemusnahan kehidupan bagi jutaan rakyat, tidak ada mana-mana perwakilan politik sama ada dari dalam atau dari luar kerajaan yang mendedahkan kerakusan sistem ini.
Perjuangan pembebasan wanita terikat dengan perjuangan ke arah sosialisme
Para pelopor kapitalis seringkali mengabaikan sejarah Revolusi Rusia 1917 yang dirasmikan oleh kelas pekerja wanita dan telah memacu gerakan wanita yang membawa perubahan yang nyata dari segi peningkatan hak wanita di seluruh dunia. Negara-negara kapitalis yang sudah lama bertapak telah terpaksa mengikut jejak kerajaan kelas pekerja Soviet Union yang baru lahir dalam memberikan hak mengundi, perwakilan politik, hak perceraian yang sama rata dengan lelaki bagi wanita.
Revolusi Rusia 1917 yang menggulingkan kelas kapitalis dan meletakkan kerajaan dan ekonomi di bawah kawalan kelas pekerja dan rakyat merupakan peristiwa bersejarah yang membawa banyak pengajaran untuk perjuangan wanita zaman ini. Tanpa penentangan kelas pekerja dan wanita terhadap kelas kapitalis dan sistem kapitalisme di Rusia pada 1917, kebanyakkan daripada hak-hak yang dinikmati oleh wanita hari ini sudah tentunya dinafikan. Kebangkitan kelas pekerja tersebut telah memberi kesan yang mendalam sehingga menekan negara-negara kapitalis untuk melaksanakan polisi-polisi yang progresif untuk kelas pekerja dan wanita. Pada masa yang sama, gerakan-gerakan rakyat yang mendapat inspirasi daripada kemenangan kelas pekerja Rusia juga berkembang dan berjaya mendapatkan konsesi dari para kapitalis.
Walaupun Revolusi tersebut telah merosot akibat faktor-faktor tertentu dan jatuh ke tangan birokrasi Stalin dan selepas itu jatuh pula ke tangan kapitalisme pada 1989, Revolusi Rusia 1917 masih menjadi pengajaran yang relevan dalam membina sebuah perjuangan pembebasan bagi mana-mana masyarakat yang tertindas.
Dalam Revolusi tersebut, kelas pekerja lelaki dan wanita, bersama dengan kelas petani miskin dan anak muda telah menggabungkan tenaga dan melawan para penindas kapitalis sehingga digulingkan dari tahta. Bukan sekadar itu, dibawah kepimpinan parti revolusioner Bolshevik, kelas pekerja Rusia telah mengambil alih kerajaan dan semua tanggungjawab untuk melaksanakan tugasan yang diperlukan oleh masyarakat. Kekayaan yang dimonopoli oleh golongan kapitalis dituntut dan digunakan untuk meningkatkan kemudahan awam dan infrastruktur bagi rakyat. Golongan wanita yang merupakan sebahagian daripada kelas pekerja dan salah satu kepimpinan utama revolusi telah berjaya menggunakan kedudukan mereka untuk meningkatkan hak bagi mereka. Juga, kempen-kempen yang khusus telah dilancarkan oleh kerajaan sendiri untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hak golongan wanita.
Di bawah sistem ekonomi kapitalisme, kedua-dua golongan wanita dan lelaki ditindas dan dipaksa untuk bersaing diantara satu sama lain untuk merebut peluang ekonomi yang terhad. Seringkali, wanita yang terbatas dari segi kebebasan ekonomi dan dibeban dengan kerja-kerja domestik menjadi mangsa penindasan berganda dalam aturan sosial ini. Pihak lelaki yang mengambil kesempatan ke atas aturan masyarakat yang tidak adil dan menindas wanita atau mengikut sterotaip masyarakat dan menghina wanita harus dibawa ke pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal. Tetapi pada masa yang sama, kita juga harus meneliti bahawa ini merupakan sekadar simptom dan penyakitnya berasal daripada aturan sosial ataupun sistem ekonomi kapitalisme yang membahagi manusia mengikut kelas-kelas tertentu bagi tujuan mengeksploitasi tenaga kerja mereka.
Kita harus mengambil pengajaran daripada kelas pekerja Rusia yang telah menjalinkan silaturahim dengan semua lapisan masyarakat tertindas untuk menggulingkan sistem ekonomi kapitalis dan menggantikannya dengan sistem sosialisme demokratik. Dengan menyedari bahawa perjuangan wanita adalah tidak terasing dan terikat dengan perjuangan-perjuangan kelas pekerja dan golongan tertindas lain secara umum, gerakan perjuangan wanita boleh mencapai satu hala tuju yang jelas untuk mencari penyelesaian kepada semua isu yang membelenggu mereka. Iaitu untuk menghancurkan struktur ekonomi dan sosial yang didirikan di bawah kapitalisme dan untuk membina masa depan sosialis yang mampan, adil dan demokratik.
Sempena Hari Wanita tahun ini, Sosialis Alternatif (CWI Malaysia) mengemukakan tuntutan berikut :
- Tidak kepada diskriminasi berdasarkan kaum, jantina, keupayaan, seksualiti, umur, dan semua bentuk prasangka lain.
- Untuk membina kempen besar-besaran terhadap gangguan seksual, keganasan dan semua bentuk diskriminasi seksual yang diterajui oleh gerakan pekerja.
- Untuk penubuhan Kesatuan Sekerja yang berjuang dan dikawal secara demokratik oleh ahlinya.
- Bagi pembinaan parti massa kelas pekerja dengan program sosialis, termasuk perjuangan untuk kesaksamaan gender.
- Perjuangankan gaji yang saksama sebagai sebahagian daripada perjuangan untuk gaji kehidupan dan masa kerja yang lebih pendek tanpa kehilangan upah.
- Hentikan semua pemotongan dana perkhidmatan awam. Pekerjaan yang cukup, munasabah dan perumahan mampu milik untuk semua. Untuk perkembangan perkhidmatan awam secara besar-besaran.
- Faedah bersalin dan kebajikan kanak-kanak yang mencerminkan kos sebenar bagi membesarkan anak.
- Hak untuk cuti berbayar yang mencukupi bagi ibu yang baru melahirkan anak.
- Penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti tinggi dan percuma untuk setiap kanak-kanak.
- Mempertahankan hak reproduktif bagi wanita.
- Pemilikan awam bagi industri farmaseutikal.
- Bawa syarikat dan bank utama ke dalam pemilikan awam di bawah kawalan dan pengurusan demokratik pekerja.
- Merancang pengeluaran sosialis demokratik berdasarkan kepentingan majoriti rakyat, dilaksanakan dengan cara yang melindungi alam sekitar dan meletakkan asas untuk mewujudkan kesaksamaan untuk semua di dunia tanpa pembahagian kelas dan peperangan.
0 Comments