Perdebatan, tesis dan protes yang mengetengahkan isu penindasan terhadap wanita telah menjadi sebahagian daripada pengalaman generasi hari ini. Ini pastinya memberikan impak dari segi kesedaran dan inspirasi kepada anak muda dan wanita yang ingin membina masyarakat yang lebih adil terhadap wanita. Perjuangan menentang penindasan terhadap wanita sedang menjadi semakin rancak kebelakangan ini dengan latar belakang krisis ekonomi di seluruh dunia. Krisis-krisis ekonomi yang mengakibatkan pemotongan perbelanjaan awam dari kerajaan sedang memberi kesan ke atas kehidupan wanita yang bergantung dengan institusi awam seperti hospital, klinik wanita dan kanak-kanak, pusat jagaan kanak-kanak, pusat perlindungan mangsa dera dan sebagainya.
Meskipun sistem ekonomi kapitalisme telah melalui era perkembangan pesat dan pembinaan infrastruktur di negara-negara membangun seperti Malaysia dan negara-negara neo-kolonial; undang-undang progresif yang berasaskan anti-seksisme seperti akta gangguan seksual di tempat kerja di wujudkan, namun sistem ekonomi kapitalisme merupakan sistem yang tidak stabil. Apabila berlaku krisis ekonomi, pihak kerajaan sering menarik balik akta-akta progresif, menunda penguatkuasaan undang-undang, memotong perbelanjaan infrastruktur dan dana kebajikan awam bagi mempertahankan kepentingan dan menjamin kadar keuntungan pihak kapitalis kaya.
Protes-protes massa yang tercetus di seluruh dunia merupakan satu manifestasi ketidakepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi kerajaan yang dianggap sebagai melaksanakan polisi dan strategi ekonomi yang tidak berpihak kepada masyarakat tertindas. Protes besar-besaran di Iran baru-baru ini yang dilancarkan untuk mempertahankan hak wanita merupakan antara contoh yang terbaik. Sejak protes ‘Green Movement’ pada tahun 2009, kerajaan kapitalis Iran berhadapan dengan pelbagai siri protes dan mogok pekerja.
Penindasan Terhadap Wanita Bermula Apabila Konsep Harta Peribadi Mula Wujud
Penindasan terhadap wanita dan seksisme merupakan sebahagian dari pembentukkan struktur masyarakat kelas yang mula bertapak kira-kira 12 ribu tahun dahulu. Apabila organisasi manusia menemui teknologi penternakan dan pertanian pada waktu itu, kapasiti mereka untuk produksi makanan dan keperluan asas juga meningkat. Mereka tidak perlu berpindah randah mencari makanan dan boleh hidup di satu tempat dengan bergantung pada hasil pertanian dan ternakan haiwan. Kemajuan ini juga mewujudkan pembahagian kerja di mana hanya sebahagian daripada masyarakat yang perlu bekerja bagi mewujudkan makanan dan keperluan yang cukup bagi seluruh masyarakat. Rakyat yang tidak terlibat dalam kerja pengeluaran makanan pula mengambil tanggungjawab untuk menguruskan tugasan lain seperti rekod hasil pengeluaran, mengagihkan pengeluaran kepada rakyat, membuat perancangan ekonomi, mewujudkan undang-undang dan sebagainya.
Lama kelamaan, pengagihan kerja ini telah memberi ruang kepada kemunculan kelas pemerintah yang mula menggunakan posisi dan kuasa mereka untuk manipulasi masyarakat dan menjadikan hasil pengeluaran sebagai harta peribadi mereka. Ini merupakan permulaan kepada masyarakat yang terbahagi mengikut kelas, dimana satu lapisan yang kecil menjadi kelas pemerintah dan mengawal segala hala tuju ekonomi dan menggondol sebahagian besar daripada produksi yang dihasilkan oleh kelas pekerja. Kelas pemerintah yang merupakan minoriti dalam masyarakat juga mewujudkan konsep ‘kerajaan’ yang mempunyai institusi tertentu seperti kehakiman, badan bersenjata seperti askar atau polis dan sebagainya bagi melindungi ‘harta peribadi’ mereka yang sebenarnya dicuri dari kelas pekerja. Friedrich Engels dalam bukunya The Origin of The Family, Private Property and The State menyampaikan hujah bahawa masyarakat berasaskan kelas dan penindasan wanita telah mula membentuk pada masa yang sama.
Walaupun aturan sosial manusia telah melalui pelbagai bentuk, dari sistem hamba di bawah kuasa dewa raja ke sistem feudal di bawah Tsar dan Sultan ke sistem kapitalisme, kita masih dibelenggu dengan masyarakat yang dibahagi mengikut kelas. Hari ini, kelas kapitalis mengawal segala hala tuju ekonomi dan kelas pekerja terpaksa akur dengan penindasan dan ekploitasi yang berlaku.
Evolusi sosial manusia yang melahirkan masyarakat kelas adalah bukan sekadar titik permulaan bagi penindasan di antara manusia yang mempunyai status yang berbeza di dalam masyarakat, ia juga merupakan titik permulaan bagi penindasan wanita yang sedang masih dirasai oleh golongan wanita hari ini. Selepas kewujudan masyarakat kelas, kelas pemerintah yang ingin mempertahankan harta peribadi yang dikumpul telah mewujudkan kontrak sosial dan menetapkan undang-undang perkahwinan untuk mengesahkan waris yang sah untuk mewasiatkan harta mereka.
Konsep keluarga yang diterima pakai di seluruh dunia hari ini merupakan konsep yang baru. Ia bermula hanya apabila masyarakat kelas bermula iaitu pada waktu sistem ekonomi perhambaan (atau feudal di sesetengah tempat seperti Malaysia yang tidak melalui sistem perhambaan). Bagi masyarakat pra-kelas, mereka melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada seluruh masyarakat dan bukan daripada keluarga tertentu. Tiada istilah harta pusaka atau konsep anak yang menjadi hak peribadi kepada pasangan yang berkahwin seperti hari ini. Undang-undang perkahwinan dan keluarga merupakan satu kawalan seksualiti dan reproduksi yang sebahagiannya berkembang menjadi tradisi dan budaya masyarakat hari ini. Motif untuk mempertahankan ‘harta peribadi’ telah mendesak kelas pemerintah untuk mewujudkan undang-undang perkahwinan dan keluarga yang memberikan status sosial yang lebih tinggi kepada golongan lelaki.
Mencabut Penindasan Terhadap Wanita Dari Akarnya
“Untuk mencapai kesaksamaan wanita dalam kehidupan politik, sosial dan budaya, adalah usaha ke arah memasyarakatkan kerja-kerja domestik dan penjagaan (anak, orang sakit, dan warga tua). Untuk mewujudkan kesaksamaan politik di antara lelaki dan wanita di negara Soviet adalah satu cabaran, tetapi mudah untuk diatasi. Tetapi untuk mencapai kesaksamaan di antara lelaki dan wanita di dalam keluarga adalah cabaran yang jauh lebih rumit. Selagi wanita terikat dengan kerja rumah seperti menjaga keluarga, memasak dan menjahit, semua peluang mereka untuk menyertai kehidupan sosial dan politik akan berkurangan.”
Leon Trotsky
Trotsky merupakan antara pemimpin utama Revolusi Rusia 1917 dan menjadi sebahagian daripada kepimpinan kerajaan pekerja Soviet Union sehingga disingkirkan dan dibuang negara oleh Stalin pada tahun 1929. Trotsky memahami kepentingan penglibatan wanita dalam politik sebagai asas untuk memperjuangkan hak mereka. Tetapi Trotsky juga memahami kaitan beban dalam rumah yang mengikat wanita dan menafikan hak politik mereka.
Pemahaman ini telah diterjemah dalam kerajaan pekerja Soviet Union pada waktu itu. Rusia yang dianggap sebagai negara yang sangat mundur (persamaan seperti Burundi atau Rwanda hari ini) merupakan negara pertama yang membenarkan wanita untuk mengundi dan menghapuskan buta huruf di kalangan wanita (90% daripada wanita merupakan buta huruf pada waktu itu) dengan memberikan hak pendidikan kepada semua. Kerajaan pekerja Soviet juga mewujudkan rumah awam, kantin awam, pusat penjagaan kanak-kanak awam, klinik wanita dan kanak-kanak di komuniti setempat dan banyak lagi kemudahan yang boleh meringankan kerja-kerja domestik di dalam keluarga. Ini merupakan sejarah dan pengajaran yang amat penting dalam membina gerakan pembebasan wanita pada hari ini.
Trotsky berhujah, “undang-undang yang progresif sahaja tidak mencukupi jika wanita masih terbeban dalam perhambaan rumah tangga”. Jika kita mengambil kira status undang-undang wanita selepas Revolusi Rusia 1917 di bawah kerajaan kelas pekerja, kita dapat melihat bahawa hak sivil, sosial dan politik mereka jauh lebih tinggi daripada apa yang dinikmati oleh wanita dari negara-negara ‘demokrasi’ kapitalis yang paling maju di Eropah pada waktu itu. Golongan wanita di Soviet Union pada awal 1920-an mempunyai hak mengundi dan bertanding untuk jawatan politik awam, hak saksama dengan lelaki untuk bercerai, dibenarkan untuk menggugurkan kandungan, mempunyai surat khabar yang khusus dan bebas bekerja untuk mendapatkan gaji tanpa kebenaran suami atau bapa. Revolusi tersebut juga telah memacu peningkatan hak dan undang-undang yang mempertahankan kepentingan golongan wanita di seluruh dunia, termasuk di negara-negara maju pada waktu itu.
Para pemimpin Revolusi Rusia 1917 yang juga terdiri daripada beberapa wanita percaya bahawa hanya dengan penglibatan wanita secara massa dalam gerakan sosial, penindasan terhadap wanita, termasuk penindasan berdasarkan budaya-budaya patriarki yang kuno dan institusi agama yang tidak demokratik dapat dihapuskan. Kenyataan ini amat relevan dalam situasi hari ini terutama bagi negara neo-kolonial seperti Malaysia. Saki baki institusi pemerintahan dan undang-undang ketika era feudal dan penjajah British masih lagi dikekalkan disini. Ini merupakan alat yang amat penting bagi kelas kapitalis untuk menjamin kelangsungan sistem ekonomi kapitalisme.
Hak Reproduksi Dan Peranan Kerajaan Dalam Institusi Keluarga
Hak reproduksi wanita merupakan topik yang dianggap sulit. Kesedaran terhadap hak kesihatan reproduksi amat lemah di kalangan wanita dan masyarakat umum. Juga wujud pelbagai salah faham terutama dalam isu wanita menggugurkan kandungan. Golongan wanita sering diancam apabila melakukan prosedur tersebut dan gerakan yang mempertahankan hak reproduksi wanita sering dituduh sebagai tidak bermoral. Persepsi dan kesedaran yang mundur ini dapat dicabar dengan mendedahkan sistem ekonomi kapitalisme yang penuh dengan percanggahan. Tanggungjawab membesarkan anak dalam sistem kapitalisme bukan satu tugas yang mudah. Memberi makan dan pakaian, memastikan anak bersekolah dan memantau kesihatan anak adalah tugas yang besar dan memerlukan sokongan yang stabil dalam masyarakat, terutamanya dengan peningkatan kos kehidupan yang mendadak dan tidak sepadan dengan gaji yang diterima.
Tambahan pula, akibat krisis ekonomi dalam sistem kapitalisme, sebarang saki baki kemudahan awam yang merupakan nadi bagi rakyat miskin juga menjadi terhad dan tidak tersedia untuk majoriti. Pandemik Covid-19 baru-baru ini telah mendedahkan bahawa nisbah hospital dan klinik kesihatan tidak memadai mengikut populasi. Berjuta-juta pesakit yang sedang menunggu temu janji rawatan telah ditunda selama berbulan-bulan untuk menampung situasi pandemik. Ini terjadi meskipun kelas kapitalis besar seperti Pharmaniaga dan Top Glove sedang mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda akibat pandemik. Kerajaan sepatutnya mencukaikan keuntungan kapitalis untuk disalurkan kepada rakyat dalam situasi kecemasan. Tetapi, kerajaan yang menjadi pendokong sistem kapitalisme dan pak turut kelas kapitalis telah hanya membantu golongan kaya untuk terus menjana keuntungan yang lumayan apabila rakyat biasa sedang merana.
Malah krisis sosial seperti pembuangan bayi, keganasan domestik, rogol dan sumbang mahram menjadi lebih runcing apabila ekonomi berada dalam krisis. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah mendedahkan kesan negatif situasi krisis ke atas institusi keluarga dan golongan wanita. Mengikut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes melibatkan keganasan seksual yang dibuka siasatan telah meningkat lebih 100% berbanding sebelum PKP. Begitu juga dengan saluran untuk mangsa keganasan domestik seperti Talian Nur yang melaporkan aduan meningkat dengan mendadak ketika PKP.
Situasi ini berlatar belakangkan krisis ekonomi yang telah mengakibatkan krisis pengangguran dan jutaan pekerja hilang mata pencarian. Rakyat miskin yang tidak mencukupi bekalan makanan terpaksa menaikkan bendera putih sebagai tanda meminta bantuan.
Dalam situasi ini, menafikan hak untuk menggugurkan kandungan bagi wanita hamil dalam apa sahaja situasi merupakan satu seksaan. Ianya berbeza jika pihak kerajaan dan komuniti setempat mampu menyediakan segala keperluan bagi ibu untuk membesarkan bayi dalam keadaan yang selamat. Tetapi, dunia hari ini dibawah sistem kapitalisme tidak beroperasi sebegitu. Segala beban kos hidup anak-anak kecil semuanya diletakkan di atas keluarga tunggal yang sedang tersepit dengan pelbagai dugaan akibat sistem ekonomi yang tidak menyebelahi mereka.
Perjuangan Revolusi Seiring Dengan Perjuangan Emansipasi Wanita
Penindasan terhadap wanita dalam masyarakat kapitalisme mempunyai latar belakang sejarah yang berbeza di setiap negara atau rantau. Meskipun berbeza, budaya patriarki tetap menjadi alat kelas kapitalis untuk mengekploitasi dan mengawal rakyat melalui represi, terutamanya apabila tiba krisis. Budaya patriarki dan penindasan dalam sistem kapitalisme seperti ketidaksamaan gaji antara pekerja lelaki dan wanita untuk kerja yang sama, subordinasi wanita dalam politik, termasuk isu-isu yang melibatkan kos sara hidup seperti kenaikkan harga barang menunjukkan wanita memikul beban dan penindasan yang berganda.
Ini merupakan eksploitasi sistemik yang menguntungkan kelas kapitalis. Malah sistem kapitalisme hanya mampu bertahan melalui eksploitasi wanita dari segi peranan mereka di dalam rumah seperti menjaga, memasak, mencuci dan mengemas. Realitinya, sistem kapitalisme bukan sahaja bergantung dengan kelas pekerja waktu ini untuk menjana segala keuntungan yang dinikmati, mereka juga perlu memastikan kewujudan generasi kelas pekerja yang seterusnya untuk meneruskan kesinambungan sistem ini. Lebih ramai populasi, lebih banyak kesempatan bagi kelas kapitalis untuk memerah tenaga kerja rakyat untuk menjana keuntungan yang lumayan.
Segala tanggungjawab untuk melahirkan dan membesarkan anak sehingga menjadi ahli yang produktif dalam menyumbang ke arah ekonomi diletakkan ke atas bahu keluarga yang kecil. Juga, keluarga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga ahli-ahli masyarakat yang tidak lagi produktif kerana sudah tua atau mengalami kecacatan. Golongan wanita yang dilihat sebagai mempunyai peranan untuk melahirkan dan membesarkan anak dalam budaya patriarki dipaksa menanggung beban yang paling besar dalam masyarakat. Manakala para kapitalis mempergunakan amalan patriarki ini untuk melepaskan diri dari sebarang tanggungjawab yang seharusnya dipikul oleh mereka sebagai penguasa sistem ekonomi. Oleh itu, perjuangan wanita untuk mencari pembebasan dari cengkaman patriarki dan penindasan berdasarkan seksisme juga harus dilanjutkan ke arah perjuangan menentang seluruh sistem ekonomi kapitalisme yang merupakan asas kepada segala jenis penindasan yang berlaku sesama manusia.
Kerajaan pekerja Soviet di Rusia pada tahun 1917 telah memberikan inspirasi dan contoh terhadap perjuangan ini. Kepimpinan Soviet yang terdiri dari delegasi kepimpinan kelas pekerja termasuk Trotsky sedar bahawa partisipasi wanita dalam politik mesti bergerak seiiring dengan mencabut keluar peranan tradisi wanita di dalam rumah. Gabungan ini membentuk asas yang kukuh untuk mempercepatkan penghapusan budaya patriarki yang berkembang secara berbeza mengikut rantau atau negara.
Walaupun Revolusi Rusia 1917 dan kerajaan kelas pekerja Soviet Union telah merosot ke arah birokrasi Stalinisme akibat beberapa faktor tertentu, sumbangan revolusi kelas pekerja tersebut ke arah peningkatan bagi hak-hak wanita diseluruh dunia tidak boleh dinafikan. Birokrasi yang terbentuk di Soviet Union telah mengekang perkembangan hak wanita, tetapi Revolusi Rusia 1917 yang menolak sistem kapitalisme dan cuba menubuhkan aturan sosial yang lebih saksama merupakan titik tolak kepada semua kemajuan yang dinikmati oleh bukan sahaja golongan wanita tetapi juga oleh semua rakyat yang tertindas. Oleh itu, gerakan pembebasan wanita yang bangkit pada hari ini juga harus mengambil pengajaran dari pengalaman Revolusi tersebut dan mengetengahkan tuntutan untuk menghapuskan sistem kapitalisme yang beroperasi berdasarkan kepentingan kelas kapitalis untuk menindas golongan wanita dan kelas pekerja secara serentak.
Sistem kapitalisme hanya akan membawa lebih banyak kesengsaraan kepada rakyat majoriti, terutamanya kelas pekerja, rakyat miskin dan golongan wanita tertindas. Segala kemajuan yang diperoleh oleh kelas pekerja dan wanita di dalam sistem ini sedang ditarik kembali dan masyarakat dunia sedang dihumban ke arah sebuah krisis ekonomi, politik, sosial dan kemerosotan alam sekitar yang tiada kesudahan. Gerakan-gerakan yang mengangkat hak wanita juga harus menjalinkan solidariti dengan gerakan-gerakan kelas pekerja dan rakyat miskin lain dan membina satu perjuangan bersama untuk menggulingkan sistem kapitalisme dan melaksanakan sistem sosialisme yang adil, demokratik dan berteraskan kehendak majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa.
0 Comments