Pandemik Covid 19 telah mendedahkan bahawa penindasan terhadap wanita adalah penindasan yang sistemik dan hanya satu perjuangan politik dapat memberikan kejayaan yang kekal dalam perjuangan menuntut kebebasan wanita. Wanita hari ini ditekan dari setiap sudut, samaada di tempat kerja, di rumah ataupun di kalangan masyarakat yang melihat wanita sebagai rakyat kelas kedua.
Walaupun kerajaan yang telah bertukar ganti mempunyai maklumat seperti kajian dan statistik yang mendedahkan segala bentuk penindasan yang sedang dihadapi oleh wanita hari ini, tetapi, masing masing tidak berkemampuan untuk membawa sebarang jalan penyelesaian. Malah, pandemik Covid 19 telah dengan lebih menyeluruh mendedahkan permainan politik semua parti parti arus perdana yang selama ini hanya menabur janji janji kosong. Isu seperti penindasan wanita hanya digunakan untuk meraih perhatian rakyat, terutamanya ketika musim pilihanraya atau krisis ekonomi seperti sekarang yang menjadi medan rebutan kuasa.
Akaun KWSP khas untuk suri rumah misalnya telah diwujudkan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan setelah menggulingkan BN pada pilihan raya 2018 yang lepas. Adakah penyelesaian ini wajar setelah berdekad-dekad menjaja janji untuk mendirikan ekonomi yang lebih adil di bawah pemerintahan mereka? Wang akaun KWSP suami akan dipotong sebanyak 2% bagi menyumbang ke KWSP suri rumah! Adakah 2% ini mencukupi untuk menampung kehidupan wanita pada hari tua mereka? Lebih lebih lagi, 2% itu diambil dari akaun suami yang juga merupakan sebahagian daripada pendapatan isi rumah dan bukanlah di bekalkan oleh kerajaan ataupun pihak majikan si suami. Inilah kerenah ahli ahli politik yang tidak pernah jemu menabur janji janji kosong tetapi sentiasa mengkhianati merek di setiap penjuru.
Masing-masing Barisan Nasional, Perikatan atau Pakatan Harapan, telah mencuba nasib dalam kerajaan dan masing-masing tidak mampu memberikan jalan keluar yang jelas dalam isu penindasan terhadap wanita. Malah pandemik menyaksikan betapa golongan wanita ditimpa dengan beban tambahan dan juga menjadi mangsa keganasan rumah tangga ketika kerajaan mula menguat kuasa Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 tanpa menyediakan keperluan yang cukup bagi rakyat.
Beban dan Penindasan Wanita Meningkat
Seperti apa yang berlaku di seluruh dunia, wanita secara amnya telah dipaksa untuk menanggung banyak beban tambahan untuk menguruskan rumah tangga semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Memandangkan lelaki dan kanak-kanak tinggal di rumah, wanita terpaksa mengendalikan kerja tambahan seperti memasak, membasuh, membersihkan dan menjaga anak. Situasi ini juga terpaksa ditanggung oleh para wanita yang bekerja dari rumah. Pada masa yang sama, dalam keadaan cemas dan huru hara ini, laporan polis menunjukkan peningkatan mendadak dalam peristiwa keganasan rumah tangga daripada suami dan pasangan.
Mengambil laporan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, panggilan Talian Kasih telah melonjak secara mendadak berbanding pada 2019, iaitu dari 25,868 kes ke 153,024 pada tahun 2020. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rina Harun, kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga.
Meskipun faham akan realiti, Rina Harun juga cuba untuk mengaburi mata rakyat dengan berhujah bahawa peningkatan kes yang mendadak ini adalah disebabkan oleh perluasan skop perkhidmatan, iaitu perkhidmatan tele-kaunseling dan penggunaan aplikasi WhatsApp dan bukanlah mencerminkan kekurangan taraf kehidupan secara mendadak bagi rakyat terbanyak. Namun, statistik kadar pengangguran negara yang juga meningkat, jelas menunjukkan bahawa pandemik telah memberi kesan ekonomi yang parah, terutamanya kepada masyarakat miskin dan kelas pekerja. Kadar pengangguran kasar yang mencecah 5% ini tidak pernah dilihat dalam sejarah Malaysia sejak 1980 an! Bagaimana pula dengan rakyat yang terpaksa mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan makanan? Tahun lepas sebahagian daripada rakyat miskin dan ibu ibu tunggal yang terdesak telah terpaksa mengangkat bendera putih dan merayu kepada rakyat untuk bantuan akibat terputus bekalan makanan dan keperluan asas.
Dalam keadaan terdesak ini sekalipun, didapati bahawa pihak Polis telah menziarahi beberapa rumah yang mengibarkan ‘bendera putih’ dan mengarahkan supaya ia diturunkan. Adakah pihak kerajaan merasa malu bahawa kegagalan mereka untuk memelihara rakyat termiskin di dalam pandemik ini terdedah?
Keterdesakan ini tidak perlu dihadapi oleh ibu-ibu tunggal miskin dan keluarga kelas pekerja sekiranya kerajaan berusaha untuk meningkatkan kebajikan mereka di sepanjang pandemik yang telah membawa musibah ekonomi kepada ramai. Namun, pada waktu keterdesakan itu, parti-parti politik kerajaan dan pembangkang masing-masing sedang mengalami perbalahan dalaman, dan sedang sibuk melindungi agenda masing-masing. Rebutan kuasa menjadi tumpuan dan jeritan rakyat biasa tidak diendahkan.
Kapitalisme Punca Penindasan Wanita dan Rakyat Miskin
Tetapi, walaupun dalam keadaan krisis politik yang berpanjangan, kelas kapitalis, iaitu golongan majikan besar, pemodal kaya dan pemilik industri di Malaysia dan di seluruh dunia telah terus menggandakan keuntungan mereka tanpa sebarang halangan. Syarikat syarikat industri pengeluaran alat perubatan, sarung tangan getah, industri media sosial, hiburan dan banyak lagi telah mendapat ‘durian runtuh’ semasa pandemik dan melihat nilai saham dan keuntungan mereka meningkat berlipat kali ganda. Manakala kapitalis yang terkesan akibat pandemik seperti pemilik industri pelancongan pula mendapat bantuan bernilai berbilion bilion dari pihak kerajaan yang telah mengosongkan rizab negara bagi menampung kerugian beberapa individu yang kaya raya.
Walaupun di dalam keadaan pandemik di mana kebanyakan kelas pekerja dan rakyat miskin menghadapi beban ekonomi yang melampau, kerajaan tidak pernah bercadang untuk meningkatkan cukai terhadap korporat kaya bagi membiayai kebajikan rakyat biasa. Malah, hutang negara yang meningkat teruk akibat pinjaman yang dibuat oleh kerajaan ini akan akhirnya ditanggung oleh jutaan kelas pekerja dengan peluh dan darah mereka di masa akan datang. Dalam sistem yang menindas majoriti daripada rakyat bagi memelihara keuntungan segelintir, para wanita kelas pekerja menjadi mangsa penindasan yang berganda ganda. Walaupun ditindas oleh kelas kapitalis yang mengeksploitasi tenaga kerja wanita dengan upah yang lebih rendah berbanding lelaki, wanita juga terpaksa menghadapi penindasan dalam rumah tangga yang sedang hancur akibat krisis ekonomi.
Situasi ini sama sekali bukanlah ‘istimewa’. Pandemik Covid 19 bukanlah punca kepada penindasan berganda terhadap wanita dan ia tidak menjelma dengan tiba-tiba. Sistem ekonomi dan politik kapitalisme yang di amalkan di seluruh dunia memainkan peranan yang besar dalam semua penindasan dan kekerasan, termasuk terhadap golongan wanita. Dalam sistem ekonomi yang berasaskan kepada keuntungan bagi segelintir individu kaya dan menindas majoriti rakyat yang bertungkus lumus menghasilkan semua kekayaan yang wujud, nasib dan masa hadapan kelas pekerja, rakyat dan golongan wanita miskin sedang diperjudikan. Lebih lebih lagi, para kapitalis dunia sedang mengheret seluruh umat manusia ke arah kemusnahan melalui krisis ekonomi, pencemaran alam sekitar dan peperangan yang tidak berkesudahan. Semuanya, semata mata untuk mengejar keuntungan bagi memenuhi kehendak para kapitalis yang bilangannya kurang daripada 1% daripada populasi dunia!
Keuntungan yang dijana oleh titik peluh kelas pekerja tidak dibahagikan untuk kebaikkan rakyat seperti penambahbaikkan servis hospital, pembinaan pusat jagaan kanak-kanak awam, peningkatan gaji kelas pekerja, pendidikan percuma dan banyak lagi keperluan rakyat. Tetapi, pihak kerajaan yang akur dengan kehendak kelas kapitalis lebih mendahulukan pembangunan infrastruktur swasta dan menyediakan subsidi korporat dan pemotongan cukai untuk menarik pelaburan asing. Setiap pembentangan belanjawan dari mana mana kerajaan telah melihat pemotongan dana kebajikan awam, termasuk dana kebajikan wanita dan kanak kanak yang memberi kesan yang mendalam kepada rakyat miskin.
Kuala Lumpur, Malaysia
Karachi, Pakistan
San Salvador, El Salvador
London, England
Selamat Hari Pekerja Wanita Sedunia
Bagi Sosialis Alternatif, kami akan sentiasa mengangkat perjuangan kelas pekerja wanita yang memainkan peranan yang penting dalam memperjuangkan masa depan yang terjamin untuk seluruh umat manusia. Para pejuang wanita dan kelas pekerja yang berjuang menentang penindasan sistem kapitalisme dan amalan patriarki di dalam sistem ini, bukan sahaja mendedahkan kepincangan sistem ini yang menindas warga miskin, malah telah berjaya mendapatkan kejayaan kejayaan yang bersejarah bagi semua kelas pekerja.
Hari wanita yang disambut diseluruh dunia pada 8 Mac mempunyai akarnya di Revolusi Russia 1917 yang dicetuskan oleh golongan pekerja kilang wanita yang membanjiri jalan-jalan bandar di Rusia sambil menyeru ‘letakkan peralatan kerja! Ayuh turun mogok!’. Tindakan kelas pekerja wanita tersebut telah memulakan sebuah siri mogok umum yang akhirnya menggulingkan rejim Tsar yang telah berdiri teguh untuk lebih 1000 tahun di Rusia. Aksi tersebut juga membawa kepada sebuah revolusi kelas pekerja yang menggulingkan para kapitalis dan mengambil kuasa kerajaan ke tangan kepimpinan kelas pekerja yang disusun secara demokratik.
Kerajaan kelas pekerja pertama yang lahir dari Revolusi Rusia 1917 telah membawa kepada kemajuan dan peningkatan hak kepada golongan wanita yang tidak pernah dilihat di negara negara kapitalis maju pada waktu itu. Wanita memenangi hak mengundi, hak bercerai dan hak untuk dilindungi dari keganasan domestik. Selain itu, pusat asuhan awam, klinik wanita komuniti dan sebagainya telah didirikan di bawah kerajaan kelas pekerja untuk pertama kali. Malangnya akibat serangan dari negara negara kapitalis, revolusi rusia telah merosot dan jatuh ke tangan birokrasi Stalin. Stalin dan kuncu kuncunya mengambil kesempatan dalam keadaan peperangan untuk mencekik revolusi tersebut dan menghapuskan segala tunas demokrasi yang menjadi ciri utama kepada kerajaan kelas pekerja yang wujud sepanjang 1917 ke 1923.
Tetapi, revolusi tersebut yang dirasmikan oleh Hari Wanita 1917 telah menjadi inspirasi kepada wanita tertindas dan kelas pekerja sedunia yang telah membawa perjuangan perjuangan yang bersejarah di setiap pelosok dunia dan meningkatkan hak mereka. Segala hak hak yang dinikmati oleh para wanita hari ini adalah hasil daripada pengorbanan wanita kelas pekerja yang telah menyusun tenaga mereka dan menentang penindasan kapitalis dengan berani.
Bina Perpaduan Kelas Pekerja dan Berjuang Demi Sosialisme
Akan tetapi, perjuangan kelas pekerja wanita belum berakhir. Malah, dalam keadaan krisis ekonomi yang teruk, banyak daripada hak hak wanita mula dicabul dan ditarik balik oleh kerajaan kapitalis yang rakus. Kelas pemerintah sering menggunakan perbezaan jantina untuk memecahkan kelas pekerja wanita dan lelaki bagi mengelakkan sebarang perjuangan bersama oleh mereka. Oleh itu, kelas pekerja wanita di bayar lebih rendah untuk kerja yang sama dengan lelaki dan seringkali mereka ditindas dan dipaksa untuk bekerja lebih masa berbanding lelaki.
Oleh itu, ianya jelas bahawa segala kemenangan golongan wanita dan kelas pekerja lepas tidak terjamin di bawah aturan kapitalisme. Pandemik Covid 19 juga telah mendedahkan dengan lebih dalam akan kepentingan bagi golongan tertindas, terutamanya golongan wanita, untuk menyusun perjuangan mereka secara tersusun dan bergerak ke arah mencari alternatif kepada sistem kapitalisme yang rakus, rapuh dan kejam.
Pada Hari Wanita tahun ini, kami menyeru kepada semua kelas pekerja wanita dan lelaki, untuk membina kepimpinan politik baru yang disusun secara demokratik dan membawa program rakyat seperti gaji kehidupan yang adil, pendidikan percuma, hak untuk berkesatuan, hentikan penindasan terhadap wanita, bina infrastruktur awam, sediakan perumahan awam dan sebagainya.
Pada masa yang sama, kepimpinan politik kelas pekerja ini juga tidak boleh berangan angan bahawa sistem kapitalisme yang dikawal dan dikemudi oleh segelintir individu kaya akan memberikan sebarang konsesi bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat biasa. Terutamanya dalam keadaan krisis ekonomi yang melihat para kapitalis merebut segala keuntungan yang ada dan enggan untuk labur kembali kekayaan tersebut akibat situasi ekonomi yang tidak stabil.
Kepimpinan ataupun parti politik yang mewakili kelas pekerja haruslah mencabar kekuasaan kelas kapitalis yang memegang segala pengemudi ekonomi dan politik dan mengangkat sistem ekonomi sosialisme yang meletakkan pemilikan produksi dan industri besar di bawah kawalan awam rakyat biasa. Kelas pekerja yang menghasilkan segala keperluan masyarakat haruslah diberikan kuasa untuk mengawal pengagihan kekayaan tersebut. Pada masa yang sama, komuniti setempat dan rakyat biasa juga haruslah diberikan kuasa untuk mengambil keputusan ke atas pembangunan yang berlaku di kawasan tinggal mereka. Perkara ini mustahil untuk dicapai di dalam sistem kapitalisme yang menumpukan segala kuasa produksi dan perancangan komuniti di tangan segelintir yang hanya mengejar keuntungan dan tidak mengendahkan nasib orang biasa.
Sistem kapitalisme haruslah ditukar dan digantikan dengan sosialisme, bukan sahaja untuk memelihara hak dan kebajikan rakyat tertindas, tetapi ia juga boleh membebaskan golongan wanita daripada cengkaman penindasan yang berterusan. Malah sistem sosialisme merupakan satu satunya solusi pada waktu ini untuk menyelamatkan dunia dan umat manusia daripada kemusnahan yang ditaja oleh kelas kapitalis!
Tuntutan kami
- Gaji yang sama rata bagi wanita dan lelaki
- Peluang pekerjaan dan hak politik, ekonomi dan sosial yang sama rata dengan lelaki
- Mengiktiraf beban dan kerja surirumah sebagai kerja produksi sosial untuk menjamin hak dan kebajikan surirumah dan keluarga
- Berikan hak reproduksi untuk menentukan haluan hidup sendiri secara demokratik kepada wanita
- Wujudkan kemudahan kesihatan yang mencukupi untuk menjamin keperluan kebajikan dan kesihatan wanita
- Cuti berbayar yang mencukupi bagi wanita untuk menghadapi kedatangan haid dan jika mengandung.
- Pembesaran kanak-kanak adalah tanggungjawab masyarakat dan harus disediakan peruntukan secukupnya oleh kerajaan untuk membantu membesarkan mereka.
- Hapuskan diskriminasi berdasarkan jantina, kaum, agama dan latar belakang di institusi pengajian dan di tempat kerja
- Hak untuk menubuhkan kesatuan sekerja bagi semua pekerja
- Gaji minimum berlandaskan kepada inflasi bagi semua tidak kira kaum, agama dan jantina
- Badan komuniti yang dipilih secara demokratik oleh rakyat harus diberikan kuasa dalam mengawal dan mengurus hal ehwal agama dan budaya.
- Pengawalan produksi secara demokratik oleh kelas pekerja dan komuniti
- Ubah sistem kapitalisme dan sistem kelas dan gantikan dengan alternatif sosialis untuk menjamin hak dan kebajikan majoriti kelas pekerja dan rakyat tertindas

Pada 8 Mac 1917, ribuan pekerja kilang wanita telah keluar mogok dan menyeru kepada semua pekerja untuk turut serta. Aksi mereka telah merasmikan Revolusi Russia 1917 yang telah menggulingkan rejim Tsar dan Kapitalisme di Russia dan menjurus kepada pembinaan kerajaan Kelas Pekerja yang pertama
0 Comments