Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

Hari wanita sedunia setiap tahun menjadi simbol perjuangan wanita dan hari peringatan bagi gerakan-gerakan massa yang telah memenangi pelbagai hak untuk wanita dan golongan tertindas lain. Walaupun perjuangan ini sudah berpanjangan untuk berabad-abad lamanya dan walaupun sudah ada banyak hak yang dimenangi oleh wanita melalui perjuangan mereka, masih lagi golongan wanita belum dapat mencapai kesamarataan dengan golongan lelaki sepertimana yang diimpikan.

Krisis Ekonomi dan Sosial

Selepas kejatuhan tembok Berlin dan pemerintahan Soviet di Rusia pada 1990, sistem ekonomi kapitalisme yang mendominasi seluruh dunia telah menjanjikan sebuah masa depan yang cerah dan saksama bagi golongan wanita dan ramai telah menaruh harapan yang tinggi kepada kapitalisme. Tetapi, bermula dari krisis ekonomi dunia yang tercetus pada 2008, penindasan terhadap kelas pekerja miskin terutamanya golongan wanita sudah mula meningkat. Di kebanyakkan negara di dunia pada hari ini, kelas pekerja terpaksa menanggung beban hutang negara yang sedang mengakibatkan pemotongan kebajikan sosial dari kerajaan, menghadapi kenaikan harga barangan akibat penswastaan pesat dan kehilangan pekerjaan kepada robot atau teknologi otomasi. Tambahan pula, hampir semua pakar ekonomi arus perdana bersetuju bahawa sistem kapitalisme akan mengambil masa yang lama untuk pulih dan sedang berada dalam situasi yang tidak stabil di mana sebuah krisis ekonomi baru boleh tercetus pada bila-bila masa sahaja. Ini sangat jelas apabila meneliti kadar hutang kerajaan-kerajaan dunia yang semakin berkembang dan ketidakupayaan para kapitalis untuk menghidupkan kembali ekonomi ini pada kadar perkembangan sebelum krisis global itu melanda.

Akibatnya, kita melihat pelbagai krisis sosial dan politik sedang melanda populasi dunia dalam sedekad lalu. Pelbagai gerakan rakyat tercetus akibat kemerosotan ekonomi dan akibat ketiadaan sebuah alternatif politik untuk membawa rakyat majoriti keluar daripada krisis yang dihadapi. Kebanyakkan daripada kepimpinan politik yang ada hanya menyokong sistem pasaran bebas kapitalisme sambil menuntut supaya rakyat biasa bertahan dan berkorban sementara golongan elit sedang berusaha memperbaiki ekonomi. Ini didapati tidak benar apabila lebih sedekad selepas krisis ekonomi melanda, golongan kapitalis kaya yang bilangannya kurang daripada 1% telah berjaya menggandakan kekayaan mereka sambil memangsakan jutaan rakyat miskin. Hari ini, kurang daripada 10 individu terkaya di dunia memiliki lebih kekayaan daripada separuh daripada populasi dunia bergabung. Jeff Bezos (orang terkaya di dunia dengan kekayaan melebihi 150 Bilion US) misalnya mempunyai kekayaan lebih daripada pendapatan bergabung bagi 48 negara termiskin di dunia!

Perjuangan Massa Meningkat

Di antara perjuangan rakyat yang menonjol dalam sedekad ini merupakan perjuangan wanita terutamanya dari kalangan wanita kelas pekerja. Rakyat di Argentina dan India telah melancarkan gerakan-gerakan gergasi untuk mengetengahkan masalah gangguan seksual yang dihadapi oleh wanita. Di Amerika, para pendidik yang kebanyakkannya terdiri daripada wanita telah melancarkan mogok untuk menuntut gaji yang lebih baik dan peruntukkan dana yang memuaskan untuk sektor pendidikan. Aksi ‘Google walkout’ tahun lepas melihat pekerja-pekerja Google jalan keluar beramai-ramai dari tempat kerja mereka sebagai protes terhadap gangguan seksual yang semakin berleluasa di tempat kerja bagi wanita. Pekerja McDonalds juga mengikut contoh ini dan melakukan aksi yang serupa dengan pekerja Google di lebih 10 bandar di Amerika Syarikat. Di Poland dan di beberapa negara lain, para wanita telah berjuang dan memenangi hak untuk mendapat gaji yang setara dengan para lelaki. Pada hari wanita di Spain tahun lepas, jutaan kelas pekerja wanita dan lelaki telah melancarkan mogok umum selama 24 jam yang disertai oleh rakyat biasa dan mahasiswa/i dari seluruh negara. Ini adalah sedikit daripada contoh perjuangan massa menuntut hak wanita yang sedang berkembang di seluruh dunia pada masa ini.

Walaupun sebuah gerakan massa belum tercetus di sini, golongan wanita Malaysia juga sedang mengalami penindasan yang sama dengan wanita-wanita lain di seluruh dunia. Masih lagi wanita tidak mendapat gaji yang setara dengan lelaki, di diskriminasi di tempat kerja kerana mengandung atau mempunyai anak jagaan, menghadapi gangguan seksual di tempat kerja dan di institusi pendidikan, kerja-kerja rumah dibebankan secara tidak adil kepada wanita, tidak ada sokongan kebajikan dan kemudahan kesihatan yang secukupnya dari kerajaan dan banyak lagi masalah-masalah asas sedang dihadapi setiap hari. Kes-kes keganasan seksual terhadap wanita dan minoriti gender lain sedang semakin berleluasa di Malaysia tanpa sebarang langkah yang berkesan daripada kerajaan.

Berjuta-juta wanita dan rakyat miskin yang mengundi untuk pihak PH di PRU lepas mendapati diri mereka tertipu apabila kebanyakkan daripada janji PRU yang dibuat oleh kerajaan sekarang sudahpun dilupakan. Bukan sahaja para wanita tidak mendapat sebarang peningkatan dalam perwakilan politik, malah kebanyakkan janji ekonomi seperti kebajikan wanita dan peningkatan gaji minimum juga tidak memuaskan dan mendedahkan bahawa kerajaan ini tidak akan berusaha untuk membebaskan wanita dari cengkaman penindasan. Kelas pekerja dan rakyat biasa harus memahami bahawa wakil-wakil rakyat yang sedia ada tidak akan membawa aspirasi rakyat terbanyak dan hanya akan memihak kepada pihak kapitalis yang ingin meneruskan eksploitasi terhadap kelas pekerja. Bagi membawa sebuah perubahan yang nyata untuk mengubah kondisi ini, rakyat tertindas harus menggabungkan tenaga mereka untuk mewujudkan sebuah kepimpinan politik berdasarkan gerakan dan program massa yang bukan sahaja mampu mencabar dominasi pihak kapitalis, tetapi juga boleh memberikan sebuah alternatif bagi sistem ekonomi yang sedang merosot setiap hari.  

Apakah Hala Tuju Gerakan Wanita

Melalui penyertaan di dalam gerakan-gerakan rakyat, dan melalui pengalaman hidup yang penuh dengan krisis dan penindasan dari pihak kapitalis dan kerajaan, rakyat biasa sedang mendapat kesedaran bahawa sistem ekonomi dan politik yang sedia ada tidak mampu untuk memenuhi aspirasi mereka. Rakyat di seluruh dunia yang sudah muak dengan penindasan yang dihadapi sedang mencari sebuah alternatif politik dan ekonomi yang boleh membawa semua kita dari krisis yang sedang dihadapi, dan membina sebuah sistem yang lebih adil dan saksama untuk masa hadapan. Sistem kapitalisme bukan sahaja gagal untuk memenuhi kehendak para wanita dan kelas pekerja miskin, malah ia sedang membawa dunia ke arah perang yang tidak terhenti, kemusnahan alam sekitar dan keruntuhan sosial yang akan menggugat kesinambungan peradaban manusia.  

Kelas Pekerja dan Rakyat Tertindas Merupakan Kuasa Perubahan

Rakyat biasa, terutamanya kelas pekerja yang memegang kuasa produksi dan ekonomi merupakan kuasa sebenar yang sedang menggerakkan dan menjamin kehidupan setiap penghuni di dunia ini. Apabila kelas pekerja melancarkan aksi-aksi mogok, kita dapat menyaksikan kekuatan yang terbina dengan perpaduan dan solidariti dikalangan semua kelas pekerja yang mampu mencabar para kelas majikan yang merupakan jutawan dan mempunyai status sosial yang tinggi. Walaupun kelas majikan dan kapitalis memiliki wang dan harta benda, kelas pekerja dan rakyat biasa mempunyai kebolehan untuk mengubah sistem ekonomi ini melalui perjuangan yang tersusun dan kepimpinan yang jelas dengan hala tuju. Ini yang telah dilakukan oleh kelas pekerja di Rusia pada Oktober 1917. Walaupun Revolusi Rusia itu sendiri merosot akibat beberapa faktor yang berlaku seiring perkembangan sejarah, sehingga ke hari ini, tidak ada contoh perjuangan yang lebih hebat yang telah membebaskan kelas pekerja dan rakyat tertindas termasuk para wanita dan minoriti gender sepertimana yang diperoleh hasil perjuangan pekerja ke arah sosialisme di Rusia 1917.

Kelas pekerja harus menyedari peranan bersejarah mereka untuk memperjuangkan hak rakyat dan golongan wanita tertindas dari setiap lapisan masyarakat melalui gerakan tersusun yang menuntut perubahan sistem. Tuntutan kelas pekerja mempunyai potensi untuk menggabungkan perjuangan rakyat di bawah garis kelas dan usaha tersusun oleh kelas pekerja seperti aksi mogok dan piket akan meningkatkan kesedaran rakyat dan memantapkan perjuangan massa. Oleh itu, Kesatuan Sekerja yang merupakan perwakilan bagi kelas pekerja harus mengambil tempat kepimpinan dalam semua protes atau perjuangan rakyat dan membina sebuah alternatif politik massa. Rakyat biasa yang sedang berjuang mencari alternatif tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang kepimpinan dari organisasi kelas pekerja. Jika perkara itu berlaku, kekecewaan dan kemarahan rakyat itu akan dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan prasangka di antara rakyat yang berbeza latar belakang dan menyalahkan pihak-pihak tertentu sebagai punca krisis ekonomi bagi memesongkan perjuangan rakyat. Di Malaysia juga sudah wujud demagog-demagog rasis seperti itu yang sedang cuba merebut kuasa politik dengan mewujudkan huru-hara dan kekecohan di kalangan masyarakat berbeza.

Kami menyeru kepada pertubuhan kelas pekerja, Kesatuan Sekerja, anak muda dan wanita untuk melibatkan diri dalam perjuangan-perjuangan rakyat bagi membina sebuah kepimpinan dengan hala tuju yang jelas. Kelas kapitalisme yang merupakan punca kepada penindasan rakyat dan penindasan wanita harus dibantah dan alternatif sosialisme yang mengamalkan pengagihan kekayaan yang adil dan menggalakkan kesaksamaan ekonomi di kalangan rakyat haruslah di perjuangkan dengan sedar. Golongan kapitalis yang bilangannya kurang dari 1% mempunyai pelbagai bentuk perwakilan politik, oleh itu, rakyat biasa juga memerlukan perwakilan politik yang dipimpin oleh kelas pekerja yang tersusun dan kuat, membawa program massa dan alternatif sosialis, dan mempunyai komitmen untuk memperjuangkan aspirasi rakyat tertindas.  

Tuntutan Hari Wanita Sedunia 2019
  • Hapuskan perbezaan gaji di antara pekerja wanita dan pekerja lelaki untuk jawatan dan pekerjaan yang sama. Gaji minimum yang adil berlandaskan inflasi negara untuk semua pekerja.
  • Mengiktiraf suri rumah sebagai penyumbang kepada ekonomi negara dan menuntut  kerajaan dan majikan menyumbang kepada elaun bulanan serta simpanan KWSP yang adil kepada mereka.
  • Menjamin hak dan kebebasan wanita dengan meningkatkan hak ekonomi dan sosial mereka seperti hak pekerjaan yang saksama dan perumahaan yang selesa dengan harga yang berpatutan.
  • Kemudahan kesihatan dan pendidikan yang percuma yang secukupnya dan berkualiti untuk semua termasuk golongan wanita.
  • Tingkatkan cukai bagi golongan terkaya 1% untuk meningkatkan kebajikan sosial kepada rakyat biasa termasuk wanita.
  • Solidariti di antara pekerja wanita dan lelaki untuk melawan seksisme dan kegaganasan seksual di tempat kerja dan di institusi pendidikan.
  • Solidariti kelas pekerja antara pekerja tempatan dan pekerja migran untuk memperkuatkan kesatuan sekerja.  Hak untuk
  • Hak dan kebebasan untuk berorganisasi dan menubuhkan kesatuan sekerja untuk semua termasuk pekerja wanita. Kesatuan sekerja harus meningkatkan serta menggalakkan penglibatan dan kepimpinan pekerja wanita termasuk menerajui kesatuan sekerja.  
  • Membina solidariti di kalangan semua pekerja tanpa mengira perbezaan gender, budaya, kaum atau agama melalui hak kesatuan sekerja serta membina politik alternatif berlandaskan sosialisme untuk hak ekonomi dan sosial yang adil dan saksama.
  • Lawan kapitalisme dan bina alternatif sosialis berpandukan perjuangan rakyat yang dipimpin oleh kelas pekerja.

Leave a Reply

Close Panel
%d bloggers like this: