Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

17 Oktober 2018, Gerakan Pembebasan Wanita bersama Gabungan Bantah RM1050 yang dipimpin oleh Kesatuan Sekerja MTUC bersama organisasi politik seperti Parti Sosialis, Parti Murba, Sosialis Alternatif, kumpulan mahasiswa, beberapa NGO seperti Sahabat Wanita telah mengadakan satu demonstrasi dan penyerahan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia di hadapan Parlimen. Seramai lebih 300 orang telah hadir bersama di dalam aksi tersebut.

Memorandum mengandungi bantahan pekerja terhadap peningkatan RM 50 gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan PH dan seruan untuk meningkatkannya kepada RM 1800.

Antara slogan yang dilaungkan oleh peserta adalah ‘bantah RM 1050!’, ‘pekerja kuasa perubahan!’, ‘pekerja mahu RM 1800!’. dan ‘pekerja berjuang sampai menang!’. Peserta mula berkumpul dari jam 9:30 pagi, dan mula berarak dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen pada 10.30 pagi. Sebelum berarak, beberapa peserta sempat memberikan ucapan, dan melaungkan kata-kata semangat.

Akan tetapi, kami tidak dapat bergerak ke arah Parlimen dengan lancar apabila pihak penguasa cuba menghalang kami memasuki simpang utama bangunan. Namun, meskipun terdapat konflik, kami telah berjaya sampai di hadapan pagar masuk bangunan Parlimen. Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran telah terpaksa turun ke pintu pagar Parlimen untuk berjumpa dengan kepimpinan Gabungan Bantah Rm1050 dan menerima memorandum tuntutan daripada kami. Selain itu, seramai 20 orang wakil dari Gabungan Bantah RM 1050 telah dipelawa memasuki bangunan Parlimen untuk berbincang dengan Menteri. Sementara wakil dari gabungan bantah RM 1050 berada dalam Parlimen, peserta lain menunggu di hadapan pagar masuk bangunan sambil memberikan ucapan dan melaungkan slogan untuk memberikan semangat.

Berdasarkan kepada perbincangan yang sangat pendek dan terhad dengan Menteri Sumber Manusia, kelas pekerja dan organisasi yang turun protes pada hari itu tidak mendapat sebarang harapan bahawa kerajaan baru ini akan memberi keutamaan kepada aspirasi jutaan pekerja miskin. Kementerian dan kerajaan Malaysia masih ingin mempertahankan hujah-hujah kelas majikan dan langsung tidak tergerak untuk melihat kepada kondisi rakyat biasa yang sedang merosot setiap hari. Walaupun begitu, para hadirin pada protes tersebut sudah sedar akan perwatakan kerajaan baru yang sedang memungkiri segala janji PRU mereka dan sedang menghina pengorbanan kelas pekerja.

Oleh sebab itu kami telah memilih jalan perjuangan untuk membina gerakan massa yang mampu menggegarkan kerajaan dan memaksa mereka untuk melakukan perubahan yang bermakna bagi jutaan rakyat tertindas, bukan 1% jutawan terkaya! Walaupun angka tidak banyak buat masa ini, kami yakin bahawa perjuangan ini akan berkembang dan mempunyai potensi untuk berubah menjadi sebuah gerakan massa yang betul-betul berkuasa. Pada masa yang sama, kami dari perwakilan perjuangan rakyat juga harus merebut kepimpinan gerakan sosial daripada golongan-golongan yang membawa propaganda perkauman dan rasisme. Gerakan massa yang boleh tercetus akibat keadaan ekonomi yang merosot dan kontradiksi yang wujud di dalam kerajaan baru memerlukan sebuah kepimpinan yang jelas dan mampu menyatukan semua perjuangan. Ia harus mengangkat garis kelas dan tuntutan ekonomi bagi membina silaturahim dikalangan kelas pekerja dan bagi membina penentangan yang kukuh.

Solidariti dengan perjuangan gaji minimum!

Kami, dari Gerakan Pembebasan Wanita, bersolidariti sepenuhnya dalam perjuangan ini, kerana isu gaji merentasi identiti gender, agama, bangsa, ideologi, dan bahasa. Ia menyatukan kita semua dalam satu garis kelas ekonomi, iaitu kelas pekerja. Namun, aspirasi pekerja untuk gaji yang lebih adil tidak akan berhasil apabila gerakan massa dipaksa masuk ke dalam birokrasi elit. Suara pekerja adalah suara yang paling mustahak dalam memastikan hala tuju ekonomi dan politik berjalan dengan aman dan adil. Justeru, organisasi yang telah terbentuk dalam aspirasi meningkatkan gaji minima harus melangkah dalam struktur, taktik, perbincangan, dan penglibatan pekerja dengan penuh demokratik. Itu sahaja cara bagi memastikan aspirasi, dan harapan setiap pekerja ditunaikan sepenuhnya tanpa halangan dari birokrasi elit.

Kita harus menyedari bahawa, golongan kaya raya, tidak akan mengagihkan kekayaan mereka tanpa tekanan dari massa. Begitu juga pihak kerajaan yang menyebelahi pihak majikan. Mereka akan menggunakan aparatus kerajaan seperti polis, undang undang, dan penjara untuk melemahkan gerakan pekerja. Dalam aksi itu sendiri, peserta terpaksa berhadapan dengan pihak penguasa. Sedangkan peserta hadir untuk berjumpa menteri. Bukankah menteri itu pekerja untuk rakyat? Mengapa dihalang sedangkan pekerja juga datang dengan aman. Jawapannya, kerana kerajaan Pakatan Harapan, sama seperti sebelum ini, lebih mementingkan golongan elit kaya, berbanding rakyat biasa. Jadi untuk melindungi status elit, birokrasi telah diamalkan untuk menyekat masuk suara rakyat. Justeru birokrasi ini harus ditentang dan hanya melalui susunan akar umbi secara demokratik sahaja dapat mencairkan birokrasi ini. Sekaligus membawa aspirasi kelas pekerja.

Kami kongsikan sedikit ucapan dari wakil Sosialis Alternatif sebelum berarak ke Parlimen. ‘Kerajaan yang kita ada pada hari ini semakin menunjukkan watak sebenar mereka, pekerja telah mengundi mereka pada pilihanraya lepas dengan harapan gaji minima dapat ditingkatkan kepada RM 1500, tetapi mereka telah memungkiri janji apabila mereka cuma mengisytiharkan RM 50 peningkatan gaji minima. Hari ini, bukanlah aksi terakhir dalam perjuangan kita, tetapi ia seharusnya menjadi titik tolak untuk membina sebuah gerakan akar umbi untuk membawa aspirasi pekerja. Kalau cuma satu pekerja yang bangkit berjuang, kita tidak kuat, tetapi kalau kita bersatu, tidak ada satu kuasa di dunia pun dapat menghalang kita’.

Ayuh kita melangkah dalam susunan tenaga dan idea dalam struktur dan budaya yang demokratik. Siapa lagi yang akan berjuang untuk kelas kita, kalau bukan kita sendiri. Kelas kita, kelas pekerja, memerlukan tenaga kita. Ayuh sertai kami GPW dalam membina naratif kelas pekerja dalam perjuangan meningkatkan gaji minimum, hidup kelas pekerja!

Shaqirah (GPW)

Leave a Reply

Share This
Close Panel
%d bloggers like this: