Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

Tersenarai di manifesto PH ‘10 janji dalam 100 hari’ yang akan ditunaikan oleh kerajaan ini adalah mewujudkan tabung KWSP untuk golongan suri rumah. Akhir Mei yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengeluarkan cadangan untuk memotong 2% dari caruman KWSP suami, sebagai mekanisme untuk memperuntukkan tabung simpanan KWSP untuk suri rumah, juga sumbangan sebanyak RM 50 daripada kerajaan kepada setiap suri rumah ke dalam tabung tersebut setiap bulan.

Meskipun berniat baik, tetapi cadangan mekanisme yang disebutkan tidak mencerminkan kesungguhannya untuk mengeluarkan suri rumah dari kesempitan ekonomi mereka pada hari tua. Pertama, pekerjaan yang mereka lakukan adalah pekerjaan yang tiada jam henti atau mula. Mereka memasak, mengemas, membasuh, menjaga golongan yang tidak ‘produktif’ bagi pasaran buruh seperti bayi dan kanak-kanak, orang tua serta OKU. Dan kebanyakkan golongan wanita suri rumah ini juga memainkan peranan yang amat penting dalam sistem ekonomi, iaitu melahirkan generasi pekerja. Justeru mereka harus memperoleh ganjaran yang setimpal dengan ‘tanggungjawab’ mereka. 2% dan RM 50 sebulan dari pihak kerajaan tidak akan dapat ‘membayar’ pengorbanan mereka, malah lebih mengikat suri rumah dalam sebuah keluarga yang mungkin tidak sehaluan dan berpisah. Sekiranya situasi seperti ini berlaku, mungkinkah persoalan mengenai 2% KWSP menjadi penghalang untuk suri rumah keluar dari keluarga yang porak peranda?

Dalam sistem kapitalisme, kelas pekerja membanjiri 99% dari populasi dunia, manakala 1% lagi adalah kelas pemodal, ataupun kelas kapitalis. Meskipun populasi kelas pekerja membanjiri hampir keseluruhan populasi dunia, namun segala kekayaan dan keuntungan ekonomi tidak diagihkan seadilnya. Sistem ini tidak mengecualikan Malaysia, malah, bilangan jutawan di ibu negara kita melebihi bilangan jutawan di Dubai

 

. Menurut majalah Forbes, kekayaan 50 orang terkaya di Malaysia (golongan billionaires) pada tahun ini adalah RM346 billion (87 billion dolar) iaitu kekakayaan mereka hampir 35% daripada RM1 trillion. Robert Kuok, billionaire terkaya di Malaysia pula mempunyai kekayaan sebanyak RM56 billion.

Manakala bagi keluarga kelas pekerja pula, hutang isi rumah pada tahun ini dilaporkan hampir mencecah 90%, dan purata pendapatan pekerja di bandar adalah kurang dari RM 2500. Dalam masa yang sama, baru baru ini pihak kerajaan mengumumkan bahawa mereka yang tinggal di bandar tetapi berpendapatan kurang dari RM 3000 dikategorikan sebagai miskin. Situasi ini bercanggah bagi keluarga kelas pekerja yang tinggal di bandar, sedangkan bandar merupakan pusat untuk mencari nafkah, dan kehidupan yang lebih berkualiti.

Bagi Dato’ Dr. Wan Azizah percanggahan dalam sistem ekonomi ini tidak dapat dikenal pasti. Masakan tidak, gaji pokok sebagai ketua menteri saja RM 18 000. Belum ditambah dengan elaun elaun lain seperti kereta dan rumah. Dalam kehidupan yang selesa begitu, mustahil bagi Wan Azizah untuk memahami kepayahan keluarga-keluarga kelas pekerja. Malah kerajaan ‘baru’ ini juga sebenarnya tidak menunjukkan minat untuk memperjuangkan nasib kelas pekerja. Misalnya dalam isu hutang negara, mengapakah kerajaan ‘baru’ tidak memperkenalkan sistem cukai terhadap golongan billionaire seperti Robert Kuok dan Ananda Krishna? Dengan kekayaan mereka yang melampau lampau itu, mencukaikan separuh dari keuntungan dan kekayaan mereka pun mereka masih mempunyai harta yang melimpah ruah. Hal ini sama dalam memperjuangkan nasib suri rumah pada hari tua. Satu sistem pencukaian yang baru terhadap golongan terkaya 1% harus diperkenalkan untuk disalurkan kedalam dana dana sosial, seperti KWSP, dan juga kemudahan kemudahan awam seperti hospital, dan klinik klinik komuniti. Justeru daripada mengambil wang pekerja untuk tabung KWSP suri rumah, langkah yang lebih progressif dan layak disokong adalah sistem pencukaian baru terhadap kelas 1% terkaya.

Leave a Reply

Close Panel
%d bloggers like this: