Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

Ditekan dengan upah yang murah, kekurangan tenaga pendidik, krisis sosial yang mendalam dan tekanan ekonomi yang teruk, para pendidik negeri West Virginia di Amerika Syarikat sudah hilang kesabaran dan telah melancarkan sebuah aksi mogok yang bersejarah. Semua 55 daerah di negeri tersebut terpaksa menutup sebanyak 680 sekolah awam untuk lebih daripada seminggu akibat daripada mogok ini. Hampir 20 ribu guru (dua daripada tiga orang adalah wanita) dan ratusan ribuan pelajar dan penyokong telah membanjiri jalan-jalan utama di West Virginia bagi memperjuangkan kenaikan gaji bagi penjawat awam yang amat rendah pada masa ini ( ketiga terendah di AS )

Mogok ini dilancarkan selepas kerajaan negeri mengumumkan peningkatan gaji guru dan para pendidik sebanyak 2 peratus. Kenaikan ini dianggap sangat sedikit dan tidak boleh diterima oleh pekerja pendidikan biasa yang sedang mengalami beban kehidupan yang melampau. Diketuai oleh 2 kesatuan, Persatuan Pendidik West Virginia (WVEA) dan Persekutuan Guru-guru Amerika (AFT), dan dipimpin oleh majoriti anak muda dan lapisan baru dalam kesatuan tersebut, pekerja dari setiap daerah telah digerakkan dibawah tuntutan kenaikan gaji sebanyak 5% sehingga mendapat kejayaan.

Gabenor West Virginia Jim Justice yang merupakan seorang jutawan kaya, telah memberikan pemotongan cukai bernilai berbilion-bilion kepada korporat-korporat pelombong swasta disamping mengarahkan para penjawat awam untuk menerima pemotongan perbelanjaan sosial dan kadar kenaikan gaji yang tidak munasabah. Polisi-polisi kerajaan yang berat sebelah terhadap pihak kapitalis kaya ini dapat dikesan oleh para pendidik di West Virginia dan mereka mengambil keputusan untuk berjuang menentang polisi tersebut secara tersusun. Walaupun aksi mogok ini tidak dibenarkan dalam undang-undang negeri dan secara teknikal merupakan tindakan yang melanggar undang-undang, beratus-ribu pekerja telah berganding bahu untuk melancarkan suatu penentangan terhadap seluruh sistem yang sedang menghimpit mereka. Sistem perundangan yang tidak memberikan sebarang jalan keluar kepada pekerja miskin untuk mempertahankan hak mereka haruslah juga ditentang sepertimana yang dibuat oleh para pendidik di West Virginia.

Ahli-ahli politik pertubuhan telah mencuba sedaya-upaya untuk menghentikan mogok ini secepat mungkin. Apabila ancaman dan ugutan tidak berjaya menakutkan pekerja yang mogok, mereka cuba menaburkan segala jenis janji manis bagi meredakan keadaan. Tetapi penganjur mogok ini yang terdiri daripada pekerja itu sendiri telah berjaya menepis semua usaha daripada golongan elit untuk memesongkan perjuangan ini. Mereka telah berjaya meneruskan mogok sehingga mendapat jaminan dalam bentuk polisi kerajaan untuk memastikan kenaikan gaji tersebut.

Bagaimana Mogok Ini Disusun

Walaupun media-media arus perdana cuba menggambarkan mogok ini sebagai satu aksi yang spontan dan tidak dirancang, realitinya ini merupakan sebuah usaha yang memakan masa berbulan-bulan untuk dilancarkan dengan berjaya. Ahli-ahli kesatuan biasa yang tidak mempunyai sebarang pangkat telah menjadi kepimpinan sebenar di sebalik mogok ini yang telah turun dan mengatur landasan politik aksi ini dari peringkat akar umbi. Kebanyakkan daripada lapisan kepimpinan kesatuan tidak mengendahkan seruan untuk mogok dari akar umbi sehingga ke minit-minit terakhir apabila mereka cuba menghalang usaha tersebut. Apabila mogok tersebut bermula, kepimpinan kesatuan tidak dapat menghadkan gerakan tersebut disebabkan oleh tindakan yang disusun dari peringkat cawangan melalui kerja-kerja akar umbi. Hasil daripada kejayaan dan pengalaman mogok ini, sebuah kepimpinan yang lebih radikal telah mula muncul dari kalangan kesatuan tersebut.

Para pendidik yang mogok telah membina solidariti dengan kakitangan sekolah lain dan berjaya meluaskan sokongan dengan membawa tuntutan kenaikan gaji 5% bukan sahaja untuk guru sekolah, tetapi juga untuk semua penjawat awam di West Virginia. Ini telah meraih sokongan yang luas daripada kesatuan sekerja dan para pekerja dari sektor berbeza yang juga terlibat secara aktif bagi menjayakan mogok tersebut. Kepimpinan mogok ini juga melibatkan semua pekerja-pekerja yang tidak terdaftar sebagai ahli kesatuan dan mengambil undi mereka dalam semua keputusan penting. Ini telah memastikan sebuah situasi yang demokratik dikalangan pekerja dalam mengambil segala keputusan muktamad.

Mogok pekerja West Virginia memberikan gambaran mengenai bagaimana sebuah aksi massa boleh dibina berdasarkan kepada solidariti daripada kelas pekerja dan golongan tertindas lain. Lebih daripada 1 juta Ringgit telah berjaya dikumpul melalui kempen-kempen media sosial dan talian bantuan disamping mendapat pertolongan makanan bagi guru-guru yang sedang mogok. Ahli-ahli kesatuan sekerja dari pelbagai sektor dan dari setiap pelosok Amerika Syarikat telah pergi ke West Virginia untuk memberikan sokongan solidariti mereka. Organisasi-organisasi sosialis dan kelas pekerja seperti Socialist Alternatif (CWI Amerika Syarikat) juga telah bersama-sama dengan pekerja yang sedang mogok dan membawa perspektif politik kelas pekerja ke hadapan.

Pengajaran Mogok

Walaupun media-media arus perdana pada awalnya telah mengabaikan mogok ini, tetapi jutaan para pekerja dari Amerika Syarikat dan dari seluruh dunia telah mengikuti perkembangan mogok ini di media sosial. Kemenangan mogok ini pastinya akan menjadi inspirasi kepada kelas pekerja di negeri-negeri lain. Negeri jiran Oklahoma misalnya sudah mula mengatur perancangan untuk melancarkan mogok seluruh negeri mereka sendiri pada bulan April ini. Aksi ini juga mempunyai potensi untuk tersebar ke Kentucky, Arizona dan New Jersey (negeri-negeri yang memberikan gaji yang rendah bagi para pendidik di Amerika Syarikat).

Selepas hampir 30 tahun dalam pemangsaan dan penghancuran kesatuan sekerja oleh kerajaan yang menyebelahi korporat kaya, para pekerja di West Virginia akhirnya telah mengambil keputusan untuk melancarkan serangan balas. Aksi dan keberanian mereka haruslah disahut oleh kelas pekerja dari seluruh Amerika Syarikat dan turut merancang tindakan-tindakan yang akan memperkukuhkan pendirian mereka dalam perjuangan menentang polisi-polisi kapitalisme yang kejam.

Terdapat beberapa petanda yang memberikan sebuah harapan untuk perkembangan gerakan buruh di Amerika Syarikat secara nasional. Tetapi, pada masa yang sama, terdapat juga keperluan untuk membawa balik tradisi-tradisi perjuangan yang pernah subur dalam gerakan pekerja di Amerika Syarikat pada satu masa dahulu. Anak muda dari keangotaan biasa dalam kesatuan sekerja harus mengasimilasi tindakan para pendidik di West Virginia dan membentuk sebuah kepimpinan yang jelas dan kukuh disamping bersifat demokratik. Perjuangan pekerja di West Virginia merupakan bukti di mana jika para pekerja dapat berganding bahu dan berdiri teguh, sebuah perjuangan yang berjaya boleh dilancarkan menentang segala birokrasi kerajaan dan penindasan golongan kapitalis.

Leave a Reply

Close Panel
%d bloggers like this: