Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

Hari ini, kita menyaksikan bagaimana jumlah golongan wanita sudah mengatasi golongan lelaki dalam bidang pendidikan dan pekerjaan, sehinggakan di kebanyakan negara, golongan wanita adalah merupakan majoriti dalam tenaga kerja. Dengan perkembangan ini, maka ada yang memainkan isu bahawa golongan wanita sudahpun cukup memperoleh hak-hak mereka. Hakikatnya, diskriminasi, penganiayaan dan ketidakadilan yang telah sekian lama berlaku masih lagi wujud pada saat ini. Ini kerana meskipun ada undang-undang yang kononnya membela hak wanita, namun golongan tersebut masih lagi dinafikan hak, malah diberikan gaji yang lebih rendah daripada golongan lelaki walaupun melakukan beban kerja yang hampir sama. Selain terpaksa bekerja untuk menyara hidup lantaran kos hidup yang tidak menentu, mereka juga harus pulang ke rumah untuk menjaga anak-anak dan melakukan kerja rumah. Sistem kapitalisme yang ada ternyata tidak pernah sesekali memikirkan kebajikan golongan wanita. Tenaga kerja mereka sangat diperas dan dipaksa. Bahkan dalam kapitalisme, golongan wanita dilayan seolah-olah seperti rakyat kelas kedua. Lebih mengharukan apabila golongan wanita dieksploitasi semata-mata sebagai objek seks dan komoditi. Keadaan ini jelas dilihat apabila golongan wanita dipaparkan dengan imej-imej yang tidak sepatutnya dalam iklan-iklan kapitalis, bertujuan untuk menarik orang supaya membeli produk-produk mereka.

Oleh itu, untuk bertahun-tahun lamanya, 8 Mac adalah hari untuk memperingati perjuangan golongan wanita untuk menuntut kedudukan yang lebih baik di tempat kerja dan dalam masyarakat. Ia juga adalah hari untuk meraikan sumbangan wanita. Mereka turut berjasa membangunkan negara, sama seperti golongan lelaki. Sesuatu yang sering sahaja diabaikan. Dengan keadaan seperti ini, bagaimana golongan wanita melawan? Adakah mereka perlu mengubah pemikiran golongan lelaki, ataupun mengubah sistem ekonomi yang telah membentuk kelas masyarakat pada hari ini? Siapakah yang mahu bersama-sama dalam perjuangan mereka tersebut? Sebetulnya, dalam sosialisme, perkara ini sudah dibincangkan sejak awal lagi. Sosialisme mencita-citakan sebuah masyarakat yang adil dimana terdapat pekerjaan dengan gaji setimpal, kemudahan pengasuhan anak, pendidikan percuma, tempoh bekerja yang lebih pendek serta sebagainya lagi yang secara langsung boleh mengurangkan beban yang dipikul selama ini oleh golongan wanita dalam keluarga mereka.

Di Malaysia, golongan wanita terus mengalami diskriminasi kerana mereka dianggap beremosi dan lemah secara fizikal. Bahkan pada tahun kebelakangan ini, pelbagai kes yang berlaku dapat membuktikan pernyataan tersebut. Pada 6 April 2013, sebuah piket besar-besaran yang digerakkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) telah diadakan. Antara isu-isu yang membangkitkan protes mereka adalah isu pengurus bank CIMB yang telah menghina pekerja wanita hamil. Tahun 2013 juga menyaksikan perbahasan tentang syarikat-syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung dalam proses pengambilan pekerja. Ini merupakan kes-kes yang dilaporkan, bagaimana pula dengan yang tidak dilaporkan? Malahan, hukum Syariah yang dilaksanakan di negara ini tidak lunas dan tidak memberikan suara kepada golongan wanita dalam hal-hal penceraian. Ini terbukti dalam banyak ‘ranking’ yang telah dijalankan di Malaysia. Kedudukan negara ini dalam kesamaan gender sering di paras yang amat rendah. Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot telah menafikan bahawa terjadi jurang gender, dengan menyatakan bahawa hampir 46% tenaga kerja adalah daripada golongan wanita. Benar, memang benar bahawa golongan wanita diberikan kerja. Namun bagaimana dengan hak wanita sebagai seorang pekerja? Adakah diberikan dengan seadil-adilnya? Bagaimana dengan cuti bersalin yang hanya 90 hari sedangkan selepas tempoh ini mereka masih perlu berjumpa doktor, pengurusan penjagaan bayi, menghantar bayi untuk imunisasi dan sebagainya?

Tidak ada jalan mudah untuk menghentikan penindasan ini. Wanita, bersama-sama dengan golongan lelaki harus bangun berjuang untuk sebuah sistem ekonomi yang dirancang dengan demokratik, untuk memastikan kebebasan ekonomi dan gaji yang seadilnya dapat dinikmati bagi tiap-tiap orang. Sebuah masyarakat yang didasarkan pada kesetaraan dan kerjasama akan mengakhiri segala bentuk seksisme dan kekerasan terhadap wanita, wanita yang akhirnya akan benar-benar dibebaskan. Wanita seluruh dunia, berjuanglah untuk hak-hak anda! Sertai perjuangan untuk menamatkan eksploitasi kapitalis dan membina masyarakat yang adil!

Leave a Reply

Share This
Close Panel
%d bloggers like this: