Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

Setiap ibu yang mengandung dan bersalin harus diberikan hak untuk berehat secukupnya, dan ditanggung perbelanjaan kesihatan sepenuhnya oleh pihak kerajaan atau majikan. Tetapi ini tidak berlaku, malah, ibu-ibu yang mengandung sering menerima cemuhan dan diskriminasi dari pihak majikan.

Sebagai contoh, tahun lepas, Berita Harian telah melaporkan sebuah kajian mengenai diskriminasi majikan terhadap wanita hamil di tempat kerja. Laporan menunjukkan 40% daripada 222 responden mengatakan mereka pernah mengalami diskriminasi tersebut. Manakala 1 daripada 8 wanita pernah membuat aduan rasmi mengenai pembuangan kerja kerana hamil. Selain itu juga, terdapat sikap antagonis terhadap golongan wanita yang mengambil cuti rehat ketika waktu senggugut. Ini merupakan sebahagian dari realiti sebenar mengenai hak reproduksi golongan wanita kelas pekerja, yang jarang dibincangkan di mana-mana platform politik.

Kita harus menyedari bahawa sistem ini mengambil kesempatan terhadap wanita untuk mengandung dan membesarkan anak secara percuma. Apabila bersalin, wanita dan keluarganya itu sendiri yang terpaksa mengeluarkan wang untuk membiaya kos bersalin. Tidak itu juga, susulan pemeriksaan kesihatan atau selepas bersalin, semuanya ditanggung oleh keluarga dan wanita. Anak itu pula apabila perlu dihantar ke pusat jagaan, ibu itu sendiri pula yang terpaksa membayarnya. Semua kos penjagaan kanak-kanak diletakkan dibawah tanggungan keluarga individu dan pihak majikan atau kerajaan yang akan meraih manfaat daripada anak tersebut kelak langsung tidak akan memberikan sebarang sumbangan.

Sedangkan, anak yang lahir itulah yang bakal menjadi pekerja dan akan menanggung tanggungjawab bukan sahaja untuk kemajuan masyarakat, malah juga untuk peningkatan keuntungan bagi kelas majikan. Sekiranya perkara tersebut diambil kira dan setiap keluarga dibayar setimpal dengan pengorbanan mereka, adalah mustahil bagi kewujudan jurang kaya miskin yang kronik dalam masyarakat seperti yang wujud pada hari ini.

Justeru, persoalannya adalah adakah ia mustahil? Pastinya tidak, Malaysia merupakan negara yang kaya dari sumber alam dan sedang menghuni beribu-ribu jutawan kaya yang membuat untung daripada hasil kekayaan bumi dan hasil peluh pekerja biasa. Sudah tiba masanya kepimpinan rakyat untuk mula menyedari kepincangan yang besar yang sedang berlaku dalam sistem ini dan mencari alternatif yang memuaskan.

Cuti bersalin harus diberikan secukupnya, bergantung kepada kesihatan fizikal, dan mental ibu, serta bayi baru lahir. Malah 100 tahun lalu di Russia, apabila kerajaan kelas pekerja mengambil alih kuasa kerajaan, para ibu menikmati cuti bersalin selama satu tahun. Cuti yang diberikan juga termasuk perbelanjaan kesihatan yang dibiaya sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Itulah pencapaian pemerintahan demokratik kelas pekerja yang berjaya didirikan melalui Revolusi Russia 1917. Walaupun revolusi tersebut telah merosot dan banyak diantara kemajuan dari segi hak wanita telah ditarik balik dibawah rejim Stalinisme yang bertapak selepas itu, banyak pengajaran boleh dipelajari daripada revolusi tersebut yang relevan pada masa ini.

Isu cuti bersalin pada hakikatnya berkait dengan sistem ekonomi negara kita, iaitu sistem kapitalisme. Dalam sistem ini, pekerja merupakan kelas kedua selepas kelas majikan yang cuma mementingkan keuntungan syarikat daripada kebajikan pekerja. Sistem ini harus dihapuskan dan digantikan dengan ekonomi sosialis iaitu ekonomi terancang dan demokrasi kelas pekerja seperti yang dilakukan oleh kelas pekerja di Russia seratus tahun lalu. Kelas majikan harus berhenti merancang hak-hak pekerja, tetapi pekerja sendiri yang harus menentukan hak mereka. Dengan itu, sistem yang berasaskan keuntungan harus dihapuskan dan digantikan dengan sistem yang adil untuk kelas pekerja. Maka langkah pertama yang harus dilakukan adalah pembinaan sebuah parti pekerja yang memperjuangkan hak golongan pekerja, wanita, rakyat biasa dan minoriti tertindas, serta mengangkat sosialisme sebagai alternatif kepada sistem kapitalisme. Hapus kapitalisme! Hapus penindasan wanita! Hapus penindasan kelas pekerja!

Leave a Reply

Share This
Close Panel
%d bloggers like this: