Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

Oktober 2016, telah berlangsung acara Anugerah Perdana Pendidik Awal Kanak-Kanak (APPAKK) 2.0. Selepas acara berlangsung, Pengarah Persatuan Pengasuh Taska dan Tadika Malaysia PPTTM Rozita Kamil mengeluarkan kenyataan agar mempertimbang keperluan pengasuh taska dan tadika untuk memiliki diploma. Menurutnya, ini boleh membebankan pengasuh-pengasuh taska dan tadika, memandangkan gaji minima yang ditetapkan kerajaan akan memberikan kesan pada majikan dan tidak membolehkan mereka untuk menanggung kos pengambilan kursus. Menurutnya lagi, selain itu, majikan juga terpaksa berdepan dengan isu-isu lain, misalnya menanggung beban kos operasi institusi yang sedang meningkat seiring dengan peningkatan harga barang akibat keadaan ekonomi yang lemah. Dia bercadang agar memudahkan pekerja dengan mengiktiraf kursus-kursus lain seperti Kursus Asuhan Kanak-Kanak Permata, Aspirasi dan Setia sebagai sijil yang setaraf dengan diploma.

Bagi kami sebagai pengasuh taska dan tadika, kami menganggap ini adalah cadangan yang mulia, namun disebalik cadangan yang mulia itu, terselindung beberapa persoalan terhadap kepimpinan PPTTM terhadap nasib pengasuh taska dan tadika. Antaranya, Puan Rozita, pengerusi PPTTM telah mengetepikan isu gaji minimum dengan memisahkannya dengan keperluan pendidikan dan kos kehidupan sebagai pendidik awal kanak-kanak. Dia langsung tidak bersuara tentang keadaan kehidupan seorang pendidik awal kanak-kanak yang hidup dalam gaji minimum. Padahal sudah diberitakan dalam arus perdana, bahawa, gaji minimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan tidak mencukupi untuk menanggung kos kehidupan, apatah lagi pekerja warga kota.

Pada hakikatnya, kami tidak terlalu buta untuk mengharapkan pada kepimpinan PPTTM, kerana apabila beberapa badan Pengusaha Taska mendesak Kementerian Sumber Manusia untuk memberi pengecualian gaji minimum untuk pekerja Taska, PPTTM memilih untuk membisu. Kami sedar bahawa kos operasi memainkan peranan yang besar dalam menentukan kelangsungan institusi pendidikan awal kanak-kanak, namun, kepimpinan tidak sepatutnya mempergunakan keadaan ekonomi untuk mengabaikan kepentingan pendidikan. Kepimpinan sebaliknya harus mengkritik kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan dalam hal menguruskan kewangan negara. Misalnya, tindakan kerajaan untuk melaburkan berbilion ringgit dalam projek infrastruktur swasta pada masa yang sama memotong dana kebajikan bagi pendidikan.

Meskipun PPTTM cuba mengeluarkan pelbagai alternatif, misalnya kempen menggunakan bahan kitar semula untuk membantu kos operasi taska dan tadika, hakikatnya, ia tidak boleh konsisten dan tidak boleh membantu pekerja yang sedang menjadi mangsa keadaan ekonomi. Jika benarlah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, (KPWKM) serta Kementerian Pembangunan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berfungsi untuk rakyat, mengapa masih wujud wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia, serta golongan miskin tegar dan penambahan mendadak gelandangan?

Kami menyimpulkan bahawa untuk saat ini, kami tidak yakin dengan kepimpinan mana-mana persatuan mahupun kerajaan dalam memimpin masa depan pendidikan awal kanak-kanak negara, begitu juga dengan memelihara hak kami sebagai pengasuh Taska dan Tadika. Namun kami tidak berminat untuk pasif dan menyalahkan kepimpinan semata-mata, tetapi kami ingin menyeru kepada semua pengasuh agar menyertai perjuangan bersama kami dalam menegakkan hak dan masa depan pendidikan awal kanak-kanak. Dalam masa yang sama, bergerak sebagai individu yang sedar dan sentiasa cuba untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat akan keperluan untuk memisahkan perniagaan dan pendidikan.

Kita perlukan sebuah kesatuan yang ikhlas dalam memperjuangkan hak pendidikan dan hak pekerja, namun ia harus berpisah dari agenda perniagaan, malah ia harus bersih dari sumbangan syarikat besar yang membolehkan mereka untuk mempengaruhi tuntutan dan aspirasi pekerja. Sertailah perjuangan bersama kami untuk memastikan sebuah masa depan yang bermakna bagi generasi yang akan datang.

Leave a Reply

Share This
Close Panel
%d bloggers like this: