Whatsapp atau Text ke +6-011-1285 9623 Isnin- Jumaat 10:00 - 22:00

Laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah mengesahkan bahawa golongan wanita masih jauh dari mendapat manfaat yang sama dengan lelaki dalam memperoleh peluang pekerjaan di seluruh dunia. Meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menangani isu ini, golongan wanita masih lagi berhadapan dengan isu yang sama, terutamanya setelah mereka tamat pengajian universiti atau sekolah. Ada juga yang meskipun mereka memiliki sijil yang cukup, mereka tetap berdepan dengan kesukaran untuk mendapat pekerjaan.

Kajian ini dilakukan di 30 negara-negara membangun, dan hasil menunjukkan golongan wanita dan lelaki yang berumur 15 ke 29 tahun, 75% darinya yang tidak bekerja adalah dari golongan wanita. Selain itu, kajian itu juga mendedahkan bahawa lelaki memperoleh pendapatan lebih 36% dari wanita dalam semua sektor pekerjaan. Keadaan ekonomi yang semakin tenat telah menyebabkan kekurangan peluang pekerjaan di seluruh dunia dan dalam hal ini, wanita yang menjadi mangsa utama. Mereka terpaksa bersaing dengan golongan lelaki untuk mendapatkan pekerjaan dan berlaku ketidak seimbangan antara tenaga kerja wanita dan lelaki di masyarakat.

Dilaporkan bahawa hampir 25% daripada ketidakseimbangan ini disebabkan tanggungjawab mereka terhadap keluarga, misalnya kehamilan, dan berkahwin awal. Ada juga yang memilih untuk tidak bekerja supaya mereka dapat menumpukan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di kalangan wanita yang tidak pernah bekerja, malah wanita yang bekerja juga memilih untuk bersara awal atas sebab-sebab yang sama. Satu lagi kajian oleh Mailman School menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung mengalami tekanan kerja dan kemurungan lebih 2 kali ganda dari golongan lelaki.

Wanita dan perjuangan

Wanita dan perjuangan kelas, berpisah tiada. Telah tercatat dalam sejarah, kelas pekerja wanita menjadi pemimpin revolusi Rusia pada tahun 1917. Revolusi ini menjadi contoh dan tersebar di negara-negara Eropah yang lain. Hak cuti bersalin, jam bekerja untuk semua kelas pekerja, dan penghapusan buruh kanak-kanak, adalah hasil perjuangan, yang dimulakan oleh golongan pekerja wanita; dan sejarah boleh berulang lagi. Hasil krisis ekonomi kapitalisme yang bermula pada 2008, malangnya banyak diantara hak-hak yang telah dimenangi oleh perjuangan wanita sedang diambil balik satu persatu. Di negara-negara dunia kedua dan ketiga seperti rantau Malaysia, hak-hak wanita semakin merosot dan penindasan sedang bertambah.

Bagi memperoleh kebebasan bagi golongan wanita secara sepenuhnya, para wanita harus mempersoalkan sistem agihan dan ekonomi yang wujud. Para pejuang kelas pekerja wanita harus menyedari bahawa perjuangan sosial mereka tidak akan selesai sehingga membawa sebuah perubahan ekonomi dan politik. Ia adalah amat penting bagi mereka untuk terlibat dalam perjuangan politik, kerana wanita juga merupakan sebahagian dari penggerak ekonomi negara. Tanpa wanita, perjuangan kelas pekerja ibarat tempang, ayuh kita bersatu, demi perjuangan untuk semua keluarga kelas pekerja!

Leave a Reply

Share This
Close Panel
%d bloggers like this: