Analisa PRN 2023 : Krisis politik berterusan. Apakah jalan keluar kepada kelas pekerja dan rakyat biasa?

Pilihan Raya Negeri yang berlangsung di enam buah negeri pada Ogos 2023 telah mendapat perhatian yang luar biasa di kalangan penduduk negara. Biasanya, PRN di Malaysia diadakan seiring dengan Pilihan Raya Umum yang menentukan agihan kerusi Parlimen, komposisi kerajaan federal dan pemilihan Perdana Menteri yang menjadi tumpuan utama. Oleh itu, rakyat kurang memberi perhatian kepada pemilihan ADUN yang menentukan kepimpinan kerajaan di peringkat negeri yang mempunyai tanggungjawab yang berbeza dengan kerajaan pusat. Tetapi, akibat kemelut politik yang melanda negara semenjak beberapa tahun ini, pemilihan negeri dan pusat tidak boleh lagi diselaraskan dan terpaksa diadakan secara berasingan. Pada masa ini, kecuali negeri Perlis, Perak dan Pahang, semua negeri lain tidak lagi mengikuti kitaran dan tempoh pemerintahan kerajaan pusat.

PRN kali ini di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang membawa naratif yang boleh memberi kesan kepada kepimpinan pusat di federal yang belum sampai setahun memerintah negara. Gabungan koalisi PH dan BN untuk membentuk kerajaan sebenarnya belum tentu mendapat restu daripada masyarakat yang terlibat di dalam PRU lepas. Kedua-dua koalisi PH dan BN telah menyerang satu sama lain di sepanjang kempen PRU tersebut tetapi akhirnya menjalinkan kerjasama untuk menawan Parlimen. Oleh itu, ia menjadi tanda tanya jika kerjasama diantara dua koalisi ini mempunyai sokongan daripada rakyat majoriti, dan PRN kali ini dikatakan akan menjadi kayu ukur kepada kekukuhan kerajaan campuran ini. 

Seri tiga sama dengan kelebihan kepada PN

Sebelum hari pemilihan, pihak PN telah mengembar-gemburkan di segala platform politik dan di media sosial bahawa koalisi kerajaan PH-BN akan mendapat penentangan dari kalangan rakyat di dalam PRN ini. Ada yang mengatakan bahawa negeri Selangor boleh jatuh ke tangan PN dan itu akan menggugat kedudukan kerajaan pusat. Walaupun ia tidak berlaku dan semua kerajaan negeri masih dikuasai oleh parti-parti yang sama seperti sebelum ini, ada perbezaan besar dari segi komposisi dan bilangan kerusi DUN mengikut negeri.

PN secara keseluruhan telah berjaya meningkatkan kerusi mereka di semua negeri yang terlibat. Kemenangan besar di kubu mereka di Kedah, Kelantan dan Terengganu diraih dengan menyingkirkan saki baki kepimpinan UMNO yang bertapak di sana. Pada masa yang sama, PN juga berjaya meningkatkan kerusi di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di samping menafikan majoriti ⅔ bagi PH di Selangor. Di Selangor, PN telah berjaya menawan 22 daripada 56 kerusi DUN berbanding hanya 5 pada PRN lepas.

Kecuali di N.Sembilan, lebih 80% daripada calon UMNO yang bertanding telah kalah dan kehilangan kerusi mereka. Pada waktu ini, kepimpinan UMNO cuma mempunyai 19 kerusi DUN di enam negeri tersebut dan sedang menjadi kuasa politik minoriti di arena politik negara. Malah boleh diperdebatkan bahawa sokongan yang sedia ada untuk UMNO juga adalah berdasarkan kepada kerjasama dengan ahli-ahli politik PH yang telah cuba meyakinkan penyokong mereka untuk mengundi kepada UMNO.  

Adalah sangat jelas bahawa UMNO sedang menunggang para penyokong dan jentera politik PH untuk terus kekal relevan di dalam arena politik negara. Ini juga memberi kesan kepada PH dari segi kekurangan sokongan dari kalangan rakyat yang tidak terdorong untuk membuang undi kepada calon-calon UMNO yang tidak dipercayai. Dengan figura seperti Zahid Hamidi yang mempunyai prima facie ke atas puluhan kes korupsi mengetuai UMNO/BN, ia adalah sukar untuk meyakinkan rakyat bahawa kerjasama PH-BN ini akan membawa kepada pemerintahan yang telus dan bermanfaat untuk rakyat terbanyak.  

Tetapi, PH tidak mempunyai pilihan lain selain untuk meneruskan hipokrasi mereka dan terus mendokong UMNO yang secara jelas ditolak oleh rakyat biasa. Jika kepimpinan UMNO/BN mengambil keputusan untuk menukar aliansi di peringkat federal, kerajaan PH boleh runtuh dan diganti oleh pembangkang PN dengan amat mudah. Oleh itu, ahli-ahli politik, jentera akar umbi dan para penyokong kedua-dua pihak terpaksa melupakan persengketaan lampau mereka dan terpaksa menjalin kerjasama dengan musuh tradisi.  

Bagi koalisi BN-PH, walaupun mereka berjaya mengekalkan kekuasaan di tiga buah negeri, kekurangan undi yang drastik, terutamanya di negeri Selangor, akan menimbulkan kerisauan berkenaan kestabilan kerajaan persekutuan yang berada di bawah naungan PMX. Walaupun keputusan PRN tidak akan memberi kesan yang terus-menerus kepada komposisi kuasa di Parlimen, tetapi tanpa sokongan yang munasabah daripada rakyat, ia adalah sukar untuk meneruskan pemerintahan. 

Krisis politik berterusan

Kelemahan kepimpinan PH yang gagal untuk mengekalkan sokongan mereka dikalangan rakyat telah mencetuskan kecamuk politik pada awal tahun 2020 yang sedang berterusan sehingga ke hari ini. Kekalahan PH di sebilangan pilihanraya kecil yang didominasi oleh koalisi Muafakat Nasional gabungan PAS-BN pada waktu itu telah mencetuskan perpecahan dalaman di kalangan komponen PH yang telah menjurus kepada beberapa pengkhianatan dan kejatuhan kerajaan. Sejak itu, PM telah ditukar sebanyak tiga kali dan keputusan PRU ke-15 telah melihat Parlimen tergantung untuk pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Berdasarkan kepada keputusan PRN yang baru berlangsung, ia boleh disimpulkan bahawa kerajaan PH-BN juga gagal untuk meraih sokongan yang menyeluruh dan menguatkan posisi mereka di Parlimen. Oleh itu, akan berlaku ketegangan di kalangan kepimpinan dan keahlian akar umbi parti-parti yang sedang kehilangan sokongan pengundi. Ahli-ahli PKR dan Amanah misalnya mungkin akan mula mempersoalkan hala tuju parti yang sedang dilihat sebagai sedang bersekongkol dengan BN yang tidak disukai rakyat. Pada masa yang sama, ahli-ahli UMNO, termasuk beberapa faksi dari kepimpinan utama juga akan merasa gelisah akan masa depan mereka dan boleh teruja untuk menentang figura seperti Presiden Parti Zahid Hamidi yang tidak popular. Komponen parti-parti BN seperti MIC dan MCA juga sudah mula sangsi dengan prospek mereka bersama BN dan sedang berjinak-jinak dengan pembangkang PN. MCA dan MIC juga telah mengundurkan diri daripada meletakkan calon di PRN kali ini. 

Jika penukaran pucuk kepimpinan UMNO berjaya dilakukan dan sosok yang dianggap korup seperti Zahid Hamidi berjaya disingkirkan, mungkin ia akan memberi gambaran yang lebih positif berkenaan dengan kerajaan dan kerjasama di antara BN dan PH. Tetapi, tanpa Zahid Hamidi, tidak ada sebarang jaminan bahawa BN akan teruskan kerjasama mereka dengan PH untuk mengekalkan bentuk kerajaan sekarang ataupun mengubah aliansi mereka kepada para pembangkang PN. Populariti PN di PRN mempunyai potensi untuk mendesak beberapa pemimpin BN untuk mengubah kesetiaan mereka kepada PN. Jika negara tidak mempunyai Akta Anti Lompat Parti yang melarang ahli-ahli Parlimen untuk mengubah parti mereka, boleh dijangka bahawa sebilangan daripada pemimpin UMNO sudahpun melompat masuk ke Parti Bersatu atau PAS. 

Tetapi buat masa ini, kepimpinan parti-parti PH-BN yang sedia ada sedang mengawal keadaan untuk mengelakkan sebarang perpecahan yang boleh menggugat posisi politik mereka. Birokrasi dan kepimpinan kuku besi Zahid juga ditakuti oleh ahli-ahli UMNO yang sehingga ke hari ini belum mengeluarkan sebarang kritikan yang jelas ke atas kepimpinan pusat UMNO berkenaan dengan prestasi pilihanraya yang merosot. UMNO juga sedang memeras pelbagai konsesi daripada PH yang memerlukan sokongan mereka untuk kekal memerintah negara. Misalnya calon-calon UMNO mendapat peruntukan yang besar untuk bertanding di kerusi DUN pada PRN lepas. Walaupun dengan prestasi yang buruk dalam PRN, ahli-ahli politik UMNO masih akan menikmati posisi-posisi penting seperti menjadi sebahagian daripada EXCO Kerajaan Negeri dan sebagainya.

Tetapi situasi ini tidak boleh berkekalan dan akan menjurus kepada krisis yang lebih parah lagi. Buat masa ini, semua kepimpinan parti-parti kerajaan sedang menghadapi tekanan yang sangat besar daripada rakyat dan ahli-ahli mereka untuk bukan sahaja menyelesaikan krisis politik yang sedang dihadapi, tetapi juga untuk menangani krisis ekonomi yang semakin teruk.       

Kerajaan gagal?

Ia bukanlah sukar untuk memahami kenapa kerajaan PH-BN gagal untuk meningkatkan sokongan mereka di kalangan rakyat dan pengundi. Sejak kemenangan mereka di PRU-15 pada 2018, PH telah mula kehilangan sokongan dan membawa kehampaan kepada jutaan rakyat yang mengangkat mereka sebelum itu. Pemerintahan PH tidak membawa sebarang perubahan kepada kondisi rakyat biasa yang sedang terbeban dengan kemelesetan ekonomi. Malah, situasi rakyat biasa menjadi bertambah teruk di bawah PH yang menyambung tradisi BN untuk mengekalkan polisi-polisi ekonomi pasaran bebas yang hanya berpihak kepada rakyat kaya dan meminggirkan kepentingan awam.

Semua janji-janji PRU telah dilupakan oleh ahli-ahli politik PH sejurus menjadi kerajaan. Malah mereka juga mula memperkecilkan tuntutan rakyat biasa. Ini telah mengundang kemarahan daripada rakyat yang tidak teruja untuk mengundi kepada PH pada PRU lepas dan di PRN kali ini. Pada masa ini, walaupun PH sekali lagi mendapat peluang untuk menguasai kerajaan, tetapi mereka masih gagal untuk memperkenalkan sebarang program untuk melindungi kepentingan rakyat biasa. Sama seperti kerajaan-kerajaan yang datang sebelum ini, rakyat hanya ditawarkan ‘gula-gula’ seperti bayaran tunai sebelum waktu PRN. Tidak ada sebarang langkah yang konkrit diambil untuk memperbaiki infrastruktur awam yang sedang uzur, meningkatkan gaji pekerja yang terkesan akibat inflasi, memperkenalkan subsidi dan kawalan harga barangan yang munasabah dan untuk melindungi alam sekitar yang sedang terancam daripada pembangunan yang tidak terancang. 

‘Ekonomi Madani’ yang dilancarkan oleh kerajaan PH-BN sebelum PRN tidak menggariskan sebarang program yang konkrit untuk memperbaiki kehidupan rakyat jelata yang masih belum pulih daripada kesan pandemik dan kawalan pergerakan (lockdown) yang telah menurunkan taraf kehidupan mereka. Tidak ada pengenalan gaji minimum yang sepadan dengan peningkatan inflasi, tidak ada polisi untuk tingkatkan cukai orang kaya dan korporasi besar untuk menampung kebajikan awam, dan tidak ada sebarang perancangan untuk melindungi masyarakat daripada ancaman kemelesetan ekonomi dunia yang boleh membawa kepada situasi kecemasan seperti kekurangan bahan makanan. Program Ekonomi Madani, sama seperti program Transformasi Nasional yang dibawa oleh bekas PM Najib sebelum ini, adalah sebuah terma yang tidak membawa sebarang makna kepada jutaan rakyat tertindas yang sedang mengharapkan perubahan yang drastik dalam kondisi kehidupan mereka yang sedang merosot hari ini.

Tambahan pula, kerajaan PH-BN juga didapati tidak berupaya untuk memberikan imej yang baik kepada populasi negara. Walaupun PM Anwar sendiri pernah mengkritik bekas PM Najib yang memegang portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara serentak, kini perkara yang sama dilakukan oleh PMX. Individu yang korup seperti Azam Baki dibenarkan untuk terus memegang jawatan Ketua SPRM walaupun ahli-ahli politik PH sendiri pernah menganjurkan protes jalanan untuk menyingkirkan individu tersebut dari posisinya sebelum memegang kerajaan. Selain itu, apa yang menjadi tumpuan ramai adalah pendakwaan kes-kes korupsi ke atas ahli-ahli politik pembangkang yang secara jelas membawa motif politik. 

Pastinya ia menjadi tanda tanya khalayak ramai mengenai hipokrasi kerajaan yang sedang cuba mendakwa para pemimpin dari kem pembangkang dengan tuduhan korupsi apabila TPM yang dipilih sendiri mempunyai lebih daripada 40 pertuduhan korupsi di mahkamah. Tambahan pula, keguguran Timbalan Pendakwa Raya yang bertanggungjawab untuk membina kes korupsi Zahid dengan alasan persaraan awal turut mewujudkan kesangsian bahawa orang-orang yang korup seperti Zahid boleh terlepas dari menerima sebarang hukuman. Bukan sekadar itu, malah beberapa kepimpinan sekutu PH seperti Lim Guan Eng dari DAP dan Syed Saddiq dari MUDA juga mempunyai kes-kes mahkamah yang belum lagi mendapat penyelesaian dan penjelasan.

Polarisasi Kaum

Walaupun kejatuhan sokongan untuk PH dan BN pada PRN kali ini boleh dijelaskan dengan kegagalan kerajaan untuk memulihkan kondisi ekonomi rakyat biasa dan untuk membawa keyakinan terhadap ketulusan kerajaan, ada juga pihak yang merujuk kepada polarisasi di kalangan kaum yang berbeza di Malaysia sebagai salah satu faktor utama yang memberi kesan kepada keputusan PRN. Walhal, hampir 70% daripada pengundi Melayu telah mengundi kepada PN dan hampir 90% pengundi bukan Melayu telah memilih PH-BN di PRN lepas.

Pastinya sentimen perkauman yang dimainkan oleh kedua-dua pihak PH-BN dan PN telah memberikan kesan kepada keputusan PRN kali ini. Tetapi ia tidak mengakibatkan kekurangan sokongan kepada PH. Retorik perkauman yang didendangkan oleh sebahagian daripada kepimpinan PN, terutamanya dari parti PAS telah mewujudkan kerisauan di kalangan pengundi bukan Melayu yang merasakan bahawa hak minoriti mereka boleh diancam dibawah pemerintahan PN. Pada masa yang sama, para pemimpin dari PH juga telah mempergunakan peluang ini untuk mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat demi meraih undi. Ucapan LGE yang mengatakan bahawa kuil-kuil Buddha akan diroboh dibawah kepimpinan PN menggariskan strategi kempen PRN PH yang juga menggunakan retorik-retorik yang tidak berasas untuk mendapatkan sokongan rakyat. 

Kenyataan para pemimpin PPBM-PAS yang mendakwa bahawa ‘keistimewaan’ masyarakat Melayu akan tergugat dibawah kepimpinan PH-BN juga merupakan sesuatu yang tidak berasas. Di sepanjang kepimpinan kerajaan ini, tidak ada sebarang indikasi bahawa peruntukan yang dikhaskan untuk masyarakat Melayu dibawah Perlembagaan akan diancam. Malah di salah satu acara anak muda yang dianjurkan kerajaan baru-baru ini, PMX dilihat menjadi marah terhadap kenyataan seorang anak muda yang mempersoalkan mengenai kuota yang berdasarkan kaum yang tersedia di fasiliti pendidikan awam. 

Tidak dinafikan bahawa sebahagian daripada rakyat akan termakan dengan retorik-retorik palsu dari kedua-dua pihak, tetapi ia tidak boleh disimpulkan bahawa rakyat Melayu telah menyokong PN semata-mata kerana meraka merasakan bahawa hak istimewa mereka terancam di bawah pemerintahan PH. Pendorong yang lebih besar pastinya merupakan kemarahan rakyat dengan hala tuju pemerintahan kerajaan yang tidak berupaya untuk memulihkan situasi ekonomi dan sosial rakyat yang sedang merosot setiap hari.

Tambahan pula, masyarakat di negeri utara dan Pantai Timur mendapati bahawa kondisi kehidupan mereka sedang semakin merosot tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan pusat. Masyarakat di rantau tersebut amat benci dengan BN yang telah meminggirkan mereka apabila memegang kuasa federal untuk berdekad-dekad sebelum ini dan akhirnya telah terdedah sebagai sebuah pertubuhan yang korup. Tanpa pengagihan yang adil daripada kerajaan pusat, pembangunan industri dan infrastruktur awam yang mencukupi tidak diwujudkan dan berlaku perbezaan taraf kehidupan yang ketara diantara rakyat yang hidup di pedalaman dan yang hidup berdekatan dengan bandar-bandar industri yang besar di Pantai Barat. Oleh itu, majoriti daripada anak muda dari Kelantan, Terengganu dan Kedah yang tidak mempunyai peluang pekerjaan di negeri tersebut terpaksa berpindah ke Selangor untuk mencari nafkah. 

Dengan latar belakang ini, jalinan politik yang dilakukan oleh PH dengan BN secara jelas tidak mendapat restu daripada masyarakat dari kawasan yang kurang maju. Bukan sahaja mereka benci terhadap BN yang dianggap rakus, sekarang, mereka juga tidak ada pilihan lain selain untuk menolak kepimpinan PH yang tidak mempunyai sebarang masalah untuk melanggar prinsip-prinsip anti korupsi dan kedaulatan undang-undang yang mereka sendiri angkat sebelum ini. Ini yang mewujudkan ruang bagi PN untuk mengukuhkan sokongan mereka dikalangan masyarakat pedalaman. 

Manakala bagi kebanyakan pengundi bukan Melayu dan sebahagian daripada pengundi Melayu di Pantai Barat, PN dilihat sebagai ancaman kepada kebebasan mereka dan PH dilihat sebagai pilihan yang lebih baik. Oleh itu, walaupun tidak berpuas hati dengan kepimpinan PH-BN, masyarakat bukan Melayu tidak mempunyai pilihan lain selain untuk memastikan kemenangan PH di kebanyakan kerusi bagi mengelakkan kekuasaan PN. Sentimen-sentimen perkauman yang dimainkan oleh PN sebenarnya telah mewujudkan sokongan kepada PH dan menyumbang kepada kemenangan mereka di 3 buah negeri tersebut. 

Tanpa sebarang program ekonomi yang benar-benar mampu memenangi keyakinan rakyat, kedua-dua ahli politik PH dan PN telah bergantung dengan retorik-retorik palsu yang tertumpu pada isu-isu budaya untuk meraih sokongan awam. Realitinya, semua parti-parti arus perdana yang mendominasi arena politik nasional, PH, PN dan BN, masing-masing tidak menawarkan sebarang jalan keluar kepada krisis ekonomi yang sedang melanda negara, rantau dan dunia. Ini adalah kerana semua parti-parti ini merupakan perwakilan politik kelas majikan dan minoriti elit dan tidak membawa kepentingan rakyat miskin dan tertindas. Semua pengakuan ahli-ahli politik ini yang kononnya sedang berjuang demi rakyat merupakan hujah-hujah kosong yang hanya bertujuan untuk memenangi undi rakyat demi memegang kuasa kerajaan.

PSM dan MUDA

Parti Sosialis Malaysia dan MUDA yang dipimpin oleh bekas Menteri Sukan Syed Sadiq telah melakukan kerjasama di dalam PRN ini untuk mengelakkan sebarang pertembungan di antara mereka di mana-mana kerusi DUN. Mereka juga membawa program PRN yang menekankan beberapa isu ekonomi yang penting untuk cuba mendapat perhatian dan undi daripada rakyat. Tetapi, semua calon-calon dari parti-parti kecil ini telah gagal dan tidak mendapat undi yang cukup untuk mendapatkan deposit pilihan raya mereka. 

Salah satu sebab utama bagi kekalahan ini adalah kerana naratif umum PRN kali ini yang dilihat sebagai referendum kepada kerajaan campuran PH-BN yang ditubuhkan akibat Parlimen tergantung di PRU lepas. Oleh itu, kebanyakkan rakyat telah terlibat dalam proses pengundian dengan agenda untuk mengukuhkan atau melemahkan kerajaan pusat yang baru. Dalam situasi ini, parti-parti kecil yang tidak berada di dalam koalisi-koalisi yang besar dan tidak akan memberikan kesan kepada bentuk kerajaan pusat tidak mendapat perhatian. 

Walaupun begitu, program PRN yang lemah daripada MUDA dan PSM juga telah memainkan peranan dalam kegagalan mereka untuk meraih undi yang signifikan. Rakyat Malaysia yang sedang bergelut dengan kemiskinan dan tekanan ekonomi tidak berminat untuk mendengar janji-janji manis daripada ahli-ahli politik yang merayu untuk mendapat undi rakyat pada setiap pilihan raya. Sebaliknya, mereka ingin mendengar naratif dan idea yang kukuh, yang menjelaskan kepincangan semua parti-parti arus perdana, yang mendedahkan pengaruh kelas jutawan ke atas kerajaan negara dan membentangkan sebuah jalan keluar yang munasabah daripada musibah ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat. 

Parti-parti yang kecil harus menggariskan dengan jelas mengenai perbezaan mereka dengan ahli-ahli politik dari PH, PN dan BN yang merupakan pak turut kepada kelas atasan dan menunjukkan kerelaan mereka untuk menentang agenda minoriti elit kaya yang mengekang hak dan kebajikan rakyat biasa. Program yang jelas seperti tingkatkan cukai untuk orang kaya, tingkatkan hak kelas pekerja yang ditindas oleh kelas majikan, perkenalkan gaji minimum yang sepadan dengan peningkatan inflasi, penyaluran keuntungan kelas majikan ke arah pembaikpulihan infrastruktur awam seperti hospital dan institusi pendidikan dan banyak lagi tuntutan ekonomi yang melindungi kepentingan kelas pekerja harus diangkat.

Tetapi parti MUDA terutamanya masih belum membawa sebarang program yang kukuh untuk meyakinkan massa bahawa mereka boleh memimpin rakyat ke arah kemajuan ekonomi dan keharmonian. Pada masa yang sama, PSM juga masih belum mengambil pendirian yang bebas untuk menentang agenda kelas kapitalis dengan memberikan sokongan kepada kerajaan PH-BN. Calon-calon PSM walaupun berdiri menentang calon PH-BN di beberapa kerusi, masih menekankan bahawa mereka akan menyokong PH untuk menubuhkan kerajaan negeri jika dipilih sebagai ADUN oleh rakyat. Pendirian ini hanya menyumbang ke arah kekeliruan di kalangan rakyat mengenai hala tuju sebenar PSM. Sebaliknya, PSM boleh membawa politik yang tidak terikat dengan pertubuhan PH dan memberikan alternatif yang jelas kepada sebilangan rakyat yang sudah mula lesu dengan proses pilihanraya yang tidak mendatangkan sebarang kelebihan kepada mereka dan sedang melihat kepada alternatif yang wujud. 

Di dalam situasi ekonomi dan politik negara yang sedang merosot, lebih ramai daripada rakyat akan merasa kecewa dengan semua perwakilan politik yang ada dan akan melihat kepada kepimpinan yang lain yang mampu mempertahankan aspirasi ekonomi dan sosial mereka. Terutamanya jika kecamuk politik yang sedang disaksikan berterusan dan semua perwakilan parti-parti pertubuhan PH, PN dan BN mendedahkan kerakusan dan kepincangan mereka, ini akan mewujudkan kekosongan politik yang akan membuka jalan kepada idea dan kepimpinan baru. Di dalam situasi inilah, parti-parti yang benar-benar ingin membawa perjuangan rakyat ke hadapan seperti PSM boleh menjadi alternatif dan pilihan rakyat. Seharusnya PSM mempersiapkan keahlian mereka dengan posisi politik yang independen dan program ekonomi yang radikal untuk menghadapi situasi tersebut. Hanya perjuangan yang berdasarkan kepada tuntutan ekonomi boleh menyatukan semua rakyat tertindas di bawah garis kelas dan mengelakkan perpecahan di bawah batasan kaum, agama atau jantina. 

Pembinaan Parti Massa Pekerja dengan Perspektif Sosialis yang jelas

Parti-parti kiri seperti PSM, organisasi akar umbi, kesatuan sekerja, pejuang hak asasi dan aktivis politik yang benar-benar ingin menyelamatkan rakyat Malaysia daripada cengkaman kelas kapitalis, haruslah menggabungkan tenaga mereka di bawah satu program ekonomi sosialis yang jelas. Sebuah program yang menentang kepentingan kelas kapitalis yang menindas rakyat berserta tuntutan-tuntutan ekonomi yang merujuk kepada masalah asas rakyat haruslah di bina. Program tersebut juga haruslah di bawa ke platform politik seperti pilihan raya dan juga pada masa yang sama digunakan untuk membina sebuah gerakan rakyat yang menganjurkan perjuangan-perjuangan di jalanan, tempat kerja dan di ruang awam. 

Populasi Malaysia yang sedang menghadapi kebuntuan dalam mencari solusi kepada masalah kehidupan mereka memerlukan sebuah kepimpinan politik yang boleh menyatukan semua tenaga rakyat dan memperjuangkan hak dan kebajikan mereka di arena politik. Kepimpinan politik rakyat, yang terhasil dari penyatuan tenaga kelas pekerja dan anak muda bukan sahaja akan mempunyai peluang untuk mengukuhkan keharmonian dikalangan rakyat yang berbilang latar belakang, malah boleh membawa masa depan yang lebih cerah bagi jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin yang sedang melalui kehidupan yang susah akibat aturan ekonomi yang berpihak kepada kelas kapitalis. Keunggulan kelas pekerja dan rakyat biasa haruslah diangkat dan disusun didalam sebuah Parti Massa yang boleh mencabar kedudukan kelas kapitalis yang sedang mengawal segala hala tuju ekonomi negara. 

Tidak kira berapa pilihan raya berlalu, rakyat tidak akan mendapat sebarang penyelesaian yang munasabah bagi kehidupan mereka selagi semua kekuasaan pentadbiran kerajaan masih dikawal oleh golongan minoriti kaya yang mempunyai kepentingan yang bertentangan dengan majoriti kelas pekerja. Hanya sebuah perjuangan politik yang tersusun dan membawa agenda sosialisme yang mengangkat kesamarataan pengagihan kekayaan dan kekuasaan politik bagi rakyat terbanyak yang akan berjaya menyelamatkan rakyat daripada krisis ekonomi, sosial dan politik yang dihadapi sekarang, yang dijangka akan terus merosot di masa yang akan datang.    

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top