Zimbabwe : Mugabe Telah Jatuh Tetapi Rejimnya Kekal Berkuasa!

Zimbabwe : Mugabe Telah Jatuh Tetapi Rejimnya Kekal Berkuasa!

Posted by

Selepas 37 tahun memegang kuasa sebagai pemerintah Zimbabwe dan dikenali sebagai diktator kuku besi, Robert Mugabe (93) telah digulingkan dalam sebuah rampasan kuasa tentera yang dirancang oleh ahli partinya sendiri. Percubaan Mugabe untuk meletakkan isterinya Grace Mugabe sebagai penggantinya tidak diterima baik daripada kepimpinan parti Zanu PF. Dalam proses itu, Mugabe juga telah melucutkan kawan dan pengikut setia Mugabe selama 37 tahun, Emmerson Mnangagwa yang mempunyai pengaruh dalam parti Zanu PF.

Walaupun kejatuhan Mugabe merupakan perkara yang bagus, tetapi, intervensi tentera dalam politik negara sedang berlaku di sebalik tabir. Bagi mengelakkan sebuah gerakan massa seperti protes Tajamuka yang berlangsung pada 2016 daripada tercetus, pihak elit tentera sedang menarik semua kepimpinan kelas atasan, termasuk pihak pembangkang bagi mencapai satu persetujuan politik. Usaha ini diambil oleh pihak tentera untuk memastikan kesinambungan sistem kapitalisme yang boleh terancam jika tercetus sebarang gerakan massa yang menuntut alternatif. Walaubagaimanapun, kejatuhan Mugabe masih mampu mencetuskan sebuah gerakan daripada massa yang harus mengambil teladan daripada perjuangan-perjuangan lepas.

Sejak 2002, Mugabe telah memerintah ZImbabwe dengan penipuan di pilihanraya dan dengan menggunakan kekerasan untuk mencabul hak demokrasi rakyat. Dalam jangka masa itu, ekonomi Zimbabwe jatuh tersungkur dengan inflasi yang tertinggi dalam sejarah dunia. Matawang Zimbabwe Dolar telah hilang segala nilai dan negara dilanda pengangguran sebanyak 90% berserta kebuluran. Seramai 3 juta rakyat Zimbabwe dari populasi 12 juta telah dipaksa menjadi pelarian ke negara-negara jiran, terutamanya Afrika Selatan.

Krisis ekonomi ini telah memaksa Mugabe untuk berkerjasama dengan China dan negara-negara barat, termasuk institut kewangan seperti IMF untuk mendapatkan bantuan kewangan dan peluang ekonomi baru. Penglibatan semula dengan negara-negara barat adalah bertujuan untuk menarik pendapatan baru bagi memulihkan ekonomi negara yang sedang menjunam. Walaupun terdapat sedikit pemulihan ekonomi pada awalnya, tetapi ia tidak mendatangkan sebarang perubahan bagi kehidupan rakyat biasa dan pertumbuhan ekonomi tersebut tidak berjaya dikekalkan. Sebuah kajian independen pada 2016 telah melaporkan bahawa, berbeza dengan persepsi yang cuba dicerminkan oleh kerajaan Mugabe, seramai 70% rakyat biasa sedang berada di bawah garis kemiskinan global.

Menteri kewangan Chinamasa telah dirakam berucap bahawa kebanyakkan kesan krisis ekonomi ini dirasai di sektor sosial dimana jutaan rakyat hilang punca pendapatan,  kanak-kanak terpaksa berhenti bersekolah dan hospital atau klinik tidak ada perubatan yang cukup. Peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pemecatan Mnangagwa, perpecahan dalaman dan seterusnya penggulingan Mugabe sendiri adalah akibat kegagalan pemerintahan Parti Zanu PF yang telah mengambil kuasa kerajaan atas nama ‘gerakan pembebasan’ hampir 40 tahun lalu.

Punca rampasan kuasa oleh tentera.

Ramai yang menganggap bahawa krisis dalam rejim Zanu adalah disebabkan oleh kegagalan Mugabe untuk mencari pengganti yang sesuai, tetapi ini adalah cuma sebahagian daripada punca. Zimbabwe telah lama terjerat dengan struktur politik kuku besi yang dibina oleh Mugabe sendiri bagi mengekalkan kuasa mutlak di tangan elit.

Pada awalnya, Mugabe merupakan seorang Perdana Menteri yang popular di kalangan rakyat dan telah memenangi beberapa pilihanraya umum. Tetapi apabila dia mula membina struktur ekonomi neo-liberal dengan bantuan kewangan daripada IMF dan Bank Dunia pada awal 90-an, rakyat mula menentang polisi-polisi tersebut. 90-an telah melihat perjuangan-perjuangan kelas pekerja yang terbesar dalam sejarah Zimbabwe. Malangnya, kepimpinan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja tidak mengambil posisi independen dan telah cuba berpakat dengan golongan kapitalis lain untuk membantah kepimpinan Mugabe. Ini telah menumpulkan perjuangan kelas pekerja yang mempunyai peluang untuk mengangkat kuasa kerajaan. Akhirnya, Mugabe berjaya mengekalkan posisinya sebagai Perdana Menteri Zimbabwe dengan membina sebuah rejim kuku besi dengan bantuan tentera. Ironinya, tentera yang sama yang selama ini telah menyokong Mugabe, telah dipergunakan untuk menggulingkannya daripada tampuk kekuasaan hari ini.

Keputusan Mugabe untuk menamakan isteri sendiri sebagai pengantinya telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di dalam kerajaan, terutamanya pihak tentera yang masih berpihak kepada Mnangagwe. Pihak tentera merasakan bahawa penamaan Grace sebagai Presiden akan menjadi punca ketidakstabilan rejim parti Zanu yang sudahpun terumbang-ambing. Grace tidak mempunyai sebarang pengalaman perjuangan dan dianggap kurang kredibiliti untuk meraih sokongan rakyat berbanding pemimpin lain seperti Mnangagwe.

Faksi Grace Mugabe yang bernama G40 telah memenangi beberapa pusingan awal dalam pergelutan kuasa dengan sokongan suaminya, tetapi akhirnya, faksi Mnangagwe yang dikenali sebagai ‘Lacoste’ telah mengekalkan sokongan tentera dan orang-orang penting dalam parti. Walaupun Mnangagwe telah dilucutkan daripada parti dan dipaksa untuk melarikan diri keluar negara, pihak tentera tidak yakin dengan keputusan Mugabe yang menerima krititkan dan penentangan daripada rakyat biasa.

Adakah ia sekadar sebuah kudeta?

Faksi Lacoste yang dipimpin oleh Mnangagwe nampakya bukan sahaja mendapat sokongan kerajaan Afrika Selatan, malah dilaporkan telah juga berbicara dengan China sebelum melakukan kudeta tersebut. Panglima Tentera, Major Constantine Chiwenga telah melawat China baru-baru ini dan Mnangagwe sendiri didapati balik ke Zimbabwe dengan pesawat tentera Afrika Selatan.

Rampasan tentera yang berlaku merupakan satu tindakan yang telah dikira rapi dan dibuat dengan persetujuan pelbagai pihak dalam usaha untuk melaksanakan penukaran rejim dalam keadaan aman. Pihak tentera telah mengeluarkan kenyataan bahawa, rampasan kuasa ini hanya bertujuan untuk mencelah dan membersihkan kerajaan daripada segala elemen korupsi yang mengelilingi Mugabe. Buat masa ini, Angkatan Tentera Zimbabwe telah meletakkan Mnangagwe sebagai Perdana Menteri sementara sehingga pilihanraya umum yang dijadualkan pada 2018. Mugabe pula telah menerima imuniti bagi semua jenayah selagi dia tidak mempertikaikan rampasan kuasa tersebut dan menyokong keputusan tentera. Walaubagaimanapun, nasib yang sama tidak dijanjikan bagi faksi G40 dalam parti Zanu yang pastinya akan dijadikan kambing hitam.

Rakyat harus membela diri dengan perpaduan

Rakyat Zimbabwe hanya menjadi pemerhati yang pasif dalam peristiwa-peristiwa politik yang sedang meletup didalam kerajaan mereka. Buat masa ini, mereka sedang menikmati perpecahan rejim Zanu-PF yang dibenci yang pastinya tidak akan memulihkan posisi dominan parti tersebut seperti masa lalu. Walaupun ramai di kalangan massa akan menyokong dan merayakan kehancuran rejim diktator Mugabe, tetapi ini tidak bermakna segala masalah mereka sudah selesai. Mnangagwe merupakan pemimpin yang diperbuat daripada acuan yang sama seperti Mugabe dan mempunyai rekod buruk sepanjang berada dalam kerajaan Zanu-PF. Pada tahun 80-an, Mnangagwe merupakan salah seorang pemimpin yang mengetuai operasi Gukurahundi yang telah membunuh kira-kira 20 ribu rakyat Ndebele. Tentera juga telah memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan kediktatoran Mugabe selama ini termasuk melakukan keganasan sistematik terhadap rakyat yang tidak bersalah.

Kekejaman dan jenayah pihak tentera di Zimbabwe pernah didedahkan berulang kali. Peranannya mereka dalam menculik dan membunuh ahli politik, terutamanya dari pihak pembangkang pada musim pilihanraya umum tidak dapat dinafikan sesiapa. Rampasan kuasa oleh tentera langsung tidak akan mengubah struktur politik Mugabe-Zanu yang dihadapi oleh rakyat selama berdekad-dekad lamanya. Rampasan kuasa ini adalah untuk tujuan menyambung pemerintahan kuku besi oleh kerajaan dan bukannya untuk membawa sebarang bentuk demokrasi untuk rakyat biasa.

Perjuangan akan berterusan

Hasil pengalaman dalam beberapa tahun terakhir ini, ramai diantara kelas pekerja dan rakyat biasa memahami situasi yang sedang menghadapi mereka. Ini boleh dilihat pada tahun 2016 apabila terdapat kebangkitan massa dan gerakan akar umbi gergasi yang bangun menentang kerajaan Mugabe. Pada masa itu, pihak tentera telah memilih untuk mempertahankan rejim kejam Mugabe-Zanu dengan menyerang rakyat jelata. Pada waktu itu, kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang berjuang telah mencapai kesimpulan bahawa tidak ada sebarang alternatif bagi mereka bukan sahaja di dalam Parti Zanu-PF, malah juga dalam segala manifestasi dan saki baki peninggalan parti tersebut.

Kelas pekerja dan rakyat tertindas Zimbabwe hanya boleh bergantung dengan program mereka sendiri, kuasa mereka sendiri dan organisasi mereka sendiri untuk menggulingkan kerajaan otokratik kapitalis dan membebaskan diri mereka dari cengkaman tentera. Seperti yang pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini, kelas pekerja dan rakyat biasa harus terlibat dalam satu gerakan massa menuntut perubahan yang jelas. Rakyat Zimbabwe yang terdiri daripada pekerja, anak muda dan diaspora, harus dengan segera bersatu untuk mendirikan sebuah parti pekerja massa. Parti tersebut harus mengambil teladan daripada kegagalan kepimpinan massa pada tahun 90-an dan membina perspektif yang jelas mengikut pengalaman mereka. Sebuah program sosialis yang jelas harus bergema dikalangan rakyat biasa yang sedang terkapai-kapai mencari jalan keluar dari krisis yang sedang dialami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*