Tunaikan Janji Pilihanraya!

Tunaikan Janji Pilihanraya!

Posted by

TINGKATKAN CUKAI UNTUK GOLONGAN TERKAYA 1 PERATUS UNTUK PENGAGIHAN KEKAYAAN YANG ADIL DAN SAKSAMA!

Pakatan Harapan membentuk kerajaan dengan sokongan pekerja, anak muda dan rakyat biasa. Rakyat sedang mengharapkan perkara-perkara yang dijanjikan dalam manifesto PH dilaksanakan. Setakat ini, beban hutang negara yang ditinggalkan oleh kerajaan BN yang menjangkau RM 1 trillion dijadikan alasan untuk sama ada menunda janji yang diberikan atau menyatakan ketidakmampuan kewangan untuk melaksanakannya. Hakikat sebenar kerajaan PH berdolak-dalih dengan janji-janji PRU14 adalah akibat desakan dan gertakan kapitalis dan golongan 1 peratus terkaya di negara ini. Golongan terkaya ini dengan kemewahan dan keuntungan yang diperoleh selama ini di bawah kerajaan BN tidak akan berniat untuk berkongsi kekayaan negara untuk membolehkan rakyat terbanyak menikmati hak mereka. Jelas di sini bahawa PH sepertimana BN tunduk kepada desakan dan gertakan golongan 1 peratus terkaya. PH tidak mampu mendesak golongan terkaya ini, misalnya dengan meningkatkan cukai golongan terkaya 1 peratus untuk membolehkan kekayaan melampau mereka diagihkan kepada rakyat terbanyak.

Dalam Manifesto PH, Teras 3: MERANCAK PERTUMBUHAN EKONOMI YANG ADIL DAN SAKSAMA, PH menyatakan masalah-masalah berikut: ‘jurang ketidaksamarataan semakin buruk’, ‘golongan kaya bertambah kaya tetapi rakyat biasa menghadapi kesukaran’, ‘golongan 20 peratus teratas boleh hidup dengan selesa, tetapi, golongan pekerja, rakyat marhaen dan mereka yang berada dalam kelompok B40 tidak mengecapi nikmat yang sama’, dan ‘situasi ini perlu diperbetulkan, ketidaksamarataan yang keterlaluan boleh membawa kepada kepincangan hubungan antara sesama rakyat dan menjejaskan keharmonian’. Untuk mengatasi masalah-masalah tersebut, di antara janji-janji PH adalah untuk: ‘menurunkan kenaikan harga yang membebani rakyat’, ‘berkongsi kekayaan negara secara bersasar’, ‘menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa’. ‘meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak muda’, ‘gaji minimum RM1500’, ‘menghapuskan kutipan tol’, ‘meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak’ , ‘menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti’, dan ‘menjamin kesejahteraan rakyat jangka panjang’. Pakatan Harapan juga berjanji untuk ‘memperkukuh hak para pekerja menubuhkan kesatuan sekerja dan memilih kesatuan sekerja di tempat kerja masing-masing’.

Masalah-masalah ini telah wujud di bawah kerajaan BN akibat polisi ekonomi dan sosial yang memihak kepada golongan kapitalis dan golongan terkaya 1 peratus. Dengan polisi dan agenda ekonomi yang memihak kepada golongan terkaya ini, hak dan keperluan rakyat telah dihakis dan ditindas sewenang-wenangnya. Nampaknya, PH sepertimana BN tidak ada kewibawaan politik untuk menunaikan janji kepada rakyat terbanyak dengan melawan agenda golongan terkaya ini.

Untuk memastikan rakyat terbanyak termasuk warga pekerja dan anak muda mendapat hak dan menikmati kekayaan negara secara adil dan saksama, agenda kapitalisme yang membolehkan orang kaya menjadi semakin kaya dan rakyat semakin miskin perlu dilawan dengan program alternatif ekonomi dan sosial yang berlandaskan hak dan keperluan pekerja, anak muda dan rakyat biasa untuk menjamin kesejahteraan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*