Tingkatkan Cukai Untuk 1% Terkaya Bagi Meningkatkan Keperluan Rakyat

Tingkatkan Cukai Untuk 1% Terkaya Bagi Meningkatkan Keperluan Rakyat

Posted by

Kerajaan Pakatan Harapan melancarkan Tabung Harapan Malaysia (THM) untuk menampung hutang negara yang sudah mencecah lebih daripada RM1 trillion. Jumlah tersebut adalah 80% daripada pendapatan negara (KDNK/GDP) jauh daripada had 55% yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini. Menurut kerajaan PH, hutang ini adalah akibat perbelanjaan dan keborosan tidak terkawal kerajaan BN, dan jika tidak dikurangkan mampu untuk membankrapkan kewangan kerajaan serta memerosotkan ekonomi negara.

Selepas dilancarkan, THM juga mendapat sambutan daripada rakyat biasa, dan mereka sanggup menghulurkan dana semampu yang boleh untuk membantu mengurangkan hutang negara. RM30 juta terkumpul dalam 5 hari, dan ini menunjukkan bahawa apabila diberikan satu harapan baru, rakyat biasa sanggup menunjukkan solidariti serta menjanakan dana yang mereka mampu untuk menjayakan harapan tersebut. PH membentuk kerajaan selepas memenangi PRU14 adalah akibat solidariti yang terbentuk di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di seluruh Malaysia dengan satu harapan baru apabila kerajaan BN penuh dengan skandal dan korupsi serta tidak mampu mengekang peningkatan kos hidup rakyat. Sumbangan kepada THM menunjukkan bahawa rakyat mempunyai satu harapan tinggi kepada kerajaan PH untuk telus menanggani hutang tersebut dan pada masa yang sama mengotakan janji-janji dalam manifesto PRU14.

Siapa mendapat manfaat daripada hutang 1 Trillion ?

Kerajaan PH memaklumkan bahawa 80% daripada hutang RM1 trillion, 50% adalah hutang kerajaan persekutuan, 15% adalah hutang akibat jaminan kerajaan terhadap projek-projek infrastruktur termasuk 1MDB, dan 15% lagi adalah bayaran pajakan untuk projek kerjasama awam-swasta. Sememangnya berbagai projek mega dan infrastruktur dilancarkan oleh kerajaan BN dengan nama untuk memanfaatkan rakyat. Persoalannya siapa yang mendapat manfaat daripada pinjaman kerajaan untuk projek-projek kerajaan dan projek kerjasama awam-swasta ?

Berbagai skandal dan korupsi termasuk 1MDB menunjukkan bahawa golongan politik elit dan kroni kerajaan BN telah mengaut keuntungan dan manfaat di bawah kerajaan Najib, dan menyumbang kepada sebahagian besar hutang tersebut. Berjuta-juta ringgit wang tunai yang dirampas daripada rumah Najib dan keluarganya menunjukkan bagaimana kehidupan mereka sangat mewah, tatkala rakyat dihimpit oleh kenaikan kos hidup. Walaupun tidak didedahkan, politik elit yang lain dalam BN juga dijangka telah turut sama mengaut keuntungan besar daripada korupsi dan skandal kerajaan BN.

Selain daripada elit politik, golongan jutawan dan billionaire telah turut sama mengaut keuntungan melalui projek-projek kerajaan, projek GLC (syarikat berhubungkait dengan kerajaan) dan juga melalui projek kerjasama awam-swasta. Syarikat-syarikat nasional dan multi-nasional di negara kita juga telah turut mengaut keuntungan besar daripada projek-projek kerajaaan secara langsung dan tidak langsung ketika era BN.

Jelas bahawa penyebab utama kepada hutang negara ini adalah golongan elit politik dan juga golongan kaya raya yang berkait rapat dengan mereka yang sanggup mempergunakan anarki dalam sistem pasaran bebas kapitalisme untuk keuntungan dan kemewahan mereka. Walaupun kerajaan PH menuduh Najib dan polisi kerajaan BN sebagai asas kepada hutang RM1 trillion, tetapi mereka langsung tidak menyentuh kepada golongan kaya dan peniaga besar yang mendapat manfaat daripada hutang tersebut dengan mempergunakan pasaran bebas.

Apabila rakyat biasa yang bukan punca kepada hutang tersebut sanggup menyumbang kepada THM, golongan elit politik, kaya raya dan peniaga besar yang menjadi punca kepada peningkatan hutang tersebut tidak terdesak untuk menyumbang kekayaan mereka untuk menyelematkan negara. Ini menunjukkan betapa rakusnya golongan ini yang sanggup mempergunakan kuasa bagi mengaut serta mempertahankan keuntungan dan kemewahan mereka ketika rakyat biasa berhadapan dengan kesengsaraan hidup.

Apa sumbangan 50 terkaya di Malaysia untuk melangsaikan hutang negara ?

Manakala golongan terkaya di Malaysia juga telah meningkatkan keuntungan dan kemewahan mereka ketika era pemerintahan Najib. Menurut majalah Forbes, kekayaan 50 orang terkaya di Malaysia (golongan billionaires) pada tahun ini adalah RM346 billion (87 billion dolar) iaitu kekakayaan mereka hampir 35% daripada RM1 trillion. Robert Kuok, billionaire terkaya di Malaysia pula mempunyai kekayaan sebanyak RM56 billion. Dengan menyumbang sebahagian daripada kekayaan mereka, golongan yang kurang daripada 1% ini masih mempunyai kekayaan yang melampau berbanding dengan 99% rakyat di negara ini. Dengan keadaan hutang negara yang tenat, golongan ini yang selama ini mengaut keuntungan besar harus didesak untuk mengambil tanggungjawap untuk melangsaikan sebahagian besar hutang negara.

Tingkatkan cukai untuk 1% terkaya

Golongan 1% ini tidak akan berganjak dengan sendirinya selagi tidak didesak kerana sifat kerakusan mereka untuk mengaut keuntungan besar dengan pertolongan elit politik dalam kerajaan. Kerajaan PH yang juga masih ingin mempertahankan sistem pasaran bebas kapitalisme juga terpaksa menjadi pak turut kepada kehendak golongan 1% ini. Ini jelas apabila golongan terkaya seperti Robert Kuok dan Daim Zainuddin yang akan mempertahankan kepentingan golongan 1% diletakkan sebagai penasihat kepada kerajaan. Mereka tidak akan memastikan kekayaan dan kemewahan negara diagihkan secara saksama dan adil.

Seharusnya kerajaan yang prihatin kepada kehendak dan keperluan rakyat biasa, akan sanggup mendesak supaya golongan 1% terkaya di Malaysia untuk menyumbang sebahagian besar daripada kekayaan mereka untuk meningkatkan kos hidup 99% rakyat biasa. Untuk menampung hutang kerajaan dan meningkatkan perbelanjaan awam untuk memanfaatkan rakyat, kerajaan juga harus meningkatkan cukai pendapatan dan cukai korporat ke atas golongan kaya dan peniaga besar. Tetapi ini perlu dilakukan dengan merubah sistem ekonomi yang berlandaskan kediktatoran pasaran bebas yang dikawal oleh golongan 1% kepada ekonomi yang berlandaskan kepada perancangan demokratik berdasarkan kehendak dan keperluan rakyat 99%.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*