Perubahan Politik Melalui Kuasa Pekerja

Perubahan Politik Melalui Kuasa Pekerja

Posted by

Warga pekerja adalah golongan terbesar daripada pengundi dalam setiap pilihanraya umum, dan biasanya akan menjadi kuasa penentu untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan atau memenangi sesuatu kerusi parlimen atau dewan undangan negeri. Semua pekerja sama ada yang berkerja di kilang-kilang di kawasan perindustrian, pekerja perkhidmatan di kawasan bandar seperti pemandu bas, pekerja yang membersihkan kawasan bandar sehingga yang berkerja di bank-bank atau yang berkerja dalam perkhidmatan awam seperti guru, undi mereka mampu membawa satu perubahan politik. Begitu juga dengan Pilihanraya Umum ke- 14 (PRU14) tahun ini, undi pekerja menjadi rebutan setiap calon yang ingin bertanding sama ada di bawah parti pemerintah atau parti pembangkang. Apa pilihan pekerja ?

Majoriti pekerja yang berada di bawah kategori B40 iaitu golongan yang berpendapatan jumlah isi rumah kurang daripada RM4000 sebulan sedang menghadapi kesempitan hidup akibat peningkatan gaji yang tidak setaraf dengan peningkatan kos hidup. Malahan pekerja atau kelas menengah yang berada di bawah kategori M40, iaitu golongan dengan pendapatan isi rumah di antara RM4000 dan RM9000 juga sedang menghadapi berbagai masalah akibat peningkatan kos hidup terutamanya mereka yang berkerja atau tinggal di kawasan bandar. Pada masa ini masyarakat luar bandar seperti masyarakat FELDA juga sedang mengharungi pelbagai tekanan hidup akibat kejatuhan harga kelapa sawit dan pengurusan FELDA yang lebih mementingkan keuntungan.

Pekerja di negara ini sedang dihimpit oleh kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan. Harga satu kilo ikan tidak sama hari ini dengan sepuluh tahun lalu. Harga rumah di kawasan-kawasan bandar lima atau enam kali ganda lebih tinggi daripada harga rumah sepuluh tahun lalu. Kos pengangkutan, perubatan, pendidikan, semuanya tidak terkawal dan meningkat mengikut kehendak pasaran. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mampu mengawal harga dan kos berdasarkan keperluan dan kehendak rakyat biasa untuk membolehkan mereka menikmati satu keselesaan hidup yang adil, tetapi tunduk kepada kehendak pasaran yang dikongkong oleh golongan satu peratus, iaitu pemodal-pemodal serta peniaga terkaya di negara ini. Mampukah Pakatan Harapan (PH) mengubah keadaan ini dengan mengutamakan kehendak rakyat daripada kehendak pasaran ? Adakah hanya dengan memansuhkan GST, PH mampu meningkatkan taraf hidup rakyat ?

Selagi parti yang memerintah menjadi ‘pak turut’ kepada sistem pasaran kapitalisme (sistem pemodal), selagi itu keuntungan dan kuasa elit akan menjadi keutamaan berbanding dengan keperluan dan kuasa rakyat biasa. Isu-isu sosial dan ekonomi di negeri Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan bahawa kepimpinan PH di kedua-dua negeri ini masih terkongkong dengan kehendak pasaran bebas yang mengatasi kehendak rakyat biasa.

Menyokong parti politik dalam PRU tidaklah boleh disamakan seperti memberikan sokongan sama ada kepada kelab bolasepak Manchester United atau Chelsea. Persoalan perubahan bentuk dan jenis politik adalah amat berhubungkait dengan perubahan taraf hidup yang diilhamkan oleh rakyat biasa. Perubahan daripada satu parti kepada parti yang lain tidak akan menjamin perubahan yang dikehendaki oleh rakyat biasa. Warga pekerja bersama masyarakat tertindas yang lain mampu membawa perubahaan politik yang memihak kepada mereka sekiranya satu parti politik alternatif kepada parti-parti yang memihak kepada sistem pasaran bebas mampu dibina dan diperkembangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*