Perjuangkan Hak Perumahan Yang Adil!

Perjuangkan Hak Perumahan Yang Adil!

Posted by

KONTRADIKSI KAPITALISME :
PENGUSIRAN PAKSA MENINGKAT, RUMAH DIBINA TIDAK TERJUAL

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, pada suku awal tahun ini, jumlah unit residensi yang tidak terjual iaitu apartmen, pejabat-pejabat kecil, termasuk rumah dalam pejabat (SoHos) adalah sebanyak 34,532, keseluruhannya berharga RM22.26bil. Menurut mereka, terdapat peningkatan sebanyak 55.7% dalam jumlah unit yang tidak terjual. Iaitu pada tahun lepas, sebanyak 22,175 termasuk SoHos tidak terjual. Unit residensi yang berharga antara RM300,000 ke RM400,000 merupakan antara unit yang tidak terjual, iaitu 33% dari keseluruhan jumlah unit-unit yang berharga dalam lingkungan berikut. Unit-unit residensi di negeri Kedah dan Pantai Timur pula menunjukkan peratusan tertinggi iaitu hampir 50% unit residensi yang tidak terjual. Manakala di Melaka pula, sebanyak 1,520 unit telah dilancarkan sejak suku pertama tahun ini, tetapi sebanyak 130 unit sahaja yang terjual.

Di negeri-negeri lain seperti Johor, Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang, meskipun jumlah peratus tidak setinggi Kedah dan Pantai Timur, namun masih menunjukkan terdapat krisis perumahan yang tidak terjual, iaitu hampir 30% secara purata dalam suku pertama pada tahun ini. Menurut laporan Bank Negara pula, peningkatan jumlah unit residensi yang tidak terjual ini tidak terlihat sejak 10 tahun yang lalu, dengan 78.7% unit residensi yang dilancarkan berharga lebih dari RM250,000. Sementara pada bulan November tahun lalu, Bank Negara melaporkan kebanyakkan rakyat biasa hanya mampu membeli rumah dengan harga kurang dari RM250,000.

Sistem Kapitalisme Yang Jijik!

5hb Jun yang lepas, sebuah insiden pengusiran secara paksa terhadap beberapa keluarga berlaku di PPR Padang Tembak, Pulau Pinang. Unit-unit mereka dikunci dan menyebabkan kesemua penduduk tidak mempunyai tempat teduh yang selamat. Sewaktu insiden tersebut berlaku, beberapa aktivis yang turut berada bersama keluarga yang diusir telah ditahan polis dan bakal didakwa kerana mempertahankan penduduk yang telah diusir atas tuduhan “menghalang penjawat awam daripada menjalankan kerja-kerja jawatannya.” Menurut kenyataan para aktivis dan daripada penduduk yang diusir itu sendiri, terdapat pelbagai fakta yang telah diputar belit dan tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan negeri. Sebelum ini, dalam sebuah perundingan dengan Exco Perumahan Negeri Pulau Pinang, perkara ini telah dituntut oleh pihak yang terlibat sejak Disember tahun lepas tetapi tidak diberikan perhatian. Hanya setelah berlangsungnya protes oleh pihak yang terlibat, mereka telah ditawarkan perumahan alternatif di kawasan Seberang Perai.

Kerajaan negeri Penang telah menyatakan beberapa sebab, antaranya notis awal telah diberikan kepada pihak yang terbabit dan juga, hampir sebanyak 1,800 pemohon sedang menunggu untuk menduduki PPR tersebut. Tidak lupa juga bagaimana 4 keluarga yang diusir ini tidak lagi memenuhi kriteria kelayakan yang telah digariskan oleh pihak kerajaan. Faktor-faktor yang digunakan ini merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak kerajaan kerana melupakan masalah sebenar yang membelenggu golongan miskin kota. Apakah perlu menapis di kalangan golongan miskin kota – siapa yang lebih layak di kalangan mereka dan menjadikan isu perumahan sebagai satu alat persaingan sesama mereka?

Sebuah inisiatif untuk membina lebih banyak PPR tidak pernah diutamakan dan sebaliknya, lebih banyak pangsapuri mewah dibina di kawasan negeri tersebut. Laporan daripada Property Overhang Q1 2018 menyatakan, hampir 35 ribu unit (RM22.26 bilion) yang merangkumi pangsapuri mewah dan juga pejabat tidak terjual di negara kita. Ini merupakan peningkatan sebanyak 55.72% dan di Penang sahaja, sebanyak 33.12% tidak terjual. Ini menunjukkan bahawa isu perumahan ataupun ruang tempat teduh secara realitinya dapat sahaja disediakan secara selesa kepada sesiapa yang memerlukannya, tetapi di bawah sistem kapitalisme, yang dapat membelinya hanyalah golongan yang mempunyai modal untuk memilikinya dan bagi golongan majoriti rakyat di negara kita, ini adalah suatu hal yang begitu sukar untuk dicapai.

Dalam pada kita membincangkan mengenai krisis perumahan yang tidak terjual, sebanyak 5000 gelandangan dianggarkan berumah di sekitar Kuala Lumpur sahaja, tidak termasuk di negeri-negeri lain. Begitu juga dengan kes-kes yang tidak dilaporkan seperti pengusiran paksa. Misalnya pengusiran paksa di Sungai Jelok, Kajang pada Oktober tahun lepas, termasuklah pengusiran pekerja migran dari rumah PPR, seperti yang ditegaskan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin pada bulan Jun baru-baru ini dengan menegaskan untuk mereka keluar dalam tempoh 3 bulan bermula Jun yang lalu. Ironinya, bangunan PPR itu dibangunkan oleh kebanyakkannya pekerja migran dengan tenaga dan keringat mereka. Pengusiran orang asal di Mulu Sarawak, dan pembalakkan yang tidak terkawal bertujuan untuk membangunkan kediaman dan pusat hiburan yang mewah sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar, mendedahkan betapa jijiknya sistem ini yang tidak pedulikan keperluan golongan biasa selain keuntungan maksimum untuk segelintir pihak.

Rumah Adalah Keperluan Hidup!

Apakah rumah mampu milik, dengan kualiti yang benar-benar selesa dan luas untuk sebuah keluarga mendiaminya, tidak langsung dapat dibina? Ianya menjadi halangan di bawah sistem sedia ada!

Sehingga kini di serata dunia, ketidakmampuan penduduk untuk membeli rumah sendiri merupakan isu utama yang tidak dapat diselesaikan oleh pihak penguasa. Kerajaan masih memberi fleksibiliti kepada syarikat pembangunan untuk terus membina kawasan perumahan tanpa mengambil kira keutamaan penduduk di sekitar. Dengan melaksanakan cukai yang lebih tinggi terhadap syarikat pembangunan yang besar di negara kita, tidak mustahil melalui sebuah perancangan yang terperinci, rumah-rumah mampu milik dapat dibina dalam kuantiti yang lebih banyak. Peningkatan kualiti bagi rumah PPR juga dapat diurus dengan lebih teratur, bagi menyediakan sebuah keadaan yang lebih sihat bagi anak-anak kecil.

Seperti air dan makanan, seorang manusia, dan sebuah keluarga memerlukan sebuah rumah untuk meneruskan kehidupan dengan selamat, dan aman. Rumah tidak patut dianggap sebagai bahan dagang yang bertujuan untuk menjana keuntungan. Apatah lagi bagi kelas pekerja, yang telah berkorban keringat dan darah untuk menjana ekonomi negara. Seharusnya kelas pekerja diberikan kemudahan sepenuhnya untuk membolehkan dirinya memiliki sebuah rumah. Samaada dalam bentuk elaun atau menyediakan kuarters pekerja yang selesa, malah pihak kerajaan harus menekan pihak pemaju perumahan untuk tidak menjual unit-unit residensi dengan harga yang tidak mampu dibayar oleh kebanyakkan golongan biasa.

Menurut pengarah CBRE|WTW, sebuah syarikat pelaburan dan hartanah komersial, telah mendedahkan ketidakseimbangan dalam harga rumah kerana bercanggah dengan pendapatan isi rumah bagi golongan biasa. Hal ini jelas menunjukkan hatta seorang pengarah pun tidak mampu untuk melakukan apa-apa dalam krisis rumah yang tidak terjual ini. Namun, hakikatnya, keseimbangan ini bukan sesuatu yang baru, kerana dalam sistem kapitalisme, ia bergantung dengan sistem ekonomi pasaran bebas untuk menjana keuntungan bagi golongan kapitalis seperti billionaire, yang cuma merangkumi kurang 1% daripada populasi dunia. Hal seperti ekonomi terancang adalah musuh utama dalam sistem ini. Meskipun itulah penawarnya dalam melawan krisis perumahan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak tentu dan keadaan masyarakat yang makin terjerat dengan beban kos kehidupan yang tinggi, sebuah insiden yang sama di kalangan golongan miskin kota pasti berulang. Struktur sosial sosialisme berpaksikan ekonomi yang terancang, di mana semua sumber dapat dikelola secara demokratik di kalangan pekerja bagi mengutamakan kehidupan sendiri. Hanya melalui perubahan ke arahnya, jaminan bagi kehidupan yang aman dapat dilaksanakan secara menyeluruh, di peringkat tempatan dan juga global.

Isu-isu ini termasuk isu perumahan adalah isu yang tidak berasingan. Ia wujud kerana sistem pasaran bebas membenarkannya. Mekanisme pasaran bebas yang tidak peduli akan keperluan-keperluan kehidupan kelas pekerja dan alam sekitar telah membenarkan ruang-ruang untuk menjual keperluan asas manusia, seperti tempat tinggal, makanan, air, dan pendidikan. Tetapi penawarnya kepada sistem pasaran bebas adalah sistem yang dirancang oleh kelas pekerja.

Ia memerlukan kelas pekerja untuk mengorganisasi tenaga dengan idea untuk membina sebuah gerakan yang bukan sahaja teguh di tempat kerja, tetapi juga digeruni diluar tempat kerja. Melalui cara ini, perjuangan dapat disebarkan, dan solidariti dapat dibina sesama kelas pekerja. Kepimpinan dari gerakan ini juga harus membawa tuntutan perumahan yang jelas berprinsipkan hak pekerja, bukannya sebagai orang tengah untuk ‘berunding’ dengan pihak kapitalis seperti pemaju tanah. Selain kelas pekerja, anak muda juga harus memberikan solidariti kepada kelas pekerja dalam menukarkan sistem kapitalisme kepada sistem yang lebih adil. Kerana masa depan anak muda juga tidak boleh lari dari sistem kapitalisme selagi tiada yang berani kehadapan untuk menukarnya. Ayuh anak muda dan pekerja, mari kita bina sebuah gerakan yang kukuh dan berprinsipkan perjuangan kelas pekerja. Tiada kelas lain yang mampu membela nasib kelas kita melainkan kita sendiri. Ayuh bangkit dan mengorganisasi!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*