Perarakan Hari Wanita Sedunia 2018 di Kuala Lumpur

Perarakan Hari Wanita Sedunia 2018 di Kuala Lumpur

Posted by

Gerakan Pembebasan Wanita ( kempen Sosialis Alternatif ) bersama dengan organisasi yang memperjuangkan hak wanita dan gerakan akar umbi yang lain telah menganjurkan beberapa aktiviti menjelang sambutan Hari Wanita Sedunia di Malaysia. Pada kemuncak aktiviti tersebut adalah perarakan Hari Wanita Sedunia anjuran Jawatankuasa Hari Wanita ( gabungan organisasi hak wanita ) yang telah berarak di Kuala Lumpur sambil mengibarkan kain rentang dan melaungkan tuntutan dan mesej perjuangan wanita. Aksi ini disertai oleh seramai 250 orang wanita dan lelaki dari pelbagai latar belakang penindasan yang juga telah memberikan ucapan solidariti pada pengakhiran acara ini.

Secara global, Hari Wanita Sedunia sedang menjadi simbol perjuangan dan dengan keadaan sistem kapitalisme dalam kemerosotan, semakin ramai para wanita tertindas sedang melibatkan diri secara aktif dalam perjuangan rakyat. Itulah yang berlaku di Malaysia pada tahun ini apabila terdapat peningkatan yang mendadak dalam penyertaan golongan tertindas dalam perarakan Hari Wanita Sedunia jika di bandingkan dengan tahun lepas. Bersama kami, terdapat golongan wanita dari komuniti orang asal, organisasi pekerja migran, aktivis alam sekitar, pejuang hak asasi manusia, komuniti LGBTIQ dan ramai lagi turun membawa piket dan kain rentang yang penuh dengan pelbagai mesej dan aspirasi mereka. Tidak kurang juga golongan lelaki dan kelas pekerja lelaki yang telah turun bersama mesej solidariti mereka dengan perjuangan wanita.

Tuntut Semula Ruang Kita

Slogan ‘Tuntut Semula Ruang Kita’ telah di laungkan sepanjang perarakan. Ia adalah bertujuan untuk membawa aspirasi para wanita dari pelbagai latar belakang yang sedang tersepit dengan beban atau keperitan hidup dan tidak mempunyai sebarang ruang untuk mencari jalan keluar atau meluahkan penindasan yang berlaku ke atas mereka. Di Malaysia, walaupun kerajaan telah menaburkan pelbagai janji untuk membaiki kehidupan golongan wanita, realitinya, kondisi seorang wanita kelas pekerja yang miskin sedang semakin merosot akibat polisi-polisi neo liberal kerajaan itu sendiri. Cukai regresif seperti GST, penswastaan pesat, harga rumah yang melampau, kos kehidupan yang tinggi, kenaikan inflasi dan pelbagai kemerosotan ekonomi sedang memberikan impak sosial yang berat bagi wanita.

Walaupun dalam pembangunan yang pesat, masyarakat Malaysia masih menganggap wanita sebagai memiliki status sosial yang lebih rendah berbanding lelaki. Wanita tidak mempunyai sebarang suara politik, diberikan gaji yang lebih rendah daripada lelaki dan sering disekat daripada menjawat jawatan tinggi di pelbagai arena. Walaupun dengan kelulusan dan kemahiran yang sama dengan lelaki, para wanita sering tidak mendapat peluang kehidupan yang setara. Bagi wanita-wanita dari kawasan pedalaman, komuniti orang asal atau wanita miskin kota, mereka ditindas berkali ganda dan terdedah kepada kehidupan yang perit. Salah seorang aktivis wanita dari komuniti orang asal yang menyertai perarakan tersebut telah meluahkan bagaimana kemasukan paksa sistem kapitalisme ke komuniti mereka di hutan sedang mewujudkan penindasan-penindasan baru terhadap golongan wanita.

Ruang-ruang penindasan yang sedia wujud dalam susunan masyarakat kelas kapitalis sedang semakin melebar dengan kemerosotan ekonomi global. Seksisme, diskriminasi gender dan ancaman keganasan seksual terhadap wanita dan golongan LGBTQ sedang menjadi semakin teruk dan parah. Kempen media sosial #meetoo ( #SayaJuga ) misalnya mendedahkan realiti di mana sistem kapitalisme sedang membenarkan berjuta-juta wanita di seluruh dunia untuk mengalami gangguan dan serangan seksual setiap hari. Tahun 2017 dilihat sebagai tahun di mana jutaan wanita dari seluruh dunia telah tampil kehadapan, merebut ruang yang ada dan meluahkan penindasan mereka melalui kempen-kempen media sosial. Momentum gerakan tersebut juga dapat dilihat dengan aksi-aksi para wanita yang menganjurkan perarakan, mogok dan protes besar-besaran sempena Hari Wanita tahun ini di serata dunia.

Momentum Gerakan Wanita

Para wanita di seluruh dunia telah kembali ke tradisi Hari Wanita yang biasanya dipenuhi dengan pelbagai aksi perjuangan. Semakin ramai wanita melihat Hari Wanita sebagai simbol perjuangan bersejarah dan pada masa yang sama juga sebagai platform bagi meneruskan perjuangan mereka pada hari ini. Di Amerika Syarikat, seramai 2.5 juta orang wanita dan lelaki telah membanjiri jalan-jalan utama bagi melaungkan bantahan mereka terhadap polisi-polisi rasis dan seksis oleh pemimpin mereka, Donald Trump. Di Sepanyol, anak muda wanita dari Sindicato Estudiantes ( kesatuan pelajar ) telah menganjurkan mogok pelajar di mana seramai 5 juta orang telah melibatkan diri pada 8 Mac lalu. Di Jakarta pada 4 Mac, beribu-ribu orang telah turun berarak menuntut kesetaraan gender. Gerakan-gerakan seperti ini telah bercambah dan berkembang di seluruh dunia.

Di Malaysia juga, gerakan akar umbi dan organisasi hak wanita telah berusaha menganjurkan perarakan yang mampu menghubungkaitkan perjuangan wanita Malaysia dengan gerakan yang sedang berkembang di seluruh dunia. Di samping meningkatkan kesedaran rakyat mengenai keperitan hidup wanita, perarakan ini juga harus menjadi rujukan bagi perjuangan wanita yang ingin membawa perubahan yang nyata bagi kondisi hidup mereka. Bagi mencapai perubahan yang bermakna, para wanita tidak boleh bergantung dengan ahli-ahli politik pertubuhan atau korporat besar yang sedang menghancurkan segala ruang ekonomi dan politik yang wujud bagi yang tertindas. Sebaliknya, mereka harus membina kekuatan mereka dengan menjalinkan solidariti dengan semua rakyat tertindas dan memperjuangkan hak mereka dalam gerakan-gerakan massa. Para penganjur perarakan ini secara sedar tidak mengharapkan sokongan daripada sebarang pertubuhan politik atau organisasi daripada kelas elit kaya dan telah membina sokongan daripada komuniti tertindas. Kami telah menyeru sokongan daripada komuniti orang asal yang tertindas, pekerja migran, pekerja domestik, organisasi buruh, aktivis hak asasi, perjuangan LGBTIQ, NGO hak wanita dan pelbagai gerakan akar umbi lain yang bukan sahaja telah turun ke perarakan, malah juga menyumbang dana dan tenaga bagi menjayakan aksi ini.

Apakah seterusnya?

Ke hadapan, perjuangan wanita harus diteruskan dan diperjuangkan sehingga mencapai perubahan yang bermakna. Disamping memperjuangkan hak-hak wanita, pada masa yang sama, usaha-usaha untuk pengstrukturan semula masyarakat juga harus bermula. Bagi mencapai perubahan yang bermakna dan untuk menjamin kemenangan tersebut, susunan masyarakat kelas dan sistem ekonomi kapitalisme ini perlu dicabut dari akar dan digantikan dengan sebuah sistem yang lebih adil. Kelas pekerja wanita dan lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar untuk berganding bahu dan menumpaskan sistem kapitalisme untuk menjamin masa depan yang bermakna bagi semua. Sistem kapitalisme akan mempergunakan segala perbezaan yang wujud dalam masyarakat untuk memecah belahkan rakyat, termasuklah perbezaan gender, agama, kaum dan sebagainya. Oleh itu, kita harus membina kepimpinan yang berdasarkan kepada penyatuan semua golongan tertindas di bawah perspektif untuk membawa perubahan sistem.

Bagi mencapai realiti tersebut, untuk menyatukan semua golongan tertindas di bawah perjuangan ke arah sistem ekonomi yang lebih adil, rakyat biasa memerlukan sebuah kepimpinan yang kukuh yang mempunyai perspektif kelas, membawa aspirasi majoriti dan berfungsi secara demokratik dan bebas dari pengaruh sebarang pertubuhan elit kaya kapitalis. Anak muda, kelas pekerja dan lapisan tertindas harus mengorak langkah ke arah pembinaan sebuah kepimpinan yang jelas dan mencabar pertubuhan politik minoriti kapitalis yang sedang mendominasi masyarakat.

Tuntutan Kami

  • Tidak kepada diskriminasi berdasarkan kaum, jantina, keupayaan, seksualiti, umur, dan semua bentuk prasangka lain.
  • Untuk membina kempen besar-besaran terhadap gangguan seksual, keganasan dan semua bentuk diskriminasi seksual.
  • Untuk penubuhan Kesatuan Sekerja yang berjuang dan dikawal secara demokratik oleh ahlinya.
    Bagi pembinaan parti massa kelas pekerja dengan program sosialis, termasuk perjuangan untuk kesaksamaan gender.
  • Perjuangankan gaji yang saksama sebagai sebahagian daripada perjuangan untuk gaji kehidupan dan masa kerja yang lebih pendek tanpa kehilangan upah.
  • Hentikan semua pemotongan dana perkhidmatan awam. Pekerjaan yang cukup, munasabah dan perumahan mampu milik untuk semua. Untuk perkembangan perkhidmatan awam secara besar-besaran.
  • Faedah bersalin dan kebajikan kanak-kanak yang mencerminkan kos sebenar bagi membesarkan anak.
  • Hak untuk cuti berbayar yang mencukupi bagi ibu yang baru melahirkan anak.
  • Penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti tinggi dan percuma untuk setiap kanak-kanak.
  • Mempertahankan hak reproduktif bagi wanita.
  • Pemilikan awam bagi industri farmaseutikal.
  • Bawa syarikat dan bank utama ke dalam pemilikan awam di bawah kawalan dan pengurusan demokratik pekerja.
  • Merancang pengeluaran sosialis demokratik berdasarkan kepentingan majoriti rakyat, dilaksanakan dengan cara yang melindungi alam sekitar dan meletakkan asas untuk mewujudkan kesaksamaan untuk semua di dunia tanpa pembahagian kelas dan peperangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*