Peranan Kesatuan dalam Menuntut Kebajikan Pekerja

Peranan Kesatuan dalam Menuntut Kebajikan Pekerja

Posted by

Perubahan kerajaan pemerintah yang telah berkuasa untuk lebih 6 dekad ini sedang membuka jalan baru bagi rakyat Malaysia untuk menuntut pembaharuan dalam kehidupan mereka. Selama ini, rakyat biasa telah dibelenggu oleh kepimpinan kuku besi BN yang mempergunakan sentimen perkauman dan agama untuk memecah-belahkan rakyat bagi meneruskan penguasaan kerajaan. Tetapi selepas perubahan kerajaan kepada PH pada bulan Mei lalu, apakah nasib rakyat biasa dan kelas pekerja akan berubah selepas ini?

Sememangnya kerajaan PH telah diberikan mandat oleh rakyat berdasarkan ketidak-mampuan kerajaan BN dalam menampung keperluan majoriti dan disebabkan oleh janji-janji pilihanraya yang ditaburkan oleh pihak PH. Janji-janji manifesto PRU kerajaan PH yang membawa isu ekonomi seperti pemansuhan GST, kenaikan gaji minimum, pendidikan percuma dan sebagainya telah berjaya memikat hati majoriti rakyat Malaysia yang mengalami kenaikan kos kehidupan setiap hari dibawah kerajaan BN sebelum ini. Akan tetapi, cuma selepas beberapa bulan dalam kepimpinan PH, kelas pekerja dan rakyat biasa sudah mula merasakan bahawa banyak diantara janji-janji yang ditaburkan sebelum pilihanraya itu mungkin sekadar retorik untuk mendapat undi dan sebenarnya pihak PH tidak mempunyai kemampuan untuk membawa perubahan yang nyata.

Walaupun kerajaan PH sedang menjanjikan sebuah perubahan dalam struktur ekonomi dan politik negara, secara nyata, perubahan yang mampu dibawa oleh kerajaan ini adalah sangat terhad. Kerajaan PH yang juga merupakan pendokong sistem ekonomi kapitalisme dan pemuja sistem pasaran bebas seperti BN sebelum ini akan sentiasa mengutamakan kebajikan kelas majikan dan pemilik korporat besar dan seringkali meminggirkan kebajikan rakyat tertindas.

Corak ini dapat diteliti daripada pengurusan ekonomi di negeri-negeri bawah kuasa pembangkang sebelum ini iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan juga di Kelantan di bawah naungan PAS. Negeri-negeri ini juga telah melalui penswastaan yang pesat dan kehancuran alam sekitar dalam skala yang teruk semata-mata untuk meningkatkan keuntungan pihak kapitalis swasta. Penutupan kilang-kilang dalam industri pembuatan juga sedang mengakibatkan peningkatan pengangguran di kalangan rakyat dan penswastaan yang pesat sedang mengakibatkan kenaikan inflasi dan harga barangan asas. Kos pendidikan dan kesihatan juga meningkat apabila pihak pemerintah sebelum ini mengambil polisi untuk menswastakan kedua-dua sektor tersebut yang sedang mengakibatkan krisis ekonomi dalam kehidupan rakyat miskin.

Langkah-langkah penswastaan yang sudahpun bermula lama sebelum kepimpinan negara bertukar tangan ini dijangka akan diteruskan oleh kerajaan baru. Polisi-polisi ekonomi yang ingin menarik pelaburan asing akan mencegah kerajaan PH untuk meningkatkan kebajikan kelas pekerja dan segala janji mereka akan dihadkan ataupun ditarik balik sepenuhnya. Malah pada masa ini, kerajaan sudahpun mula memberikan alasan bahawa keadaan kewangan negara yang tidak memuaskan yang diwarisi daripada kerajaan BN mungkin akan menyekat keinginan kerajaan untuk meningkatkan kebajikan rakyat. Tambahan pula, Menteri Tenaga Manusia yang baru dilantik belum lagi memberikan sebarang kenyataan yang dapat menyakinkan kelas pekerja bahawa kerajaan ini betul-betul bertekad untuk membawa perubahan yang bermakna.

Kesatuan Sekerja dan kepimpinannya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam situasi politik dan sosial yang sedang berkembang di Malaysia. Di satu tangan rakyat Malaysia sedang menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan baru PH dan sedang menekan kerajaan ini untuk membawa pembaharuan. Tetapi pada tangan yang lain, kerajaan PH itu sendiri tidak mempunyai kemampuan untuk melanggar kemahuan kelas kapitalis elit yang benar-benar berkuasa dan mengawal segala gerak geri kerajaan baru. Tekanan yang diletakkan ke atas kerajaan baru oleh kelas majikan dan kapitalis ini akan memberikan lebih banyak kesan kepada hala tuju kerajaan baru daripada rungutan beberapa badan NGO.

Kepimpinan Kesatuan Sekerja harus menggunakan kontradiksi ini untuk memimpin dan menggerakkan kelas pekerja dalam menuntut kebajikan bagi rakyat biasa. Rakyat biasa majoriti walaupun sanggup menekan kerajaan PH melalui kritikan dan sebagainya, mereka memerlukan kepimpinan yang jelas daripada badan-badan tersusun seperti Kesatuan Sekerja bagi membawa aspirasi mereka ke hadapan dan memenangi tuntutan rakyat. Kesatuan Sekerja tidak boleh menyokong segala tindakan kerajaan sebulat-bulatnya dan harus membina penentangan terhadap polisi-polisi yang dianggap akan mengancam kebajikan pekerja.

Pada masa yang sama, tanpa sebuah gerakan akar umbi yang kukuh, segala janji-janji yang dibuat oleh kerajaan PH sebelum ini akan berubah menjadi sekadar sebuah mimpi yang indah. Aspirasi rakyat biasa yang ingin melihat sebuah negara yang demokratik dan adil dari sisi ekonomi tidak boleh menjadi kenyataan selagi tiada gerakan yang mantap yang mampu menuntut dan berjuang demi pembaharuan tersebut. Malangnya, kepimpinan MTUC yang mempunyai landasan yang baik untuk membina perjuangan akar umbi belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang menunjukkan keikhlasan mereka untuk berjuang demi kebajikan para pekerja.

Tidak kurangnya juga barisan kepimpinan MTUC terutamanya Presiden mereka yang tidak terhenti-henti memuji pihak kerajaan baru dan memberikan sokongan ke atas segala kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka. Jika kepimpinan MTUC tidak mengubah cara mereka dan enggan membina sebuah gerakan akar umbi bagi membawa tuntutan rakyat, maka kepimpinan tersebut boleh dianggap tidak relevan dan tidak layak mewakili suara pekerja. Ahli-ahli biasa MTUC harus mencabar kepimpinan yang tidak mempunyai taring dan MTUC itu sendiri haruslah berubah daripada menjadi kaki pengampu kerajaan kepada sebuah organisasi yang benar benar memperjuangkan hak pekerja tertindas.

Inilah masanya yang sesuai untuk memulakan sebuah pembinaan kuasa pekerja berdasarkan kepada kepimpinan daripada gerakan pekerja yang tersusun. Pada masa ini rakyat Malaysia sedang dalam penuh keyakinan kerana dapat menumpaskan rejim BN yang bukan sahaja kuku besi, malah juga bersifat rasis yang sentiasa memainkan propaganda perkauman untuk menjamin kekuasaan mereka. Jika kepimpinan kelas pekerja berjaya memulakan sebuah gerakan yang berdasarkan kepada tuntutan rakyat dan bagi memastikan janji-janji kerajaan PH akan ditepati, pastinya gerakan ini akan mendapat sokongan yang padu dari kalangan rakyat biasa. Tambahan pula, gerakan seperti ini boleh menjadi landasan yang sesuai untuk membina suara politik bebas kelas pekerja bagi mencabar kuasa-kuasa perwakilan kelas kapitalis dalam arena politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*