Pengenalan

cwi banner
Sosialis Alternatif adalah seksyen CWI di Malaysia yang merupakan sebahagian daripada CWI (Committee for Workers’ international) yang sedang beroperasi di hampir 50 negara yang merangkumi setiap benua. Kami melibatkan diri bersama anak muda, pelajar, kelas pekerja dan golongan tertindas yang lain dalam perjuangan hak demokrasi, hak ekonomi , hak sosial dan pemeliharaan alam sekitar, untuk memberikan perspektif sosialis sebagai penyelesaian kepada kepincangan dalam sistem kapitalisme yang menjadi punca asas kepada rasisme, kemiskinan, kehancuran alam sekitar, peperangan serta penindasan sosio-ekonomi dalam masyarakat.
 
Agenda parti-parti pro-kapitalis seperti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat/Harapan di Malaysia yang tidak mewakili kepentingan dan aspirasi kelas pekerja dan anak muda tidak mampu memberikan penyelesaian terhadap kemerosotan ekonomi dan sosial yang mengancam masyarakat. ABU (Asalkan Bukan UMNO/BN) atau sistem dua parti yang dilaungkan oleh golongan liberal hanya akan memperkuatkan agenda kapitalis. Parti pemerintah dan pembangkang yang menguasai parlimen hanya berminat untuk mempertahankan karier politik mereka , dan juga agenda dan polisi segelintir yang kaya. Ini bermakna tiada organisasi politik bebas yang mewakili kelas pekerja dan anak muda untuk membawa keperluan dan hasrat golongan majoriti iatu rakyat biasa ke hadapan.
 
Sistem kapitalisme tidak menawarkan jalan keluar bagi jutaan rakyat biasa dan kelas pekerja yang sedang mengalami kesengsaraan. Sistem kapitalisme juga sedang mengancam alam sekitar dan kesinambungan kehidupan umat manusia. Di setiap detik, ancaman perang nuklear menjadi semakin nyata dengan kuasa-kuasa dunia sedang merebut sumber alam yang semakin berkurangan.
Sebagai alternatif, kita perlu membina satu masyarakat sosialis yang mengutamakan keperluan asasi dalam masyarakat nasional dan global dengan perancangan yang demokratik golongan majoriti rakyat biasa. Oleh itu, selain melibatkan diri dalam perjuangan hak-hak demokratik dan kebajikan rakyat biasa, adalah perlu untuk membina sebuah alternatif yang jelas yang dapat memimpin rakyat ke arah pembangunan sebuah parti kelas pekerja massa yang bebas dari cengkaman kapitalis. Parti sedemikian perlu membawa aspirasi rakyat biasa kehadapan dan mempertahankan hak mereka daripada ancaman kapitalisme.
 
Sosialis Alternatif berhujah untuk pembinaan gerakan kesatuan sekerja dan gerakan anak muda di peringkat nasional dan antarabangsa dengan kepimpinan yang mampu menawarkan strategi yang berkesan dalam memerangi serangan kapitalis dan memelihara hak kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa di Malaysia dan sejagat. Untuk mencapai matlamat tersebut idea, rancangan politik, dan organisasi serta kepimpinan yang mampu untuk menyatukan pekerja, anak muda dan rakyat tertindas adalah perlu. Sosialis Alternatif dan CWI Internasional bersama kelas pekerja dan anak muda ingin membina organisasi sedemikian.
 

Sertai perjuangan kami