Konflik Perdagangan dan Impak kepada Malaysia

Konflik Perdagangan dan Impak kepada Malaysia

Posted by

Konflik perdagangan di antara dua gergasi ekonomi dunia iaitu Amerika Syarikat dan China, telah mula memberikan kesan kepada ekonomi negara-negara membangun. Masing-masing Amerika dan China bersaing untuk mengenakan tarif dan halangan perdagangan untuk melindungi pasaran dan ekonomi negara masing-masing. Akibatnya ekonomi China sudah mula menunjukkan kesan memandangkan Amerika merupakan rakan perdagangan utama China. Walaupun dengan tindakan ini, ekonomi Amerika digambarkan masih sihat terutamanya dengan peningkatan nilai dolar Amerika, konflik ini dijangka masih mampu mewujudkan kesan kepada ekonomi Amerika sekiranya satu jalan penyelesaian tidak dicapai. Manakala, konflik ini juga sudah mula memberikan kesan kepada ekonomi negara-negara Eropah seperti Jerman, Perancis dan lain-lain. Beberapa pakar ekonomi pasaran bebas menjangkakan satu lagi krisis yang mungkin lebih teruk daripada krisis ekonomi 2007/8 boleh tercetus akibat kesan daripada konflik perdagangan yang berterusan ini.

Tindakan Presiden Amerika melancarkan konflik perdagangan dengan China bertujuan untuk mengekang perkembangan China sebagai gergasi ekonomi yang baru serta untuk menghalang pengaruh China yang semakin meningkat terutamanya di negara-negara membangun, dan di negara dunia ketiga. Perkembangan China dianggap mampu mengugat kuasa Amerika bukan sahaja sebagai kuasa ekonomi tetapi dalam mempengaruhi halatuju dan polisi penting dalam politik dunia. Manakala China pula memperkembangkan sayap imperialisme dengan agenda seperti OBOR “ Satu Sempadan Satu Jalan”, dan kini sudah mengongkong ekonomi beberapa negara membangun dan dua ketiga melalui aktiviti pelaburan dan pembangunan projek-projek infrastuktur.

Negara-negara membangun yang kebanyakanya negara pengekspot barang keluaran seperti Malaysia boleh terjerat secara langsung atau tidak langsung dalam konflik ini walaupun negara-negara ini bukan pencetus kepada masalah ini. Ini memandangkan ekonomi negara-negara ini amat bergantung kepada keadaan ekonomi dunia. Nasib negara membangun adalah seperti “pelanduk mati di tengah-tengah apabila gajah bertarung sama gajah”. Kesan ekonomi di negara-negara membangun seperti Turki dan Argentina kini sedang menular ke negara-negara membangun yang lain seperti Indonesia, Filipina dan India. Walaupun ekonomi Indonesia dianggap lebih baik daripada masa krisis kewangan 1997, konflik perdagangan ini masih mempunyai risiko untuk memburukkan keadaan sehingga satu krisis baru mampu tercetus. Begitu juga Malaysia yang amat bergantung kepada keadaan ekonomi dunia dan rantau Asia Tenggara tidak akan terpinggir jika satu krisis baru tercetus.

Konflik perdagangan adalah satu lagi kegagalan sistem pasaran bebas kapitalisme yang sepatutnya mengurangkan halangan kepada perdagangan dan pelaburan untuk mengalakkan persaingan. Semenjak krisis ekonomi dunia pada 2007/2008, pakar ekonomi dan pendukung kapitalisme masih tidak mampu untuk mencari satu jalan penyelesaian untuk menstabilkan serta menyemarakkan ekonomi pasaran bebas kapitalisme. Manakala golongan terkaya terus mengaut keuntungan ketika pekerja, petani miskin dan rakyat biasa yang lain semakin dimiskinkan dengan konflik dalam sistem kapitalisme. Kekayaan berlimpah ini sengaja ditimbunkan tanpa dilaburkan dalam ekonomi nyata serta meningkatkan keperluan rakyat biasa. Ini memandangkan golongan minoriti terkaya terus mengongkong kekayaan ekonomi dan kuasa politik, manakala rakyat biasa dijadikan hamba kepada sistem ini walaupun rakyat biasalah yang sebenarnya mewujudkan kekayaaan melalui kuasa buruh mereka.

Konflik perdagangan dan kepincangan dalam sistem kapitalisme, menjelaskan pentingnya pembinaan alternatif untuk keadilan ekonomi serta keharmonian sosial dalam kehidupan rakyat biasa. Sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme bertujuan untuk memastikan penglibatan rakyat terbanyak secara demokratik dalam menentukan halatuju ekonomi dan sosial sesuatu negara dan antarabangsa. Ini mampu dibina dengan pembinaan kuasa politik kelas pekerja dan rakyat biasa sebagai alternatif kepada kuasa politik elit yang bersifat pro-kapitalisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*