KERAJAAN BN RUNTUH…PEMBENTUKAN ELIT POLITIK BARU

KERAJAAN BN RUNTUH…PEMBENTUKAN ELIT POLITIK BARU

Posted by

Kemarahan rakyat akibat impak sosial dan ekonomi yang keterlaluan membentuk kesepakatan untuk meruntuhkan rejim BN dalam PRU14

Pada 9hb. Mei 2018, satu sejarah baru dibina dalam politik Malaysia apabila kesatuan pembangkang dalam PRU, untuk pertama kali berjaya menjatuhkan rejim BN yang telah berkuasa selama enam dekad. Dalam PRU14 ini, majoriti rakyat berbilang kaum dan agama, masyarakat dari kawasan bandar dan luar bandar, golongan muda dan tua, kelas pekerja dan kelas menengah, telah bersatu dengan satu matlamat sejagat, untuk menjatuhkan rejim BN. PRU14 ini juga dengan jelas menunjukkan bahawa walaupun Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama, dengan masyarakat bandar dan luar bandar, rakyat masih mampu disatukan dengan satu matlamat bersama untuk membawa perubahan.

Impak sosial dan ekonomi

Faktor utama yang telah menyatukan rakyat adalah faktor ekonomi dan sosial yang secara langsung telah memberikan kesan mendalam dalam kehidupan seharian mereka. Peningkatan harga barangan keperluan seharian dan kos perkhidmatan seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan, serta kesan akibat GST kepada rakyat telah menjadi landasan untuk meningkatkan kesedaraan rakyat biasa bahawa satu perubahan kerajaan amat perlu. Kemarahan rakyat semakin bertambah apabila pemimpin-pemimpin kerajaan dengan sewenang-wenangnya memperkayakan diri dengan mempergunakan posisi dan kuasa kerajaan serta mencetuskan berbagai skandal dan korupsi dengan mempergunakan dana kerajaan. Elit-elit politik ini terus cuba memperkudakan rakyat dengan politik ‘pecah dan perintah’ dengan mempergunakan perbezaan kaum dan agama serta perbezaan masyarakat di bandar dan di luar bandar. Tetapi impak ekonomi dan sosial kepada hampir semua golongan dan lapisan rakyat berjaya menyatukan mereka serta mengalahkan agenda ‘pecah dan perintah’ BN dalam PRU14 ini.

Keadaan objektif untuk perubahan ini telah wujud semenjak PRU12 pada tahun 2008 apabila impak sosial dan ekonomi semakin menekan dan membebankan kehidupan rakyat dengan pergolakan dan ketidakstabilan dalam ekonomi dunia. Berbanding dengan PRU12 dan PRU13, beberapa faktor-faktor baru telah wujud dalam PRU14 untuk membolehkan kesatuan pembangkang, Pakatan Harapan mampu menjatuhkan BN. Di antaranya, mereka berjaya menembusi kawasan luar bandar dan mendapat sokongan dari masyarakat luar bandar terutama masyarakat FELDA. Satu demi satu krisis dan skandal dalam FELDA telah menyemarakkan kemarahan masyarakat FELDA terhadap kerajaan BN. Perpecahan dalam BN terutamanya dalam UMNO juga menimbulkan konflik dalaman yang sedikit sebanyak telah melemahkan jentera pilihanraya BN.

Manakala PH pula berjaya memperkukuhkan kedudukannya dengan menampilkan Mahathir sebagai pemimpin utama mereka, walaupun tidak berjaya membawa PAS bersama. Ini telah berjaya menampilkan PH sebagai alternatif kepada BN, dan impak perpecahan PAS terhadap PH berjaya diminimumkan. Manakala sentimen anti-BN serta kelemahan jentera pilihanraya PH di Kelantan dan Terengganu telah dipergunakan sepenuhnya oleh PAS untuk memenangi kedua-dua negeri tersebut. Selain impak sosial dan ekonomi, isu autonomi negeri telah dipermainkan oleh Warisan dan PH di Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan sokongan kepada pembangkang.

Keruntuhan BN

BN selama ini telah mempertahankan sistem pasaran bebas dan kapitalisme, dan ini telah mengakibatkan berbagai masalah sosial kepada rakyat akibat kerajaan BN yang amat mengutamakan kepentingan kelas kapitalis, dan membelakangkan keperluan dan aspirasi rakyat biasa. Skandal kewangan seperti 1MDB, korupsi dan politik wang muncul akibat sifat kepimpinan BN yang sanggup mengagungkan pasaran bebas walaupun sistem ini penuh dengan kepincangan dan kezaliman yang memudaratkan kehidupan rakyat. Apabila BN menjadi seperti ‘syarikat persendirian’ yang memuja kemewahan dan kekuasaan, akhirnya ia menjadi semakin tidak releven kepada rakyat.

Dengan kekalahan yang mengaibkan, struktur BN yang telah dipertahankan selama ini melalui autoriti dan kuasa kerajaan sudah mula runtuh satu demi satu. Manakala konflik dalaman dan pertarungan kuasa dijangka akan muncul dalam UMNO akibat kekalahan tersebut. Kejatuhan BN tidak bermakna pakatan politik yang berdasarkan kaum tidak akan muncul lagi. Sekiranya, impak sosial dan ekonomi yang membebankan rakyat ketika kerajaan BN tidak mampu diatasi oleh PH atau keadaan semakin teruk, kemungkinan untuk pakatan politik berdasarkan kaum seperti BN untuk dibina semula oleh golongan kanan masih ada. Dengan PAS dan UMNO di pihak pembangkang, pakatan politik ultra kanan berdasarkan kepada ‘ketuanan Melayu’ atau ‘sentimen Islam’ juga boleh dibentuk untuk melawan PH.

Beza politik PH dan BN

Dengan keruntuhan BN daripada kuasa pemerintahan, kapitalis nasional dan antarabangsa kini akan mengharapkan PH untuk mempertahankan agenda mereka. Sehari selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Mahathir berjanji kerajaan PH akan ‘mesra dengan pasaran bebas’, dan memberikan jaminan bahawa agenda kelas kapitalis akan diberi keutamaan. Ekonomi Malaysia yang masih berlandaskan kepada ekspot dan bergantung kepada ekonomi utama dunia seperti Amerika, China dan Eropah, akan terus terjerat dengan keadaan ekonomi global. Sekiranya, keadaan ekonomi dunia yang kini masih tidak stabil semakin teruk atau menghadapi krisis baru, ini akan memberikan impak besar kepada ekonomi Malaysia.

Adalah tidak dapat dinafikan, janji-janji PH dalam manifesto PRU14 seperti membubarkan GST, pendidikan percuma, menghapuskan tol, gaji minimum RM1500, mewujudkan subsidi minyak dan lain-lain mendapat sambutan daripada semua lapisan masyarakat. Tetapi, dengan meletakkan kepentingan pasaran bebas, PH akan menghadapi kekangan berasaskan kepada keadaan ekonomi negara dan global pada masa kini. PH juga akan menghadapi desakan daripada kapitalis nasional dan antarabangsa untuk tidak menunaikan janji-janji tertentu atau mengubahsuai perkara-perkara yang dijanjikan berdasarkan kepada kehendak pasaran bebas. Sebelum ini, badan-badan kapitalis antarabangsa seperti IMF (Badan Kewangan Awam) dan Bank Dunia yang memuji langkah-langkah penjimatan dan liberalisasi pasaran yang dilaksanakan oleh kerajaan BN di bawah Najib, dijangka akan mendesak kerajaan PH untuk meneruskan polisi-polisi tersebut untuk manfaat kapitalis tempatan dan antarabangsa.

Perubahan kerajaan atau perubahan politik ?

Selepas keruntuhan BN, pembentukan kerajaan PH memberikan satu harapan dan keyakinan baru kepada rakyat biasa terutamanya untuk perubahan dalam keperluan sosial, ekonomi dan demokrasi. Pada masa yang sama dengan ketiadaan BN, PH akan menjadi wadah baru kepada kapitalis untuk mempertahankan agenda mereka, dan dengan sifat PH yang mendukung sistem pasaran bebas, dijangka seperti BN, PH juga akan tunduk kepada desakan pasaran bebas.

Kebanyakan ahli-ahli politik dalam PKR dan Bersatu adalah ‘kitaran semula’ daripada UMNO akibat konflik dalaman parti. Dijangka lebih ramai lagi MP dan ADUN daripada BN akan menyertai PH untuk mencari peluang jawatan dan kuasa dalam kerajaan sekarang. Ini boleh mewujudkan percanggahan dan konflik dalam menentukan halatuju kerajaan PH.

Dengan sifat PH yang pro-pasaran bebas kapitalisme, pembentukan elit-elit politik baru akan muncul untuk mempertahankan struktur kapitalisme di Malaysia, dan kerajaan PH juga akan menghadapi desakan daripada rakyat untuk menunaikan janji-janji PRU14.

Perubahan yang berlaku hanyalah satu perubahan kerajaan dengan politik haluan kanan yang sama. Selagi kerajaan yang dibentuk tidak menerajui aspirasi dan kehendak rakyat biasa dan tunduk kepada kehendak pasaran bebas, selagi itu rakyat akan terus dibebankan dengan impak sosial dan ekonomi akibat pergolakan dan percanggahan yang wujud dalam sistem kapitalisme.

Pembinaan Politik Alternatif

Dengan politik haluan kanan PH yang akan memihak kepada pasaran bebas, bahaya pembinaan politik ultra kanan yang kukuh yang berlandaskan sentimen kaum atau agama juga boleh wujud sekiranya kerajaan PH gagal mengotakan janji-janji PRU14. Justeru itu, satu pembinaan politik alternatif harus dimulakan segera. PRU14 membuktikan bahawa rakyat boleh disatukan untuk membawa satu perubahan. Tetapi perubahan politik yang tulen hanya mampu dibuat dengan kepimpinan politik pekerja.

MTUC memberikan sokongan sepenuhnya kepada PH tanpa mengambil posisi kritikal kepada agenda pasaran bebas PH yang pada masa kini sedang membebankan kelas pekerja di Malaysia. Dengan keruntuhan BN, kemungkinan untuk pembukaan lebih banyak ruang demokrasi boleh memberikan ruang kepada MTUC dan kesatuan sekerja yang lain untuk pembinaan kesatuan sekerja yang lebih mantap untuk memperjuangkan hak-hak pekerja.

Selagi ekonomi terancang yang demokratik berdasarkan keperluan rakyat melalui penglibatan dan pengawalan rakyat tidak dibina sebagai alternatif kepada kediktatoran sistem ekonomi pasaran bebas, rakyat terus akan dibebankan dengan impak sosial dan ekonomi.

Memandangkan pekerja dan rakyat biasa adalah penentu untuk menentukan pemerintah, satu perubahan politik yang nyata boleh dibawa sekiranya kuasa politik pekerja dibina. Pembinaan parti yang berlandaskan hak dan keperluan pekerja dan rakyat biasa perlu untuk mencapai hasrat tersebut. Parti massa pekerja yang dapat menyatukan kelas pekerja dan anak muda serta masyarakat tertindas yang lain, perlu mula dibina melalui perjuangan dan inisiatif oleh kesatuan sekerja, sosialis dan aktivitis anti-kapitalis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*