Hentikan Penindasan Terhadap Pekerja Migran!

Hentikan Penindasan Terhadap Pekerja Migran!

Posted by

Kenyataan MTUC menyokong langkah kerajaan yang sedang menindas pekerja migran tidak mencerminkan kepimpinan yang berwibawa!

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon telah mengeluarkan sebuah kenyataan bagi memberikan sokongannya kepada langkah kerajaan PH yang sedang menggiatkan usaha menangkap pekerja migran tanpa dokumentasi termasuk memecah masuk ke tempat kediaman mereka dan melakukan serbuan dan penindasan yang tidak beretika. Berikutan itu, pelbagai NGO, badan kebajikan, organisasi pekerja migran, pertubuhan peguam, pejuang hak asasi dan aktivis sosial telah membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri yang dianggap melanggar hak asasi dan mewujudkan porak peranda dalam kehidupan jutaan pekerja miskin yang sudahpun ditindas teruk oleh pihak majikan. Kenyataan Setiausaha Agung MTUC itu langsung tidak mengambil kira kehidupan jutaan pekerja migran yang telah berkorban demi pembangunan negara dan sekarang menghadapi penindasan yang tidak adil.

Majoriti daripada pekerja migran yang berada di Malaysia sedang membuat kerja-kerja yang berat tanpa sebarang perlindungan daripada pihak kesatuan, pihak kerajaan dan mana-mana pertubuhan lain. Struktur ekonomi kapitalis dengan polisi-polisi yang memihak kepada para pemodal telah memberikan ruang kepada kelas majikan untuk mengeksploitasi pekerja migran dengan sesuka hati. Disebabkan pihak majikan tidak perlu membayar gaji minimum kepada pekerja migran, Jabatan Tenaga Kerja tidak akan melayan isu pekerja migran dan seperti Solomon, seringkali pihak kepimpinan kesatuan juga mengecilkan perjuangan pekerja migran, pihak majikan mengambil kesempatan ini dan menekan mereka sehabis-habisnya bagi tujuan meningkatkan keuntungan wang duit.

Polisi-polisi kerajaan yang memihak kepada majikan kaya juga tercermin dengan kelonggaran penguatkuasaan undang-undang yang menghukum agen dan majikan yang melanggar prosedur yang ditetapkan. Agensi tenaga kerja yang membawa masuk pekerja migran merupakan syarikat-syarikat swasta yang sering menipu para pekerja dan merompak segala harta mereka sebelum menyerahkan mereka kepada majikan untuk dieksploitasi. Pekerja yang melalui agensi ini dianggap sebagai pekerja kontrak pihak ketiga dan pihak majikan yang menggajikan mereka langsung tidak bertanggung jawab atas sebarang kebajikan pekerja tersebut. Pekerja migran ini akan ditempatkan di bilik yang sesak, dipaksa untuk berkerja untuk jangka masa yang panjang, tidak diberikan rehat atau cuti yang cukup dan diberikan gaji yang sangat sedikit. Kebanyakkan daripada mereka tidak menerima sebarang jaminan rawatan kesihatan dan akan dihantar pulang jika didapati kurang sihat. Jika pekerja migran membantah penindasan yang berlaku ke atas mereka, majikan akan dengan mudah menamatkan kontrak dan menghantar mereka pulang ke kampung halaman. Tidak kurang juga majikan yang menggunakan taktik mengugut para pekerja dan menggunakan kekerasan bagi memaksa mereka untuk berkerja. Kebanyakkan masa, para majikan langsung tidak perlu menanggung sebarang tindakan undang-undang bagi tingkah laku mereka.

Kebanyakkan daripada pekerja migran yang tidak ada dokumentasi di Malaysia adalah mangsa penipuan agen ataupun mangsa penindasan majikan. Agen yang mengambil ribuan ringgit daripada pekerja miskin untuk menguruskan visa mereka seringkali menipu dan melarikan diri dengan duit pekerja. Terdapat juga ramai di antara pekerja migran yang hidup tanpa dokumentasi akibat terpaksa melarikan diri daripada majikan yang menindas teruk dan menahan pasport mereka. Seperti itu, setiap warga migran yang terpaksa meneruskan kehidupan mereka secara tidak sah di Malaysia telah dimangsakan oleh beberapa pihak swasta dan kerajaan.

Walaupun berlaku di belakang tabir, pekerja migran merupakan antara penyumbang paling besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Negara Malaysia tidak akan dapat mencapai KDNK yang baik tanpa pengorbanan daripada jutaan pekerja migran yang sah ataupun yang tidak sah. Pengusaha-pengusaha kaya di Malaysia telah mempergunakan tenaga kerja murah daripada pekerja migran ini untuk meningkatkan keuntungan mereka dengan banyak disamping berjaya mengurangkan gaji bagi semua pekerja. Disebabkan ketiadaan perlindungan, kelas kapitalis menekan gaji pekerja migran dan mewujudkan persaingan gaji dengan pekerja tempatan. Oleh itu, walaupun ada penetapan gaji minimum dan sebagainya, ia kurang memberi kesan apabila kelas majikan boleh menindas sebahagian besar daripada tenaga kerja yang ada dengan sesuka hati. Tambahan pula, perpecahan dikalangan pekerja migran dan tempatan ini juga dipergunakan bagi mengelakkan sebarang perjuangan bersama daripada kelas pekerja yang menuntut keadilan.

Kerajaan PH yang sedang menghadapi tekanan untuk menunaikan janji pilihanraya mereka memilih untuk menindas sebahagian masyarakat yang paling terdedah kepada eksploitasi golongan kaya disamping melengahkan perbincangan mengenai mempertahankan hak pekerja daripada dicabul oleh majikan yang berkuasa. Pihak kepimpinan MTUC pula gagal untuk membawa sebarang tuntutan pekerja ke hadapan dan hanya menjadi pengampu kepada kerajaan baru dengan memberikan sokongan kepada segala tindakan keji mereka. Pihak kepimpinan MTUC dan kesatuan lain mempunyai tanggungjawab untuk membina gerakan pekerja untuk menuntut segala kebajikan yang dijanjikan oleh kerajaan PH dan memastikan bahawa kerajaan ini tidak menipu kelas pekerja yang telah menyokong mereka. Sebaliknya, kenyataan MTUC ini mendedahkan sifat kepimpinan yang hanya ingin mempertahankan posisi istimewa mereka dan tidak bersedia untuk memimpin sebarang perjuangan akar umbi yang akan membawa perubahan yang nyata bagi kelas pekerja miskin.

Kepimpinan kelas pekerja haruslah membantah tindakan kerajaan yang menindas pekerja migran dan menekankan bahawa kelas majikan merupakan penjenayah yang harus dihukum. Masalah utama adalah masalah gaji di mana gaji minimum haruslah ditingkatkan dan dikuatkuasakan kepada semua pekerja termasuk pekerja kontrak, pekerja sambilan dan pekerja migran. Kelas pemodal atau majikan tidak boleh diberikan ruang untuk mengeksploitasi sebahagian daripada tenaga kerja dan perlindungan yang sewajarnya haruslah diberikan kepada semua pekerja tidak kira bangsa atau latar belakang. Langkah-langkah seperti ini akan berjaya mengurangkan masalah penindasan terhadap semua pekerja termasuklah pekerja migran. Sebaliknya, langkah kerajaan untuk menghukum kelas pekerja yang telah ditipu dan ditindas teruk akan terus memberikan ruang kepada kelas kapitalis untuk menindas mereka.

Anak muda dan kelas pekerja harus menekan kerajaan baru untuk membuka ruang kepada para pekerja untuk mengorganisasi dan menubuhkan kesatuan sekerja yang akan mempertahankan hak mereka secara kolektif. Di samping itu, sebuah kepimpinan yang kukuh dan mampu menyatukan perjuangan pekerja ke dalam gerakan gerakan massa haruslah dibina. MTUC pada masa ini tidak mencerminkan sebuah kepimpinan yang bersedia untuk membawa perjuangan kelas pekerja ke hadapan. Ahli-ahli biasa MTUC terutamanya dikalangan anak muda haruslah mencabar birokrasi yang ada dan menjadikan MTUC sebagai sebuah organisasi yang demokratik disamping komited dalam perjuangan rakyat. Masa depan perjuangan rakyat amatlah bergantung dengan pembinaan sebuah kuasa kelas pekerja yang berkuasa dan mampu mencabar kuasa politik elit. Jika kepimpinan MTUC pada masa ini tidak ingin terlibat dalam pembinaan kuasa ini, maka mereka haruslah berhenti menggelar diri mereka sebagai pemimpin pekerja dan memberikan laluan kepada kepimpinan yang mampu membina pertahanan rakyat dengan program yang jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*