Hari Wanita Sedunia 2018: Kapitalisme Menindas Wanita – Berjuang Demi Sosialisme!

Hari Wanita Sedunia 2018: Kapitalisme Menindas Wanita – Berjuang Demi Sosialisme!

Posted by

Menjelang abad ke-21, anak muda wanita terutamanya dari negara-negara maju telah diberitahu bahawa mereka tidak lagi memerlukan gerakan feminisme dan sistem ekonomi kapitalisme akan memenuhi aspirasi mereka untuk mencapai kesaksamaan. Tidak lagi perlu berjuang untuk hak-hak mereka kerana sistem kapitalisme menawarkan kesejahteraan bagi semua dan menjamin masa depan yang bahagia.

Hari ini, jelas bahawa hujah-hujah tersebut adalah sekadar mitos kosong. Di setiap pelosok dunia, mitos kapitalisme tersebut sedang terdedah, bermula dari krisis ekonomi dunia pada 2008 dan keruntuhan ekonomi, politik dan sosial yang berlaku selepasnya. Anak muda dari kelas pekerja dan kelas menengah sedang menghadapi dunia yang diluar jangkaan mereka – didominasi oleh pengangguran, kerja berat dengan upah murah, pemotongan dana perkhidmatan awam dan kos perumahan dan kehidupan yang meningkat mendadak. Di skala global, situasi perang dan konflik sedang meruncing dan mengakibatkan jutaan rakyat terpaksa hidup sebagai pelarian. Bagi golongan wanita dimana penindasan terhadap mereka telah tersemai dalam struktur masyarakat kelas dan sistem kapitalisme, terutamanya bagi mereka yang datang dari lapisan miskin dan tertindas, ini merupakan zaman yang penuh dengan onak dan duri.     

Di negara-negara neo-kolonial seperti Indonesia, Cambodia, India dan negara-negara Asia lain, dengan gaji minimum yang sangat rendah, para wanita ditindas dengan sangat teruk. Mereka berkerja melebihi 12 jam sehari di ladang, di pasar, di kilang-kilang tekstil dan kasut, disamping terpaksa menunaikan tanggungjawab di rumah untuk keluarga. Masih di banyak tempat, wanita dan anak mereka hidup sebagai hamba abdi.

Bukan sahaja dunia sekarang masih sangat jauh dari menghapuskan diskriminasi seksual terhadap wanita, malah terdapat beberapa kerajaan dunia yang sedang memburukkan lagi keadaan. Di Rusia misalnya, hukuman terhadap keganasan rumah tangga telah dilonggarkan oleh kerajaan. Ini berlaku di negara yang mempunyai rekod yang buruk dimana statistik mendedahkan bahawa seorang wanita meninggal dunia akibat keganasan rumah tangga setiap 40 minit!

Pemotongan dana oleh kerajaan juga akan meningkatkan kes pencabulan dan keganasan seksual terhadap wanita dan akan mengurangkan ruang bagi mereka untuk melawan balik penindasan tersebut. Akibat kekurangan dana, beribu-ribu pusat perlindungan wanita dan pusat kebajikan telah terpaksa ditutup dan banyak lagi sedang menghadapi pemotongan dana. Pada masa yang sama, ketiadaan rumah mampu milik akan memaksa wanita untuk menyambung kehidupan dengan pasangan yang menindas dan berlaku ganas terhadap mereka. Peratusan yang banyak dikalangan pekerja wanita di restoran dan hotel sering melaporkan bahawa mereka selalu menerima gangguan berbentuk seksual daripada majikan, pengurusan ataupun pelanggan. Aduan mereka bukan sahaja tidak akan diendahkan, malah seringkali diingatkan balik bahawa golongan wanita ini harus bersyukur dengan pekerjaan yang diberikan oleh majikan. Para wanita yang miskin di dunia moden ini seringkali terperangkap dalam kondisi pekerjaan yang menindas dan ketiadaan pilihan yang lebih baik dalam hidup mereka. Hari ini, sama seperti dahulu kala, hak-hak wanita tidak akan tercapai selagi para wanita dan golongan tertindas lain berganding bahu dalam gerakan-gerakan massa yang menuntut perubahan.

Hari Wanita Sedunia yang Sangat Penting Tahun Ini

Lebih satu abad selepas di isytiharkan di Amerika Syarikat, sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini merupakan perayaan yang sangat penting dan bersejarah. Cubaan para kapitalis untuk menjadikan Hari Wanita sebagai sekadar satu kempen untuk membeli hadiah kepada para wanita sedang menghadapi kegagalan pada tahun ini. Tahun ini Hari Wanita Sedunia sedang ditandakan sebagai hari perjuangan yang sangat penting. Anak muda wanita di Sepanyol misalnya sedang memimpin sebuah aksi mogok dalam skala jutaan orang dikalangan mahasiswa/i yang dianjurkan dibawah Kesatuan Pelajar ( Sindicato de Estudiantes ).

Kesahihan di sebalik dongeng sistem kapitalisme yang telah menjanjikan kemakmuran telah terbongkar luas apabila seorang individu yang rasis dan sering berkelakuan kurang sopan terhadap para wanita seperti Donald Trump telah berjaya menjadi Presiden kepada negara yang paling maju di dunia. Tetapi pemilihan Trump ini juga telah menjadi pencetus kepada pelbagai gerakan massa yang bangkit menentang semua polisi perkauman Trump dan juga untuk mempertahankan hak wanita dan minoriti lain. Mengikuti perarakan Hari Wanita Sedunia di AS pada tahun lepas ( demonstrasi yang terbesar dalam sejarah AS untuk satu hari ) perarakan tahun 2018 telah menyaksikan seramai 2.5 juta wanita dari seluruh Amerika Syarikat telah turun ke jalan raya. Gerakan sebegini bukan sahaja sedang berkembang di Amerika Syarikat dan Sepanyol sahaja, malah semakin ramai wanita di dunia sedang mengembangkan gerakan seumpamanya di negara masing-masing.

Sebahagian daripada gerakan ini muncul akibat penindasan yang telah lama dihadapi oleh wanita – seperti gerakan yang berterusan menentang gejala rogol di India dan gerakan ‘Ni Una Menos’ (tidak kurang seorang) membantah keganasan seksual yang sedang menggerakkan jutaan orang ke jalanan di Argentina dan di negara-negara Amerika Latin yang lain. Terdapat juga gerakan yang muncul untuk menghentikan bentuk-bentuk serangan baru terhadap hak-hak wanita seperti gerakan massa di Poland menentang polisi baru kerajaan untuk cuba mengharamkan pengguguran kandungan.

#meetoo (#sayajuga)

Tahun 2017 juga merupakan tahun #meetoo. Apa yang bermula dengan luahan beberapa pelakon wanita yang mendedahkan serangan seksual yang dihadapi oleh mereka di tangan mogul filem Harvey Weinstein telah tersebar ke seluruh dunia. Hampir setiap institusi kapitalis dari media, syarikat korporat besar, parlimen sehingga badan-badan amal sekalipun telah didapati tercemar dengan pelbagai kes gangguan seksual yang berleluasa. Keluhan dan luahan ribuan mangsa melalui media sosial mendedahkan keparahan masalah ini di dalam masyarakat hari ini dan juga pada masa yang sama menandakan keyakinan dari kalangan wanita yang sedang ke hadapan untuk berjuang menentang penindasan ini.

Kami sama sekali menolak hujah-hujah yang mengatakan bahawa isu gangguan seksual ini sedang diperbesar-besarkan oleh sebahagian pihak. Sebaliknya, gerakan media sosial ini hanya mendedahkan sedikit daripada masalah yang dihadapi oleh jutaan wanita setiap hari. Dikalangan mereka, wanita dari latar belakang yang miskin, dari kalangan etnik minoriti dan yang tidak mempunyai jaminan pekerjaan sedang menghadapi masalah ini dengan skala yang berganda-ganda. Sememangnya ini tidak membawa maksud bahawa semua tuduhan yang dibuat melalui #meetoo merupakan bahan bukti dan setiap individu mempunyai hak untuk mendapat pengadilan yang sewajarnya sebelum dijatuhkan hukuman. Namun, dilihat secara keseluruhan, gerakan media sosial #meetoo ini telah mendedahkan kepincangan sistem kapitalisme yang membenarkan penindasan dan penderaan berbentuk seksual bagi berjuta-juta wanita

Ia tidaklah menghairankan apabila kebanyakkan pendedahan yang dibuat di #meetoo adalah terhadap para lelaki yang memegang posisi yang tinggi dan bekuasa ke atas mangsa mereka. Kapitalisme merupakan sistem yang berdasarkan kepada penguasaan oleh segelintir minoriti dalam masyarakat (kelas kapitalis yang terdiri daripada pemilik korporat besar dan bank) yang mempunyai kuasa untuk mengeksploitasi majoriti rakyat biasa. Kita sedang hidup di dalam dunia di mana hanya 8 orang terkaya sedang memiliki harta melebihi separuh daripada populasi dunia. Di dalam masyarakat yang tidak seimbang sebegitu, pastinya mereka-mereka yang berada di posisi yang berkuasa akan cuba menggunakan status mereka untuk menindas orang yang tidak berkuasa, ini termasuk serangan berbentuk seksual terhadap para wanita. Tetapi ini tidak bermakna kelas pekerja lelaki dikecualikan daripada tingkah laku sebegitu. Seksisme yang sudah ditenun kedalam fabrik kapitalisme akan mempengaruhi setiap lapisan masyarakat.

Dominasi Lelaki Dalam Masyarakat Harus Dikaitkan Dengan Struktur Masyarakat Kelas

Penindasan seksual adalah sesuatu yang tertanam dalam masyarakat kita tetapi ia bukanlah sesuatu yang semula jadi ataupun tidak boleh diubah. Melihat pada majoriti daripada sejarah peradaban manusia, bentuk penindasan berdasarkan gender tidak wujud dan merupakan fenomena baru yang hanya muncul sekitar 10 ribu tahun lalu (sejarah peradaban manusia merangkumi sekitar 200 ribu tahun). Dominasi lelaki dalam masyarakat ini bermula dengan pembentukan sistem keluarga sebagai sebuah institusi untuk mengekalkan kedudukan kelas dan bagi menguruskan pembahagian harta persendirian disamping mengenakan disiplin.

Walaupun seringkali ahli keluarga merupakan individu yang paling rapat dan selamat, namun, institusi keluarga dalam bentuk-bentuk yang berbeza bertindak sebagai alat kawalan sosial yang penting bagi semua masyarakat kelas. Sifat hierarki dalam masyarakat kelas ini bergema dalam struktur keluarga tradisional yang melihat lelaki sebagai ketua rumah tangga dan wanita dan kanak-kanak harus taat padanya.

Beban Ke atas Keluarga

Bagi sistem kapitalisme, keluarga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan dan membesarkan pekerja-pekerja bagi generasi seterusnya dan pada masa yang sama untuk menjaga kebajikan golongan yang sudah tua dan sakit. Selepas pertengahan abad ke-21, sekurang-kurangnya di sesetengah negara Eropah, beban ini dikurangkan sedikit dengan kemenangan yang diperoleh daripada perjuangan kelas pekerja di sana. Kesihatan percuma, pusat penjagaan warga tua kerajaan dan sebagainya telah dimenangi dalam perjuangan-perjuangan lampau. Tetapi hari ini, semua kemudahan tersebut sedang ditarik balik satu per satu akibat kegawatan ekonomi dan para wanita sedang kembali menghadapi keperitan hidup yang melampau.

Feminisme sosialis sememangnya berjuang untuk kesaksamaan jantina. Walaubagaimanapun kita juga harus menolak beban yang diletakkan ke atas kita dan keluarga kita oleh sistem kapitalisme. Langkah seterusnya adalah bukan sekadar mempersoalkan siapa yang perlu menanggung lebih beban, tetapi adalah untuk melancarkan sebuah perjuangan untuk memenangi kebajikan awam yang mencukupi, peluang pekerjaan yang munasabah sambil meringankan beban keluarga bagi memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati kehidupan; termasuklah meluangkan masa dengan orang tersayang.

Perjuangan pembebasan wanita adalah sebahagian daripada akar perjuangan kelas. Perjuangan wanita menuntut hak-hak mereka juga bersangkut paut dengan aspirasi kelas pekerja secara menyeluruh untuk pengstrukturan balik masyarakat dan bagi mengakhiri ketidaksamarataan dan penindasan.

Feminisme Kapitalis Bukan Jawapan

Kami tidak bersetuju dengan feminis kapitalis yang tidak mengambil pendekatan kelas bagi memperjuangkan pembebasan wanita. Untuk meletakkannya dengan mudah, wanita kelas pekerja mempunyai lebih banyak persamaan dengan lelaki kelas pekerja berbanding dengan Margaret Thatcher, Theresa May di Britain, Hillary Clinton di Amerika Syarikat, atau Sheikh Hasina Wazed di Bangladesh. Ini tidak bermakna hanya wanita kelas pekerja sahaja yang mengalami penindasan. Wanita dari semua bahagian masyarakat sedang menderita hasil diskriminasi berdasarkan gender, termasuklah keganasan rumah tangga dan gangguan seksual. Walaubagaimanapun, pada asasnya, untuk memenangi kesaksamaan gender yang nyata untuk wanita, termasuk bagi wanita dari golongan elit, struktur masyarakat kelas ini harus dicabut dari akarnya dan digantikan dengan sistem yang akan membawa kepada kesaksamaan. Titik permulaan bagi menamatkan sistem yang dipertahankan oleh Thatcher, May, Clinton dan sebagainya – kapitalisme – adalah dengan membawa syarikat-syarikat besar ke dalam pemilikan awam untuk membolehkan pembangunan rancangan sosialis demokratik. Kelas pekerja, majoriti dikebanyakkan negara, adalah kekuatan dalam masyarakat yang mampu melakukan perkara ini. Ini langsung tidak menghalang individu dari kelas atasan untuk menyertai perjuangan ini dengan keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menamatkan seksisme yang mereka alami adalah dengan memecahkan struktur kelas dan menyertai perjuangan ke arah sosialisme.

Peranan Gerakan Pekerja

Sosialis tidak boleh berhujah untuk menangguhkan perjuangan memerangi seksisme sebagai isu yang hanya perlu ditangani selepas kejatuhan kapitalisme. Sebaliknya, adalah penting bahawa setiap aspek penindasan wanita itu mula diperjuangkan sekarang, termasuk gangguan dan serangan seksual. Cara yang paling berkesan untuk melakukan ini adalah melalui pembinaan gerakan pekerja yang bersatu padu. Terdapat pelbagai contoh di sejarah dimana kesatuan sekerja telah memainkan peranan dalam memenangi hak-hak yang penting bagi wanita. Bagi jutaan yang sedang menghadapi gangguan seksual di tempat kerja, sebuah kesatuan sekerja yang bersedia untuk menyokong mereka akan dapat merealisasikan perubahan yang nyata. Dalam skala yang lebih luas, kelas pekerja perlu membina sebuah kepimpinan politik yang mengangkat program sosialis dan berpaksikan kepada perjuangan bagi kesaksamaan gender.  

Sudah tentu, gerakan pekerja juga tidak kebal dari tingkah laku berbentuk seksis daripada beberapa pihak. Adalah amat penting bagi sosialis untuk berjuang menentang semua jenis penindasan wanita dan juga membawa perjuangan ini ke dalam organisasi kelas pekerja. Kelas pekerja mempunyai kuasa untuk menggulingkan sistem kapitalisme yang sudah uzur, tetapi ini hanya boleh dilakukan dengan perjuangan bersama kelas pekerja wanita dan lelaki. Maka, sikap seksisme dan rasisme yang mungkin timbul dalam pertubuhan kelas pekerja haruslah diperangi dan dibanteras dengan sedar, bukannya diabaikan.

Seratus satu tahun yang lalu di Rusia, pada Hari Wanita Sedunia, mogok dan demonstrasi kelas pekerja wanita telah mencetuskan situasi revolusi yang paling bersejarah dalam peradaban manusia. Di bawah kepimpinan Parti Bolshevik, kelas pekerja Rusia telah berjaya mengambil alih kuasa pemerintahan negara untuk pertama kalinya dalam sejarah dunia. Tetapi malangnya dengan kemerosotan yang berlaku di Soviet Union di bawah kepimpinan Stalin selepas itu disamping menghancurkan demokrasi kelas pekerja, juga menghakis segala kemenangan revolusi bagi para wanita.

Walaubagaimanapun, apa yang bermula pada tahun 1917, di sebuah negara miskin yang terpencil, memberikan gambaran tentang apa yang mampu dicapai oleh sosialisme bagi wanita hari ini, apabila semua kekayaan, ilmu pengetahuan dan teknologi kapitalisme dapat dimanfaatkan untuk kebaikan semua manusia. Kesaksamaan undang-undang untuk wanita seperti kebebasan untuk berkahwin dan bercerai, hak untuk mengundi dan sebagainya telah dapat dinikmati oleh wanita selepas revolusi di Rusia jauh sebelum wanita di negara-negara yang lebih maju.

Seratus tahun selepas peristiwa itu, perjuangan wanita sekali lagi terbelit dengan perjuangan golongan tertindas ke arah sosialisme.

Tuntutan Kami

  • Tidak kepada diskriminasi berdasarkan kaum, jantina, keupayaan, seksualiti, umur, dan semua bentuk prasangka lain.
  • Untuk membina kempen besar-besaran terhadap gangguan seksual, keganasan dan semua bentuk diskriminasi seksual yang diterajui oleh gerakan pekerja.
  • Untuk penubuhan Kesatuan Sekerja yang berjuang dan dikawal secara demokratik oleh ahlinya.
  • Bagi pembinaan parti massa kelas pekerja dengan program sosialis, termasuk perjuangan untuk kesaksamaan gender.
  • Perjuangankan gaji yang saksama sebagai sebahagian daripada perjuangan untuk gaji kehidupan dan masa kerja yang lebih pendek tanpa kehilangan upah.
  • Hentikan semua pemotongan dana perkhidmatan awam. Pekerjaan yang cukup, munasabah dan perumahan mampu milik untuk semua. Untuk perkembangan perkhidmatan awam secara besar-besaran.
  • Faedah bersalin dan kebajikan kanak-kanak yang mencerminkan kos sebenar bagi  membesarkan anak.
  • Hak untuk cuti berbayar yang mencukupi bagi ibu yang baru melahirkan anak.
  • Penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti tinggi dan percuma untuk setiap kanak-kanak.
  • Mempertahankan hak reproduktif bagi wanita.
  • Pemilikan awam bagi industri farmaseutikal.
  • Bawa syarikat dan bank utama ke dalam pemilikan awam di bawah kawalan dan pengurusan demokratik pekerja.
  • Merancang pengeluaran sosialis demokratik berdasarkan kepentingan majoriti rakyat, dilaksanakan dengan cara yang melindungi alam sekitar dan meletakkan asas untuk mewujudkan kesaksamaan untuk semua di dunia tanpa pembahagian kelas dan peperangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*