Kempen undi rosak sedang mendapat tarikan di kalangan rakyat, terutamanya dari golongan anak muda

Kempen undi rosak sedang mendapat tarikan di kalangan rakyat, terutamanya dari golongan anak muda

KEMPEN UNDI ROSAK: MAMPUKAH MEMBAWA PERUBAHAAN POLITIK?

Posted by

Peningkatan populariti gerakan undi rosak di kalangan anak muda terutamanya di laman-laman sosial, telah mewujudkan berbagai-bagai reaksi. Sebilangan anak muda melancarkan kempen ini sebagai bantahan terhadap Pakatan Harapan, terutamanya selepas pengumuman Mahathir sebagai calon perdana menteri pembangkang. Ini juga adalah reaksi daripada anak muda terhadap tingkahlaku dan sifat politik pembangkang yang semakin menyerupai acuan politik Barisan Nasional, dan bagi anak muda ini, mereka tidak mempunyai pilihan dalam PRU14 yang mampu mewakili hasrat atau perjuangan mereka selama ini. Manakala, hampir 4 juta rakyat yang layak mengundi tetapi masih tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi juga menggambarkan sifat ‘anti-parti’ mereka dengan reaksi terhadap pilihanraya atau parti-parti politik yang tidak menampakkan sebarang manfaat kepada mereka.

Kebanyakan daripada golongan undi rosak, sebelum ini adalah penyokong-penyokong tegar pembangkang sama ada muncul daripada gerakan reformasi 1998 atau muncul semenjak PRU12 pada 2008 dengan menaruh harapan kepada satu perubahan politik dengan berganding bahu dengan parti-parti pembangkang. Pada satu ketika mereka berjuang habis-habisan sehinggakan ada yang dipukul, ditangkap atau dipenjarakan oleh polis semata-mata untuk menjatuhkan ‘Mahafiraun’ yang menzalimi Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat dan salahguna kuasa. Untuk kemenangan pembangkang, ada di antara mereka dengan slogan ‘Asalkan Bukan Umno/BN’ sanggup berkempen siang dan malam dengan mempergunakan semangat, tenaga dan kewangan sendiri. Apabila pembangkang termasuk Anwar sanggup berkerjasama dengan ‘Mahafiraun’ semata-mata untuk menjatuhkan Najib (anak didikan sekolah politik Mahafiraun), golongan reformasi dan anak muda merasakan satu pengkhianatan politik. 20 tahun perjuangan reformasi dan harapan anak muda hancur berkecai begitu sahaja dengan tindakan opurtunis pemimpin-pemimpin politik parti-parti pembangkang.

Fenomena ‘undi rosak’, ‘boikot undi’ atau ‘anti-parti’ bukanlah satu fenomena yang hanya merebak di Malaysia. Di kebanyakan negara termasuk di Eropah dan Amerika gerakan-gerakan sebegini muncul sebagai reaksi kepada polisi-polisi parti-parti aliran utama yang memihak kepada golongan elit dan kaya. Misalnya, ‘occupy wall street’ di Amerika Syarikat dan ‘Indignados’ di Spain. Kedua-duanya mendapat sambutan daripada anak muda dan rakyat biasa pada awalnya sebelum menjadi lesu apabila tindakan mereka tidak mampu mengubah pendirian dan polisi parti-parti aliran utama atau politik negara mereka sendiri. Mempelajari daripada pengalaman tersebut, sebilangan mereka telah melancarkan dan membina landasan politik alternatif kepada parti-parti golongan elit dan kaya untuk membawa satu perubahan politik untuk rakyat biasa.

GOLPUT DI INDONESIA

Di Indonesia, gerakan golput (golongan putih) iaitu golongan yang membantah parti politik dan pemimpin dengan tidak mengundi semakin mendapat sambutan semenjak kejatuhan Suharto. Pada pilihan raya 1999 yang diadakan selepas kejatuhan rejim autokratik Suharto, jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 93%, menampakkan satu harapan besar rakyat biasa untuk satu perubahan politik dalam bentuk kerajaan yang demokratik. Rakyat berharap pemimpin dan kerajaan yang baru dipilih dapat membebaskan mereka dari 30 tahun pemerintahan autoritarian Suharto serta keluar dari masalah sosial dan ekonomi yang mencengkam kehidupan mereka. Tetapi, jumlah pengundi pada PRU 2014, iaitu 73%, lebih rendah daripada pilihanraya- pilihanraya sebelumnya. Dalam empat pilihan raya umum lalu, bilangan undi yang diperoleh oleh parti yang menang lebih rendah daripada jumlah golput. Pemenang sebenar empat pilihanraya umum lalu adalah golput. Kebanyakan mereka telah kecewa dengan pilihan raya yang tidak membawa perubahan sebenar dalam masyarakat, dan mereka melihat politik arus perdana sebagai ‘safari politik – taman permainan politik kapitalis menyerang keperluan rakyat biasa’.

Tetapi pengalaman di Indonesia menunjukkan bahawa, kemenangan golput dalam 4 pilihanraya lalu, tidak membawa satu perubahan politik atau perubahan sosial dan ekonomi yang memihak kepada rakyat biasa. Realitinya, golput terus mewujudkan vakum politik yang terus menerus dimanipulasikan dan dieksploitasikan oleh parti-parti aliran utama dan pemimpin-pemimpin politik termasuk Jokowi untuk kepentingan elit dan kaya. Ini jelas kerana golput atau anti-parti tidak membina politik alternatif untuk membawa perubahan politik yang mampu memanfaatkan hasrat dan keperluan kelas pekerja dan golongan miskin luar bandar. Dengan menjauhkan diri daripada politik tidak cukup untuk mengubah masalah sosial dan ekonomi golongan majoriti ini. Kekuatan reaksi ‘anti-parti’ perlu disalurkan untuk membina politik alternatif kepada parti-parti kapitalis untuk memperjuangkan keperluan kelas pekerja anak muda dan miskin di luar bandar. Sekiranya parti massa pekerja dan rakyat biasa berjaya diwujudkan, ia mempunyai kemampuan untuk memperoleh kuasa politik.

BINA ALTERNATIF

Golongan anti-parti atau undi rosak yang jijik dengan politik parti-parti pembangkang dan pemerintah, dijangka tidak akan mengundi mana-mana parti atau mengambil posisi memboikot PRU14. Sosialis Alternatif berpendirian bahawa hanya menukar satu pemimpin kepada pemimpin lain atau menukar satu parti kepada satu parti lain tanpa agenda dan polisi alternatif kepada sistem kapitalisme, perubahan dan hasrat kelas pekerja dan anak muda termasuk hasrat golongan anti-parti untuk satu kerajaan yang telus dan demokratik tidak dapat direalisasikan. Dengan anti-parti atau undi rosak, dan tanpa politik alternatif, agenda kapitalisme yang di bawa oleh parti-parti dalam BN atau pun PH tidak mampu dilawan, dan mereka sentiasa mampu menukar wajah dan warna untuk mempromosikan diri mereka sebagai alternatif kepada parti pemerintah sepertimana yang dilakukan oleh Mahathir. Selagi vakum politik alternatif berlandaskan kepada sosialisme dan kelas pekerja tidak dibina dan diperkembangkan, selagi itu golongan elit politik pro-kapitalisme akan terus mengongkong dan mencengkam kehidupan rakyat biasa.

Skandal dan konflik dalam parti-parti sayap kanan dalam kerajaan dan pembangkang terus membuktikan bahawa parti-parti ini wujud, dan disokong oleh restu kelas kapitalis. Ini mengukuhkan lagi keperluan bagi kelas pekerja, anak muda dan rakyat tertindas yang lain untuk membina parti massa yang mewakili, serta memperjuangkan keperluan dan hak-hak mereka. Parti ini juga perlu mendedahkan agenda BN, yang kekal berkuasa dengan menggunakan taktik ‘pecah dan perintah’ dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, dengan menggalakkan perjuangan dan dasar-dasar yang boleh menyatukan pekerja dan anak muda berlandaskan kelas. Dengan krisis yang semakin meningkat dalam kerajaan, walaupun parti-parti pembangkang mampu bersatu dan memenangi PRU14, mereka masih tidak mempunyai penyelesaian kepada keadaan sosial dan ekonomi yang semakin buruk yang sedang menjejaskan kehidupan majoriti – kelas pekerja dan anak muda.

Persoalan nasional masih menjadi satu isu utama dalam negara. Polarisasi dari segi kaum, agama dan negeri masih wujud walaupun berbagai-bagai slogan seperti 1Malaysia, NEP, dan sebagainya telah dipergunakan oleh kerajaan. Ini menunjukkan bahawa selagi struktur politik dan ekonomi masih berlandaskan kepada pasaran bebas kapitalisme, isu-isu ini akan menjadi alat permainan politik elit. Maka, adalah penting untuk menjelaskan isu-isu tersebut dalam perpektif kelas untuk memperkuatkan lagi perjuangan dan alternatif.

Dengan ketidakstabilan ekonomi dunia dan serantau, politik negara dijangka terus tidak stabil selepas PRU14 sama ada BN atau PH membentuk kerajaan. Sosialis, kesatuan sekerja, kelas pekerja, anak muda dan masyarakat tertindas yang lain mempunyai tugasan penting untuk membina alternatif kepada kepincangan kapitalisme untuk membina masa depan dan masyarakat yang demokratik dengan pembahagian kekayaan secara saksama dan pemeliharaan persekitaran yang mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*