Gelembung Ekonomi Robot, Teknologi Baru dan Krisis yang Menanti

Gelembung Ekonomi Robot, Teknologi Baru dan Krisis yang Menanti

Posted by

IMF dalam ramalan terakhirnya memuji ekonomi kapitalisme yang nampak seperti seakan-akan sedang pulih dan kembali stabil. Mengikut analisa IMF, walaupun masih wujud beberapa krisis politik yang belum selesai, keadaan ekonomi telah pulih sepenuhnya dan akan menuju ke arah kemakmuran. Walaubagaimanapun, gambaran yang diberikan itu hanya dari segi permukaan dan realitinya, krisis kapitalisme masih sedang meruncing dan akan melahirkan krisis yang baru pada bila-bila masa.

Ramalan daripada pertubuhan kapitalis seperti Syarikat Pengurusan Pelaburan Pasifik (PIMCO) sebaliknya lebih tepat dan realistik. Ia mendapati bahawa sistem ini masih lemah dari segi struktur dan mempunyai sebanyak 70% kecenderungan untuk menghadapi satu lagi krisis yang parah dalam 5 tahun yang akan datang. ‘Pemulihan ekonomi’ yang diwar-warkan oleh pihak kapitalis sebenarnya adalah berdasarkan kepada hutang-hutang baru yang sedang bertimbun dan juga berdasarkan peningkatan gelembung ekonomi dalam industri teknologi. Gelembung-gelembung ini juga akan pecah tidak lama lagi dan akan mencetuskan krisis baru dalam keadaan ekonomi yang sudahpun tidak menentu.

Tiada Revolusi Baru

Teknologi baru, robotika, automasi, Industri 4.0, Internet untuk barangan, pengkomputeran, dan banyak lagi istilah khas digunakan untuk menggambarkan apa yang dikatakan sebagai sebuah revolusi industri baru. Selepas penemuan enjin stim, inovasi pengeluaran Fordisme dan penciptaan komputer, kini kita dikatakan sedang hidup dalam revolusi perindustrian ke-4. Ini telah menjadi propaganda kapitalis yang ingin meyakinkan semua bahawa sistem kapitalisme ini akan membawa umat manusia ke arah kedamaian dan akan membebaskan mereka daripada beban kerja-kerja yang berat, kotor atau melelahkan.

Memang benar bahawa telefon pintar, komputer, robot dan sebagainya kini berada di mana-mana sahaja dan sedang memberikan impak kepada kehidupan seharian kita. Pada tahun 2010, sebanyak 1 juta robot telah digunakan dalam produksi di seluruh dunia. Menjelang 2019, ramalan mengatakan bahawa angka tersebut akan berganda sebanyak tiga kali. Dikatakan juga bahawa pada tahun 2020, sebanyak 21 bilion peralatan akan disambung dengan internet. Tetapi, di bawah sistem ekonomi kapitalisme, semua perkembangan ini bukan sahaja terbatas, malah ia akan menjadi asas kepada krisis-krisis baru.

Disebabkan oleh situasi ekonomi yang tidak menggalakkan pelaburan baru daripada kapitalis elit yang sedang mengawal sebahagian besar daripada sumber kewangan dunia, kebanyakkan daripada pelaburan baru sedang tertumpu pada beberapa sektor yang khusus. Akibat keluasan krisis ekonomi yang bermula pada 2007 yang telah memberikan impak di setiap benua di dunia, aktiviti pelaburan yang terpilih adalah sangat intensif dan sedang mewujudkan gelembung-gelembung ekonomi di sektor-sektor tertentu dengan sangat cepat.

Keuntungan kapitalis dunia secara menyeluruh sedang menyusut akibat menghadapi krisis dalam sistem dan salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan meningkatkan eksploitasi terhadap kelas pekerja. Dengan mempergunakan perkembangan teknologi, manusia dipaksa bersaing dengan robot dan ditekan untuk berkerja dengan lebih keras untuk upah yang murah. Sistem pengawasan kamera di tempat kerja, pengintip spyware yang menceroboh data peribadi pekerja, pengenalan robot di kilang-kilang produksi yang mengawal kelajuan kerja, sistem pengawasan menggunakan alat peranti dan sebagainya sudah digunakan untuk meningkatkan eksploitasi terhadap pekerja. Tambahan pula, teknologi-teknologi baru sedang mula diperkenalkan dimana majikan boleh menanam cip komputer dibawah kulit pekerja untuk mempermudahkan semua urusan kerja. Segala teknologi baru tidak dipergunakan untuk membebaskan manusia daripada beban kerja, tetapi untuk memaksa manusia untuk menurut rentak mesin-mesin yang tidak bernyawa.

Dari sisi lain, persaingan diantara kapitalis dunia dalam pasaran yang terhad juga sedang menyebabkan peningkatan gelembung teknologi ini. Para kapitalis daripada AS dan Eropah misalnya, terancam dengan perkembangan kapitalis dari China yang sedang merebut sebahagian besar daripada pasaran yang terhad ini. Secara tradisinya, negara-negara seperti China sering menyusul negara barat dari segi inovasi dan teknologi. Tetapi, perkara itu tidak lagi benar di mana China pada masa ini sedang mula mendahului negara-negara Barat dalam industri teknologi dan sedang mendominasi sektor ‘tenaga yang boleh diperbaharui’ (renewable energy). Oleh itu, negara-negara Barat sedang terpaksa mengembangkan teknologi yang boleh menurunkan kos pengeluaran dan meningkatkan produktiviti supaya kekal bersaing dalam pasaran dunia.  

Apabila semua bantuan sosial rakyat daripada kerajaan seperti subsidi barangan, kos kesihatan atau kos pendidikan sedang didesak untuk dipotong, para kapitalis tanpa sebarang segan sedang menuntut supaya dana negara digunakan untuk membiayai perkembangan teknologi. Sebagai langkah untuk menyokong pemodal tempatan, kerajaan di semua negara sedang mengalihkan dana negara dari sektor sosial kepada sektor teknologi. Propaganda-propaganda baru berdasarkan teknologi mula diwujudkan dan rakyat biasa sedang dimangsakan setiap hari.

Para kapitalis sedang berhujah bahawa kita hanya memerlukan sebiji komputer untuk mencorak kehidupan yang berjaya dengan kekayaan. Propaganda ini digunakan untuk menekan populasi masyarakat yang sedang menganggur akibat kehilangan kerja dan kekurangan peluang pekerjaan yang sedang bertambah. Daripada beribu-ribu syarikat kecil yang ditubuhkan dengan usaha keras dan dengan menggunakan dana sendiri oleh individu yang miskin, hanya segelintir dapat berjaya dan tidak muflis. Tambahan pula, para kapitalis elit akan dapat membeli syarikat-syarikat kecil yang mempunyai potensi untuk berjaya dengan harga yang murah dan akan menjadi sumber keuntungan baru mereka.

Gelembung Baru

Pakar-pakar kapitalis hampir sebulat suara bersetuju bahawa syarikat-syarikat gergasi seperti Apple, Amazon, Facebook, Alphabet, Microsoft, eBay, Netflix dan sebagainya dinilai terlalu tinggi di pasaran saham. Mereka menggunakan terma seperti ‘kegairahan yang tidak rasional’ ( David Einhorn dari Greenlight Capital ) dan memberikan unjuran yang mirip dengan apa yang berlaku dalam gelembung ‘dot com’ pada awal 2000.

Salah satu petunjuk kepada watak spekulatif ekonomi kapitalisme adalah perkembangan matawang maya ( cryptocurrencies ) seperti Bitcoin. ‘Matawang’ ini diwujudkan hampir 10 tahun lalu bukan sahaja sebagai alat untuk memutihkan wang gelap, tetapi juga merupakan pasaran bagi mengaut keuntungan dengan cepat dan mudah. Apabila Bitcoin diperkenalkan, sebanyak 10 ribu Bitcoin hanya membawa nilai bersamaan 3 atau 4 kilo ayam. Pada Disember 2017, satu Bitcoin diperdagangkan pada nilai setinggi 20 ribu Dolar Amerika. Ia merupakan seakan-akan skim ‘piramid’ dimana segelintir yang membuat pelaburan pada awal dan menarik keluar pelaburan mereka pada masa yang tepat akan membuat keuntungan yang mendadak. Tetapi, majoriti yang melabur akan kehilangan pelaburan mereka apabila pasaran tersebut mula merosot.

Hari ini, terdapat lebih 900 jenis matawang maya yang wujud di seluruh dunia. Pada Januari 2017 jumlah nilai semua matawang tersebut dianggarkan sekitar 17.5 Bilion USD dan pada September 2017, ia melonjak mencapai hampir 100 Bilion USD. Ini adalah contoh yang terbaik yang mencerminkan gelembung teknologi yang sedang berlaku sekurang-kurangnya dalam satu sektor yang bernilai lebih 100 Bilion USD pada masa ini.

Pemulihan sementara dalam ekonomi kapitalisme ini adalah dibiayai oleh dana kerajaan negara dan dengan hutang yang semakin meningkat. Teknologi baru nampaknya tidak mampu untuk menyelesaikan krisis kapitalisme dan hanya menolaknya ke tahap yang lebih genting. Dalam situasi terburu-buru untuk memenangi perlumbaan persaingan, syarikat-syarikat besar sedang  melabur dalam teknologi baru untuk mengurangkan kos pengeluaran. Dengan melakukan ini, mereka juga tanpa sedar sedang mengurangkan satu-satunya faktor dalam proses pengeluaran yang bukan sahaja menghasilkan semua nilai yang ada, tetapi mampu menghasilkan lebih banyak nilai baru : tenaga kerja manusia.

Jepun pernah menjadi model ekonomi yang mendasarkan dirinya pada teknologi baru pada tahun 1980-an. Pada satu masa dahulu, segalanya yang moden adalah “Made in Japan” (dibuat di Jepun). Tetapi ini tidak dapat menghalang ekonomi Jepun daripada jatuh ke dalam kemerosotan yang belum pulih selama lebih 25 tahun. Semua jenis hujah kapitalis mengenai revolusi teknologi dan sebagainya adalah sekadar propaganda kosong dan realiti ekonomi kapitalisme adalah seakan-akan telur di tanduk lembu.

Sosialisme Merupakan Demokrasi Pekerja, Ditambah Dengan Robotika.

Pada tahun 1920, Lenin mengisytiharkan bahawa ‘ Sosialisme adalah kerajaan Soviet, ditambah dengan elektrifikasi seluruh negara’. Ini merupakan hanya satu contoh bagaimana sosialis menyokong kegunaan semua peningkatan teknikal bagi manfaat umat manusia bersama.  

Di bawah kapitalisme, penyelidikan dan perkembangan teknologi hanya ditumpukan pada bidang-bidang tertentu yang akan dapat meningkatkan keuntungan segelintir pemodal elit. Walaupun teknologi yang sedia ada sudah boleh digunakan untuk mengurangkan beban kerja manusia dan membebaskan kita dari pekerjaan kotor, berbahaya, dan tidak menyenangkan, realitinya kesemuaan teknologi ini ditumpukan hanya untuk menindas kelas pekerja secara menyeluruh. Dengan teknologi yang ada, kita seharusnya sudah boleh mengurangkan masa kerja dan pada masa yang sama memastikan kehidupan yang bermaruah bagi setiap individu dalam masyarakat. Sebaliknya, para pekerja sedang berkerja untuk waktu yang lebih panjang setiap hari sambil menghadapi pengangguran yang sedang meningkat.

Sekiranya ekonomi dijalankan di bawah kawalan dan pengurusan demokratik oleh kelas pekerja, maka teknologi baru boleh digunakan untuk kepentingan semua orang. Robot pembersih misanya boleh dijadikan sebagai kewajipan di setiap isi rumah bagi mengurangkan beban kerja rumah dan ini juga boleh menjurus kepada peningkatan dalam kebebasan untuk golongan wanita.  

Tidak ada sebarang unsur ‘revolusi’ dalam teknologi yang terbelenggu dengan kaedah pengeluaran yang masih bergantung dengan tenaga kerja manusia bagi mewujudkan keuntungan. Robot tidak berdaya untuk mengubah bentuk penindasan yang berlaku di bawah kapitalisme yang dilakukan sesama manusia. Ia juga tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah struktur yang sedang dialami oleh sistem ini. Teknologi-teknologi baru ini hanya boleh dipergunakan untuk mengubah kehidupan kita apabila keadaan huru-hara yang diwujudkan oleh kapitalisme ini diganti dengan sistem ekonomi sosialisme yang demokratik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*