Apakah Motif Di Sebalik Perjanjian Trump dan Kim Jong-un?

Apakah Motif Di Sebalik Perjanjian Trump dan Kim Jong-un?

Posted by

Pendamaian Tanpa Komitmen

Pada 2 Jun lalu, President Amerika Syarikat Donald Trump dan diktator Korea Utara Kim Jong Un telah bersidang di Singapura untuk mencapai sebuah perjanjian di antara dua negara tersebut. Selepas lebih 5 dekad dalam konflik, kepimpinan dari kedua-dua negara tersebut akhirnya bersetuju untuk bertemu dan membincangkan cara penyelesaian kepada permasalahan yang ada. Ini dilihat sebagai sebuah peristiwa bersejarah dan beberapa pemimpin dunia telah memuji usaha tersebut sebagai sebuah langkah yang mempromosikan keamanan.

Donald Trump cuba menggambarkan bahawa langkah untuk menghulurkan tangan kepada Kim Jong Un adalah sebagai usaha untuk menghapuskan tenaga nuklear yang sedang di kembangkan di Korea Utara dan bagi menjimatkan perbelanjaan aktiviti tentera Amerika Syarikat di rantau Asia Pasifik yang memakan bajet kerajaan. Tetapi pastinya terdapat banyak lagi agenda tersembunyi di sebalik langkah terbaru Trump yang telah mengejutkan dunia. Sebahagian daripada isi perjanjian yang ditandatangani oleh dua pemimpin dunia tersebut memang menuntut supaya kerajaan Korea Utara memberikan komitmen mereka untuk menghentikan pembinaan senjata nuklear manakala Trump akan memberi komitmen untuk menghentikan aktiviti ketenteraan di sempadan Korea Utara. Tetapi realitinya, ini tidak menjamin sebarang jenis kestabilan di rantau ini dan percaturan geopolitik baru sahaja bermula di kalangan kuasa-kuasa besar seperti China, Korea Selatan, Jepun, Russia dan Amerika Syarikat.

Agenda Trump

Trump yang telah mewarisi ekonomi yang sedang merosot telah mula mengambil langkah untuk menggunakan kuasa politik Amerika Syarikat untuk memaksa negara-negara dunia untuk mengutamakan kebajikan para pelabur, korporat dan syarikat-syarikat tempatan. Baru-baru ini, pelbagai sekatan ekonomi telah diperkenalkan oleh Amerika Syarikat terhadap barangan import dari China dan bagi kemasukkan bahan-bahan mentah seperti aluminium dan tembaga. Langkah ini dilihat sebagai berjaya memulihkan sedikit ekonomi Amerika Syarikat dan menguntungkan korperasi mereka disamping memangsakan kapitalis dari luar terutamanya mereka yang mempunyai hubungan perdagangan yang erat dengan China. Trump sedang melancarkan sebuah ‘perang perdagangan’ terhadap China dengan harapan bahawa ia dapat menyelamatkan ekonomi Amerika dan mengukuhkan posisinya sebagai ‘pemimpin’ dunia.

Presiden-presiden sebelum Trump seperti Obama dan Bush telah cuba untuk menggunakan sekatan ekonomi sebagai senjata utama untuk cuba menggulingkan kepimpinan Korea Utara. Sememangnya Korea Utara telah melalui situasi perebutan kuasa dalam kerajaan dan mengalami sebuah ketidaktentuan di mana kepimpinan Amerika menganggap bahawa serangan seperti sekatan ekonomi akan berjaya menjatuhkan rejim Kim. Tetapi kebelakangan ini, rejim Kim telah berjaya menghancurkan beberapa faksi kuasa pembangkang yang wujud dan mengukuhkan kembali posisi mereka dalam kerajaan. Tambahan pula, ekonomi yang mula stabil dan perkembangan senjata nuklear mereka telah memaksa Amerika untuk mengambil langkah yang lebih drastik. Trump hanya mempunyai 2 pilihan dalam situasi tersebut, deklarasi perang terhadap Korea Utara dan menyerang fasiliti nuklear mereka ataupun menghulurkan tangan dan cuba untuk mengemudi negara itu untuk menjauhi China.

Penyatuan Korea Utara dan Korea Selatan

Trump memilih jalan untuk berdiplomasi dan mengelakkan perang terbuka atas sebab-sebab yang munasabah. Sebuah perang di rantau itu mempunyai potensi untuk merebak dan melibatkan kuasa-kuasa yang lebih besar dan mewujudkan situasi huru-hara di kalangan masyarakat umum. Peningkatan sentimen ‘Anti Amerika’ yang akan dilihat sebagai kuasa imperialis akan melemahkan lagi kedudukan Amerika di rantau ini. Amerika tidak boleh menghadapi risiko tersebut mahupun risiko sebuah krisis ekonomi global yang boleh tercetus akibat sebarang jenis konflik terbuka. Jalan terbaik bagi Trump adalah untuk cuba menyatukan Korea Utara dan Korea Selatan secara aman dan melalui perjanjian yang akan memberikan kesan negatif kepada pihak China.

Idea untuk penyatuan Korea Utara dan Selatan sudah wujud dikalangan kepimpinan kedua-dua negara tersebut dan beberapa perbincangan awal sudahpun berlangsung. Walaupun kedua-dua pihak tidak akan menginginkan penyatuan yang penuh dibawah sistem yang sama, mereka boleh bersetuju untuk bersatu atas syarat-syarat tertentu yang akan menguntungkan mereka. Bagi rejim Kim di Korea Utara, penyatuan ini boleh membuka jalan bagi mereka untuk melepaskan diri daripada bergantung dengan China dan membuka ruang untuk kemasukkan pelaburan asing bagi meningkatkan keuntungan mereka. Bagi kapitalis di Korea Selatan pula, sumber alam semulajadi yang kaya, bahan mentah yang banyak dan tenaga buruh yang murah di Korea Utara adalah tarikan utama dalam menyokong langkah-langkah penyatuan.

Perspektif China

Walaupun situasi tersebut adalah sangat sukar dan jauh daripada menjadi kenyataan, negara China dan Presiden Xi Jinping pastinya sedang risau dengan perkembangan yang sedang berlaku dan akan mencuba apa sahaja kaedah untuk merosakkan perancangan Trump. Xi sudah mengadakan 3 perjumpaan dengan Kim Jong Un pada tahun ini sahaja dan pastinya akan menggunakan ancaman ekonomi dan ketenteraan jika perlu untuk mencegah Korea Utara daripada terjatuh ke tangan musuh. Lebih 90% daripada perdagangan Korea Utara adalah dengan China yang juga membekalkan bantuan kewangan dan ketenteraan. Bagi China, Korea Utara merupakan buah catur yang penting dalam mengekalkan dominasi ketenteraan mereka di rantau Asia Pasifik. Sebuah Korea Utara dengan senjata nuklear yang boleh mencapai Korea Selatan dan Jepun adalah sebuah ancaman yang boleh dipergunakan dalam rundingan antarabangsa dan bagi menyebarkan pengaruh China di rantau ini.

Bagi China, bantuan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Korea Selatan dan Jepun merupakan masalah utama mereka yang menghalang cita-cita untuk menjadi kuasa ketenteraan yang terkuat di rantau ini. Tambahan pula Amerika Syarikat mempunyai beberapa pangkalan tentera, lebih dari 50 ribu askar dan melakukan aktiviti ketenteraan di rantau Asia Pasifik secara berterusan. Keadaan ini menggugat posisi China dan Xi Jinping akan mengharapkan supaya perjanjian ini akan menjurus kepada kekurangan pengaruh Amerika Syarikat secara umum di Asia.

Agenda Kim Jong-un

Rejim Kim pula untuk turun-temurun telah mempergunakan persaingan geo-politik di antara kuasa-kuasa besar untuk memastikan kesinambungan birokrasi mereka dalam memegang kuasa kerajaan di Korea Utara. Kerajaan Korea Utara yang dibentuk oleh lebih 1000 orang saudara-mara dan kawan-kawan yang rapat dengan keluarga Kim, memerintah dengan kuku besi sambil menikmati segala kekayaan dan otoriti. Kim Jong Un seperti bapa dan datuknya sebelum ini juga akan cuba mempergunakan senjata nuklear sebagai ancaman bagi mencegah campur tangan asing dalam hal ehwal kerajaan mereka dan sambung menikmati kekuasaan yang teah diturunkan untuk 3 generasi. Kim sedang dalam perbincangan dengan kedua-dua Amerika Syarikat dan China dan akan cuba mencari peluang untuk menyelitkan agendanya pada masa yang sesuai.

Langkah pendamaian?

Bercanggah dengan retorik yang didendangkan, perjanjian yang berlangsung di antara Korea Utara dan Amerika Syarikat tidak menjurus kepada sebarang situasi keamanan, malah ia boleh mencetuskan konflik-konflik yang baru di rantau Asia Pasifik. Dunia kapitalisme yang sedang terlibat dalam persaingan yang sengit dalam mengejar keuntungan swasta bagi para elit sedang menuju ke arah konflik dan ancaman perang tanpa disedari. Masyarakat dunia sudahpun menjadi mangsa peperangan yang berterusan di Timur Tengah dan kemusnahan alam sekitar dalam skala yang menakutkan.

Bagi menangani masalah yang sedang berlaku, sistem kapitalisme yang hanya berpaksikan kepada keuntungan buta para pemodal dan kapitalis kaya ini haruslah dicabut dari akarnya dan digantikan dengan sebuah sistem ekonomi yang adil dan mampu berfungsi demi kebaikan semua. Anak muda dan kelas pekerja dari seluruh dunia haruslah memimpin gerakan-gerakan massa yang akan memperjuangkan kesaksamaan di kalangan umat manusia dan menggantikan sistem kapitalisme yang rakus ini dengan sistem sosialisme yang berpaksikan kepada aspirasi massa.

*untuk membaca laporan yang lebih terperinci dalam Bahasa Inggeris, sila klik di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*