Apakah halatuju PRM ?

Apakah halatuju PRM ?

Posted by

Parti Rakyat Malaysia yang merupakan antara parti politik yang terawal di Malaysia yang berakar daripada perjuangan pembebasan negara sebelum merdeka sedang kembali aktif pada PRU kali ini selepas berdekad-dekad mendiamkan diri. PRM telah menamakan calon untuk 31 kerusi DUN dan 6 kerusi Parlimen di beberapa negeri. PRM tidak menawarkan diri untuk menyertai sebarang koalisi pembangkang dan mengambil posisi untuk mencabar kedua-dua parti pemerintah BN dan pembangkang PH dalam pilihan raya yang telah berlangsung.

Dalam sejarah panjang PRM, parti ini pernah menjadi antara pembangkang yang digeruni oleh pihak pemerintah terutamanya dengan penubuhan Koalisi Pembangkang Barisan Sosialis pada tahun 1957 bersama dengan Parti Buruh Malaysia ( tidak wujud buat masa ini ). Parti yang berhaluan kiri ini mendapat sambutan dan sokongan rakyat dan telah memenangi banyak pilihanraya Ahli Majlis Tempatan pada satu masa dahulu. Pada pilihan raya tahun 1959, Barisan Sosialis menjadi koalisi ke 3 terbesar dengan mendapat 34.5% undi popular. Tetapi malangnya, disebabkan oleh perpecahan dalaman, penindasan daripada pihak pemerintah yang memenjarakan ramai diantara pemimpinnya dan disebabkan oleh faktor-faktor lain, Barisan Sosialis tidak dapat mengekalkan sokongan mereka untuk memenangi kuasa kerajaan dan menjadi bertambah lemah dalam dekad-dekad yang menyusul.

Pada tahun 2003, Presiden PRM pada masa itu Syed Hussein Ali telah cuba membubarkan parti ini untuk bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat yang baru ditubuhkan oleh kem pembangkang di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim yang berpecah daripada UMNO. Akan tetapi, disebabkan oleh masalah teknikal dengan pejabat pendaftaran, percubaan itu gagal dan PRM telah berjaya dihidupkan kembali oleh beberapa ahli mereka pada tahun 2005. Walaupun begitu, kebanyakkan ahli-ahli mereka sudahpun menjadi ahli PKR dan mengikuti hala tuju kem pembangkang manakala PRM terpaksa membina balik parti ini dengan saki baki penyokong yang ada.

Kemuflisan Perspektif dan Hala Tuju yang Jelas

Walaupun parti ini berjaya dihidupkan kembali, tetapi, masih lagi ia gagal untuk membentuk sebuah perspektif politik dan hala tuju yang jelas. Tidak ada pembinaan ahli anak muda berdasarkan kepada perspektif rakyat dan tidak wujud juga pembinaan kuasa-kuasa rakyat dan kelas pekerja berdasarkan program yang kukuh. Kepimpinan PRM juga membuat beberapa kesilapan politik yang menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat dan penyokong. Antara pemimpin PRM yang dikenali seperti Rohana Ariffin pernah menggunakan bendera PKR untuk bertanding di Parlimen Balik Pulau pada 2004. Parti ini juga sering menyokong kempen daripada pihak pembangkang seperti kempen ‘Asalkan Bukan UMNO’ pada pilihan raya 2013. Kepimpinan PRM hanya mengharapkan pada nostalgia perjuangan lampau parti ini bagi menghidupkannya kembali tanpa memberikan perspektif yang jelas mengenai hala tuju perjuangan PRM bagi masa hadapan.

Hasilnya, hari ini, parti ini sedang dipergunakan oleh beberapa ahli politik yang berpecah daripada kem pembangkang PH. Seperti yang diketahui umum, dalam situasi krisis ekonomi dan politik di Malaysia, kedua-dua parti pemerintah BN dan pembangkang PH sedang mengalami pelbagai perpecahan dalaman. Ini merupakan ciri yang umum bagi parti-parti yang tidak mewakili perjuangan rakyat dan hanya ingin mencapai cita-cita politik masing-masing berdasarkan pencapaian individu di arena Parlimen. Ramai di antara ahli parti PKR dan DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk kepimpinan parti mereka, mengambil keputusan untuk keluar mencari jalan lain untuk memenuhi cita-cita politik mereka. Seperti Parti Amanah (pecahan PAS) sebelum ini yang telah mengambil alih Parti Pekerja Malaysia, PRM juga sedang dalam proses pengambil alihan daripada kem pembangkang yang hanya ingin mempergunakan imej PRM untuk meraih sokongan. Dari segi program dan motif perjuangan, individu-individu yang baru menyertai parti ini tidak dapat membezakan idea dan perspektif mereka daripada parti-parti pembangkang. Salah seorang calon PRM yang bertanding di Parlimen Bangi, hanya mampu merayu “Berikanlah Kami Peluang !” tanpa mempertengahkan agenda atau slogan alternatif yang membezakan perspektif mereka berbanding pembangkang.

Oleh itu, pengumuman PRM untuk bertanding pada PRU kali ini di 37 kerusi merupakan sebuah kejutan besar di arena politik negara. Parti yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang dana dan jentera politik kini tampil dengan hasrat menjadi kuasa ketiga dan ingin memberikan tekanan kepada kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang. Malah, ahli-ahli lama PRM dan sayap anak muda yang dikenali sebagai Angkatan Rakyat Muda juga mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan untuk bertanding di PRU tidak dibincangkan dalam kongres Parti dan dibuat secara tiba-tiba tanpa sebarang proses demokratik. Perkara ini sedang menimbulkan kesangsian dan kekeliruan di kalangan pengundi dan kumpulan-kumpulan anak muda yang tidak jelas dengan hala tuju parti tersebut.

Pada hari pilihanraya, PRM tidak berjaya mendapat sokongan daripada kelas pekerja dan rakyat biasa yang dicerminkan dengan kekalahan besar bagi semua calon mereka. Rakyat biasa yang sedang berusaha untuk menjatuhkan BN dan pemerintahan PM Najib yang dibenci tidak melihat PRM sebagai pilihan yang bijak. Selain itu, calon daripada parti ini juga gagal untuk menggariskan program yang jelas dan dengan muka muka daripada kem pembangkang memenuhi senarai calon, rakyat biasa menjadi keliru dengan hala tuju PRM. Jika calonnya adalah bekas ahli pembangkang PH, maka, adalah wajar bagi mereka untuk memilih PH dalam pilihanraya bagi tujuan mengalahkan BN. PRM sendiri gagal untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah parti yang akan mampu membawa perubahan dalam kehidupan rakyat biasa.

Masa Hadapan Perjuangan Rakyat

Kelas pekerja, rakyat biasa dan terutamanya anak muda harus belajar dan mengambil teladan daripada perkembangan politik yang sedang berlaku. Kita harus mempersiapkan diri dengan pertahanan yang kuat menentang golongan liberal daripada menceroboh pertubuhan-pertubuhan politik yang mempunyai sejarah perjuangan dan kemampuan untuk membawa aspirasi golongan tertindas. Persiapan untuk mencegah kemasukan golongan liberal yang akan mencairkan program rakyat ini harus dimulakan seawal mungkin jauh sebelum menghadapi PRU. Kelemahan kepimpinan PRM yang tidak mempersiapkan ahli-ahli mereka untuk menghadapi situasi seperti ini telah terdedah apabila pihak-pihak liberal ini dengan senang berjaya mengambil alih kepimpinan parti tersebut. Malah, kepimpinan PRM sebelum ini juga sering menolak segala perbincangan dan perdebatan yang berhubung kait dengan perspektif politik dan ideologi parti.

Satu demi satu, semua pertubuhan dan perwakilan politik yang wujud untuk kelas pekerja dan rakyat biasa sudah dicemari dengan agenda liberal golongan kapitalis. Sambil mempergunakan retorik-retorik perjuangan, golongan elit sedang berharap untuk mempergunakan sentimen rakyat yang menginginkan perubahan dan memenangi beberapa kerusi di PRU. Kerajaan PH sekarang yang terdiri daripada perwakilan elit kapitalis juga tidak mewakili kepentingan rakyat sepenuhnya. Pada masa ini, akibat penglibatan rakyat dalam jumlah yang banyak pada PRU lepas yang berjaya mengalahkan BN yang dianggap tidak boleh tumbang, pihak kerajaan PH sedang menghadapi pelbagai tekanan untuk melaksanakan segala janji pilihanraya mereka. Oleh itu, kita boleh mengharapkan beberapa reformasi struktur pentadbiran yang selama ini dibentuk oleh kerajaan BN yang bersifat rasis dan berasaskan kepada agenda memecah belahkan rakyat mengikut garis kaum. Tetapi, pada masa yang sama, perwakilan elit kapitalis ini akan sentiasa menyebelahi kehendak golongan majikan dan pemodal yang akan bercanggah dengan aspirasi rakyat biasa.

Kelas pekerja dan rakyat tertindas harus sedar bahawa kita tidak boleh bergantung dengan parti politik arus perdana yang sedia ada untuk membawa aspirasi kita ke hadapan. Proses pilihan raya perwakilan Parlimen juga tidak berunsur demokratik dan seringkali mencegah penglibatan rakyat biasa. Maka, kita harus melihat menjangkaui PRU dan harus membina gerakan akar umbi sebagai kuasa perubahan dalam masyarakat. Kelas pekerja dan rakyat biasa tidak boleh berlengah lagi dan harus memulakan pembinaan perwakilan politik mereka sendiri yang berdasarkan kepada tuntutan dan program rakyat. Pada masa yang sama, perwakilan politik ini harus membina perjuangan rakyat dari bawah untuk mencabar penguasaan golongan elit ke atas hidup kita semua. Sebarang perwakilan politik yang ditubuhkan tanpa perspektif dan hala tuju yang berdasarkan kepada gerakan massa, hanya akan menjadi kuda tunggangan para elit dan perkara ini haruslah dielakkan sama sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*