INDONESIA : 50 Tahun Selepas Pembunuhan Massal

INDONESIA : 50 Tahun Selepas Pembunuhan Massal

Posted by

Sempena memperingati lebih satu juta mangsa yang terkorban dalam peristiwa pembunuhan massal yang berlaku di Indonesia pada 1965, kami menerbitkan kembali artikel yang ditulis pada tahun lepas.

Jika kita menyusun senarai tragedi kemanusiaan yang paling kejam pernah berlaku dalam dunia moden ini, maka pembunuhan besar-besaran terhadap orang-orang yang dituduh komunis di Indonesia sudah pasti berada dalam urutan lima terbesar. Dalam tempoh tiga tahun sahaja (1965-1968), pembunuhan terancang terhadap ahli dan penyokong Parti Komunis Indonesia (PKI) telah menamatkan riwayat lebih satu juta nyawa. Tahun 2015 ini, telah lima puluh tahun peristiwa berdarah itu berlalu, tetapi kontroversi sejarah mengenainya masih tiada penghujungnya.

PERKEMBANGAN PKI

PKI yang ditubuhkan pada tahun 1921 adalah pertubuhan politik pertama yang menggunakan nama ‘Indonesia’ sebagai nama organisasi di kawasan yang pada masa itu masih disebut sebagai Hindia Belanda. Dipimpin oleh anak-anak muda seperti Semaun dan Tan Malaka, PKI berjaya mendapat sokongan rakyat kebanyakan, termasuk bekas ahli Syarikat Islam. Pada tahun 1926, PKI melancarkan satu pemberontakan terhadap Belanda di pelbagai daerah. Tindakan ini ditumpaskan oleh pemerintah, dan ramai pemimpinnya ditahan atau melarikan diri ke luar negara. Perdebatan dalaman mengenai strategi pemberontakan itu juga menyebabkan parti itu berpecah. Pada masa inilah sokongan terhadap Parti Nasionalis Indonesia (PNI) di bawah pimpinan Soekarno meningkat.

Walaupun Indonesia sudah mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1945, Belanda baru sepenuhnya melepaskan seluruh daerah kekuasaannya kepada pemerintah Indonesia pada tahun 1948. Sebelum ini, para pemimpin PKI selepas pemberontakan 1926 tetap bergerak di bawah tanah sama ada di Hindia Belanda atau di luar negara dengan misi membina semula parti . Atas arahan Stalin, PKI yang baru mula kembali aktif di bawah pimpinan Muso melakukan sebuah tindakan insurgensi di bandar Madiun, Jawa Timur. Tindakan pramatang ini berjaya ditumpaskan oleh tentera dan sekali lagi PKI mesti memulakan untuk membina parti dari awal lagi.

Pada tahun 1951, DN Aidit mengambil alih kepimpinan PKI dan dalam masa yang singkat berjaya membina parti menjadi salah satu yang terkuat di Indonesia. Dalam pilihan raya pertama yang pernah diadakan di Republik itu pada tahun 1955, PKI menduduki tangga keempat selepas PNI dan dua parti Islam, iaitu Parti Nahdatul Ulama, dan Parti Masyumi. Kerajaan pakatan PNI, PKI dan parti-parti Islam ditubuhkan oleh Soekarno. Demokrasi liberal yang dilaksanakan pada waktu itu menyebabkan kerajaan tidak stabil dengan peneraju pemerintahan dan perlembagaan negara kerap berubah. Situasi ini dipergunakan oleh Soekarno untuk mengeluarkan sebuah mandat presiden pada tahun 1959 yang mengangkat dirinya sendiri sebagai presiden seumur hidup. Gaya pentadbiran Soekarno dengan slogan-slogan seperti ‘demokrasi terpimpin’, ‘marhain’ cenderung kepada pentadbiran autoritarian dan nasionalisme, dan PKI meneruskan kesepakatan mereka tanpa kritikal kepada pendekatan politik dan program-program ekonomi dan sosial kerajaan Soekarno yang tidak mampu menyelesaikan masalah petani dan pekerja. Tetapi kerapatan PKI dan Soekarno serta perkembangan pesat sokongan rakyat kepada PKI yang dianggap parti yang tidak korup berbanding parti-parti lain, menyebabkan kerajaan Soekarno menjadi sasaran untuk dijatuhkan oleh blok Barat. Pada masa itu adalah puncak perang dingin dan Soekarno melancarkarkan dasar anti Amerika. Apalagi pada waktu itu PKI sudah menjelma menjadi sebuah parti komunis ketiga terbesar di dunia dan mempunyai hubungan rapat dengan Kesatuan Soviet dan Republik Rakyat China.

Salah satu faktor peningkatan sokongan rakyat kepada PKI adalah program reformasi tanah yang memang disokong oleh majoriti penduduk Indonesia yang merupakan petani. Barisan Tani Indonesia (BTI), iaitu pertubuhan petani di bawah PKI memimpin penentangan terhadap perampasan tanah oleh tuan-tuan tanah. Sikap konfrantasi mereka menimbulkan konflik langsung dengan tuan-tuan tanah yang majoritinya adalah penyokong parti-parti Islam dan mereka juga dipertahankan oleh tentera. Ini menambah tahap konflik di antara golongan ulama dan tuan-tuan tanah, dan tentera di satu pihak, dan PKI di pihak yang lain. Soekarno dengan golongan nasionalisnya berada di tengah-tengah, walaupun tentera dan parti-parti Islam menganggap beliau terlalu memihak kepada PKI.

Persaingan politik di antara PKI dan tentera bersama golongan parti-parti Islam dipergunakan oleh Barat untuk menghancurkan PKI. Isu bahawa terdapat “dewan Jeneral” yang hendak mengambil alih kuasa secara paksa dari Soekarno dihembuskan. PKI kemudian terpancing dengan isu ini dan mengambil sikap menentang kewujudan “dewan jeneral”. Pengakhiran nasib PKI bermula pada 30 September 1965 yang dikenali sebagai peristiwa G30S. Satu plot rampasan kuasa telah dilancarkan oleh sekumpulan puak tentera yang menculik enam orang jeneral, membunuh mereka, dan mencampakkan mayat di sebuah perigi tua di daerah Lubang Buaya, Jakarta. Pihak tentera kemudian langsung mengatakan bahawa pembunuhan jeneral itu dilakukan oleh PKI.

Sampai saat ini, ada beberapa versi sejarah tentang siapa dalang sebenar di sebalik pembunuhan jeneral itu. Namun analisis yang paling kuat menunjukkan bahawa agensi perisik antarabangsa Amerika Syarikat CIA memainkan peranan di dalam insiden itu. Ini dilakukan untuk menjadikan PKI sebagai kambing hitam dan alasan untuk menumpaskan mereka sampai ke akarnya. Suharto yang merupakan boneka Amerika Syarikat, dan antara dalang dalam perancangan untuk menghancurkan PKI, mengambil alih kepimpinan negara.

PEMBUNUHAN BESAR-BESARAN

Maka bermulalah sebuah sejarah hitam bagi rakyat Indonesia. Sesiapa sahaja yang dianggap mempunyai kaitan dengan PKI kemudian menjadi mangsa pembunuhan besar-besaran. Aksi pembunuhan besar-besaran tersebut dilakukan oleh kumpulan-kumpulan sivil yang anti komunis dengan sokongan tentera. Salah satu laporan menyebut bahawa pembunuhan terhadap orang-orang yang dituduh komunis dan ahli keluarga mereka bermula apabila tentera menghantar satu batalion menuju ke Jawa Tengah pada 17 Oktober 1965. Pembunuhan terhadap orang-orang yang dituduh sebagai PKI terus berlanjutan sehingga tahun 1968. Dalam tempoh tiga tahun tersebut, dijangkakan lebih satu juta nyawa terkorban. Mereka yang terselamat dari pembunuhan, diseksa, dirogol, kemudian dihantar ke penjara tanpa melalui proses mahkamah. Empat belas ribu diasingkan ke Pulau Buru dan menjadi buruh paksa.

Banyak mangsa sebenarnya tidak tahu apa yang sedang berlaku, satu persatu diambil paksa dari rumah mereka, dibawa ke suatu tempat, dan dibunuh bersama mangsa lain. Daripada kaedah bagaimana pembunuhan itu dilakukan, jelas ini merupakan tindakan yang terancang. Sarwo Edhie, komander tentera yang bertanggungjawab terhadap aksi pembunuhan ini mengatakan: “Di Jawa kami harus menghasut penduduk untuk membantai orang-orang komunis. Di Bali kami harus menahan mereka, untuk memastikan bahawa mereka tidak bertindak terlalu jauh. ”

Pada 11 Mac 1966, Suharto secara rasmi mengambil alih kerusi presiden dari Soekarno melalui sebuah surat perintah. Maka bermulalah dasar negara yang pro kepada Amerika Syarikat di mana Orde Baru membuka seluas-luasnya peluang kepada kapitalis-kapitalis antarabangsa melabur dan menguasai sumber alam yang penting. Penjajahan modal antarabangsa itu masih dirasakan impaknya sampai saat ini. Suharto yang memerintah secara autoritarian dan ketenteraan tidak pernah bertimbang rasa terhadap sebarang penentangan. Jika ada saja yang menentang rejim Orde Baru, maka akan dituduh sebagai PKI. Aktivis pekerja, petani dan pembela masyarakat miskin lain boleh dengan mudah dituduh melaksanakan cara-cara PKI. Bayangan ketakutan terhadap bahaya PKI masih dipergunakan oleh rejim pemerintah hingga ke saat ini, walaupun kediktatoran rejim Soeharto telah dijatuhkan pada tahun 1998 melalui gerakan reformasi.

Sejarawan Takashi Siraishi mengakui bahawa PKI berperanan dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia. Merekalah yang paling awal melakukan pemberontakan terhadap Belanda pada tahun 1926. Anggapan bahawa PKI sebagai pihak yang merancang G30S juga sudah banyak ditolak oleh sejarawan lain. Menurut analisis alternatif sejarah yang banyak bermunculan selepas reformasi, maka penglibatan CIA, Soeharto, dan tentera dalam menghapuskan PKI melalui G30S tidak dapat dinafikan. Namun propaganda rejim Orde Baru terhadap PKI kononnya kekejaman dan pengkhianatan dilakukan PKI membuat parti itu dibenci sampai saat ini.

KELEMAHAN POLITIK PKI

Pada Ogos 1965, tiga setengah juta rakyat Indonesia telah menjadi ahli PKI , dan di samping itu, organisasi yang berlandaskan kepada kesatuan sekerja, petani, anak muda, wanita dan pergerakan budaya bergabung dengannya dengan sokongan lebih 20 juta orang. Dengan kekuatan tersebut, PKI mempunyai satu posisi yang mantap dan peluang untuk mengambil alih kuasa, tetapi kelemahan dan kesilapan perspektif politik, taktik dan program telah memberikan laluan kepada musuh untuk menghancurkannya.

Dari awal lagi, politik PKI telah terjerat di dalam agenda-agenda oportunis rejim stalinisme di Moscow dan rejim maoisme di Peking yang menggalakkan perikatan dengan kapitalis nasional semata-mata untuk menggagalkan pembentukan kerajaan demokratik pekerja yang akan menjadi ancaman kepada kediktatoran birokrasi yang diamalkan oleh rejim-rejim ini, dan juga di negara-negara di bawah naungan mereka. Dalam satu kenyataan, Aidit mengusulkan tugas utama PKI adalah untuk membentuk “barisan bersatu semua kuasa-kuasa anti-imperialis dan anti-feudal di negara ini. Iaitu kelas pekerja, petani, petit-borjuasi (kapitalis kecil) dan borjuasi (kapitalis) kebangsaan.

Dengan tugas ini matlamat perikatan adalah untuk membawa pembaharuan bukan sosialis tetapi demokrasi”. Pendekatan PKI menjalinkan pakatan dengan Soekarno dan PNI dengan matlamat tersebut ternyata membawa padah apabila tentera dan parti-parti Islam yang rapat dengan tuan-tuan tanah dan kapitalis nasional mempergunakan imperialis US dan CIA untuk melancarkan pembunuhan kejam terhadap ahli dan penyokong PKI.

Jelas di sini tuan-tuan tanah dan kapitalis nasional yang mengeksploitasi ha-hak petani, pekerja dan rakyat miskin tidak akan menyempurnakan tugas-tugas ‘revolusi demokratik borjuasi’, seperti reformasi tanah dan memberikan tanah kepada para petani yang boleh mewujudkan pasaran dalaman yang berdaya maju; penyatuan negara dan pembangunan negara di sepanjang garis moden dari segi ekonomi dan politik melalui institusi demokrasi berparlimen. Tugas-tugas ini telah disempurnakan oleh kelas kapitalis nasional di negara-negara kapitalis maju (Eropah, Amerika dan lain-lain) secara kasar di akhir abad kesembilan belas. Tetapi kapitalis nasional yang juga mempunyai hubungan akrab dengan tuan-tuan tanah di Indonesia agak lemah pada masa itu, dan lebih selesa untuk bergerak atas kehendak kapitalis antarabangsa daripada membawa ‘demokrasi’ di Indonesia seperti yang dinyatakan oleh Aidit. US dan negara-negara Imperialis yang lain yang terus mengeksploitasi sumber-sumber kekayaan di Indonesia sedar bahawa hanya dengan menumpaskan perkembangan PKI, kebangkitan petani dan pekerja dapat dicantas, dan seterusnya mengangkat orang-orang suruhannya seperti Soeharto untuk menegakkan agenda neo-liberalisme.

Seperti kata Lenin pada awal 1920an, “Saya terutamanya perlu menekankan soal gerakan demokrasi borjuasi di negara-negara mundur … Terdapat perbezaan tertentu antara kapitalis di negara-negara yang mengeksploitasi dan negara-negara jajahan, sehingga seringkali atau mungkin dalam kebanyakan kes, sementara kapitalis di negara-negara yang ditindas menyokong gerakan kebangsaan, mereka berhaluan sepenuhnya dengan kapitalis imperialis iaitu menyertai pakatan dengannya terhadap semua gerakan-gerakan revolusioner dan kelas revolusioner “. Memandangkan kapitalis nasional tidak akan memenuhi hak-hak dan keperluan pekerja, petani, anak muda dan rakyat miskin termasuk hak-hak ‘demokrasi’, apakah seharusnya dilakukan oleh PKI ?

Trotsky, yang telah menganalisis sifat revolusi di dunia penjajah dalam ‘Teori revolusi berterusan’, menegaskan bahawa kesedaran kapitalis kebangsaan dan kepentingan feudal telah ditenun bersama-sama di dunia kolonial dan separuh kolonial. Oleh itu kapitalis kebangsaan tidak akan menyebelahi pekerja dan petani miskin terhadap kepentingan feudal, atau kepentingan imperialisme. Oleh itu, pekerja dan petani perlu menjalankan tugas-tugas revolusi demokratik borjuasi, dengan kata lain perlu juga menentang borjuasi kebangsaan. Sejarah menunjukkan sifat petani yang berpangkalan di luar bandar akan mengharapkan kelas di bandar untuk melakukan revolusi, iaitu sama ada kelas kapitalis atau kelas pekerja. Tetapi dalam kes Indonesia pada masa itu, revolusi tidak akan dibawa oleh pihak kapitalis kerana revolusi melawan kepentingan mereka, dan dengan itu ia perlu dipimpin oleh kelas pekerja dengan sokongan petani dan golongan tertindas yang lain. Tetapi setelah memulakan ‘revolusi demokratik kapitalis’ menentang kapitalis dan imprealis, pekerja dan petani jelas tidak akan berhenti di situ, dan dengan itu tugas-tugas revolusi sosialis harus diteruskan. Sebaliknya, kerana kemustahilan membina sosialisme di satu negara, terutamanya di negara yang mundur dari segi ekonomi, revolusi akan akhirnya perlu untuk disebarkan secara antarabangsa. Pengalaman Revolusi Russia yang pada tahun 1917 yang berlandaskan ‘Teori revolusi berterusan’, menunjukkan bahawa Parti Bolshevik di bawah kepimpinan Lenin dan Trostky telah membuktikan bahawa dengan kepimpinan kelas pekerja yang disokong oleh warga miskin petani mampu untuk mengambil kuasa, walaupun pekerja adalah golongan minoriti.

PEMBINAAN SOSIALISME MASIH RELEVEN

Semenjak kejatuhan Suharto, pemimpin demi pemimpin bertukar, parti demi parti memerintah sehinggalah kepada kerajaan Jokowi pada masa ini, tetapi kemiskinan dan penindasan sosial dan ekonomi terhadap warga pekerja dan petani miskin terus berleluasa. Semenjak menghancurkan PKI pada 1965 pula, kapitalis nasional dan antarabangsa telah memperluaskan agenda neo-liberal untuk sepenuhnya mengawal ekonomi negara untuk memaksimumkan keuntungan mereka.

Ini menunjukkan pembinaan sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme masih penting untuk memerdekakan pekerja dan petani daripada kemiskinan dan penindasan. Program sosialis diperlukan untuk menangani ketidaksamaan sosial dan ekonomi yang semakin meluas dan menegakkan hak-hak kelas pekerja dan golongan miskin luar bandar untuk menamatkan diskriminasi dan kemiskinan yang dicipta oleh kapitalisme. Sosialis dan Marxist di Indonesia perlu belajar daripada pengalaman PKI dan kesilapan mereka untuk bergerak ke hadapan dalam membantu pembinaan sosialis alternatif untuk kelas pekerja, petani, anak muda dan golongan tertindas yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*