Catalonia/Sepanyol: Aksi massa diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan PP!

Catalonia/Sepanyol: Aksi massa diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan PP!

Posted by

Untuk Sebuah Republik Sosialis Catalan!

Pada 1 Oktober lalu, hampir di setiap pelosok, negeri Catalonia menjadi huru-hara seakan-akan berada di bawah pemerintahan tentera. Beribu-ribu polis dan penguat-kuasa sivil – yang dihantar oleh kerajaan Partido Popular (Partai Rakyat / PP) dan Jabatan Kehakiman Negara – telah menggunakan kekerasan yang melampau untuk menghalang pemungutan suara dalam referendum pembebasan Catalonia dan melakukan keganasan terhadap puluhan ribu rakyat biasa. Mereka menghancurkan panel kaca sekolah dan mencuri kotak-kotak undi. Lebih 400 buah sekolah menjadi mangsa tindakan ganas ini. Kerajaan persekutuan yang ingin meneruskan penjajahan mereka terhadap rakyat Catalonia sedang melakukan apa sahaja bagi menindas sebarang gerakan rakyat yang sedang menuntut kemerdekaan daripada kawalan Sepanyol.

Beratus-ratus cedera

Menurut data rasmi, seramai 844 orang telah tercedera dalam pergelutan dengan pihak penguasa dan dua daripada mereka berada dalam keadaan serius di hospital Barcelona. Imej dan rakaman ribuan pasukan polis yang bertindak dengan ganas terhadap penduduk Catalan bagi menghalang mereka dari mengekspresi diri secara demokratik, sedang tersebar ke seluruh dunia. Media antarabangsa sedang membandingkan tindakan-tindakan penindasan ini dengan zaman pemerintahan diktator Franco yang berakhir pada tahun 70-an.

Imej-imej rejim Franco telah kembali dan kali ini dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri Rajoy bersama sokongan golongan sayap kanan nasionalis Sepanyol. Tindakan mereka untuk cuba menghukum rakyat Catalonia yang sedang menuntut kemerdekaan telah meraih kemarahan berjuta-juta anak muda dan kelas pekerja negeri tersebut.

Pelajaran politik tentang apa yang berlaku di Catalonia akan direkodkan dalam kesedaran berjuta-juta orang, baik dari Catalonia dan juga di seluruh dunia. Justifikasi bahawa PP dan pemerintahnya ‘hanya menerapkan undang-undang yang wujud’, tidak dapat melindungi fakta bahawa undang-undang itu sendiri tidak adil, tidak demokratik dan menindas aspirasi berjuta-juta rakyat Catalonia. PSOE [Partido Socialista Obrero Español – parti sosial-demokratik] pula, nampaknya lebih gemar membuat sekutu dengan penindas PP daripada mengakui hak rakyat Catalonia untuk menentukan masa depan mereka.

Kemuflisan politik kepimpinan PSOE

Semua harapan yang ada bahawa kepimpinan baru PSOE di bawah Pedro Sanchez akan membawa parti ini balik ke pangkuan perjuangan rakyat telah hancur sama sekali dengan pendirian mereka dalam persoalan pembebasan nasional masyarakat Catalonia.

Keterlibatan para pemimpin PSOE dengan PP dalam cubaan untuk menindas rakyat Catalonia dan menghalang mereka daripada mengundi pada 1 Oktober akan tercatat dalam sejarah parti demokrasi sosial itu sebagai satu titik hitam. Hujah-hujah kepimpinan PSOE dan Pedro Sanchez yang mempertahankan nasionalisme sayap kanan dan kekerasan polis terhadap rakyat biasa mencerminkan kemuflisan politik yang sedang dialami oleh parti bersejarah ini.

Para pemimpin PSOE mendedahkan akibat buruk yang boleh mucul daripada memeluk nasionalisme Sepanyol dan bergabung dengan kelas pemerintah. Mereka bukan sahaja meninggalkan kedudukan sosialis mengenai persoalan nasional – yang sentiasa mempertahankan hak penentuan nasib sendiri bagi negara-negara yang ditindas – tetapi mereka juga cuba lari dari tanggungjawab mereka dengan menggunakan retorik “rundingan” dan “dialog”.

Hujah bahawa referendum ‘1-O’ adalah sebuah ‘kudeta’ atau ‘anti-demokratik’ kepada penduduk Catalan adalah sebuah bohong besar yang cuba diputarkan oleh media kawalan kapitalis Sepanyol. Sekiranya Kerajaan Persekutuan PP, Parti nasionalis Ciudadanos dan kepimpinan PSOE sangat yakin bahawa rakyat Catalonia tidak mahu berpisah daripada Sepanyol, maka mengapa tidak membenarkan pungutan suara tersebut berlangsung dengan aman? Mengapa cuba menghalang orang daripada mengundi dengan menggunakan kekerasan daripada pihak berkuasa?

Perlembagaan 1978

Jutaan anak muda, kelas pekerja dan warga Catalan telah mempersoalkan sifat otoritaris dan oligarkis rejim kapitalis yang ditubuhkan pada tahun 1978. Bagi membantutkan segala gerakan revolusi yang wujud, para kapitalis Sepanyol dan pemimpin organisasi kiri (PCE [Parti Komunis Sepanyol] dan PSOE) mencapai persetujuan untuk melanjutkan sistem kapitalisme demi mengekalkan beberapa konsesi demokratik yang telahpun dimenangi oleh perjuangan rakyat di jalan raya. Dengan cara ini, transformasi masyarakat ke arah sosialisme telah dihalang dan para kapitalis berjaya mengekalkan kawalan mereka melalui rejim monarki dan struktur politik parlimen yang mengekalkan unsur-unsur pemerintahan kuku besi.

Perlembagaan 1978 telah membawa banyak perubahan sosial, tetapi aparatus kerajaan kapitalisme terus dipelihara; badan kehakiman, polis dan kuasa tentera kekal di tangan golongan reaksioner yang sama. Sudah tentu ekonomi “pasaran bebas” dan jaminan kuasa mutlak bagi para kapitalis juga tidak dipersoalkan, dan hak penentuan nasib sendiri untuk Catalonia, Basque dan Galicia dinafikan sama sekali.

Kelas pekerja dan anak muda dari seluruh dunia harus memahami bahawa nasib penduduk Catalonia juga akan melanda kita semua. “Orang yang menindas orang lain tidak boleh merasai kebebasan,” kata Karl Marx. Itulah sebabnya gerakan-gerakan buruh sepanjang sejarah sering menjulang bendera perjuangan pembebasan nasional dan hak untuk menentukan nasib sendiri bagi masyarakat yang tertindas sebagai sebahagian daripada perjuangan ke arah sosialisme. Hari ini di Catalonia, kita sedang berjuang untuk kebebasan demokratik yang sepatutnya sudahpun dimenangi pada tahun 1970-an. Jika hari ini kerajaan persekutuan membalas dengan kekerasan bagi tuntutan demokrasi rakyat Catalonia, apakah yang akan berlaku keesokan hari? Jawapannya tidak sukar untuk difikirkan. Besok mereka akan meningkatkan penindasan terhadap semua yang bangkit melawan ketidakadilan dan menyoal penindasan dan pemerintahan mereka. Mereka akan meluluskan undang-undang baru, langkah-langkah penindasan yang luar biasa dan tidak akan teragak-agak untuk melangkaui zaman kediktatoran Franco.

Kelas pemerintah Sepanyol menyediakan serangan baru terhadap Catalonia

Referendum 1 Oktober menandakan titik perubahan dalam perjuangan kelas bukan sahaja di Catalonia, tetapi di seluruh negara Sepanyol. Akibat tindakan regresif, kelemahan pemerintahan PP sedang semakin terdedah dan legitimasinya sudah mula dipersoalkan. Percubaan PP dan kuasa-kuasa sayap kanan untuk memobilisasi demonstrasi bantah referendum juga mengundang persoalan dimana kumpulan-kumpulan ekstremis yang hadir telah menyayikan lagu-lagu berunsur fasisme. Walaubagaimanapun, demonstrasi anjuran PP telah menghadapai kegagalan dengan kekurangan hadirin dan dikalahkan oleh demonstrasi massa yang membawa aspirasi pembebasan Catalonia.

Seperti dalam semua peristiwa sejarah yang besar, tindakan langsung massa dan campur tangan revolusioner mereka yang telah mengubah keseluruhan senario. Rejim politik Sepanyol, dari segi penguasaan kapitalis yang berdiri teguh selama empat dekad, kini sedang huyung-hayang dilanda krisis. Keputusan Generalitat [kerajaan Catalonia] untuk membentangkan hasil referendum sebelum sidang Parlimen (kira-kira 2,100,000 undi – 90% memihak kepada pemisahan dengan negara Sepanyol), merupakan sebuah berita ngeri di kalangan kelas pemerintah Sepanyol.

Cabaran yang begitu besar telah memaksa kerajaan PP untuk memberikan ancaman rampasan kuasa terhadap institusi Catalan, membubarkan kerajaan Catalan dan menamatkan autonomi yang dinikmati. Editorial akhbar El Mundo berkata: “Dalam menghadapi pemberontakan ini terhadap pemerintahan yang sah, dan dalam konteks revolusioner yang merangkumi seruan dari organisasi buruh untuk melancarkan mogok umum, pemerintah Sepanyol tidak boleh lagi berlengah dan harus dengan segera menggunakan Artikel 155 Akta Keselamatan Awam, untuk memelihara keamanan dan untuk meletakkan Catalonia di bawah kawalan negara “(‘Tiada sesaat lagi untuk menentang ‘independentismo’(gelaran yang diberi kepada pejuang pembebasan Catalonia), 2 Oktober 2017).

Sangat sukar untuk membentuk sebuah perspektif yang tepat untuk peristiwa-peristiwa yang akan berkembang pada hari-hari berikutnya. Tetapi konfrontasi, iaitu, perjuangan kelas, akan melihat peningkatan dalam skala yang besar.

Persoalannya sangat spesifik. Rakyat yang digerakkan di Catalonia merasa kuat setelah kemenangan politik terhadap penindasan yang berlaku pada 1 Oktober. Kesedaran mereka telah mengambil langkah gergasi ke hadapan. Sekarang adalah masanya untuk mengambil kesempatan daripada keadaan ini, untuk mencapai perletakan jawatan PM Rajoy dengan segera, mengalahkan serangan kerajaan persekutuan dan menubuhkan Republik Catalonia. Jika ini berjaya dilakukan, ia akan melambangkan satu tamparan hebat terhadap rejim kapitalis Sepanyol dan kerajaannya. Ini akan menjadi alat yang berkuasa dalam memerangi dasar ‘austeriti’ (penjimatan perbelanjaan sosial) dan membuka jalan ke arah transformasi masyarakat sosialis.

Bertindak dengan mobilisasi besar-besaran! Untuk sebuah republik sosialis Catalan!

Semua syarat untuk mencapai matlamat ini sudah matang. Seruan untuk mogok umum pada 3 Oktober, dimana persekutuan kesatuan CCOO dan UGT de Catalonia telah berjaya diseret masuk, mencerminkan potensi massa dan titik kritikal yang telah dicapai dalam krisis ini. Pemogokan itu akan menjadi satu kejayaan tanpa keraguan, tetapi gerakan ini harus terus melangkah lebih jauh.

Koalisi CUP (Calon Perpaduan Popular), Podemos, Parti Catalunya en Comú (Catalonia bagi orang biasa) dan ERC (Republikan Kiri Catalonia) harus menubuhkan barisan bersatu kiri yang membela kelas pekerja, perpaduan perjuangan antarabangsa dan revolusioner sosialis  dan berjuang demi sebuah alternatif sosialis.

Perjuangan kiri, gerakan buruh dan kesatuan di Catalonia pada hari ini mempunyai tanggungjawab besar untuk menawarkan jalan keluar daripada krisis ini, iaitu untuk memperdalam dan memperluas perjuangan, menyusun mogok umum di tempat kerja, untuk memenangi sebuah republik Catalan dengan kerajaan kiri di barisan hadapan. Kerajaan sedemikian boleh menjalankan program yang akan memenuhi keperluan majoriti penduduk dan menentang oligarki kapitalis dari kedua-dua Sepanyol dan Catalonia.

Kerajaan kiri harus dengan segera menghentikan penguasaan kapitalis, melaksanakan cukai progresif, menjamin pendidikan dan kesihatan awam yang berkualiti, mewujudkan jutaan pekerjaan dengan gaji minimum yang tinggi dan akhiri pengusiran rumah dengan mewujudkan skim perumahan awam dengan sewa sosial yang berpatutan. Kerajaan ini mampu mengakhiri pemerintahan diktator elit dengan memilik-negarakan industri perbankan dan korporasi besar bagi menempatkan kekayaan dalam kawalan majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa.

Republik Catalan yang akan diperolehi melalui tindakan revolusioner massa, semestinya akan juga meneruskan perjuangan mereka menentang PDeCAT (Parti Catalan Demokratik Eropah) dan Puigdemont (Presiden Kerajaan Negeri Catalan) dan semua oligarki politik yang telah menguasai Catalonia selama ini dan mengamalkan polisi ekonomi neo-liberal yang sama seperti PP. Ia akan membuka pintu kepada perjuangan untuk sebuah republik sosialis di Catalonia dan sebuah federasi sosialis Sepanyol dan untuk memenangi perpaduan aktif orang ramai yang ditindas di Eropah dan di seluruh dunia.

Kita harus berusaha memerangi idea-idea utopia yang tidak menawarkan sebarang jalan keluar. Para reaksioner sayap kanan tidak akan memberikan hak untuk penentuan nasib sendiri kepada rakyat Catalonia kerana mereka tahu bahawa ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat biasa dan perjuangan mereka akan diteruskan ke arah menentang golongan kapitalis elit yang sedang menindas mereka.

Sudah tiba masanya untuk Unidos Podemos (Koalisi Podemos dan Gabungan Kiri [IU]) dan pemimpinnya Pablo Iglesias untuk terlibat dalam aksi yang konkrit. Kita harus menjalin solidariti aktif dari seluruh negara dengan perjuangan rakyat Catalan. Kejayaan mereka akan juga menjadi kejayaan kita, dan pencapaian ini tidak boleh dilakukan hanya dengan cuba menekan PSOE dan pemimpinnya Pedro Sanchez untuk bergerak ke arah aspirasi rakyat. Kita harus mencontohi anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa Catalonia selama beberapa minggu terakhir ini: dengan tindakan langsung, dengan mobilisasi massa dan dengan keberanian yang membawa kekalahan kepada pihak musuh.

Esquerra Revolucionària (CWI Sepanyol) ingin membina alternatif sayap kiri yang akan menggalakkan perpaduan pekerja dan anak muda Catalonia dengan saudara-saudari kelas mereka dari seluruh negara Sepanyol, dalam perjuangan bersama untuk sosialisme dan bagi menamatkan penindasan rakyat Catalonia, Euskal Herria [Basque] dan Galicia. Ini hanya boleh menjadi realiti jika gerakan ini berakar dalam perjuangan rakyat untuk menggulingkan kapitalisme dan ke arah transformasi masyarakat sosialis.

Kenyataan Esquerra Revolucionària (CWI Sepanyol). Untuk artikel dalam Bahasa Inggeris: http://socialistworld.net/index.php/international/europe/28-spain/9463-spain-catalonia-after-brutal-police-violence-mass-action-needed-to-bring-down-pp-government

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*