Hentikan Kenaikan Yuran, Utamakan Kebajikan Pelajar !

Hentikan Kenaikan Yuran, Utamakan Kebajikan Pelajar !

Posted by

Solidariti untuk Mahasiswa/i Universiti Malaysia Kelantan(UMK)

Mahasiswa/i Universiti Malaysia Kelantan ditampar dengan kenaikan yuran yang mengejut sebaik sahaja balik dari perayaan Hari Raya Korban dan Kemerdekaan oleh pihak pentadbiran Universiti. Kenaikan yuran tersebut datang dalam bentuk yuran latihan industri yang telah dinaikkan daripada yuran asal RM 760 kepada RM 1380. Kenaikkan sebanyak 98% dari yuran asal tanpa diberikan justifikasi yang adil.

Baru sahaja selepas menyambut kemerdekaan dan pengorbanan, mahasiswa kini telah dijerat ibarat haiwan korban dengan kenaikkan yuran yang tidak munasabah ini. Penganiyaan ini dilakukan oleh pihak pentadbiran universiti tanpa pengumuman awal serta tidak mengatur perbincangan dan rundingan dengan mahasiswa/i! Isu ini menunjukkan betapa universiti yang sepatutnya menjadi simbol kepada pembangunan manusia dari aspek pendidikan dan insaniah sebaliknya telah menjadi alat perniagaan untuk meraih untung melalui yuran yang tinggi dan menggunakan yuran yang dibayar oleh pelajar untuk menutup lompong-lompong defisit bajet universiti akibat pemotongan dana oleh kerajaan.

Mahasiswa/i kini bukan sahaja ditekan dengan ketidaktentuan peluang pekerjaan, kos hidup yang semakin tinggi, pemotongan bajet universiti oleh Kementerian Pendidikan, kekurangan bantuan kebajikan, bencana alam yang melanda di pantai timur negara, semua ini telah memberi tekanan secara langsung dan tidak langsung kepada kehidupan mahasiswa/i di Malaysia. Tanggungan keluarga, tekanan pelajaran dan harapan keluarga terhadap mahasiswa/i terlalu berat meletakkan mahasiswa/i di ambang keterdesakan.

Mahasiswa/i di UMK haruslah bersatu di bawah satu kepimpinan yang dipilih oleh mereka secara demokratik untuk membawa tuntutan serta tidak berkompromi dengan ugutan-ugutan yang dilemparkan oleh pihak pentadbiran. Peningkatan kesedaran mahasiswa/i terhadap struktur dan matlamat universiti yang sepatutnya berorientasikan kepada keperluan mahasiswa/i dan bukannya untuk keuntungan boleh meluaskan perjuangan mereka bukan hanya kepada isu yuran, malah keperluan untuk mendemokrasikan universiti untuk hak dan keperluan pelajar serta rakyat jelata.

Untuk meraih sokongan dan solidariti daripada mahasiswa/i, pensyarah dan kakitangan UMK serta universiti-universiti yang lain dan juga masyarakat secara umumnya, mahasiswa/i UMK boleh membentuk satu gerakan yang demokratik untuk mengukuhkan hak dan tuntutan mereka. Universiti awam seperti UMK yang sebahagian besarnya ditampung melalui pembayaran cukai oleh rakyat seharusnya dimiliknegarakan secara demokratik untuk memenuhi keperluan rakyat bukannya menjadi tempat membuat perniagaan untuk mengaut keuntungan. Bangkit wahai mahasiswa/i, untuk menuntut hak dan demokrasi di universiti!

Perjuangkan pendidikan percuma, kerana pendidikan adalah tangungjawap sosial bukannya komoditi untuk mengaut keuntungan ! Pendidikan separa subsidi tajaan kerajaan di IPTA hanyalah retorik semata-mata, di mana terbukti bahawa pemberian subsidi amat bergantung kepada keadaan ekonomi, dan seperti dalam keadaan ekonomi masa kini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk memotong subsidi jika pendapatan negara merosot, yang membuka ruang kepada kenaikkan yuran! Perjuangkan juga, hak demokrasi di kampus, dan memastikan Majlis Perwakilan Pelajar, tidak berdiam diri apabila melihat rakan-rakan mereka ditindas, dan mengambil langkah untuk memastikan kepimpinan MPP berlandaskan kepada keperluan pelajar. Ini termasuk melibatkan diri dalam pilihanraya kampus dengan tuntutan pendidikan percuma dan demokrasi pelajar, dengan menjadikan isu kenaikkan yuran latihan industri ini sebagai bukti bahawa penganiyaan akan terus bermaharajalela di kampus melainkan universiti memihak kepada keperluan dan hak mahasiswa/i. Mahasiswa/i diseluruh kampus UMK! Ayuh bersatulah!

Sosialis Alternatif Malaysia memberikan sokongan solidariti kepada Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan dalam memperjuangkan hak mereka. Rakan-rakan juga boleh menandatangani petisyen yang dilancarkan oleh mahasiswa UMK dalam memperjuangkan keadilan mereka:

https://www.change.org/p/universiti-malaysia-kelantan-petisyen-bagi-memohon-pengurangan-kadar-yuran-untuk-para-pelajar-semester-7-2017-2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*