PERSATUAN PEMANDU-PEMANDU TEKSI NASIONAL, DARI MANA DAN KE MANA ARAH TUJUNYA ?

PERSATUAN PEMANDU-PEMANDU TEKSI NASIONAL, DARI MANA DAN KE MANA ARAH TUJUNYA ?

Posted by

Baru-baru ini, pemandu-pemandu teksi Malaysia telah menubuhkan jawantankuasa interim untuk menjalankan gerak-kerja penubuhan Persatuan Pemandu Teksi Nasional. Menurut artikel The Malay Mail yang bertajuk ‘National union for cabbies in the works’ diterbitkan pada 4 Julai 2017, tujuan utama penubuhan persatuan ini menurut ketua sekretariatnya, bahawa persaingan sengit dari perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Grab dan Uber yang kini telah mengancam mata pencarian pemandu teksi dan peranan kerajaan yang lemah dalam membela nasib mereka. Sebelum melihat isu ini dengan lebih dalam, kita perlu lihat bagaimana keadaan dan kehidupan pemandu teksi sebelum dan selepas pelaksaan e-hailing di Malaysia dan bagaimana keputusan kerajaan yang memberi jalan kepada pengesahan e-hailing memberi impak kepada kehidupan pemandu teksi.

Taktik ‘Pecah Dan Perintah’ Terhadap Pemandu Teksi

Pada mulanya, sebelum datangnya e-hailing, kerajaan telah membuka jalan kepada pembentukan teksi dimana salah satunya; syarikat limousin dan teksi eksekutif yang lebih dikenali dengan warna biru, teksi persendirian yang dikenali dengan warna merah namun mereka bersekutu dibawah satu konsortium atau syarikat, teksi kereta sewa dimana mereka kebanyakannya bersendiri namun mempunyai persatuan tempatan di daerah masing-masing, juga ada TEKS1M iaitu teksi 1Malaysia.

Kewujudan pelbagai jenis teksi yang membawa jenis kenderaan yang berbeza juga telah membawa kepada perpecahan perpaduan diantara pemandu-pemandu teksi, dan rebutan kawasan antara pemandu yang berasal daripada sektor lain untuk merebut penumpang. Malah, persaingan antara mereka telah meletak pemandu-pemandu ini dalam situasi yang agak terdesak dan terpaksa pergi ke taktik-taktik kotor untuk menjaga periuk nasi mereka.

Penindasan ekonomi dan sosial

Antara cara-cara ini, amalan sesetengah pemandu yang tidak mengikut piawaian harga yang ditetapkan oleh kerajaan dan telah membawa publisiti yang tidak baik kepada pemandu teksi oleh pengguna, serta kenaikan harga minyak yang tidak bersubsidi dan mengikut pasaran yang tidak menentu juga menjadi faktor kepada situasi ketat ini. Ibarat kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga inilah realiti pemandu teksi hadapi. Tambahan pula, bebanan yuran peraturan lesen, serta ketetapan spesifikasi motokar yang ketat, telah meletak mereka dalam bebanan kewangan yang tinggi.

Di samping itu, peranan majikan dalam menekan pemandu-pemandu teksi untuk terus bekerja, dan menjadi penyelia kecekapan kerja telah menjerumus kepada eksploitasi, dan perjanjian sewa-beli antara pemandu dan bank telah menambah bebanan hutang dengan harapan mereka akan memiliki kenderaan yang mereka kerjakan. Malangnya, majikan telah jumpa satu jenis pekerja yang amat terdesak dan menjadi contoh baik untuk mereka menekan dan mengaut untung iaitu pemandu teksi! Ketiadaan kesatuan sekerja nasional dan hanya persatuan-persatuan kecil telah memberi ruang dan peluang kepada majikan-majikan untuk menekan dan memecahbelahkan, mereka kerana tiada suara kolektif yang dapat mewakili mereka, apatah lagi menyuarakan tuntutan serta hak-hak mereka.

Polisi kerajaan yang memihak kepada kapitalis

Lama-kelamaan, disebabkan oleh pasaran bebas serta kemajuan teknologi aplikasi telefon pintar, telah membawa masuk perkhidmatan yang lagi bebas, murah, dan mudah berjaya mencakupi pasaran tempatan Malaysia. Iaitu perkhidmatan e-hailing. Dengan sokongan kapitalis internasional, syarikat seperti Uber dan Grab berjaya menyusup masuk dengan memintas undang-undang teksi tempatan dan mengaut keuntungan industri teksi tempatan.

Dengan sokongan kerajaan Malaysia yang diketuai oleh parti Barisan Nasional yang pro-kapitalis; syarikat Uber dan Grab berjaya desak kerajaan untuk berpaling tadah kepada pemandu teksi tempatan dan mengkhianati janji-janji manis mereka selama ini yang kononnya malaikat penjaga kepada pemandu-pemandu teksi tempatan. Pendirian kerajaan ini menjadi lebih ketara dan keadaan bertambah tegang, apabila SPAD iaitu penguatkuasa undang-undang pekhidmatan awam tidak mengambil tindakan terhadap penyusupan yang tidak sah ini, malah apabila pemandu-pemandu teksi ini, memfailkan aduan mereka di mahkamah, jeritan tuntutan mereka jatuh ke telinga-telinga pekak di kamar-kamar pengadilan .

Keadaan pemandu teksi sebelum e-hailing sudah teruk, kini, dengan datangnya e-hailing, keadaan mereka bertambah teruk. Dalam tempoh reaksi, sesetengah kelompok pemandu-pemandu teksi telah mengambil cara yang cacat dan hanya membantutkan perjuangan mereka, ada yang mengambil cara ala-ala ‘vigilante’ dengan menahan dan menggangu pemandu-pemandu e-hailing dan menghalau penumpang mereka. Mereka berhujah sekiranya SPAD tidak mengambil tindakan, kami akan mengambil tindakan mengikut kemampuan kami sendiri.

Malah ada juga yang berkumpul dan mulakan protes pra-matang dengan menduduki jalan-jalan raya di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur lalu menambah lagi kesesakan jalan. Apakah kesan dari tindakan sebegini? Hanya publisiti buruk dan kecaman khalayak umum terhadap mereka, malah sesetengah dari mereka juga ditangkap oleh pihak polis. Tindakan sebegini bukan hanya memberi publisiti buruk kepada gerakan pemandu teksi, malah seluruh gerakan telah berpatah semangat, dan terus mengambil tindakan menggunakan tangan mereka sendiri, malah tiada satu jawatankuasa tulen yang bersatu dan selaraskan gerakan mereka. Tindakan-tindakan seperti ini telah memberi peluang kepada kapitalis Uber dan Grab untuk mencekup pasaran penumpang e-hailing dan konsolidasi kedudukan mereka sebagai alternatif paling baik untuk pengangkutan awam berbanding teksi.

Selepas tempoh reaksi gerakan pemandu teksi, arus tindak balas telah berpindah ke arah kerajaan pula, dalam pembentangan bajet Malaysia 2017, kerajaan dengan jelas telah mengambil kedudukan untuk menyokong e-hailing dengan memberi peluang untuk khayalak ramai untuk menjadi pemandu Uber dengan kemudahan rebat RM 4,000 dengan membeli kereta padat model Iriz dibina oleh Proton. Tambahan pula, kerajaan telah merangka undang-undang untuk legalisasi pemandu e-hailing dan mereka mendapat kelonggaran yang luas berbanding dengan pemandu teksi dari aspek yuran lesen, percukaian dan sistem pemandu e-hailing yang lebih mesra penumpang. Hari demi hari, pada awal tahun 2017, kerajaan telah tunduk kepada usaha lobi-melobi kapitalis Uber dan Grab, banyak program dan pengiklanan yang dijalankan untuk memasarkan perkhidmatan mereka, malah kegiatan mereka tidak sah disisi undang-undang! Kerajaan Malaysia dengan bangganya mengisytiharkan bahawa Malaysia juga negara pertama di dunia untuk mengesahkan perkhidmatan e-hailing! Walau bagaimanapun, Malaysia jugalah negara yang menghancurkan kehidupan dan periuk nasi ribuan pemandu teksi!

Disini, kerajaan telah menunjukkan warna sebenar mereka kepada pemandu-pemandu teksi, mereka menyokong agenda kapitalis antarabangsa dan menindas warganegara mereka sendiri! Legalisasi e-hailing di Malaysia telah memberi pukulan kuat kepada kesedaran pemandu teksi, mereka telah mengambil kesedaran kelas, bahawa mereka kelas tertindas harus bersatu dan berorganisasi untuk mendapatkan tempat mereka dan keadilan di tanah air sendiri. Bagi mereka persoalan politik bukan lagi satu isu, ia adalah satu jawapan untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa mereka serius dalam tuntutan mereka. Pada mulanya, mereka mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan mengundi untuk kerajaan pada pilihanraya yang seterusnya! Namun, ini tidak cukup; kerajaan bakal meramalkan bahawa lagi banyak modal politik di pihak kapitalis dan pemandu-pemandu e-hailing, dari mana segi kuantitinya lagi banyak undi boleh diraih sekiranya mereka mengambil aspirasi keuntungan kapitalis daripada pemandu teksi.

Persatuan Pemandu Teksi Nasional dan Politik Oportunis

Akhir-akhir ini, mereka telah mengadakan kongres untuk membina Persatuan Pemandu Teksi Nasional untuk memperjuangkan hak mereka dan membela nasib mereka yang sebelum ini rakus dimakan oleh kerajaan dan konco-konconya. Gerakan pemandu teksi telah terbentuk dengan penubuhan persatuan pekerja ini. Ekoran daripada itu, ahli politik oportunis seperti Rafizi Ramli yang mewakili Parti Keadilan Rakyat telah cuba untuk meletakkan mereka sebagai malaikat pelindung untuk membela nasib pemandu. Namun, dengan pendirian PKR yang pro-kapitalis juga boleh menjadi picu pembunuh kepada gerakan pemandu teksi ini, ini terbukti dengan pendirian PKR dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang mendapat tentangan keras oleh penduduk sekitar Selangor.

Ini menunjukan bahawa Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh PKR adalah pro-kapitalis dan abaikan hak-hak rakyat marhaen. Apatah lagi dengan pemandu teksi? Lantaran itu, penglibatan Abdullah Sani, iaitu Wakil Rakyat dari parti PKR yang juga merupakan pemimpin MTUC dalam peranan pembinaan persatuan ini, tidak menjamin apa-apa untuk membela nasib pemandu teksi. Sebaliknya ia hanyalah satu adengan wayang untuk meraih sokongan pemandu teksi untuk digunakan sebagai modal politik dalam agenda liberal mereka. Terang lagi bersuluh, bahawa PKR menyokong aspirasi kapitalis, mereka menggunakan wakil persatuan pekerja untuk memberi ilusi kepada pemandu teksi bahawa mereka berjuang untuk rakyat marhaen iaitu pemandu teksi.

Menyatukan Pemandu Teksi dan Pemandu Uber/Grab

Memandangkan keadaan sedimikian, apakah alternatif kepada pemandu teksi? Tidak perlu untuk persatuan pemandu teksi untuk bernaung dibawah parti pembangkang dalam menunjukkan bahwa mereka masih berkeupayaan untuk membalas dendam terhadap kerajaan yang telah mengkhinati mereka. Sedangkan langkah yang bernaung dibawah kerajaan atau parti politik pro-kapitalis dahulunya yang membawa mereka ke situasi binasa ini.

Pertamanya, pemandu teksi boleh bermula dengan menguatkan persatuan pekerja dengan melibatkan pemandu e-hailing ke dalam persatuan mereka atau mewujudkan kerjasama di antara mereka, dan ini boleh dilihat sebagai taktik munasabah dalam meningkatkan kemampuan persatuan dan suara kolektifnya. Kerana, pemandu e-hailing menghadapi situasi yang sama dengan pemandu teksi, dengan bebanan regulasi baharu untuk pemandu e-hailing, majikan seperti Uber dan Grab yang mengambil untung dengan banyak, boleh dijadikan titik permulaan untuk langkah solidariti dan organisasi dalam pembinaan persatuan yang kukuh dan kuat.

Persatuan yang bebas dan demokratik

Kedua, persatuan pemandu ini, mesti mempunyai struktur yang demokratik dan tersusun dengan perwakilan dari semua wilayah dan satu jawatankuasa eksekutif yang kuat dan komited dalam perjuangkan hak pemandu teksi. Ini boleh dilaksanakan dengan cemerlang, sekiranya jawatankuasa eksekutif tersebut berperanan sebagai perwakilan dan bukan bersifat birokratik dan memberi kata putus atau membuat apa-apa keputusan tanpa perbincangan atau pengesahan daripada ahli-ahli. Penting untuk jawatankuasa eksekutif tahu bahawa mereka berkhidmat untuk ahli dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri. Ahli berhak dalam persatuan tersebut menentang dan memanggil semula ahli jawatankuasa eksekutif itu untuk turun jawatan dengan mengeluarkan undi tidak percaya. Sistem sebegini boleh menjamin ketelusan jawatankuasa eksekutif dalam sentiasa meletakkan kepentingan pemandu sebagai agenda utama.

Ketiga, persatuan boleh buang peranan parti PKR dalam penubuhannya, untuk mengelakkan pengaruh oportunis menyelusup masuk demi mengelakkan persatuan digunakan sebagai kenderaan untuk agenda politik PKR dan pembangkang yang tidak meletakkan pekerja sebagai perjuangan utamanya.

Tiada perjuangan yang tidak berjaya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan jelas harus dijalankan secara berterusan agar perjuangan ini boleh membawa kemenangan kepada pemandu teksi. Bos memerlukan anda untuk mengaut keuntungan. Tetapi anda tidak memerlukan bos demi satu kehidupan! Kerana tenaga buruh itu terlabur kepada semua yang diciptakannya. Ayuh pemandu teksi dan pemandu Uber/Grab, bersatulah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*