Obituari: ERICK NICHOLAS MUJAH (1987-2017)

Obituari: ERICK NICHOLAS MUJAH (1987-2017)

Posted by

ERICK NICHOLAS MUJAH (25 Jun 1987- 16 Ogos 2017)

Erick meninggal dunia pada 16 Ogos yang lalu selepas bertarung nyawa selama 10 hari di hospital Kajang akibat komplikasi paru-paru berair, dan kegagalan multi-organ. Dia baru mencapai usia 30 pada tahun. Erick menyertai Sosialis Alternatif pada tahun 2010, dan merupakan antara komrad yang memainkan peranan penting dalam pembinaan organisasi.

Erick yang berasal daripada Kuching, Sarawak adalah seorang yang berjiwa besar, seorang pejuang, tidak lokek ilmu, dan banyak berkongsi tentang kelas pekerja, sosialisme, politik, ekonomi dan banyak lagi. Di sebalik sikapnya yang pendiam dan perahsia, Erick ialah orang yang jujur dan lantang dalam memperjuangkan hak-hak orang tertindas. Walaupun dalam kesusahan, tapi di kebanyakan waktunya dia luangkan untuk berdiskusi, turun ke kilang, mengorganisir dan sebagainya.

Erick adalah orang yang tidak pernah menceritakan jika dia sedang dalam masalah. Bahkan, dua bulan terakhir meskipun dalam kesakitan, dia masih melakukan kerja-kerja ini. Dia juga orang yang paling sederhana. Lihat sajalah baju kosong, seluar pendek, selipar yang sering dipakai dan seolah-olah menjadi trademark-nya. Anda tidak akan pernah nampak dia memakai sesuatu yang mahal. Mungkin, pakaian paling mewah adalah ketika kemeja, seluar dan kasut disarung ke tubuhnya yang berada dalam keranda.

Sebelum Erick menyertai Sosialis Alternatif (CWI Malaysia), dia pernah menjadi penyokong Pakatan Rakyat, dan telah banyak menyertai protes anjuran pembangkang bersama anak muda yang lain. Ketika kami bertemu kali pertama, dia sudah mula membaca tulisan-tulisan Marx dan cuba mencari jawapan kepada konflik yang sedang berlaku dalam politik Malaysia, dan seterusnya membuat kesimpulan bahawa Pakatan Rakyat yang telah menaburkan pelbagai janji pada PRU12 (2008) sudah mula menampakkan warna sebenarnya, dan dari segi politik dan polisi ekonomi dan sosial tidak akan memberikan alternatif sebenar kepada rakyat seperti mana  BN. Pendirian CWI terhadap politik Malaysia terutama posisi tidak memihak kepada parti-parti pro-kapitalis termasuk kepada parti-parti pembangkang, meyakinkan Erick untuk bergiat aktif dalam CWI.

Selain terlibat dalam kempen, protes dan intervensi SA, Erick juga banyak menyumbang idea untuk organisasi terutama dalam memahami persoalan nasional dan politik di negeri Sabah dan Sarawak terutama ketika isu autonomi menjadi semakin panas. Dia berpendirian bahawa rakyat Sarawak dan Sabah perlu mempunyai hak demokratik untuk menentukan sendiri hak untuk sama ada keluar atau tidak daripada persekutuan Malaysia, dan bukannya ditentukan oleh elit-elit politik kenegerian atau kerajaan persekutuan. Erick juga mengambil posisi yang sama kepada perjuangan rakyat untuk menentukan hak sendiri misalnya di Palestin dan Tamil di Sri Lanka. Ketika protes di Kuala Lumpur untuk bantah rejim Sri Lanka ke atas penindasan masyarakat Tamil di Sri Lanka, Erick sahaja peserta protes yang bukan Tamil.

Setahu kami, Erick tidak pernah mempunyai pekerjaan yang tetap, dan dia pernah bekerja di pusat panggilan, kedai buku, mengajar tuisyen dan juga pernah bekerja untuk ARM (Angkatan Rakyat Muda) ketika CWI terlibat dengan ARM. Pada awal tahun ini dia berjaya mendapat kerja di Rapid KL berpangkalan di Kajang, dan menganggapnya sebagai satu pekerjaan yang lebih tetap. Dia juga menjadi ahli Kesatuan Rapid, dan pernah membincangkan untuk mengorganisasi pekerja dalam Rapid.  Satu perkara yang selalu dibincangkan oleh Erick adalah perjuangan kelas pekerja dan pembinaan kesatuan sekerja terutama ketika mengorganisasi pekerja Atlas Ais, menunjukkan kepercayaan Erick terhadap kepimpinan pekerja dalam membawa perubahan dalam masyarakat.

Erick juga adalah antara penyumbang artikel untuk Solidariti Pekerja, terutamanya perkembangan di negeri Sarawak. Selain politik Malaysia, Erick juga selalu mengambil tahu perkembangan isu-isu dan perjuangan kelas pekerja antarabangsa. Erick pernah mewakili sosialis Alternatif ke persidangan antarabangsa CWI (CWI Summer School) pada tahun 2015 di Belgium.

Pemergian Erick adalah satu kehilangan besar kepada Sosialis Alternatif (CWI Malaysia), dan perjuangan untuk membina sosialisme sebagai alternatif kepada sistem kapitalisme. Selamat jalan komrad. Hasrat dan semangat perjuanganmu akan terus menginspirasikan kami untuk terus memperkukuhkan perjuangan dan organisasi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*