Ketidaktentuan Ekonomi Global dan Kesannya kepada Malaysia

Ketidaktentuan Ekonomi Global dan Kesannya kepada Malaysia

Posted by

Krisis sistem kapitalisme menghasilkan jurang kekayaan yang ekstrem. Manifestasi krisis ini terlihat jelas dari lensa global dan negara Malaysia juga tidak terkecuali, menjadi sebahagian daripada jaringan masalah realiti kehidupan kita secara umum. Majalah Forbes pada bulan Mac tahun ini, mengeluarkan artikel mengenai kekayaan para jutawan Malaysia yang semakin meningkat. Robert Kuok misalnya, menduduki tangga tertinggi orang terkaya di Malaysia bagi tahun ke-12 di mana dia telah berjaya meningkatkan hartanya dari 10 bilion USD tahun lepas ke 11.4 bilion USD tahun ini. Kapitalis berumur 93 tahun ini mengawal sebahagian besar daripada produksi sawit negara. Laporan tersebut juga mendedahkan beberapa kapitalis seperti pengusaha kasino yang beroperasi di Kambodia, Chen Lip Keong, melihat kekayaan mereka meningkat lebih 100% pada tahun ini.

Pada pola yang bertentangan pula, kadar pengangguran semakin meningkat terutama di kalangan anak muda di mana telah mencecah ke 10.7% pada tahun 2015. Peningkatan ini yang merupakan tiga kali ganda daripada kadar pengangguran nasional diterukkan lagi dengan pelbagai bentuk beban akibat langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Jumlah pembuangan pekerja juga semakin bertambah, di mana semenjak tiga tahun yang lepas hampir 100 ribu pekerja telah dibuang kerja akibat pemindahan kilang-kilang ke negara yang dapat menyediakan tenaga buruh yang lebih murah.

Kedua-dua perkara yang bertentangan ini merupakan produk krisis kapitalisme yang menjadi tunjang utama ekonomi dunia dan juga Malaysia. Ianya berkait rapat dengan ketidakmampuan sistem untuk menanggung kehidupan majoriti rakyat di seluruh dunia dan masalah para pemimpin dunia yang berselindung di sebalik kepentingan syarikat korporat tanpa mempertimbangkan kebajikan rakyat majoriti.

Tidak lupa dengan konflik perang yang sedang aktif berlaku di seluruh pelusuk dunia terutamanya di kawasan Timur Tengah, serangan terorisme yang konsisten di kawasan Eropah, konflik politik dan ekonomi di kawasan negara kapitalis maju, peningkatan Islamofobia dan segala bentuk prejudis, kehancuran alam sekitar yang melampau, kesemuanya ini turut mempengaruhi polisi-polisi kelas penguasa tempatan yang didesak untuk terus menindas keperluan dan hak rakyat majoriti. Kesemua ini secara tidak langsung mengaliri kesedaran rakyat tentang ketidakmampuan sistem kapitalisme dan sedikit sebanyak dapat mengajukan suatu sistem alternatif kepadanya, iaitu sosialisme sebagai satu-satunya penyelesaian kepada konflik yang sedang teruk berlaku.

Adakah Ekonomi Malaysia kukuh ?

Media-media arus perdana memberitakan kejayaan Malaysia di dalam ekonomi, iaitu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.6% pada suku pertama tahun ini merupakan yang tertinggi dalam masa dua tahun. Kalangan penganalisis menyifatkan pemulihan ekonomi ini akan bertahan sehingga akhir tahun ini, dan ada yang mengatakan bahawa KDNK tahun ini boleh mencecah 5% berbanding dengan ramalan sebelum ini sekitar 4.3%. Manakala nilai ringgit meningkat sekitar 4.2 dalam minggu ini daripada 4.5 untuk 1 dolar AS beberapa bulan yang lalu. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh peningkatan eksport terutama barangan elektronik, permintaan domestik yang masih stabil, dan juga kemasukan pelaburan terutama daripada negara China. Tetapi ini tidak bermakna, Ekonomi Malaysia yang masih bercirikan ekspot dan berlandaskan kepada FDI (Pelaburan asing), sudah teguh daripada ketidaktentuan ekonomi global semenjak krisis ekonomi 2008 di Amerika Syarikat. Manakala faktor-faktor seperti ketidakstabilan harga minyak mentah dunia dan harga komoditi yang lain akan terus menghantui Malaysia.

Berita di atas semata-mata digunakan oleh golongan elit dan penguasa sebagai justifikasi kepada rakyat bahawa mereka sedang menjalankan tugas secara telus dan mengutamakan kestabilan ekonomi negara. Tetapi skandal kewangan 1MDB dan kini FELDA secara jelas menunjukkan bagaimana kepentingan elit lebih diutamakan daripada keperluan rakyat. Mereka juga akan menyembunyikan keadaan sebenar ekonomi global yang masih kucar-kacir tanpa satu penyelesaian yang kukuh. Tambahan pula, pertumbuhan yang disebutkan di atas hanyalah bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan masalah asas yang membelenggu rakyat secara umum. Gaji semakin mendatar dan tidak meningkat jika ingin dibandingkan dengan harga-harga barangan dan kos kehidupan pada waktu ini.

Perlaksanaan penswastaan yang dimulakan oleh Mahathir pada tahun 80an masih diteruskan sehingga hari ini dan pelbagai perjanjian perdagangan telah dibincangkan bagi terus meraih keuntungan maksimum para pemodal dan golongan elit. Semenjak TPPA ditarik balik setelah Donald Trump dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat, pelbagai perdagangan sedang dilaksanakan dengan negara China oleh Najib Razak.

‘Kestabilan ekonomi’ yang digambarkan ini juga sebahagiannya disebabkan oleh perjanjian perdagangan di antara negara China dan Malaysia yang mencecah jumlah sebanyak RM 694 bilion iaitu sebanyak 160 bilion dolar AS, yang merangkumi beberapa mega projek seperti Forest City, Melaka Gateway, East Cost Rail Link dan sebagainya. Perbelanjaan swasta yang digembar-gemburkan sebagai faktor pertumbuhan ekonomi hanya akan memberi kelebihan kepada kapitalis-kapitalis dari negara China dan tempatan , dan tidak akan memihak kepada keperluan asas rakyat. Sebagai contoh pembelian saham DRB-Hicom Bhd sebanyak 49.9% oleh syarikat pembuat kereta China, Geely Holding Group merupakan salah satu inisiatif kerjasama di antara dua kerajaan yang mendukung perniagaan para golongan kapitalis untuk terus menjana keuntungan daripada eksploitasi buruh tempatan. Proses penswastaan merupakan strategi para kerajaan yang tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat setelah bersekongkol dengan syarikat-syarikat, lalu meletakkan beban hutang kepada rakyat majoriti dengan pelbagai bentuk langkah penjimatan dan penswastaan aset-aset negara.

Peningkatan ekonomi yang digambarkan oleh kerajaan adalah bersifat sementara kerana terdapat pelbagai faktor global yang boleh memainkan peranan bagi mempengaruhi ekonomi Malaysia seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Misalnya, demi menstabilkan pertumbuhan ekonomi yang telah merudum beberapa tahun yang lalu, China telah melaksanakan pakej rangsangan kewangan, dan menerima kredit sebanyak 17.8 trilion yuan iaitu bersamaan dengan 24% KDNK China pada tahun 2016 iaitu sebanyak 74.4 trilion yuan. Ini dijangka mampu mengakibatkan krisis yang lebih besar yang boleh tercetus pada masa akan datang di China, dan secara tidak langsung boleh memberikan impak kepada ekonomi Malaysia yang pada ketika ini sangat bergantung kepada China.

Ini juga secara tidak langsung berkait rapat dengan imej ‘pemimpin agung’ Xi Jinping semenjak dia dilantik menjadi pemimpin bagi rejim birokratik China. Xi Jinping terpaksa menghadapi beban dalaman dan juga luaran, pergolakan konflik di kalangan golongan elit rejimnya tersendiri dan juga persaingan ekonomi dengan empayar besar seperti Amerika Syarikat. Ini menyebabkan beberapa perjanjian perdagangan mulai dimeterai dengan beberapa negara bagi memastikan paksi rejim China dikukuhkan dan memastikan imejnya terus diperkuatkan. Para pemimpin dunia di China dan Amerika akan terus menjalankan pelbagai bentuk perjanjian perdagangan dengan negara seperti Malaysia untuk hegemoni kuasa dan ekonomi, dan tidak akan mengendahkan segala bentuk ketidakadilan yang sedang berlaku kepada rakyat biasa.

Ini menunjukkan bahawa karakter ekonomi kapitalisme yang digerakkan berada di atas landasan yang tidak menentu, mampu membiakkan konflik ekonomi global yang lebih teruk dan boleh merebak dengan lebih meluas termasuk ke Malaysia. Sosialis Alternatif yang merupakan sebahagian daripada CWI (pertubuhan sosialis internasional) telah berhujah bahawa hanya melalui program sosialisme dengan solidariti international kelas pekerja dan anak muda satu alternatif mampu dibina kepada krisis dan konflik yang diwujudkan oleh kapitalisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*