Pilihanraya UK : Tamparan hebat kepada Parti Konservatif!

Pilihanraya UK : Tamparan hebat kepada Parti Konservatif!

Posted by

Bersatu dan berjuang untuk polisi-polisi Corbyn!

Parlimen tergantung

Sebuah pilihanraya yang bersejarah telah berlangsung di United Kingdom (UK) pada 8 Jun lalu yang menyaksikan satu tamparan hebat kepada Perdana Menteri Theresa May yang gagal untuk mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan di Parlimen.

Sejak pilihanraya ini diumumkan, para elit di UK mengimpikan satu mandat yang besar untuk Parti Konservatif bagi menjalankan langkah-langkah penswastaan dan pemotongan dana kerajaan yang menjadi agenda utama Perdana Menteri Theresa May. Tetapi, selepas keputusan pilihanraya diumumkan, Theresa May didapati telah kehilangan mandat yang dimilikinya sebelum dan terpaksa bergantung dengan parti sekterian dan reaksioner DUP dari Ireland Utara untuk menubuhkan kerajaan. Parti Konservatif yang telah memegang 17 kerusi majoriti sebelum pilihanraya kini memerlukan 8 kerusi untuk mendapat mandat.

Dengan situasi krisis ekonomi dan sosial yang teruk, Parti DUP di Ireland Utara telah mempergunakan retorik-retorik nasionalis dan agama untuk mendapat sokongan rakyat dan berjaya meraih 10 kerusi Parlimen. Walau bagaimanapun, rakyat yang menyokong DUP akan turut membantah koalisi dengan Parti Konservatif yang dilihat sebagai penyebab utama krisis ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi sekarang. Undi yang diraih oleh mereka adalah sebahagian daripada undi protes terhadap pemerintahan Parti Konservatif sebelum ini.  

Pemimpin-pemimpin DUP sudahpun ditekan untuk membantah program-program Parti Konservatif di Parlimen dan koalisi ini sukar untuk bergerak dengan lancar.

Parti Konservatif dalam Krisis

Parti Konservatif yang sudah semakin rekah, kini tersepit dengan krisis kepimpinan. Theresa May bukan sahaja hilang mandat di luar parti malah juga gagal untuk mendapat sokongan daripada majoriti ahli parti itu sendiri. Satu-satunya sebab mengapa Theresa May masih memimpin Parti Konservatif adalah kerana ketiadaan alternatif yang munasabah buat masa ini. Tambahan pula, Parti Konservatif juga khuatir dengan perpecahan dalaman kekal jika berlaku perebutan kuasa kepimpinan.

Di sebalik kekecohan di dalam Parti Konservatif, keputusan Pilihanraya Umum ini juga mencerminkan sokongan rakyat bagi pendirian anti-pemotongan dana sosial dan anti-penswastaan yang dibawa oleh pemimpin Parti Buruh ( Labour ) Jeremy Corbyn.

Dengan serangan daripada pihak media, korporat elit, ahli politik dari luar dan dalam parti, ramai telah menganggap bahawa Jeremy Corbyn akan menghadapi kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya ini. Walaupun tanpa sokongan daripada pihak korporat, media korporat dan mana-mana ahli politik yang membawa aspirasi elit, program yang dibawa oleh Corbyn telah berjaya mencabar hegemoni dan dominasi neo-liberalisme di arena politik UK.

Posisi Corbyn Bertambah Kukuh

Bercanggah dengan anggaran ramai, keputusan pilihanraya ini telah mengukuhkan kedudukan Corbyn sebagai pemimpin Parti Buruh walaupun kalah tipis. Parti Buruh berjaya mendapat lebih 40% undi keseluruhan, peningkatan daripada 30% pada pilihanraya 2015 dan peningkatan undi terbanyak bagi Parti Buruh sejak kepimpinan Atlee pada tahun 1945.

Parti buruh juga berjaya meningkatkan undi popular mereka sebanyak 3.5 juta berbanding sebelum dan ini adalah kesan daripada peningkatan dalam peratusan pengundi anak muda dan mahasiswa. Di anggarkan sebanyak 72% daripada anak muda yang berdaftar telah turun mengundi berbanding hanya 43% pada pilihanraya 2015.

Dua pertiga daripada undi anak muda telah berjaya dimenangi oleh Parti Buruh dan parti-parti lain seperti Liberal Demokrat yang mengharapkan undi anak muda telah hampa dengan kekurangan sokongan yang diterima.

Sokongan yang diterima oleh Corbyn daripada anak muda boleh dilihat dari seluruh negara tidak kira kawasan bandar atau pendalaman. Beberapa kubu kuat Parti Konservatif di kawasan-kawasan terpencil seperti Canterbury juga berjaya dicabar dan dikalahkan oleh Parti Buruh.

Apa yang jelas, anak muda dan lapisan tengah masyarakat sudah mula menjadi radikal dan menceburi politik sebagai usaha untuk memperbaiki keadaan hidup mereka. Ini adalah disebabkan oleh kondisi kehidupan yang semakin merosot setiap hari akibat pemotongan dana sosial, gaji yang rendah disamping harga rumah yang melonjak tinggi, kekurangan peluang pekerjaan dan pendidikan yang semakin mahal dan sebagainya. Program Corbyn seperti tuntutan gaji minimum 10 pound UK sejam, pemansuhan yuran pendidikan, kawalan harga sewa rumah, pembinaan rumah awam dan banyak lagi program yang progresif telah memberikan harapan baru kepada rakyat tertindas yang tidak mempunyai sebarang jalan keluar.

Parti UKIP yang menggunakan sentimen perkauman dan nasionalisme dalam masa krisis pelarian melanda Eropah telah berjaya mencuri undi daripada kedua-dua Parti Konservati dan Parti Buruh pada pilihanraya umum 2015. UKIP yang sebenarnya merupakan serpihan radikal dari Parti Konservatif sebenarnya tidak mewakili kepentingan rakyat biasa dan berpaksikan korporat besar nasional. Parti-parti seperti ini sering mempergunakan situasi krisis dengan mengambil posisi yang popular dan meraih sokongan rakyat disebabkan oleh ketiadaan alternatif lain yang berkesan. Tetapi, kekalahan teruk UKIP dan peningkatan undi Parti Buruh menunjukkan dengan jelas bahawa jika satu program alternatif yang munasabah ditawarkan, rakyat biasa akan terdorong untuk membuat pilihan yang lebih progresif. Daripada lebih 3.8 juta undi pada tahun 2015, UKIP hanya mendapat 500 ribu undi pada pilihanraya tahun ini.

Satu lagi parti nasionalis yang lebih progresif berbanding UKIP, SNP juga telah melihat satu tamparan hebat kepada penguasaan mereka di negeri Scotland. Pada 2015, SNP telah menggondol 53 daripada 59 kerusi keseluruhan di Scotland. Walaubagaimanapun, hanya 2 tahun selepas itu, SNP telah kehilangan 21 kerusi dan kini hanya mempunyai 35 kerusi parlimen. Walaupun SNP cuba menampilkan diri mereka sebagai membawa aspirasi rakyat dengan memperjuangkan kebebasan nasional rakyat Scotland, langkah-langkah ekonomi mereka yang lebih memihak kepada kehendak korporat sedang sedikit sebanyak terbongkar di mata rakyat biasa. Akibatnya, Parti Konservatif berjaya kembali mengukuhkan kedudukan mereka di negeri tersebut.

Walaupun Parti Buruh telah berjaya mendapat beberapa kerusi daripada kemerosotan prestasi SNP, ia pastinya dapat diperbaiki dengan polisi yang mengangkat aspirasi rakyat negeri tersebut. Jeremy Corbyn tidak menyokong perjuangan kebebasan rakyat Scotland dengan jelas dalam kempen pilihanraya dan akibatnya SNP masih berjaya untuk mengekalkan majoriti mereka melalui propaganda nasionalisme. Seharusnya, Jeremy Corbyn patut berpegang kepada program yang memberikan kebebasan demokratik kepada rakyat bagi menentukan nasib mereka sendiri.

Pengajaran Pilihanraya

Jeremy Corbyn bukan sahaja telah menghadapi cemuhan daripada pihak elit dan media korporat sepanjang pilihanraya ini, malah dalam 1 tahun kepimpinan dalam Parti Buruh, dia menghadapi serangan berulang kali daripada sayap Blairite ( golongan MP dan kepimpinan yang mewakili aspirasi korporat kaya ). Jeremy Corbyn terpaksa mengharungi pelbagai cubaan untuk menggulingkannya secara tidak demokratik dan memenangi 2 pilihanraya kepimpinan parti dengan majoriti yang bertambah untuk bertahan menjadi pemimpin Parti Buruh.

Dalam proses ini, Jeremy Corbyn juga telah berjaya transformasi Parti Buruh yang melihat peningkatan keahlian yang mendadak dan meletakkan Parti Buruh sebagai antara parti yang terbesar di Eropah. Majoriti daripada sokongan yang diraih oleh Corbyn adalah daripada anak muda dan kelas pekerja yang menunjukkan potensi yang besar dalam masa-masa yang akan datang.

Walaubagaimanapun, adalah perlu sering diingatkan bahawa bukan sosok, tetapi mesej, polisi dan program yang dibawa oleh Jeremy Corbyn adalah unsur utama yang menarik lebih ramai anak muda dan kelas pekerja ke dalam proses politik UK. Tuntutan-tuntutan ekonomi dan sosial yang radikal sering dianggap sebagai ‘politik angan-angan’ dan sering diketepikan oleh pertubuhan-pertubuhan politik arus perdana yang dikatakan mengutamakan ‘politik praktikal’. Sebenarnya, sambil berselindung dibelakang ‘politik praktikal’, ahli-ahli politik tersebut mengelak daripada menghadapi dan menjawab persoalan-persoalan konkrit seperti solusi kepada krisis ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi oleh rakyat biasa.

Walaupun kelas jutawan terus meraih keuntungan berjuta-juta, kelas pekerja dan rakyat biasa terus dipaksa untuk menghadapi pemotongan dana dan kemiskinan akibat keadaan ekonomi yang tidak stabil atau hutang negara yang sedang meningkat. Program-program yang dibawa oleh Jeremy Corbyn seperti pemansuhan yuran pendidikan, peningkatan gaji minimum, peningkatan dana sosial, peningkatan cukai korporat elit, milik negara industri dan sebagainya memberikan solusi yang konkrit bagi rakyat biasa yang sedang mencari jalan keluar. Oleh itu, program yang di bawa oleh Corbyn mendapat sokongan padu daripada rakyat biasa dan kelas pekerja yang telah berjuang memastikan Corbyn kekal sebagai pemimpin Parti Buruh.

Kedudukan yang kukuh bagi Corbyn pada masa ini tidak harus dibazirkan begitu sahaja. Satu kempen harus dilancarkan untuk transformasi struktur Parti Buruh menjadi lebih demokratik dan boleh dicapai oleh rakyat biasa. Parti Buruh harus berubah menjadi parti yang mampu memimpin massa untuk mencabar kekuasaan elit korporat terhadap ekonomi dan politik dan memberikan alternatif sosialis yang jelas.

Mobilisasi Kesatuan Sekerja diperlukan Segera

Kemenangan Corbyn harus digunakan untuk membina satu gerakan akar umbi oleh kepimpinan kesatuan sekerja. Sebuah demonstrasi atau mogok umum 24 jam yang terang-terang membantah agenda Parti Konservatif untuk melakukan pemotongan dana dan penswastaan khidmat awam harus dipanggil dalam masa yang terdekat.

Sebuah demonstrasi sedemikian mempunyai potensi untuk menarik jutaan rakyat ke dalam gerakan yang mampu memaksa satu lagi pilihanraya umum dalam masa terdekat. Kerajaan yang lemah dan pembangkang yang kuat di dalam Parlimen harus digunakan untuk mengalahkan segala polisi-polisi yang akan memangsakan rakyat biasa. Pada masa yang sama, Corbyn dan MP Parti Buruh yang lain harus menyeru kepada semua Majlis Tempatan di bawah kawalan mereka untuk hentikan sebarang langkah pemotongan dana yang dirancang oleh kerajaan sebelum ini.

Jeremy Corbyn yang telah mencabar Theresa May dalam pilihanraya umum ini mempunyai peluang yang cerah untuk merampas tampuk pemerintahan daripada Parti Konservatif dalam masa terdekat. Ramai di kalangan pengundi yang tertipu dengan propaganda daripada media korporat dan pemimpin Parti Buruh sendiri telah mendapat peluang untuk menyaksikan potensi di belakang program Jeremy Corbyn dalam pilihanraya ini.

Sosialisme

Kempen pilihanraya ini telah memperkenalkan idea-idea sosialisme kepada satu generasi yang baru. Aspek ini merupakan yang paling positif. Ia juga pada masa yang sama mendedahkan kenyataan bahawa pihak kapitalis akan menggunakan segala jenis taktik murahan seperti cemuhan dan sabotaj semata-mata untuk menghancurkan polisi-polisi yang memihak kepada kepentingan majoriti rakyat biasa.

Cabaran yang dihadapi oleh Jeremy Corbyn sebelum ini hanyalah permulaan dan pihak kapitalis dari kedua-dua parti utama Buruh dan Konservatif akan menggunakan pelbagai helah untuk menjatuhkan Corbyn. Bagi mengelakkan keadaan ini daripada berlaku, kem Corbyn harus terus mengangkat program-program sosialis yang mampu meraih kekuatan daripada rakyat. Walaupun Corbyn mengangkat sosialisme dan program yang dilakarkan setakat ini adalah sangat progresif,  ini bukan masanya untuk melelapkan mata atau bertenang. Masih mempunyai ruang untuk menambah baik program yang sedia ada dan membina satu kepimpinan yang kukuh bagi kelas pekerja dan rakyat biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*