Kongres Anak Muda Malaysia 2017

Kongres Anak Muda Malaysia 2017

Posted by

Kongres Anak Muda Malaysia 2017 yang dianjurkan oleh gabungan anak muda dan aktivis seperti Demi Malaysia telah berlangsung dengan berjaya pada 13 dan 14 Mei lepas. Bermula pada hari yang signifikan bagi Malaysia (ulang tahun peristiwa Mei 13 1969), kongres ini telah berjaya membawa anak muda dari pelbagai negeri dan latar belakang dalam bilangan yang ramai untuk membincangkan isu-isu yang dianggap penting bagi golongan masyarakat tertentu.

Terdapat kumpulan anak muda dari pelbagai latar belakang perjuangan dengan idea masing-masing untuk mengubah keadaan sosial supaya memihak kepada anak muda dan rakyat biasa. Para hadirin dari pejuang hak asasi, aktivis hak demokrasi, aktivis alam sekitar, wakil kelas pekerja, mahasiswa, kumpulan minoriti seperti orang asal, telah mengambil giliran untuk membentangkan usul mereka untuk diperbahas dan memberikan pandangan dan solusi bagi krisis sosial dan ekonomi yang dihadapi.

Mengikut salah seorang penganjur Kongres Anak Muda, Adam Adli, tujuan acara ini diadakan adalah untuk berkongsi perspektif anak muda dari latar belakang yang berbeza bagi menyimpulkan satu deklarasi secara demokratik. Boleh dikatakan bahawa acara ini untuk sebahagian besar telah berjaya mencapai matlamat penganjur dan berlangsung dengan lancar untuk dua hari. Hampir 20 usul telah dibaca, diperbahas dan diundi dan telah berjaya menghasilkan sebuah deklarasi yang sangat munasabah.

Usul-usul yang dibawa oleh anak muda semuanya rata-rata progresif walaupun terdapat beberapa usul yang tidak membawa aspirasi majoriti rakyat dan anak muda. Ada juga beberapa usul yang berbentuk nasionalisme dan anti-migran, tetapi anak muda yang hadir telah memberikan perbahasan yang bagus dan berjaya mengalahkan usul-usul tersebut.

Antara usul yang mendapat sokongan kuat adalah seperti pendidikan percuma, pengukuhan demokrasi, memelihara alam sekitar dan membela hak orang asal. Terdapat juga beberapa usul yang tidak jelas dan tidak sempat habis diperbahaskan. Walaubagaimanapun secara keseluruhan, ia merupakan satu usaha yang bagus daripada pihak penganjur dan acara ini membuktikan bahawa anak muda di Malaysia berupaya untuk menjalankan sebuah persidangan dengan matang, demokratik dan bersikap tolak ansur.

Sosialis Alternatif juga telah menyertai kongres ini dan membawa usul dan perspektif kami untuk membina gerakan anak muda dan rakyat biasa yang kukuh. Usul kami adalah untuk mengukuhkan kesatuan sekerja dan kesatuan pelajar, dan membina solidariti di antara anak muda/pelajar dengan kelas pekerja. Kami menganggap bahawa kesatuan sekerja boleh menjadi landasan kepada perjuangan rakyat yang tersusun, dan di Malaysia terdapat satu keperluan yang segera untuk mengukuhkan kesatuan sekerja dan membina kesatuan pelajar. Tanpa kesatuan yang kukuh untuk memberikan kepimpinan, perjuangan rakyat untuk hak sosial dan ekonomi serta hak demokrasi mudah dipatahkan oleh pihak berkuasa. Kesatuan sekerja selaku kuasa kolektif dengan satu kepimpinan yang mantap dan jelas mampu menuntut perubahan yang bermakna bagi rakyat biasa yang kebanyakannya warga pekerja yang tertindas oleh sistem ekonomi dan politik negara. Pada masa yang sama, kesatuan pelajar juga harus dibina dan diperkukuhkan bagi menjamin hak-hak demokrasi pelajar serta menghubungkaitkan perjuangan pelajar dengan perjuangan rakyat biasa. Usul tersebut mendapat sokongan majoriti hadirin kongres dan lulus tanpa sebarang pertikaian.

Anak muda yang sedang membawa aspirasi rakyat harus juga menghubungkaitkan perjuangan mereka dengan rakyat biasa dengan membawa tuntutan-tuntutan rakyat. Tuntutan pemansuhan GST, gaji minimum yang lebih tinggi, pilihanraya tempatan yang demokratik dan sebagainya akan meraih sokongan yang kuat daripada kelas pekerja dan rakyat biasa. Dengan membawa tuntutan ekonomi dan sosial yang spesifik, gerakan anak muda boleh diperkukuhkan dan mampu mencabar kuasa-kuasa politik elit, dan golongan kapitalis yang menggondol kekayaan negara. Kekurangan tuntutan sebegini merupakan salah satu kekurangan deklarasi yang dibentang pada akhir sesi kongres. Walaupun begitu, usul-usul yang lulus seperti pendidikan percuma, pertahankan alam sekitar dan pengukuhan kesatuan merupakan tuntutan yang mampu meraih sokongan yang luas dan boleh berfungsi sebagai tenaga penyatu diantara perjuangan anak muda dan rakyat tertindas yang lain. Oleh itu, kepimpinan kongres ini harus memberikan perhatian yang khusus kepada tuntutan sebegitu untuk membina gerakan anak muda yang lebih kukuh.

Kongres ini juga tidak berjaya untuk membuat satu kesimpulan atau perspektif yang jelas mengenai bagaimana untuk membawa penyelesaian yang berkesan kepada permasalahan sosial dan ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat pada masa ini. Walaupun disentuh oleh pelbagai pihak, isu sistem ekonomi kapitalisme tidak menjadi titik utama dan oleh itu tidak mempunyai sebarang perbahasan mengenai alternatif kepada sistem tersebut. Sistem ekonomi kapitalisme merupakan punca utama bagi hampir semua krisis yang berlaku dalam kehidupan anak muda, kelas pekerja dan rakyat tertindas pada masa ini. Sistem yang mempergunakan titik peluh rakyat biasa untuk keuntungan segelintir ini harus dipersoal, disiasat dan didedahkan. Pada masa yang sama, sebuah sistem alternatif yang lebih adil harus dibentuk dan dituntut dengan jelas. Perspektif yang tepat dan posisi yang jelas akan memberikan keyakinan kepada bukan sahaja anak muda yang lain, malah boleh meraih sokongan majoriti rakyat. Ia juga mampu memecahkan propaganda perkauman dari pihak kelas pemerintah dan menyatukan rakyat dibawah garis kelas yang merentasi setiap kaum, agama, jantina atau latar belakang. Untuk merealisasikan agenda dan harapan anak muda dan rakyat biasa tersebut, posisi dan pendirian bebas harus dibina daripada pengaruh parti-parti politik elit yang berlandaskan kepada agenda kapitalisme.

Anak muda mempunyai keupayaan untuk meningkatkan kesedaran mereka dan sebagai lapisan masyarakat yang sedar mempunyai tanggungjawab untuk menyusun gerakan-gerakan sosial yang terbentuk di peringkat akar umbi serta membina alternatif. Anak muda menduduki posisi untuk menyediakan perspektif dan kepimpinan yang jelas bagi memberikan kesan kepada sebarang gerakan sosial untuk mencapai perubahan yang nyata. Oleh itu, Kongres Anak Muda Malaysia ini merupakan satu acara yang sangat penting dan boleh menjadi pencetus kepada gerakan yang lebih tersusun dan jelas di masa hadapan. Malah dengan program yang tepat dan mengangkat aspirasi rakyat biasa, ia mampu menjadi kepimpinan bagi gerakan-gerakan sosial yang akan muncul di Malaysia akibat kemerosotan keadaan sosial dan ekonomi global bagi anak muda dan rakyat biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*