Kekayaan Kelas Jutawan Malaysia Meningkat!

Kekayaan Kelas Jutawan Malaysia Meningkat!

Posted by

Kelas pekerja dan rakyat biasa Malaysia sedang menghadapi keadaan ekonomi dunia yang sedang meleset dan akibatnya terpaksa memikul beban yang berat dalam kehidupan harian mereka. Kos kehidupan yang meningkat termasuk harga makanan dan tempat kediaman, gaji yang tidak seiring dengan peningkatan inflasi dan ditambah dengan beban cukai GST dan penjimatan perbelanjaan sosial kerajaan yang merosot dalam semua sektor. Apabila dipersoalkan oleh rakyat biasa, pihak kerajaan sering menunjuk kepada kemerosotan ekonomi global dan nilai Ringgit yang jatuh sebagai punca utama kepada langkah penjimatan yang sedang berlaku.

Anak muda zaman ini tidak mempunyai sebarang harapan dalam hidup sepertimana yang dinikmati oleh generasi-generasi sebelum mereka. Hampir setiap mahasiswa terpaksa menghadapi hutang walaupun sebelum berkerja dan mulakan hidup baru. Hutang isi rumah yang hampir mencecah 90% kadar KDNK negara mendedahkan situasi ekonomi rakyat biasa yang langsung tiada ruang untuk memperbaiki hidup mereka. Kadar pengangguran pula sedang meningkat dan dalam kalangan anak muda, ia sedang menjangkau 10%. Lebih ramai daripada tenaga kerja pada masa ini sedang beralih ke kerja-kerja yang tidak stabil dalam ekonomi ‘gig’ seperti Uber dan Foodpanda. Tenaga kerja ekonomi ‘gig’ ini pula dieksploitasi sehabis-habisnya oleh pihak kapitalis kerana kekurangan perundangan yang dapat mempertahankan hak pekerja dalam sektor tersebut.

Walaupun kelas pekerja dan rakyat biasa sedang menghadapi pelbagai cabaran hidup, sebuah laporan daripada majalah Forbes mendedahkan bahawa para jutawan terkaya di Malaysia sedang menambah kekayaan mereka dengan tahap keuntungan yang tinggi. Robert Kuok misalnya, menduduki tangga tertinggi orang terkaya di Malaysia bagi tahun ke-12 telah berjaya meningkatkan hartanya dari 10 bilion USD tahun lepas ke 11.4 bilion USD tahun ini. Kapitalis berumur 93 tahun ini mengawal sebahagian besar daripada produksi sawit negara. Laporan tersebut juga mendedahkan beberapa kapitalis seperti pengusaha kasino yang beroperasi di Cambodia, Chen Lip Keong, melihat kekayaan mereka meningkat lebih 100% pada tahun ini.

Majalah Forbes juga telah mengeluarkan sebuah senarai 50 orang terkaya di Malaysia yang melihat hampir semua yang tersenarai telah dapat meningkatkan harta mereka. Walaupun kebanyakan daripada pemilik syarikat tersebut telah melakukan penjimatan kos seperti memotong tenaga kerja dan menutup operasi untuk berpindah ke negara lain, masih ia tidak memberikan kesan kepada peningkatan keuntungan masing-masing. Manakala, berpuluh ribu kelas pekerja yang telah bertungkus lumus menjanakan keuntungan tersebut sedang menghadapi tekanan ekonomi yang melampau dan terpaksa menanggung kehilangan kerja dan beban hutang.

Perkara ini tidak asing bagi negara Malaysia sahaja, malah sebahagian besar daripada jutawan dunia juga telah menambah kekayaan mereka walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang meleset. Sebuah laporan daripada organisasi Oxfam baru-baru ini telah mendedahkan bahawa jumlah harta yang dimiliki oleh 8 orang terkaya di dunia pada masa ini melebihi jumlah yang dimiliki oleh 3.6 bilion penghuni dunia yang miskin ataupun separuh daripada populasi dunia. Statistik ini mendedahkan percanggahan yang wujud dalam sistem ini yang amat berat sebelah terhadap kelas kapitalis yang sudahpun memiliki segala harta dan ia tidak akan teragak-agak untuk memangsakan kelas pekerja dan rakyat biasa bagi menjamin keuntungan peribadi elit kaya.

Kelas pekerja dan rakyat biasa harus menyedari perkara ini dan melancarkan bantahan terhadap sistem yang tidak berpihak kepada mereka. Semua kepimpinan politik yang wujud pada masa ini berpihak kepada kuasa kapitalis dan rakyat biasa memerlukan sebuah kepimpinan akar umbi untuk membawa aspirasi mereka ke hadapan. Bagi merealisasikan kenyataan tersebut, ia adalah amat penting untuk mewujudkan sebuah parti kelas pekerja yang berasaskan organisasi pekerja yang demokratik dan tersusun bagi mencabar kuasa-kuasa politik yang ada pada masa ini. Hanya dengan membawa sebuah program yang jelas dan tersusun melalui kepimpinan yang berdasarkan rakyat, rakyat biasa boleh menggantikan sistem yang sedia ada dengan sebuah sistem yang akan mampu menampung aspirasi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*