Pekerja Atlas Membongkar Satu Lagi Penipuan Majikan!

Pekerja Atlas Membongkar Satu Lagi Penipuan Majikan!

Posted by

Pekerja Atlas Kepong dan Batu Caves membongkar Satu Lagi Penipuan Majikan Ke Atas Komisen….Mahkamah Denda Majikan Atlas!

Pada 9 Mei 2017, pihak Jabatan Tenaga Kerja dibawah Kementerian Sumber Manusia telah mengheret majikan Atlas Edible Ice Sdn. Bhd. ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi beberapa kesalahan melanggar undang-undang buruh.

Majikan Atlas yang terlibat daripada cawangan Kepong dan juga di beberapa cawangan lain didapati sering menindas pekerja dan mencabul hak mereka apabila dirujuk pada kes-kes yang berlaku sebelum ini. Pekerja Atlas sebelum ini penah berjuang menuntut caruman KWSP ke atas komisyen mereka yang tak dibayar selama lebih 20 tahun dan memenangi tuntutan tersebut. Selepas itu, pihak jawatankuasa pekerja telah membawa banyak lagi aduan ke Jabatan Tenaga Kerja di Subang Jaya seperti kegagalan majikan membayar elaun pindah, pemotongan upah komisyen yang tidak adil, isu-isu keselamatan kenderaan kerja, syarat elaun kedatangan yang tidak mengikut undang-undang dan banyak lagi.

Pihak Jabatan Tenaga Kerja selepas didesak oleh pihak pekerja berulang kali telah akhirnya bertindak untuk membawa majikan ke mahkamah sivil bagi beberapa kesalahan. Antaranya adalah kesalahan memotong upah bagi pekerja migran sebagai denda atau bayaran balik hutang dan membayar upah komisyen pekerja tempatan melalui tunai. Majikan didapati telah menuduh beberapa pekerja migran sebagai cuai semasa melakukan kerja dan mengenakan denda yang dipotong daripada gaji bulanan mereka. Ini merupakan langkah dan amalan yang dilarang dari segi undang-undang. Segala jenis pemotongan gaji haruslah disertakan dengan persetujuan daripada pekerja dan kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.

Majikan juga didapati bersalah bagi kesalahan membayar wang komisyen dalam bentuk tunai tanpa menggunakan sebarang rekod rasmi atau bank. Praktik ini dihalang kerana ia boleh membuka ruang kepada majikan untuk melakukan penyelewengan kewangan dan menindas pekerja. Akibat bayaran tunai ini, majikan sekali lagi mengelak daripada mencarum KWSP bagi bahagian komisyen. Amalan yang dilakukan bagi seluruh kilang ini dapat meraih keuntungan beribu-ribu ringgit bagi majikan manakala merugikan pekerja yang bertungkus lumus menjana keuntungan syarikat.

Majikan Atlas telah mengaku bersalah bagi semua tuduhan yang dibawa oleh peguam Jabatan Tenaga Kerja dan merayu pada mahkamah untuk mengurangkan denda mereka. Setiap satu kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM 10 ribu ringgit dan mahkamah mendengar sejumlah 21 pertuduhan. Memandangkan ini adalah kali pertama kesalahan-kesalahan tersebut dibicara di mahkamah, hakim menjatuhkan hukuman denda sejumlah RM 34 500 ringgit bagi semua kesalahan.

Walaupun ia merupakan tamparan yang hebat bagi majikan dan satu kemenangan bagi perjuangan pekerja, masih ada banyak lagi isu yang harus dihadapi oleh pekerja di tempat kerja. Sejak mula mengorganisasi diri mereka kedalam satu jawatankuasa, pekerja Atlas mendapat pelbagai ugutan dan intimidasi daripada pihak majikan. Pihak majikan cuba menggunakan pelbagai helah untuk memecah belahkan perpaduan pekerja dan melemahkan jawatankuasa tersebut. Namun, dengan semangat solidariti yang kukuh antara mereka dan dengan kepimpinan yang jelas dan berani, pekerja Atlas dapat membawa perjuangan mereka kehadapan dan dapat meraih kemenangan demi kemenangan.

Kehadapan, pekerja Atlas harus mengukuhkan lagi perpaduan antara pekerja dan meneruskan perjuangan menuntut hak mereka sebagai kelas pekerja. Para pekerja Atlas membuktikan bahawa jika pekerja dapat bersatu dan memperjuangkan kebenaran, pihak majikan yang amat berkuasa juga terpaksa akur dengan tuntutan pekerja. Kelas pekerja hanya perlu menyedari kekuasaan mereka apabila mereka bersatu dan memperjuangkan hak mereka dengan satu suara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*