Kesatuan RUM Bantah Perjanjian RNAA!

Kesatuan RUM Bantah Perjanjian RNAA!

Posted by

Kesatuan Pekerja Kereta api Tanah Melayu (KTMB) yang dikenali sebagai Railwaymen Union of Malaysia (RUM) membantah sekeras-kerasnya perancangan kerajaan untuk membuat perjanjian baru diantara Perbadanan Aset Kereta api (RAC) di bawah Kementerian Pengangkutan dan KTMB. Perjanjian Akses Rangkaian Kereta api (RNAA) ini bertujuan untuk memberikan kawalan urus tadbir KTMB kepada Kementerian Pengangkutan untuk diswastakan kepada pelabur korporat. Perjanjian ini akan membuka ruang bagi semua tren, kargo dan lokomotif untuk diambil alih oleh syarikat swasta dan fungsi KTMB akan di kurangkan kepada tugas merancang jadual dan penyelenggaraan stesen sahaja.

Langkah ini sememangnya mempunyai hasrat untuk membebaskan kerajaan daripada memberikan subsidi kepada perkhidmatan KTMB dan memberi amanah kepada pihak syarikat swasta untuk mengendalikan pengurusannya. Dalam kata lain, ia juga merupakan sebuah langkah penswastaan menyeluruh dengan menjual atau menyewa aset-aset kereta api kepada entiti swasta yang akan beroperasi berpaksikan keuntungan swasta. Maksudnya, perkhidmatan KTMB yang menggunakan aset negara seperti rangkaian tren dan sebagainya tidak akan dimanfaatkan untuk membantu rakyat tetapi akan dipergunakan bagi menjana keuntungan korporat.

Syarikat-syarikat korporat hanya akan menumpukan perhatian kepada keuntungan wang duit dan akan mula melakukan pelbagai pemotongan kos. Antaranya adalah dengan memotong tenaga kerja dan meningkatkan harga servis atau harga tiket bagi rakyat umum. Jika perjanjian ini termeterai, perjanjian kolektif yang dicapai oleh Kesatuan RUM dan majikan KTMB akan hilang dan nasib 5500 pekerja KTMB akan jatuh ke tangan pihak swasta yang tidak kisah tentang kebajikan pekerja. Presiden RUM Abdul Razak Md. Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka menganggarkan seramai 3000 pekerja KTMB akan kehilangan mata pencarian jika kerajaan membenarkan RNAA ini berlaku. Oleh itu, Kesatuan RUM sejak setahun lalu telah memulakan kempen membantah RNAA dan melakukan pelbagai aksi termasuk piket dan rundingan dengan pihak berkuasa. Tetapi sehingga ke hari ini, perancangan untuk membuat perjanjian ini masih diteruskan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Khidmat pengangkutan awam seperti KTMB harus dinilai sebagai perkhidmatan umum dan harus berfungsi untuk membantu rakyat biasa dan kelas pekerja yang memerlukannya. Kelas pekerja yang bertungkus lumus berkhidmat untuk masyarakat dalam mewujudkan barangan dan servis keperluan berhak untuk menuntut pengangkutan awam sebagai hak asasi mereka. Segala aset kereta api negara yang wujud pada masa ini adalah hasil titik peluh kelas pekerja dan rakyat biasa. Setiap besi dalam landasan kereta api itu dibina oleh rakyat biasa di bawah keadaan penjajahan dan perhambaan. Hari ini, pengorbanan rakyat tersebut tidak dilihat sebagai hak umum oleh kerajaan yang sedang cuba untuk menswastakan segalanya.

Semenjak 80-an lagi, pihak kerajaan yang mewakili kelas kapitalis telah berusaha untuk menswastakan aset kereta api negara dan pada tahun 1992 KTM telah berjaya dikorporatkan sepenuhnya. Walaupun masih berada di bawah kawalan kerajaan, langkah tersebut telah membuka ruang untuk melakukan penswastaan penuh secara berperingkat dan usaha RNAA terbaru ini adalah sebahagian daripada usaha tersebut. Hanya pekerja-pekerja KTMB di bawah kepimpinan RUM yang sedang menjadi halangan utama diantara urusan kerajaan dan korporat besar dan secara tidak langsung mempertahankan kepentingan rakyat biasa dalam hal ini.

Oleh itu, pihak RUM harus melancarkan sebuah kempen umum untuk mendedahkan kepincangan kerajaan yang berpihak kepada kapitalis dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran rakyat bagi meraih sokongan mereka. Rakyat biasa yang sudah terbeban dengan peningkatan harga barangan, peningkatan kos hidup, cukai GST dan sebagainya akan teruja untuk mempertahankan perkhidmatan pengangkutan awam yang diperlukan oleh semua.

RUM merupakan sebuah Kesatuan yang sangat berkuasa dan berupaya untuk mengalahkan agenda buruk kerajaan dan mempertahankan kebajikan pekerja. Tetapi RUM juga harus menyedari kekuatan penuh mereka dan membawa tuntutan-tuntutan yang dapat menyatukan gerakan buruh dan menjamin masa depan yang baik bagi pekerja. Tuntutan untuk memiliknegarakan aset KTMB di bawah kawalan demokratik pekerja KTM adalah sebuah tuntutan yang mampu membawa kepada jalan penyelesaian bagi permasalahan yang sedang berpanjangan dari zaman 80-an lagi. Pergelutan RUM dengan pihak berkuasa dalam hal penswastaan bukanlah sesuatu yang baru tetapi mempunyai asas daripada percanggahan yang wujud diantara kemahuan rakyat dan kemahuan pihak kapitalis korporat. Satu-satunya penyelesaian bagi percanggahan ini adalah bagi pekerja KTM itu sendiri mengambil alih kuasa urus tadbir dan kawalan terhadap aset kereta api dari tangan kerajaan yang hanya berfungsi bagi kelas kapitalis.

Kami dari Sosialis Alternatif dan akhbar Solidariti Pekerja ingin memberikan sokongan solidariti kepada Kesatuan RUM dalam usaha membantah perlaksanaan RNAA yang akan memangsakan kelas pekerja dan rakyat biasa. Pada masa yang sama, kami juga menyeru kepada kepimpinan RUM untuk membawa agenda dan tuntutan memiliknegarakan aset kereta api di bawah kawalan demokratik penuh pekerja KTM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*